Nuffnang Ads

Saturday 31 March 2012

Pentadbiran DAP, Guan Eng Di Pulau Pinang Umpama “Penjajah Moden”


“Sama ada penjajah dulu menindas golongan tertentu dalam kalangan rakyat atau pemimpin yang dipilih rakyat menjadi pentadbir kemudian menindas pihak tertentu dalam kalangan rakyat.. kategorinya sama saja seperti penjajah.  Dalam Islam dosanya sama saja.
“Samalah seperti apa yang Guan Eng, DAP lakukan sekarang menjadi penjajah moden. Kalau dulu penjajah pentingkan siapa yang duduk di bandar, di Georgetown, di Bagan yang ada terlibat dalam aktiviti pelabuhan, meniaga rempah ratus yang boleh di bawa ke London… golongan ini diberi keutamaan.
“Hari ini Guan Eng pun buat perkara yang sama utamakan golongan tertentu di negeri ini sedangkan Pulau Pinang bukan hak orang kaya atau orang senang di mana orang kampung disisihkan, orang susah tidak dibela.. ini sama seperti penjajah dulu," kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman kepada UMNO Online.
Sebagai contoh tegasnya, semua perkara yang elok-elok diletakkan di bahagian pulau manakala yang tidak bagus dilonggokkan di seberang.
“Kalau ada kilang atau industri yang ada risiko seperti kilang solar panel dan sebagainya dibuat di seberang, tidak dibuat di pulau, kalau ada rumah kos rendah yang mungkin ada bau busuk, ‘low class’, tempat pembuangan sampah dibuat di seberang.
“Di bahagian pulau semua untuk kompleks perniagaan, tiada rumah kos rendah, rumah yang dibina hanya berharga ratusan atau jutaan ringgit.  Sedangkan Pulau Pinang bukan hak orang kaya atau orang senang saja”, ujarnya.
Justeru katanya, pentadbiran DAP di bawah kepimpinan Lim Guan Eng jelas mengutamakan kelompok tertentu saja manakala rakyat yang miskin dan tidak berkemampuan disisihkan secara terancang.
DAP khususnya Guan Eng jelas beliau lagi bukan sahaja mentadbir cara penjajah malah bersifat diktator kerana tidak boleh langsung ditegur dan dikritiik.
“Kita tengok selama 45 tahun DAP menjadi pembangkang, mereka boleh bangkang apa saja yang Kerajaan Barisan Nasional (BN) buat, tak ada kes mahkamah… kalau ada pun satu dua kes kita bawa ke mahkamah.
“Tetapi DAP baru saja perintah di negeri ini empat tahun… apa saja yang kita bangkang, kritik semua nak bawa ke mahkamah.. Utusan Melayu, UMNO Online, Pemuda UMNO semua dia nak saman, nak bawa ke mahkamah hanya kerana kita kritik pentadbiran DAP," ujarnya.
Hakikatnya tegas beliau DAP telah gagal melaksanakan mandat dan amanah yang diberikan rakyat.
Jelas beliau selama empat tahun memerintah Pulau Pinang apa yang rakyat dapat hanyalah impian semata-mata.
Lebih malang lagi tambahnya DAP, Guan Eng bersifat bongkak kononnya apa yang dicapai di negeri ini semuanya adalah kerana pentadbiran mereka.
“Hakikatnya selama empat tahun kebelakangan ini, Kerajaan Pusat BN telah membelanjakan RM22.5 billion hanya kerana mahu melihat Pulau Pinang terus hidup walaupun telah dikuasai pembangkang.  Malangnya ia telah dijadikan senjata DAP kononnya itu semua mereka yang buat.
“Sebenarnya apa yang mereka buat selama empat tahun ini?  Yang mereka buat hanya satu modal saja iaitu terus menanamkan kebencian rakyat kepada UMNO… tiada modal apa… tak perlu labur RM100 juta, tak payah bagi orang miskin RM50 juta, tak perlu bangunkan masjid, kemudahan awam cuma siang malam tanam kebencian rakyat terhadap UMNO, serang UMNO," katanya.
Justeru beliau berharap rakyat khususnya di Pulau Pinang sedar akan gaya politik sempit DAP ini yang hanya bijak bersandiwara, beretorik kosong sedangkan gagal untuk membela rakyat secara keseluruhannya. - Sumber MediaUMNO

Friday 30 March 2012

Ketua Pembangkang: Status Anwar boleh dicabar

Usul untuk mencabar kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang yang didakwa diselubungi pelbagai isu moral boleh dibawa pada Persidangan Dewan Rakyat, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Wan Jaafar.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk menggugurkan kedudukan seseorang anggota dewan memerlukan satu prosedur tertentu yang mana belum terdapat dalam peraturan dewan ketika ini.

Beliau berkata, sesuatu usul yang yang bersangkutan dengan peribadi seseorang serta berlaku di luar dewan tidak mungkin membolehkan individu itu digugurkan jawatan secara automatik kecuali ia berkaitan dengan kesalahan jenayah serta menderhaka kepada raja dan negara yang telah disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman.

"Namun ia tetap perlu dibahas di dewan terlebih dahulu. Kita berpandu kepada tiga perkara iaitu peraturan, undang-undang dan Perlembagaan. Tidak ada satu pun daripada tiga elemen itu yang memberi ruang dan peluang seseorang boleh membuatkan satu usul dalam dewan untuk membuat satu impeachment terhadap seseorang.

"Terserah kepada budi bicara speaker untuk menerima atau menolak usul anggota untuk membahaskan perkara sebegitu dalam Dewan," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Kulim/Bandar Bharu, Datuk Zulkifli Noordin semalam yang berkata, Anggota Parlimen berhak membawa usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terhadap mana-mana anggota dewan termasuk Ketua Pembangkang berhubung perkara tertentu dan khusus.

Kenyataan itu turut disokong Pesuruhjaya Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bahawa usul itu boleh dilakukan kerana jawatan Ketua Pembangkang yang disandang Anwar merupakan jawatan rasmi dan beliau memainkan peranan mustahak dalam sistem berparlimen.

Sementara itu, Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pula percaya jika dibahaskan, usul 'impeachment' Anwar itu boleh berjaya bersandarkan kekuatan jumlah Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN), yang pasti akan turut mendapat sokongan Anggota Parlimen Bebas. - Sumber Bernama

MALAYSIA AMBIL AMAH MYANMAR

Malaysia sedia memberi peluang kepada rakyat Myanmar yang mendaftar di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh   Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) untuk menjadi pembantu rumah, kata Datuk Seri Najib Razak.


Perdana Menteri berkata, dalam pertemuannya dengan Presiden Thein Sein, kelmarin, beliau memaklumkan lebih 250,000 rakyat Myanmar didaftarkan menerusi sistem biometrik sepanjang proses 6P.


Najib yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Myanmar berakhir semalam berkata, ada kemungkinan mereka akan diberi peluang menjadi pembantu rumah kerana rakyat Myanmar sopan dan budayanya sesuai dengan budaya Malaysia.

“Tetapi perkara ini masih dirundingkan dan akan diuruskan Kementerian Sumber Manusia,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan serta jamuan bersama ahli perniagaan Malaysia dan Myanmar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar di sini.

Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan empat memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani membabitkan Petronas Carigali Myanmar Inc dan Unog Ptd Ltd, Lembaga Industri Kayu Malaysia dan Myanmar Timber Merchants Association, Esa Jurutera Perunding & Esa International Sdn Bhd dan Win Thin & Associates serta Target Resources Corporation Sdn Bhd dan YaminThida Co Ltd.

Terdahulu, Najib yang diiringi Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan pertemuan dengan masyarakat Malaysia di Myanmar. Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam. 
Sementara itu, Subramaniam ketika ditemui menjelaskan perbincangan berhubung pengambilan pembantu rumah Myanmar membabitkan beberapa perkara, termasuk jaminan keselamatan pekerja terbabit.

Difahamkan, Myanmar mengamalkan dasar yang ketat berhubung penghantaran pekerja wanita ke luar negara dan setakat ini sudah ada rakyatnya menjadi pembantu rumah di Malaysia tetapi bilangannya kecil.

Baru-baru ini, Subramaniam dilaporkan berkata, kedua-dua negara dijangka menandatangani MoU bagi membawa masuk pekerja Myanmar ke Malaysia, termasuk pembantu rumah. MoU itu adalah atas permintaan Myanmar.


                         NAJIB  dan  Rosmah   tertarik melihat potret   cenderahati wajah mereka      pada majlis perjumpaan serta jamuan bersama ahli perniagaan Malaysia dan Myanmar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar, semalam.
Najib dan Rosmah tertarik melihat potret cenderahati wajah mereka pada majlis perjumpaan serta jamuan bersama ahli perniagaan Malaysia dan Myanmar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar, semalam.

Azizah Berdiam Diri, Ibarat Seperti Mengiyakan Perbuatan Anwar


Presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diminta menyatakan pendirian terhadap tuduhan terhadap suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang biseksual oleh Senator Datuk S Nallakurappan .
Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Zabariah Wahab berkata, sebagai seorang isteri, Azizah tidak harus mendiamkan diri kerana ia bukan sahaja membabitkan dirinya malah keseluruhan maruh keluarganya sendiri.
“Mengapa sehingga kini Azizah masih mendiamkan diri, tuduhan Anwar seorang biseksual adalah suatu tuduhan berat, sikap berdiam dirinya sehingga kini banyak menimbulkan pelbagai persoalan dan persepsi dalam kalangan rakyat
“Apakah Azizah sudah berpuas hati dengan saman yang dikemukakan Anwar kepada Nalla, sedangkan perkara itu membabitkan maruah seluruh keluarganya.
“Adakah maruah keluarganya juga boleh dipolitiknya, di manakah maruahnya sebagai seorang isteri dan anak kepada keluarganya, tindakannya berdiam diri bagaikan mengiyakan apa yang diperkatakan oleh Nalla,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Menurutnya sebagai seorang isteri dan insan yang paling rapat kepada Anwar, sepatutnya dialah orang yang pertama mempertahankan suaminya bukan bertindak memdiam diri.
“Apakah Azizah tidak mempunyai perasaan sehingga sanggup maruah keluarganya diperkotak-katikkan, di mana kewibawaannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya dan juga presiden parti.
“Adalah suatu yang menyedihkan sebagai seorang isteri apabila tidak dapat mempertahankan maruah suaminya. Di manakah kesetian serta kasih sayang seorang isteri kepada suami yang sanggup bersama dalam apa jua keadaan?” katanya.
Sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya, Azizah dilihat sebagai tidak bertanggungjawab untuk mempertahankan institusi kekeluargaannya yang tercalar teruk akibat tuduhan terhadap suaminya itu. - Sumber MediaUMNO.
                      

Rasuah: Malaysia Antara Terbaik Dakwa Ahli Politik

Malaysia antara negara yang paling banyak mengambil tindakan terhadap ahli politik dalam isu rasuah berbanding Singapura dan Hong Kong, kata Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull.

"Sejarah menunjukkan kita antara yang terbaik mendakwa ahli politik dalam rasuah.

"Undang-undang tak ikut sesiapa, tak lihat siapa dia, hakim atau ahli politik. Rasuah jenayah individu dan bukan lihat pada politik dia," katanya pada wacana Sinar Harian bertajuk "Rasuah Politik: Persepsi atau realiti" di Shah Alam hari ini.

Mohd Shukri yang berkhidmat 27 tahun bersama suruhanjaya itu berkata, sejak 1960-an sehingga kini, sudah ramai ahli politik yang telah diambil tindakan oleh SPRM.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan agar sebarang kes perlu dilaporkan terlebih dahulu kepada SPRM sebelum membuat apa-apa hebahan di blog atau sidang media.

"Ibarat kita nak masuk hutan memburu burung, lembu, gajah, tetapi pada masa yang sama kita bawa gendang. Belum sempat berburu, semua binatang dah lari," katanya sambil disahut gelak ketawa oleh hadirin.

Sementara itu, ketika ditanya oleh hadirin mengenai penggunaan kenderaan milik kerajaan semasa pilihan raya diadakan, Mohd Shukri berkata, sehingga kini tiada garis panduan khusus mengenai perkara itu.

"Bila Parlimen bubar sepatutnya perlu ada satu kerajaan sementara ditubuhkan untuk mengambil alih negara. Mengenai penggunaan kenderaan itu, saya rasa bukan hanya digunakan pada satu parti sahaja kerana ia termasuk kenderaan kerajaan negeri.

"Sekarang garis panduan lengkap tiada tetapi kita boleh usulkan pada kerajaan supaya adakan panduan yang tegas berhubung penggunaan kenderaan kerajaan," katanya.

Tuanku Abdul Halim ditabalkan di istana baru

               Tuanku Abdul Halim


Buat julung kalinya dalam sejarah Malaysia, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan di sebuah istana baru yang tersergam indah di atas bukit.

Terletak di Jalan Duta, bangunan putih yang bercirikan 22 kubah kuning itu akan menyaksikan pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam satu majlis penuh istiadat dan gilang-gemilang pada 11 April ini.

Istiadat pertabalan tujuh daripada 13 Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah diadakan di Istana Negara lama di Jalan Istana yang merupakan Istana yang diubah suai daripada sebuah banglo milik jutawan dari China, Chan Wing.

Istana Negara baru di Jalan Duta bersandarkan kepada seni bina berprestij, Raja Berpelembagaan, dan berdiri megah sebagai antara lambang pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Kedah Contoh Terbaik Betapa Pembangkang Adalah Pakatan Rebut Kerusi


Perebutan kerusi dalam kalangan parti pembangkang seperti yang dilaporkan jelas menunjukkan bahawa tiadanya kesepakatan dalam kalangan mereka bagi menentu siapakah yang berhak untuk bertanding di sesuatu kawasan.
Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datul Tajul Urus Md Zain menyifatkan pertelagahan dalam kalangan pembangkang sebenarnya bukan perkara baru malah sejak mereka berjaya menawan beberapa negeri pada pilihan raya lalu.
“Kemelut pembangkang ini bukan cerita baru, selepas Pilihan Raya Umum 2008, mereka bertelagah untuk menentukan siapakah yang layak untuk menjadi Menteri Besar dan Exco seperti yang berlaku di Perak dan Selangor.
“Kini mereka berebut kerusi pula, kesepakatan yang dikatakan sebenarnya hanyalah sandiwara sahaja, sebenarnya mereka tidak pernah sepakat, apa yang berlaku di Kedah bukti jelas mereka sebenarnya bermasalah,” katanya.
Masalah perebutan kerusi dalam kalangan pembangkang bukan sahaja berlaku di Kedah malah turut membabitkan beberapa negeri lain seperti di Johor dan Perak, mereka sebenarnya ingin merebut jawatan  Menteri Besar.
Kecederungan itu dapat dilihat apabila DAP juga bercita-cita untuk meletakkan calon Melayu di beberapa kerusi yang bakal ditandingi pada pilihan raya nanti bagi mengelak berulang peristiwa di Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008.
Tajul berkata, peristiwa yang berlaku di Kedah baru-baru ini berhubung pelantikan Exco negeri menunjukkan sememangnya tiada kesepakatan dalam kalangan parti sendiri seperti yang berlaku dalam pentadbiran Pas di kedah.
“Jika pembangkang asyik bertelagah untuk menunjuk dan merebut kuasa, bila masa mereka ingin menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, sudah pasti rakyat akan terabai dan yang ruginya adalah rakyat sendiri,” katanya.
Menurutnya, rakyat tidak harus mengulangi kesilapan yang berlaku pada 2008, Kedah adalah contoh terbaik, sejak diperintah pembangkang, tiada kemajuan yang dilakukan oleh mereka untuk rakyat Kedah. - Sumber MediaUMNO

Datuk Nalla Tegaskan Anwar Biseksual, Harap 'Bertemu Segera’ Di Mahkamah

                       

Bekas kawan baik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nallakaruppan meneruskan pendiriannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang biseksual dan tidak layak menjadi Perdana Menteri ataupun seorang pemimpin kepada rakyat.
Sehubungan dengan itu, beliau yakin sebab utama Anwar menyamannya ialah kenyataannya sebelum ini bahawa di dalam perlembagaan, tiada peruntukan seorang biseksual boleh menjadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang.
“Saya tetap dengan pendirian saya, bahawa seorang biseksual tidak layak menjadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang, bukan di negara ini tempatnya. Ini prinsip saya, prinsip yang tetap saya pegang walaupun saya disaman RM500 juta sekalipun.
“Saya tidak boleh menerima seorang biseksual sebagai menantu, apatah lagi menerimanya sebagai pemimpin kepada masyarakat,” ujarnya mengulas mengenai saman Anwar Ibrahim terhadapnya.
Selain Datuk Nalla, antara pemimpin PKR dan bekas sahabat baik Anwar Ibrahim yang bersama dalam sidang media tersebut ialah Datuk Seri Zahrain Hashim, Datuk Zulkifli Nordin, Datuk Gobalakrisnan, Anuar Shari, Zahid Mat Arip, Ruslam Kassim dan Ummi Hafilda Ali, adik kandung Azmin Ali.
Dalam masa yang sama, Ummi Hafilda sekali lagi mencabar abang kandungnya, Azmin Ali untuk menyamannya berhubung kenyataan bahawa beliau seorang yang dayus kerana mendiamkan diri walaupun mengetahui bahawa isterinya, Shamsidar Taharin mempunyai hubungan sulit bersama Anwar.
“Saya akan dedahkan segala-galanya, malah ahli keluarga akan turut sama turun padang. Saya berani kata, ada hubungan seks antara Anwar Ibrahim dan Shamsidar. Saya pergi mengintai Datuk Nalla pada 30 Jun 1997, saya rakamkan segala-galanya. Saya cabar Azmin, Anwar dan Shamsidar saman saya,” tambahnya.
Datuk Nalla juga mahu perbicaraan dimulakan segera sebab beliau mahu rakyat Malaysia tahu kebenarannya tentang hubungan sulit Anwar dan Shamsidar.
“Saya disuruh oleh Anwar untuk mengatur pertemuan sulit ini. Saya juga akan beritahu hasil yang diperolehi Shamsidar dan Anwar dari pertemuan sulit ini,” ujarnya yang turut membuat laporan polis di IPD Sentul semalam terhadap dua ugutan yang diterimanya daripada pihak yang tidak dikenalinya agar tidak meneruskan kempen memburukkan Anwar Ibrahim.

Pakatan di Kedah kini berdepan sindrom rebut kerusi MB, jadi calon


Perebutan kuasa di Kedah antara parti-parti dalam pakatan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana gabungan mereka terbentuk atas asas yang rapuh, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
“Mereka (pemimpin pakatan) sedang mengalami sindrom mahu berkuasa, sebab itu mereka berebut untuk menjadi calon,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dalam kalangan pemimpin Pas timbul krisis untuk merebut kerusi Menteri Besar (MB) manakala antara parti dalam pakatan pembangkang pula berlaku perebutan kerusi.
“Malang bagi rakyat Kedah kerana pemimpin pembangkang berebut kuasa yang akan digunakan untuk kepentingan sendiri dan bukannya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat negeri Kedah,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, pakatan yang dibentuk oleh pembangkang itu tidak mempunyai asas setiakawan yang kuat dan hanya berpaksi kepada kepentingan parti masing-masing.
“Sebab itulah apabila mereka berkrisis mahu merebut kerusi di Kedah, saya tidak hairan kerana kita semua tahu pakatan mereka amat rapuh kerana masing-masing ada agenda tersendiri,” katanya.
Beliau berkata, ini berlainan dengan BN kerana walaupun ia dibentuk oleh gabungan pelbagai parti, BN mempunyai asas perjuangan yang jelas serta mempunyai semangat kesetiaan yang kuat.
“Saya berharap krisis demi krisis yang tidak pernah padam dalam Kerajaan Kedah menjadi pembuka mata kepada rakyat untuk menilai parti mana yang layak menerajui negeri ini pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

DR MAHATHIR: SUKAR UNTUK RAMAL KEPUTUSAN PILIHAN RAYA

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, agar sukar untuk meramal keputusan pilihan raya umum akan datang kerana keadaan "agak mengelirukan".

Katanya, pelbagai andaian dibuat mengenai sokongan kepada Barisan Nasional (BN), dengan ada yang mengatakan ia meningkat dan ada yang berpendapat sebaliknya.

"Apa yang pasti bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini. Pembangkang sekarang bukan seperti dulu, keadaan sekarang agak mengelirukan," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya akan menang mudah di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Mengenai kemungkinan sukar bagi BN mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebagai antara penyebab mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak belum mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Dr. Mahathir berkata, beliau tidak boleh hendak membaca apa yang ada dalam fikiran Najib.

Jabatan Penjara Nafi Hoslan Islamkan Banduan


Jabatan Penjara menafikan laporan media bahawa bekas imam Hoslan Husin, yang kini ditahan di penjara berhubung kesalahan menghina mahkamah, telah mengislamkan dua orang banduan di Penjara Kajang.
Hoslan menjalani hukuman penjara satu tahun sejak 8 Mac lalu kerana membaling kasut ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan.
"Ibu Pejabat Penjara telah menghantar pegawai untuk menyiasat laporan oleh media berkenaan kerana mendapati ia bertentangan dengan tatacara dan prosedur Jabatan Penjara.
"Hasil siasatan mendapati laporan (media) adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai," kata Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Penjara, Supri Hashim dalam satu kenyataan media.
Menurut Supri, berasaskan prosedur yang diguna pakai oleh Jabatan Penjara, urusan pengislaman seseorang banduan di penjara dilaksanakan secara teratur dan melalui Jabatan Agama Islam dan bukannya oleh banduan lain.
Misalnya menurut beliau, sebaik sahaja seseorang banduan menyatakan hasrat untuk memeluk Islam, proses pengislaman akan dilaksanakan dengan kehadiran pegawai dari Jabatan Agama Islam, pegawai agama Jabatan Penjara serta saksi-saksi yang diperlukan.
"Ia bagi memastikan pengislaman tersebut dilaksanakan secara teratur," katanya.
Menurut beliau, salah seorang yang dilaporkan diislamkan oleh Hoslan sebenarnya telah memeluk agama Islam pada 2009 iaitu sebelum dia dipenjarakan.
"Manakala seorang lagi banduan sebenarnya dalam proses memeluk agama Islam, yang mana akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam dalam masa terdekat," kata beliau.
Malah dalam kenyataannya, Supri menekankan bahawa "dimaklumkan juga pegawai agama atau pembantu pegawai agama yang menjadi imam kepada banduan di surau-surau di dalam penjara dan bukannya banduan."
Selain itu kata beliau, semua program keagamaan Jabatan Penjara akan dikendalikan oleh penceramah bertauliah atau pegawai agama penjara.
"Kemungkinan penama (Hoslan) di atas hanya menjadi imam di sel di mana dia dia ditempatkan bersama beberapa banduan lain semasa mengerjakan sembahyang pada malam hari.
"Bagi tujuan keselamatan banduan tidak akan dikeluarkan dari sel mereka pada waktu malam. Oleh itu, pada kebiasaannya semasa mengerjakan sembahyang berjemaah dalam sel, pada waktu tersebut  banduan akan bergilir-gilir menjadi imam sesama mereka," katanya lagi.

Raja Kechil Sulong Perak mangkat

Anakanda ketiga Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Raja Kechil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat di kediamannya di Bukit Damansara, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Baginda meninggalkan seorang isteri, Datuk Seri Noraini Jane Ariffin dan tiga anak termasuk seorang lelaki.


Jenazah dikebumikan di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar selepas solat Asar.


Jenazah baginda dibawa ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar 6.30 pagi tadi.

Thursday 29 March 2012

Apa Nak Jadi?

Pembangkang Jual ‘Minyak Auta’ Selepas ‘Buku Jingga’ Tak Laku


Pakatan pembangkang telah memulakan ‘roadshow’ dengan mempropagandakan isu harga minyak dan pendidikan percuma sebagai ‘gula-gula’ baru untuk dijamu kepada para pengundi menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Suraya Yaakob membidas perbuatan tidak bertanggungjawab kepimpinan pakatan terbabit sedangkan realitinya kerajaan memberi sepenuh perhatian kepada barang keperluan rakyat khususnya membabitkan barangan terkawal.
“Inilah sikap pembangkang yang sebenar iaitu akan menangguk di air keruh dengan memperbesarkan hal-hal yang remeh untuk digunakan sebagai senjata bagi menyerang Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedangkan apa yang mereka janjikan dalam Buku Jingga mereka langsung tak mendapat perhatian rakyat,” katanya.
Terbaru, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencanangkan akan menurunkan harga minyak dan memberikan pendidikan percuma  kepada para pelajar sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU ke-13 akan datang.
“Pembangkang tak pernah fikir habis apa yang nak dilakukan sebaliknya mereka akan jadikan hal-hal yang dibangkitkan rakyat sebagai isu sebagaimana PTPTN yang kemudiannya dimanipulasi untuk diberikan pendidikan percuma kepada rakyat apabila berkuasa, dan sekarang berlaku kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa jadi mereka janji pula mahu turunkan harga minyak walhal kerajaan telah tegaskan harganya tidak akan dinaikkan buat masa ini biarpun subsidi kerajaan bertambah.
“Dulu mereka promosikan Buku Jingga yang di dalamnya terkandung macam-macam janji-janji tidak logik pembangkang tetapi rakyat tahu membuat penilaian dan ia tidak mendapat sambutan lantas sekarang ini mereka sebut perkara-perkara yang tidak masuk akal sebagaimana pada PRU-12 dan kita lihat sendiri apabila berkuasa langsung tak boleh ditunaikannya.”
Dilaporkan, baru-baru ini di Lukut, Port Dickson, Anwar sekali lagi telah berjanji untuk menurunkan harga minyak dan akan beri pendidikan percuma kepada seluruh rakyat jika beliau jadi Perdana Menteri selain menyalahkan BN dengan tuduhan menzalimi rakyat. – Sumber MediaUMNO

‘Jangan tunduk tuntutan Dong Zong’

Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) disifatkan amat biadab dan begitu berani mencabar kerajaan dengan pelbagai tuntutan yang tidak masuk akal dan melampau.

Pensyarah Universiti Per­tahanan Nasional Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, walaupun pergerakan komunis sudah tiada, pemikiran mereka yang dipanggil ultra kiasu ini masih tebal.

Menurutnya, kelompok ini akan menuntut sebanyak-banyaknya walaupun menyedari kerajaan tidak akan tunduk, namun akhirnya pembe­rian sedikit oleh kerajaan itulah kemenangan terbesar buat mereka.

“Kerajaan patut sudah tahu strategi ini. Jangan takut dengan ugutan-ugutan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang semakin dekat. Biar kalah tetapi bermaruah, daripada menang tetapi tergadai.

“Jangan terlalu harap undi daripada kelompok ini hingga maruah tergadai. Pentingkan dahulu agenda kebangsaan. Jika Kementerian Pelajaran tunduk kepada tuntutan ini, saya tidak tahu hendak kata apa lagi,” katanya.

Katanya, Dong Zong langsung tidak pernah risau sebahagian produk keluaran sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang langsung tidak menguasai dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

“Jika mereka benar-benar ikhlas sudah tentu agenda kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dibincangkan atau dibawa sekali. Ini tidak, semuanya mesti Cina, Cina dan Cina.

“Malah mereka ini menutup kedua belah mata. Masalah yang dihadapi oleh Kementerian Pelajaran langsung tidak mahu diambil tahu. Mereka hanya tahu hak mereka mesti dipenuhi,” katanya.

Mohd Ridhuan berkata, kerajaan perlu tahu sebanyak mana pun pemberian kepada kelompok ini, ultra kiasu tidak akan mengundi kerajaan.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ahmad Atory Hussain berkata, kekurangan guru di SJKC kerana kesilapan mereka sendiri yang tidak mengembangkannya.

Katanya, kerajaan sepatutnya tiada masalah menambah guru-guru di SJKC namun tuntutan yang dibuat Dong Zong amat keterlaluan.

“Walaupun tuntutan mereka melampau, namun secara perlahan-lahan kerajaan memenuhinya juga,” katanya.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Ahmad Sauffiyan Abu Hasan pula berkata, kerajaan seharusnya menimbang tuntutan Dong Zong ini secara terperinci demi manfaat bersama.

“Saya memahami aspirasi Dong Zong ini, mereka berhak menuntut pelbagai perkara daripada kerajaan, tetapi tuntutan tersebut haruslah bersyarat,” katanya.

FAKTA ATAU AUTA: PUNGGUNG BESAR BERMAKNA ORANG ITU SIHAT


punggung kim kardashian
adalah paling seksi di dunia dan menjadi idaman setiap wanita. 


Bukan semua wanita mempunyai bentuk punggung yang besar, ada yang tak suka dan ada yang sengaja membesarkan punggung sendiri untuk kelihatan seksi. Namun menurut kajian dari Oxford University, punggung bersaiz besar adalah baik untuk kesihatan. Lemak yang berada pada bahagian bawah tubuh dapat mengurangkan kadar kolesterol buruk(LDL) dan meningkatkan kolesterol baik(HDL) yang melindungi tubuh daripada pembekuan pembuluh darah.

Menurut kajian tersebut, bahagian tubuh dibawah badan adalah baik untuk menyimpan lemak iaitu di paha dan punggung, bukan pada bahagian perut. Orang dengan punggung serta paha besar memiliki daya senyawaan inflamasi yang disebut sitokin. Sitokin adalah senyawaan kimia yang terlibat dalam tindakbalas tubuh terhadap jangkitan dan memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit jantung dan diabetes. 

Jangan sedih bila punggung anda selalu menjadi perhatian lelaki, anda sebenarnya seorang yang mempunyai tubuh badan yang sihat...hehe...

Guan Eng hilang sabar dengan Shaik Hussein

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Ketua Pemuda Umno negeri, Shaik Hussein Mydin selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat berkenaan isu Bayan Mutiara.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau sudah tidak boleh bersabar dengan sikap Shaik Hussein dalam isu berkenaan selain tindakannya yang cuba mengelirukan rakyat dengan pelbagai fakta tidak tepat.

Guan Eng berkata, Shaik Hussein sekali lagi menuduh beliau menjual tapak masjid dan sekolah yang diluluskan dalam pelan pembangunan asal Bayan Mutiara kepada pihak pemaju.

Menurutnya, tuduhan itu melampau kerana beliau bukan sahaja cuba mengapi-apikan sentimen perkauman, malah cuba mencetuskan isu berkaitan agama.

“Ini bukan kali pertama. Sebelum ini, dia pernah menuduh kerajaan negeri menjual tanah Bayan Mutiara tidak melalui tender terbuka walaupun kerajaan negeri telah membuktikan bahawa penjualan tanah itu dibuat secara tender terbuka.

“Dan sekarang dia berbohong lagi dengan mendakwa saya menjual tapak masjid di kawasan itu. Ini fitnah yang melampau dan saya telah arahkan peguam untuk mengkaji perkara ini supaya kita boleh ambil tindakan undang-undang ke atasnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dalam pada itu, Guan Eng yang diminta menjelaskan mengenai status sebenar tapak masjid dan sekolah itu bagaimanapun enggan memberi sebarang komen dan berkata hanya akan memberi penerangan mengenai perkara itu dalam mahkamah nanti.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Shaik Hussein mendakwa Guan Eng telah menjual tapak masjid dan sekolah di kawasan pembangunan asal Bayan Mutiara.

Shaik Hussein berkata, mengikut pelan asal Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) seperti yang diluluskan oleh MPPP pada 30 Oktober 2006, pelan kebenaran merancang fasa satu Bayan Mutiara mempunyai pelbagai jenis perumahan turut merangkumi pembinaan kompleks penjaja, balai polis, pusat komuniti, tapak sekolah dan tapak masjid.

Namun, beliau berkata, selepas kerajaan negeri menjual tanah seluas 41.6 hektar itu dengan harga RM1.1 bilion secara rundingan kepada Syarikat Ivory Group, projek pembangunan itu tidak termasuk dengan pembinaan tapak masjid dan sekolah.

Wednesday 28 March 2012

2 lagi wanita mangsa simbah asid di Rawang


Seorang wanita dan seorang gadis menjadi mangsa simbahan asid oleh dua lelaki ketika menunggu bas di Batu 16, Rawang, dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, S.Rani, 46, dan Nuraqilah Osman, 16, telah disimbah asid oleh seorang daripada suspek yang berjalan kaki.
Beliau berkata, suspek telah meragut rantai leher Rani sebelum melarikan diri ke kawasan berhampiran.
"Semasa melarikan diri, seorang daripada suspek itu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah wanita itu yang turut mengenai mangsa kedua menyebabkan belakang badannya melecur," katanya dalam satu sistem pesanan ringkas malam ini.
Abdul Rahim berkata, Nuraqilah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang manakala Rani, yang cedera di muka, leher, tangan serta dada, masih dirawat di hospital sama.
"Mangsa tidak dapat mengecam identiti kedua-dua suspek kerana semasa kejadian, keadaan gelap dan pelakuan suspek terlalu pantas," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Mai Pikiaq Pi: Tak abih-abih kes simbah asid nie... Nampak gayanya kes ini semakin menjadi-jadi... Pihak polis dan masyarakat perlu mengambil peranan sewajarnya dalam mengatasi masalah yang semakin meruncing ini... Kerajaan perlu menguat kuasa undang-undang yang lebih tegas ke atas pelaku kes simbah asid ini... Selain itu, kerajaan di bawah KPDNKK perlu menghadkan penjualan asid di tempat terbuka...

ADA APA DENGAN BANGSA

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang masih mengagungkan bangsa, tanpa mengutamakan kepentingan Islam.

Beliau menyifatkan tindakan masyarakat mengagungkan-agungkan bangsa seolah-olah terikut-ikut dengan pendekatan bangsa Yahudi yang mahukan masyarakatnya dihormati dengan mengetepikan hak orang lain.

“Seolah-olah pendekatan ini telah masuk dan menyerap dalam masyarakat orang Islam, setiap bangsa mengejarkan kehormatan masing-masing dan menyebabkan orang lupa tentang Palestin," katanya kepada pemberita selepas menyambut kunjungan konvoi Superbike Pantai Timur di kediamannya di Pulau Melaka, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood dan Yang Dipertua Iqram Kota Bharu, Dr. Mohd Sharani Mohd Naim.

Konvoi tersebut diadakan untuk mempromosikan perarakan keamanan yang dianjurkan secara besar-besaran di Asia, Afrika, Eropah, Amerika Syarikat untuk bergerak ke Palestin dan negara-negara jiran seperti Mesir dan Jordan.

Kemuncaknya adalah perhimpunan aman besar-besaran pada 30 Mac serentak dengan perarakan di Amman dengan 131 superbikes akan membawa bendera Palestin dan berkumpul di replika Baitulmaqdis.

Sambil menyokong perarakan tersebut, Nik Aziz berkata, Pas akan terus mempertahankan Islam sebagai asas perjuangan dan sama sekali tidak akan terikut-ikut dengan pihak lain yang lebih mementingkan bangsa daripada Islam.

“Perkara yang tidak betul yang menimpa umat Islam di seluruh dunia, termasuk orang Arab sendiri. Arab Mesir juga sedemikian, tidak merasakan sensitif terhadap nasib Arab Palestin kerana bukan daripada bangsanya, Arab Mesir,” katanya.