Nuffnang Ads

Thursday 27 June 2013

Bukan Sindrom Penat Berpolitik Tapi Sudah Penat Layan Karenah Anwar


Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ada pemimpin tertinggi pembangkang yang kini mengalami  sindrom ‘penat’ berpolitik dibidas oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Fairus Khairuddin, yang berkata bahawa kepimpinan pakatan yang lain bukannya penat berpolitik, tetapi sebenarnya mereka kini  penat melayani kerenah Ketua Pembangkang tersebut.
“Bagi saya, pemimpin-pemimpin pakatan yang lain, terutamanya pemimpin Pas bukannya penat berpolitik, tetapi mereka sudah penat melayani kerenah Anwar yang tidak habis-habis menggunakan politik jalanan.
“Saya kira bukan kepimpinan Pas saja yang sudah penat, tetapi rakyat di negara ini juga sudah penat dengan sikap Anwar yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan PRU ke 13, biarpun beliau sendiri tidak dapat buktikan wujudnya penyelewengan sepertimana yang didakwa pakatan,” tegasnya di sini hari ini.
Kenyataan Anwar itu menurutnya mungkin berdasarkan perhimpunan black 505 yang dianjurkannya di Padang Merbok baru-baru ini, tidak mendapat sambutan bahkan Presiden Pas sendiri tidak hadir di dalam perhimpunan tersebut.
“Ini membuatkan Anwar merasakan bahawa bahang penolakkan SPR yang cuba dicetuskannya sudah mulai mahu padam. Anwar mungkin menganggap bahawa pemimpin pakatan lain sudah tidak mempunyai stamina dan mulai merasa penat dalam memperjuangkan agenda politik mereka.
“Tetapi apa yang beliau sebenarnya tidak sedar bahawa ramai pemimpin dan rakyat yang sudah penat melihatkan kerenah beliau yang tidak habis-habis mengajak rakyat berdemonstrasi,” ujarnya.
Tegasnya lagi, Anwar sepatutnya akur dengan takdir yang telah ditentukan Allah dan meneruskan khidmatnya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk membela nasib rakyat yang diwakilinya.
“Sebagai orang Islam, Anwar perlu akur pada takdir. Apa yang dilakukan oleh Anwar hari ini jelas bercanggah dengan syariat Islam, biar apa pun alasan dan matlamatnya.
“Janganlah kita  menolak dan menutup kebenaran di depan mata semata-mata hanya kerana nafsu amarah yang menyelubungi jiwa kita. Jangan korbankan keringat dan masa rakyat untuk kepentingan politik peribadi semata-mata,” ujarnya.

SBY: Mohon maaf bukan kerana desakan

Presiden Republik Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) menolak dakwaan permintaan maafnya sebelum ini atas desakan Singapura dan Malaysia ekoran kejadian jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di Riau.

Dalam sidang media di Lapangan Udara Halim Perdana Kusumah, Indonesia hari ini, SBY menegaskan Kerajaan Indonesia tidak takut pada kedua-dua negara tersebut.

"Saya harus tegaskan kalau perkara jerebu ini konteksnya jelas tapi kalau dibawa ke isu lain, saya perlu tegaskan kita tidak pernah ada kompromi," katanya dipetik dari VIVAnews.

SBY akui kesal dengan dakwaan di media sosial yang disifatkan keliru dengan permohonan maafnya baru-baru ini.

Menurutnya, permintaan maaf tersebut bukanlah berlebihan untuk dilakukan.

Dalam perkembangan lain, SBY berharap akan terus dapat menjaga hubungan baik dengan Singapura dan Malaysia.


Mai Pikiaq Pi: Masalah jerebu masih berterusan setiap tahun jika tiada pendekatan yang tegas pihak berkenaan.....

Pemilihan UMNO Langkah Utama Kepada Pengukuhan Parti Berdepan PRU14


Manifestasi perubahan dalam UMNO bukanlah semata-mata dengan transformasi yang dilaksanakan dalam pemilihan parti sebagaimana yang diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan melibatkan lebih 150,000 perwakilan UMNO daripada 191 bahagian di seluruh negara, kata Setiausaha Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim.
Katanya, pendekatan paling penting bagi UMNO adalah ke arah pengukuhan parti dari semua peringkat yang bermula di akar umbi membabitkan cawangan, bahagian hinggalah ke peringkat pusat.
“Kekuatan UMNO akan dapat menyemai sokongan bukan sahaja di kalangan ahli-ahlinya tetapi juga rakyat Malaysia yang pelbagai kaum juga turut berpaut kepada keutuhan UMNO sebagaimana usianya 67 tahun dan menjadi teraju kemerdekaan dengan mentadbir negara ini sehingga kini,” katanya.
Katanya, kekuatan UMNO akan memberi impak besar kerana parti ini adalah payung yang turut menjadi teduhan kepada masyarakat pelbagai kaum, berbilang agama dan budaya di negara ini.
“Apabila pemilihan parti membuka laluan kepada anggota yang lebih ramai untuk memilih dan terlibat secara langsung dalam menentukan kepimpinannya maka ia akan turut memberi laluan kepada golongan muda yang akan menjadi pelapis masa hadapan.
“Melalui keterbukaan ini, proses meremajakan kembali parti berlangsung dengan menjadikan parti ini sentiasa sesuai dengan kehendak generasi hari ini yang tentunya menjadi bakal pemimpin masa hadapan.”
Terang beliau, UMNO tidak mengambil endah sikap segelintir pihak termasuklah pakatan pembangkang yang seringkali menimbulkan permasalahan dengan tujuan untuk melengahkan pelbagai pelaksanaan dan janji-janji untuk rakyat.
“UMNO tidak perlu berlengah atau terpengaruh melayan manipulasi dan provokasi pembangkang sebagaimana himpunan ‘blackout 505’, ‘readbean army’ atau apa-apa sahaja yang sememangnya sengaja diwujudkan bagi mengalihkan tumpuan pemimpin dan rakyat.
“Fokus utama dalam parti adalah kepada pengukuhan UMNO dan pemilihan perlu menjadi agenda terbesar dalam mempersiapkan jentera dengan kekuatan maksimum bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).”
Jelas beliau, biarpun dalam PRU13, kedudukan UMNO menjadi bukti bahawa sokongan rakyat terus padu berdasarkan pertambahan bilangan kerusi daripada 79 kepada 88 tetapi ia perlu terus diperkukuh.
Sedang berlangsung sekarang ini siri jelajah penerangan berkaitan pemilihan UMNO ke tiap-tiap negeri dan dijangka akan berakhir penghujung bulan ini sementara Majlis Tertinggi telah menetapkan Persidangan Cawangan bermula pada 15 Julai 2013 sehingga 31 Ogos 2013 dengan persidangan peringkat bahagian dan tarikh pemilihan akan ditentukan kemudian.
Mai Pikiaq Pi: UMNO terus maju dan menjadi parti unggul orang Melayu!

Wednesday 26 June 2013

Jerebu: MCA cadang pelan tindakan kecemasan


MCA hari ini mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu pelan tindakan kecemasan ekoran jerebu yang melanda negara.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pelan tersebut perlu diwujudkan supaya koordinasi tindakan dalam menangani masalah jerebu secara komprehensif.

Menurutnya, pelan tersebut juga akan berfungsi sebagai laporan perkembangan semasa jerebu secara konsisten untuk makluman umum bagi memudahkan tindakan yang akan diambil.

"Kerajaan perlu tengok perkara ini dengan menyeluruh tanpa ada tangguhan, perlu diselesaikan segera.

"Ia melibatkan banyak pihak termasuk Jabatan Meteordologi, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Kementerian Kesihatan dan juga pihak lain tidak terkecuali Kementerian Pelajaran.

"Ini patut dibuat secara komprehensif, tapi saya lihat ini tidak ada koordinasi yang baik," katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Difahamkan, Ka Siong telah menghantar usul mengenai jerebu pada Ahad lalu, yang turut meminta ahli Parlimen membahaskan isu jerebu dan tindakan lanjut.
Bagaimanapun, Yang di Pertua Dewan Rakyat (Speaker) menolak usul tersebut dengan alasan pihak Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri G. Palanivel akan berjumpa dengan Kerajaan Indonesia pada hari ini.
Dalam pada itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme baru supaya dapat menyelesaikan isu tersebut dengan berkesan.
"Kita perlu wujudkan mekanisme baru untuk Malaysia berunding dengan Indonesia agar ada tindakan yang cepat sekiranya masalah seperti ini berulang.
"Ini bukan pertama kali berlaku, ia masih berulang.
"Tindakan mengenal pasti punca kebakaran juga perlu diambil dan jika syarikat yang didakwa terlibat perlu dihukum," katanya.

Mai Pikiaq Pi: Masalah jerebu akan tetap berulang jika Indonesia masih tidak melaksanakan pelan tindakan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuat pembakaran secara terbuka....

Pembangkang Usah Lagak Hero, Cermin Diri Sebelum Salahkan Kerajaan Isu Jerebu


Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah membidas sikap pembangkang yang cuba berlagak hero menyalahkan kerajaan terhadap isu jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.
Ujarnya, pembangkang hanya tahu mempolitikkan semua perkara dan sentiasa mencari jalan untuk menyalah seterusnya merosakkan imej Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedangkan mereka sendiri gagal menyelesaikan banyak perkara termasuk isu dalaman parti mereka sendiri.
“Ini jelas menunjukkan bahawa pembangkang sebenarnya telah kehabisan modal sedangkan masalah jerebu ini bukannya disebabkan BN malah ia melibatkan negara lain. Kita mana boleh masuk campur urusan pentadbiran negara lain.
“Saya lihat menyalahkan kerajaan kerana isu jerebu juga adalah sebahagian daripada cara pembangkang untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada membincangkan isu mengenai kegagalan mereka berhimpun di Padang Merbok serta mengelakkan rakyat daripada membincangkan sikap hipokrit mereka yang akhirnya ke Parlimen untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa pembangkang sebenarnya sama sekali tidak layak untuk mengkritik dan menyalahkan kononnya kerajaan lambat bertindak berkaitan masalah ini.
Tuduhan pembangkang ini tegas beliau lagi sama sekali tidak benar kerana kerajaan telah mengambil beberapa tindakan dengan membuat hebahan kepada rakyat supaya mengambil langkah-langkah terbaik melalui media rasmi kerajaan.
Kerajaan juga tambahnya bertindak melalui kementerian pendidikan untuk memberi cuti dan sebagainya.
“Malah langkah kerajaan mengisytiharkan darurat di negeri selatan tanah air serta tindakan Perdana Menteri sendiri menghubungi pemimpin Indonesia adalah bukti tindakan dilakukan kerajaan.
“Kerajaan juga menawarkan pesawat khas kepada Indonesia bagi membantu memadam dan mengawal kebakaran yang terjadi. Mereka sepatutnya lihat kepimpinan mereka sendiri sebelum menuding jari menyalahkan kerajaan. Dalam keadaan jerebu yang mengundang penyakit ini, mereka pula menggalakkan penyokong mereka ke jalan raya.
“Adakah ini satu sikap yang bertanggungjawab. Adakah mereka mengambil sebarang iniasatif di negeri jajahan mereka yang teruk dilanda jerebu? Apa yang mereka telah lakukan…” soalnya lagi.
Mai Pikiaq Pi: Pemimpin pembangkang hanya pandai menghasut tetapi bila di jalanan, mereka tidak kelihatan.... hanya pengikut sahaja yang terlompat-lompat macam beruk kena panggang!

Tuesday 25 June 2013

Pemilihan Parti Buktikan UMNO Jauh Lebih Matang Berbanding PKR, DAP dan Pas


Keterbukaan UMNO yang akan mengadakan pemilihan parti tahun ini menjadi bukti bahawa ia jauh lebih matang berbanding parti-parti dalam pakatan pembangkang iaitu PKR, DAP dan Pas, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Shamsuddin Yahya.
Katanya, apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan pemilihan pucuk pimpinan tahun ini akan menggunapakai pindaan perlembagaan baru UMNO bermakna semua peringkat termasuk di cawangan akan terlibat membuat pilihan kepimpinan tertinggi parti.
“Ini amat berbeza dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang yang mana ada diantaranya lebih berkuasa daripada kedudukan presiden parti sebagaimana Anwar Ibrahim yang lebih banyak membuat keputusan berbanding Wan Azizah.
“Lebih dari itu, konsep dalam PKR juga menunjukkan bahawa orang yang tidak dipilih mempunyai kedudukan dan kuasa yang lebih besar berbanding dengan anggota parti yang menang dalam pemilihan kerana Anwar sendiri tidak bertanding,” katanya.
Jelas beliau, ini adalah bukti sebenar bagaimana sikap hipokrit yang wujud dalam parti tersebut sedangkan pemimpin terbabitlah yang banyak mencanangkan soal keadilan dan pemilihan yang telus termasuklah mempertikaikan keputusan dalam pilihan raya baru-baru ini juga.
“Sikap berpura-pura pakatan pembangkang diterjemah dengan mempertikaikan keputusan pilihan raya iaitu menerima kemenangan yang berpihak kepada mereka sedangkan apabila Barisan Nasional (BN) yang mendapat kuasa maka ia dimanipulasi dengan dikatakan berlaku penipuan dan sebagainya.”
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi turut membandingkan pemilihan UMNO yang dianggap sangat konsisten berbanding dengan DAP juga.
“Pemilihan Jawatankuasa Pusat DAP menimbulkan kontroversi dengan pemimpin atasannya sendiri mengakui berlaku pengiraan undi walhal anggota yang terlibat tidak seramai dalam pilihan raya pun, dan sehingga kini masih diperkatakan.
“Begitu juga dengan parti Pas yang banyak kecelaruan dan menimbulkan persoalan berkaitan sikap pemimpinnya yang tidak tegas termasuk sanggup menukar prinsip yang menjadi idealogi mereka.”
Ujar beliau, dengan perubahan yang dilaksanakan oleh UMNO dalam pemilihan, secara tidak langsung menunjukkan bahawa proses transformasi berlaku dan parti tersebut membuka pintu seluas-luasnya kepada ahli-ahlinya.
“Mereka yang terlibat ini bukan saja berperanan sebagai pemilih tetapi turut berpeluang untuk menawarkan diri sebagai calon pemimpin namun tentunya mana-mana pihak yang mahu bertanding akan ‘ukur baju di badan sendiri’.
“Pilihan raya yang baru berlangsung juga menjadi pengukur bahawa UMNO terus mendapat sokongan daripada bangsa Melayu dan sokongan ini dikembalikan kepada rakyat dalam kuasa untuk menentukan siapakah pemimpin tertinggi parti.”
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, bilangan kerusi UMNO telah bertambah daripada 79 kepada 88.
“Teraju kepimpinan UMNO telah aplikasi mengutamakan rakyat dan tentunya pemilihan yang dibuat dengan penglibatan ratusan ribu ahli-ahli parti juga dibuat atas kepentingan rakyat dalam hasrat negara ini menuju kepada negara maju sebagaimana Wawasan 2020.”
Beliau turut memaklumkan bahawa hasil mesyuarat bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dan 25 bahagian di negeri terbabit, mereka sepakat menyokong penuh usaha Presiden parti dan pelaksanaan pemilihan tetapi mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Lebih 150,000 perwakilan UMNO daripada 191 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti selain anggota Pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan membabitkan pertambahan 100,000 bagi setiap sayap.
Mai Pikiaq Pi: Kepemimpinan Najib menunjukkan transformasi dalam Umno....

Sesi Angkat Sumpah Bukti Pembangkang Iktiraf Keputusan PRU13


Kehadiran semua 89 anggota Parlimen pembangkang pada majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat hari ini menunjukkan sistem demokrasi di negara ini diperakui pembangkang di sebalik laungan tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dengan itu, pembangkang pada masa depan tidak sepatutnya mempertikaikan lagi sistem pilihan raya atau demokrasi negara.
“Proses ini (angkat sumpah) menandakan sistem demokrasi di negara kita sudah diamalkan dengan baik, dan kitapun, termasuk pembangkang, telah angkat sumpah taat setia, mematuhi undang-undang dan menghormati Perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini.
Ditanya kekecohan yang dicetus segelintir pemimpin pembangkang sewaktu proses pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat pagi ini, anggota Parlimen Semporna, Sabah itu berkata perkara yang dipertikai hanyalah kecil dan sengaja diperbesarkan.
“Kita selaku anggota Parlimen sepatutnya ada peradaban dan faham aturan mesyuarat mana yang boleh, mana yang tidak, takkanlah kita terlampau ‘rigid’ sangat dalam cara perjalanan mesyuarat, sedikit perkataanpun nak dijadikan pertikaian dia (pembangkang),” katanya.
Acara angkat sumpah melibatkan 222 anggota Dewan Rakyat itu didahului Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diikuti anggota Dewan Rakyat lain, termasuk 89 daripada gabungan pembangkang PAS-DAP-PKR.
Komposisi Dewan Rakyat kali ini terdiri daripada 133 anggota Parlimen Barisan Nasional selain 38 dari DAP, PKR (30) dan PAS (21).
Turut menyokong kenyataan Mohd Shafie ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang menjelaskan prosedur pemilihan Speaker dan timbalannya melalui undi bersurat sudah dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 4.
“Undi bersurat bermakna kita kena tandatangan sebab nanti sesiapapun boleh undi, jadi bila kita undi kita tanda tangan, bererti kena tulis nama kitalah untuk pastikan tandatangan itu tandatangan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menasihatkan semua wakil rakyat agar mematuhi lafaz sumpah yang diucap pada sesi mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini.
“Keputusan pilihan raya telah dibuat malah sudah sampai masanya semua wakil rakyat datang bersidang dan lupakan isu-isu politik dan sebaliknya menunjukkan komitmen serta semangat mereka untuk menyumbang kepada rakyat,” katanya.
Abu Zahar berkata semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik seharusnya menggunakan persidangan kali ini sebagai platform untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berharap anggota Dewan Rakyat pada kali ini akan berhujah dengan lebih bijaksana selaras dengan peringatan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
“Beliau telah memberi peringatan awal supaya Parlimen Malaysia menjadi contoh dan anggota Parlimen yang baharu dan lama dijadikan ikutan ketika sesi perbahasan,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Tahniah kepada semua wakil rakyat yang baharu angkat sumpah....

'Pemimpin Bertepuk Tampar' Di Dalam, Penyokong Di Luar Berguling Meroyan


Gabungan NGO Islam berpandangan positif melihat dua pemimpin yang berlainan ideologi politik dan citarasa duduk semeja dan makan bersama iaitu di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah selesai upacara mengangkat sumpah ahli-ahli Dewan Rakyat pada pagi 24 Jun, semalam.
Presiden Kelab Wartawan Muda, Dzulkarnain Taib berkata, ini adalah satu senario yang tidak terbayang boleh berlaku oleh penyokong-penyokong pembangkang yang hanya beberapa jam sebelum itu berguling-guling di atas jalanraya di hadapan bangunan Parlimen dan bertempur dengan pihak keselamatan.
“Akhirnya sejumlah daripada penyokong tersebut ditangkap pihak polis kerana cuba merempuh masuk ke kawasan Parlimen. Mereka yang terlibat sebelum itu sanggup bermalam dalam khemah di Padang Merbok dalam keadaan cuaca yang panas dan berjerebu yang amat merbahaya kepada kesihatan.
“Ini semuanya tidak dipedulikan demi pengorbanan dan keyakinan kepada pemimpin agung mereka, Anwar. Malah sehari sebelum itu juga, pemimpin terhebat mereka berucap berapi-api di atas pentas di Padang Merbok menghasut rakyat menentang kerajaan malah `Ayatollah’  Husam Musa telah mengeluarkan fatwa syahid kepada siapa yang rela mengadai nyawa demi rasa sayang yang mendalam terhadap Anwar,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, ada dalam kalangan penyokong-penyokong pembangkang yang begitu taksub dan ekstrem sanggup mendirikan pusat pendaftaran bagi mereka yang mahu menjadi pengebom berani mati.
Begitulah hebat aura dan tarikan persona Anwar dengan dibantu oleh `ulama tahi kucing’ seperti Husam yang mengabsahkan segala tindakan pembangkang walaupun ia bertentangan sekali dengan undang-undang mahupun logik dan akal manusia, ujar beliau.
“Sementara penyokong ‘Khalifah’ Anwar berhempas pulas menahan lapar dan dahaga di bawah matahari terik, Anwar pula bersenang-senang, gelak ketawa, riang ria bersama pemimpin negara yang sebelumnya dilaknat, dikutuk, dimaki, difitnah dan dicerca dengan pelbagai dakwa-dakwi.
“Anwar nampak seolah-olah telah melupakan segala apa yang telah beliau hemburkan untuk memboikot majlis angkat sumpah dan persidangan Parlimen. Malangnya topeng yang dipakai ini jarang boleh dilihat oleh penyokong-penyokongnya yang memilih untuk membontotinya membabi buta dengan menelan apa saja yang keluar dari mulut pemimpin mereka.
“Mungkin mereka juga akan mempertikaikan kesahihan gambar yang menunjukkan Anwar makan tengahari dengan Perdana Menteri dengan mengatakan ‘rupa macam dia tapi bukan dia’,” katanya lagi.
Mai Pikiaq Pi: Kenapalah pengikut-pengikut Anwar sanggup ditipu oleh Anwar untuk kesekian kali... 

Agong: Terima keputusan PRU13

Yang di-Pertua Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah menitahkan supaya semua pihak khususnya pemimpin politik agar menerima dan menghormati keputusan PRU13 lalu dengan hati terbuka.

Baginda juga bertitah supaya ahli Parlimen yang dipilih rakyat berganding bahu dan menumpukan sepenuhnya perhatian dalam membangunkan negara khususnya berkhidmat untuk rakyat.

"Beta menyeru semua pihak terima dan hormati keputusan PRU13 yang diadakan baru-baru ini sebagai sistem demokrasi dan berganding bahu bagi negara melangkah kehadapan.

"Beta percaya komitmen kerajaan dalam merealisasi agenda transformasi dalam bidang keberhasilan nasional dan ekonomi dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat," titah baginda ketika menyampaikan ucapan perasmian Pembukaan Dewan Rakyat bagi penggal pertama kali ke-13, di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.


Mai Pikiaq Pi: Kerajaan yang dipilih rakyat akan terus merealisasikan agenda transformasi...

BN WUJUDKAN MAKMAL POLITIK UNTUK JANA PERUBAHAN


Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN telah memutuskan untuk mengadakan makmal politik yang akan diadakan pada bulan Julai akan datang.
Ujarnya, ini adalah berdasarkan apa yang telah berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu dan mengambil kira senario pencapaian BN dan aliran trend pengundian ketika ini.
Maka jelas beliau intipati makmal politik ini kelak akan membincangkan perubahan yang perlu dilakukan dalam BN.
“Perubahan tersebut mungkin dalam bentuk struktur, branding (penjenamaan), dasar atau ketiga-tiganya sekali. Ini adalah berdasarkan apa yang telah dapat dilihat semasa PRU-13 yang lalu yang menyaksikan lanskap politik yang telah berubah.
“Perubahan ini adalah untuk kejayaan BN pada masa hadapan. Makmal politik ini juga akan disertai oleh tiga wakil daripada setiap parti komponen, wakil NGO, tokoh-tokoh dan juga wakil belia,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN di PWTC hari ini.
Tambah beliau lagi, makmal politik ini akan mengambil kira semua cadangan yang dikemukakan dan ianya akan dipertimbangkan sebaik mungkin untuk diterapkan dalam parti BN.
Mai Pikiaq Pi: Jana perubahan untuk kelangsungan politik parti... 

Monday 24 June 2013

Anwar, Pemimpin Pembangkang Memalukan Diri Sendiri


Kesediaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang lain untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada hari  ini membuktikan mereka bukan saja seorang hipokrit malah tidak mempunyai pendirian dalam  apa yang pernah diucapkan sebelum ini.
Sambil menyifatkan tindakan tersebut memalukan diri sendiri, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad juga berkata, pemimpin pembangkang lain terutama Anwar juga  sebagai seorang pemimpin yang tidak berintergriti, sedangkan sebelum ini begitu lantang tidak menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, apabila menuduh sistem pilihan raya negara ini sebagai tidak betul.
“Inikah sikap seorang pemimpin, pemimpin yang tidak mempunyai pendirian, boleh berubah dalam sekelip mata dalam keputusan yang dibuatnya, apakan orang seperti Anwar ini layak untuk menjadi seorang pemimpin yang bercita-cita tinggi untuk menjadi Perdana Menteri.
“Pemimpin seperti ini hanya pandai bercakap sahaja tetapi tidak mampu untuk melaksanakan apa yang dinyatakan, bercakap hanya untuk dapat sokongan, memang mudah untuk bercakap kerana tidak perlu mempunyai modal, tetapi sebagai seorang pemimpin, seharusnya ada pendirian dan prinsip dan hanya pandai bercakap tapi tidak mampu untuk mengotakannya”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Anwar untuk hadir di majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, sedangkan sebelum ini dia menggesa supaya Ahli Parlimen memboikot majlis berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan PRU13.
Menurutnya, apa yang dilakukan oleh itu hanyalah lebih kepada sandiwara atau lakonan untuk mengaburi mata rakyat supaya menyokong dan bersamanya menyertai perhimpunan haram yang diadakan si seluruh negara sebagai tanda bantahan kepada keputusan PRU13.
“Itu semua adalah lakonan dan sandiwara Anwar untuk mengaburi rakyat, Anwar terpaksa menelan semula apa yang pernah dinyatakan apabila menyedari perancangan tidak mendapat sambutan, dan jangan terperanjat jika dia memberi pelbagai alasan terhadap apa yang dilakukan itu.
“Pembohongan sudah menjadi mainan kepada pembangkang dan Anwar, sebab itu mereka berani bertindak apa sahaja walaupun merubah pendirian yang dibuat sebelum ini, tindakan Anwar untuk hadir apabila menyedari ketidak hadirannya boleh menyebabkan kehilangan haknya sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Nawawi berkata, jika benar pembangkang tidak menerima keputusan pilihan raya, sudah pasti semua Ahli Parlimen pembangkang tidak akan hadir pada majlis berkenaan, tetapi kesediaan untuk menghadiri majlis berkenaan membuktikan mereka menerima keputusan pilihan raya kecuali Anwar.
Mai Pikiaq Pi: Anwar dari dulu hingga sekarang memang suka bersandiwara....

Tindakan Peserta Perhimpunan Berkhemah Ketika Jerebu Perbuatan Bodoh


Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengutuk tindakan peserta perhimpunan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang berkhemah di kawasan Padang Merbok ketika negara diselubungi jerebu dan menyifatkannya sebagai perbuatan tidak munasabah serta sia-sia.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa sepatutnya bertindak lebih tegas terhadap kumpulan berkenaan kerana kelonggaran undang-undang yang diberikan kepada kumpulan itu hanya akan melahirkan persepsi bahawa undang-undang negara adalah lemah.
“Pendapat ini juga disuarakan NGO lain yang bersama PPIM…ini adalah perbuatan yang paling bodoh, terutama kalau kita tengok keadaan cuaca sekarang, dengan jerebu lagi.
“Kita akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara ini, kerana kita takut rakyat pada masa hadapan akan terus tidak endah kepada undang-undang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, sepuluh NGO dengan 240 anggota mendirikan 60 khemah dan bermalam di Padang Merbok, selepas perhimpunan Black 505 untuk menyatakan bantahan mereka terhadap cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan PRU13.
Setakat pukul 4.30 petang, sebahagian kumpulan yang berkhemah di kawasan itu bersurai setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis dua jam supaya mengosongkan kawasan tersebut, manakala selebihnya masih berdegil dan tidak berganjak.
Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Mohd Hafiz Ariffin berkata, tindakan protes dengan berkhemah tidak patut diadakan kerana Malaysia yang menuju ke arah Wawasan 2020 sepatutnya mempunyai rakyat yang lebih bertindak matang dan berganding bahu sekiranya berhadapan masalah.
Mohd Hafiz turut mengajak generasi muda bertindak lebih rasional dan praktikal demi masa hadapan negara dan tidak menjadi ‘anti-establishment’ dengan melakukan pelbagai protes di jalan raya dan bertindak agresif.
“Generasi muda sepatutnya mempunyai intelektual segar dan metodologi perundingan dan diplomasi (supaya) kita akan lebih diterima, tetapi sekiranya generasi muda menghindari cara ini, harapan kita untuk mempunyai pemimpin masa depan (bagi) memandu negara akan menjadi gelap,” katanya.
Turut mengutuk tindakan itu ialah Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia Amir Ansaa yang berpendapat ada lebih banyak perkara yang lebih penting perlu diberi keutamaan oleh kumpulan berkenaan.
Amir berkata kerajaan yang wujud selepas PRU13 dipilih mengikut undang-undang negara, dan sehingga sekarang, tidak ada masalah kronik timbul seperti kebuluran, jika sekiranya didakwa kerajaan sekarang adalah kerajaan tidak berkemampuan.
“Demonstrasi seperti ini hanya mencemarkan nama negara,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kasim menggesa kumpulan yang rata-rata terdiri daripada golongan muda itu supaya tidak secara melulu terpengaruh dengan hasutan pihak pembangkang.
“NGO itu sebenarnya hanya diperkudakan pihak Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kepentingan politik mereka sendiri.
“Pembangkang sudah pun setuju untuk mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, ini bermakna mereka terima dan iktiraf keputusan PRU13, jadi apa perlu diadakan perhimpunan, apatah lagi melakukan kerja sia-sia berkhemah di Padang Merbok,”katanya.
 Sementara itu, Pensyarah di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Maszlee Malik berkata titik noktah perlu dijelaskan pemimpin pembangkang khususnya Anwar berhubung hala tuju politik selain daripada perhimpunan atau demonstrasi jalanan yang sering diadakan kebelakangan ini. 
“Kita akui hak rakyat untuk berhimpun menyatakan hasrat dan sebagainya selagi aman tetapi perlu dijelaskan selama mana nak dibawa? Kita tidak mahu rakyat tidak iktiraf keputusan PRU13 dan menyatakan kerajaan yang dipilih tidak sah tetapi akhirnya tidak tahu ke mana arah tuju rakyat untuk maju ke depan.
“Harapan kita terhadap kerajaan yang dipilih supaya memperkasakan masyarakat untuk turut bersama dalam tadbir urus agar suara rakyat dapat digunakan untuk membangunkan negara, dan bukannya hanya suara orang politik sahaja,” katanya.
Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pula mencadangkan agar pemimpin pembangkang khususnya Anwar memberikan fokus kepada kemaslahatan (faedah) rakyat berbanding melakukan perkara bersifat retorik.
Beliau berkata tidak dinafikan hak berkumpul secara aman diiktiraf Perlembagaan Persekutuan tetapi mereka perlu turut memikirkan apa jua yang dilakukan perlulah membawa kebaikan kepada rakyat bukan sekadar bermotifkan perasaan peribadi individu atau sesuatu pihak.
“Jika benar perhimpunan itu diadakan untuk rakyat, jadi perlulah fikir soal kesihatan mereka juga, mungkin boleh tangguh atau sebagainya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana perhimpunan atau demonstrasi yang diadakan kebelakangan ini memberi pulangan positif kepada rakyat.
Mai Pikiaq Pi: Demonstrasi jalanan memberi kesan negatif kepada masyarakat dan negara... 

JEREBU OH JEREBU


Semua sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan ditutup esok seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel.
Palanivel berkata beliau akan meminta Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan sewajarnya.
“Situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka berada dalam rumah dan memakai topeng jika mereka perlu keluar.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, yang diisytihar sebagai kawasan darurat, mencatat sedikit penurunan dengan bacaan 690 pada 11 pagi tadi berbanding 746 empat jam sebelumnya.
IPU bagi Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka, yang sebelum ini masing-masing mencatat bacaan di tahap bahaya 357 dan 334, meningkat ke 415 dan 428.
Negeri lain yang mempunyai IPU tidak sihat termasuk ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor manakala dua kawasan yang dikategori sebagai mempunyai kualiti udara sihat ialah Sandakan dan Tawau di Sabah.
Mai Pikiaq Pi: Festival Flora di Putrajaya dicemari jerebu....

Friday 21 June 2013

Pemilihan UMNO Lebih Demokratik Dari Parti Yang Guna Nama Demokratik


Penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling menganggap pemilihan UMNO yang bakal berlangsung tahun ini adalah satu tindakan yang benar-benar bersifat demokratik jika dibandingkan dengan parti politik lain di negara ini yang menggunakan nama demokratik itu sendiri.
Katanya, dengan penglibatan ratusan ribu ahli-ahli UMNO untuk menentukan pemimpin tertinggi parti maka ia adalah satu perubahan besar yang melibatkan keanggotaan yang ramai tanpa sekatan.
“Sebuah parti politik yang berpegang kepada nama demokratik pun gagal menterjemahkannya tetapi UMNO dapat merealisasikan makna demokratik itu sendiri dengan penglibatan anggota yang sangat ramai dalam satu pemilihan dan tanpa ada peraturan-peraturan yang terlampau ketat,” katanya.
Jelas beliau, perubahan yang dilaksanakan oleh UMNO bukan sahaja membuktikan kematangannya sebagai sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu dan dalam masa yang sama menjadi payung kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Inilah proses peremajaan semula parti ini dengan melibatkan anggotanya dari semua peringkat termasuk di akar umbi bagi menentukan kesinambungan wujudnya UMNO dalam dunia di mana demokrasi itu sudah lebih meluas dan melebar sifatnya.
“Dengan pembaharuan yang digunapakai dalam pemilihan ini maka ia akan memberi ruang penyertaan kepada lebih ramai anggota untuk memilih ketua mereka di peringkat pusat dan menyalurkan pandangan serta idea-idea dari peringkat bawah untuk digunapakai untuk masa hadapan.”
Beliau yang juga Profesor Pelawat di Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan bahawa impak positif tentunya akan diperolehi UMNO berkaitan perubahan besar yang berlaku termasuklah golongan muda yang akan turut memberi peranan.
“Jika selama ini golongan muda dikatakan tiada peluang maka ini adalah antara ruang yang ada bagi mana-mana individu untuk terlibat sama dalam dunia politik sama ada untuk memberikan sumbangan dalam bentuk idea dan menentukan masa hadapan partinya berdasarkan kepada pemimpin yang mereka pilih.
Sedang berlangsung sekarang ini siri jelajah penerangan berkaitan pemilihan UMNO ke tiap-tiap negeri dan dijangka akan berakhir penghujung bulan ini sementara Majlis Tertinggi telah menetapkan Persidangan Cawangan bermula pada 15 Julai 2013 sehingga 31 Ogos 2013 dengan persidangan peringkat bahagian dan tarikh pemilihan akan ditentukan kemudian.
Mai Pikiaq Pi: Umno parti orang Melayu yang memayungi seluruh rakyat Malaysia selamanya...  

Antara Black 505 dan Sidang DUN: Siapa Pengkhianat Sebenarnya?


Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub membidas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang mengatakan mana-mana kepimpinan Pas yang tidak menyokong perhimpunan black 505 sebagai pengkhianat dan menyifatkan kenyataan itu adalah lebih tepat untuk ditujukan pada dirinya sendiri.
Menurut beliau, Husam sepatutnya mencermin diri sendiri terlebih dulu sebelum mengatakan orang lain sebagai pengkhianat parti.
“Bagi saya, Husam perlu sedar beliaulah yang  sebenarnya telah melakukan pengkhianatan yang lebih besar terhadap rakyat yang telah memberikan mandat kepada beliau, apabila beliau tidak hadir upacara angkat sumpah baru-baru ini.
“Walaupun Husam memberikan pelbagai alasan di atas ketidakhadirannya itu, namun jika dia benar-benar ikhlas berkhidmat untuk membantu rakyat, beliau perlu hadir dalam upacara angkat sumpah tersebut bagi memperlihatkan kesungguhannya untuk membantu rakyat,” tegas Jazlan hari ini.
Tambahnya lagi, Husam bukan saja mengkhianati amanah rakyat, tetapi turut menjadi pengkhianat kepada negara dengan terlibat memburuk-burukkan imej negara di mata rakyat dan dunia luar.
“Saya nak tanya Husam, pihak manakah yang seringkali menjaja keburukan negara sehingga imej negara terjejas akibat pengkhianatan seperti itu. Bukankah beliau termasuk salah seorang yang seringkali menjaja keburukan negara dengan fitnah dan tohmahan yang tidak ada asasnya,”
“Contohnya seperti sebuah keluarga. Jika ada seseorang ahli keluarga kita yang suka menyebarkan keburukan kita pada orang lain, apakah kita boleh menerima individu itu sebagai ahli keluarga lagi?
“Sudah tentu bagi kita, dia tidak layak untuk menjadi ahli keluarga kita kerana sikapnya yang suka menabur fitnah dan memburukkan keluarga sendiri,” tegasnya.
Justeru itu, beliau menasihati rakyat agar tidak terpengaruh dengan provokasi pembangkang yang cuba memfitnah bagi memburukkan imej SPR dengan mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini penuh dengan penipuan dan penyelewengan.
“Pembangkang akan sentiasa mencari alasan untuk memperlihatkan kekalahan mereka itu adalah akibat penyelewengan SPR. Mereka cuba pengaruhi rakyat dengan isu yang tidak ada bukti seperti blackout, isu dakwat kekal dan sebagainya.
“Ketika PRU pada 2004, BN Kelantan kalah kepada pembangkang hanya satu kerusi dengan majoriti hanya dua undi, untuk membentuk kerajaan. Namun kita tidak pula bising-bising dengan mengatakan pilihanraya di Kelantan itu tipu dan sebagainya, biarpun pembangkang menang hanya dengan kelebihan satu kerusi dan majoriti dua undi.
“Bagi saya, Inilah sikap pembangkang yang tidak dapat menerima hakikat bahawa majoriti rakyat di negara ini menolak mereka. Mereka tidak realistik dan mampu menerima hakikat kekalahan mereka dalam PRU yang ke 13 baru-baru ini,” ujarnya. 
Mai Pikiaq Pi: Pembangkang tidak pernah terima hakikat yang mereka kalah dalam PRU13....

Thursday 20 June 2013

Cadang penjawat awam carum Perkeso

Kerajaan diminta terima cadangan supaya anggota perkhidmatan awam berstatus tetap mencarum di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan  Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berharap cadangan itu diterima dan dipertimbangkan berikutan ia disiapkan menerusi beberapa siri kajian dan dipersetujui oleh semua anggotanya.

Katanya, cadangan itu  yang bersifat faedah kebajikan kepada penjawat awam akan diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perbincangan. Awal bulan lalu, hanya anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak mencarum dalam skim Perkeso.

“Perkara itu sangat baik dan berharap ia dipanjangkan kepada anggota perkhidmatan awam bergaji tetap yang berpendapatan dari RM7,000 dan ke bawah.

“Skim yang terdapat di bawah pakej Perkeso ini lebih baik jika dibanding dengan skim ex-gratia yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam dan orang tanggungan jika terjadi sesuatu bencana semasa pegawai melaksanakan tugas rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar mengulangi tiga permintaan dalam Bajet 2014 iaitu kenaikan imbuhan perumahan kepada RM450, pelarasan kos sara hidup (Cola) dan pengeluaran 20 peratus wang gratuiti kepada anggota perkhidmatan awam yang berusia 50 tahun.


Mai Pikiaq Pi: Semoga kerajaan mempertimbangkan permintaan Cuepacs...

Penganjur 505 tetap mahu Padang Merbok


Penganjur perhimpunan Black 505 tetap bertegas perhimpunan Sabtu ini akan  tetap diteruskan di Padang Merbok, meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencadangkan tiga lokasi lain.
Pengerusi Sekretariat Black 505, Datuk Johari Abdul berkata, pemilihan lokasi di Padang Merbok tetap diteruskan seperti mana dirancang.

"Mereka berikan stadium, tetapi kami tetap mahukan Padang Merbok, seperti mana yang diputuskan dalam mesyuarat PR," katanya dalam sidang media, semalam.

Menurutnya, himpunan ini akan diketuai pemimpin PR dan NGO dan akan berkumpul di tujuh lokasi sekitar ibu negara sebelum bergerak ke Padang Merbok.

Beliau berkata, tujuh lokasi tersebut adalah di Bricfields, Masjid Negara, Jalan Pudu, Ibu Pejabat Pas (Jalan Raja Laut), Sogo, Universiti Malaya dan Pekeliling.

Sebelum ini, DBKL melalui Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mencadangkan tiga lokasi alternatif kepada penganjur  iaitu di Stadium Titiwangsa, Stadium Merdeka dan Taman Rekreasi Air Panas.

Johari turut menyeru agar wakil rakyat PR yang menang dalam PRU13 lalu menjadi barisan hadapan pada perhimpunan kali ini.

“Saya bertemu dengan ramai orang dan mereka berkata mahu melihat wakil rakyat PR yang menang mengetuai penentangan penipuan pilihan raya.

“Wakil rakyat yang menang tidak boleh berdiam diri. Kalau mereka menjadi barisan depan, maka lebih ramai rakyat akan turun dan menyokong perjuangan ini,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Kalah saja.. pilihan raya tak adil... kalau menang tak kata ape lak... Terima sajalah rakyat banyak yang menolak pembangkang yang hanya pentingkan diri...

Wednesday 19 June 2013

GST PERLU DILAKSANA BERPERINGKAT - DR M

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jika dilaksanakan, haruslah dilakukan secara berperingkat, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini.

"Semuanya harus dilakukan secara berperingkat, perlahan-perlahan, bukan jumlah sepenuhnya sekaligus, bagi faedah rakyat," kata beliau kepada pemberita pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2013.

Pakar-pakar ekonomi berpendapat, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan GST sebagai sebahagian daripada usaha menambah pendapatan kerajaan.

Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias, sebelum ini berkata, ketika kerajaan dilihat akan mempercepatkan pelaksanaan GST, langkah-langkah sampingan harus diambil untuk melindungi golongan berpendapatan rendah daripada kesannya.

"Keseluruhannya, pelaksanaan GST itu baik. Saya rasa kerja-kerja perhubungan awam perlu dilakukan lebih sedikit tentang GST ini dan kita tidak harus bersikap terlalu idealistik dengan berkata ia tidak akan menyebabkan inflasi. Ia akan menyebabkan inflasi," tegas Nor Zahidi.

Mengenai sasaran kerajaan untuk mengurangkan lagi defisit fiskal dalam Bajet 2014, Dr Mahathir berkata ia adalah langkah yang baik dan ia menunjukkan bahawa kerajaan sedang bergerak positif ke hadapan.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Bajet 2014 akan dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober.

Najib juga mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit fiskal, memperkukuhkan kewangan awam dan memastikan kelestarian fiskal negara bagi jangka panjang.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu, yang akan merangkumi menteri-menteri Kabinet yang terpilih dan ketua-ketua jabatan.

"Jawatankuasa ini akan dipertanggungjawabkan kepada pejabat dasar fiskal di Perbendaharaan. Ini bertujuan menegaskan kesungguhan dalam menguruskan kedudukan fiskal kita dan mengurangkan defisit fiskal kita," kata beliau dalam ucapan pembukaannya pada sesi Konsultasi Bajet 2014.

Mai Pikiaq Pi: GST harap tak membebankan rakyat golongan bawahan dan pertengahan....

“Depan Cakap Lain, Belakang Buat Lain”


Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli berkata, keputusan pakatan pembangkang yang akhirnya membatalkan tindakan yang kononnya akan memboikot upacara majlis angkat sumpah sebagai anggota Parlimen memperlihatkan pembangkang sekali lagi bermain sandiwara.
Justeru beliau menyifatkan tindakan pembangkang khususnya DAP dan PKR yang masih ghairah untuk mengadakan perhimpunan haram 505 tidak lebih sekadar satu usaha untuk perbodohkan para penguikut mereka.
“Perhimpunan 505 adalah satu strategi mengelirukan penyokong mereka  atau dalam bahasa kasarnya ahli-ahli parti mereka. Ini semua hanyalah satu sandiwara mereka untuk menutup kegagalan dan harapan palsu yang diberikan sebelum ini kononnya mereka mampu menguasai Putrajaya.
“Mereka tidak mahu rakyat terutama penyokong mereka nampak kenyataan sebenar bahawa apa yang mereka laungkan selama ini terutama menjelang PRU-13 baru-baru ini hanyalah propaganda palsu.  Maka untuk menutup malu mereka mencipta pelbagai alasan dan fitnah terhadap SPR dan Kerajaan BN”, katanya kepada UMNO-Online.
Tegas beliau lagi  sekiranya benar segala dakwaan mereka contohnya PRU-13 tidak telus, berlaku penipuan dan sebagainya maka kenapa pembangkang setuju untuk angkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat dan menerima negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor sebagai negeri tawanan mereka.
Maka sudah jelas tambahnya lagi  bahawa pembangkang hanya memperalatkan penyokong mereka untuk mencapai agenda peribadi.
“Kita yakin rakyat makin tahu bahawa pakatan pembangkang hanya hidup atas sandiwara yang mereka mainkan. Malah tindak tanduk mereka ternyata berputar belit bak kata bidalan depan cakap lain, belakang buat lain”, ujarnya.
Mai Pikiaq Pi: Selagi mereka tidak berkuasa.. selagi itulah mereka menabur pelbagai dakyah songsang untuk menutupi segala kelemahan mereka terhadap rakyat... Rakyat sedar mereka tidak lagi boleh mempercayai parti pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim.... 

Anwar tak perlu buat lawak


“Anwar boleh lantik siapa sahaja yang dia mahu sebagai speaker dan kita akan terima tapi tunggu dia jadi Perdana Menteri. Sekarang dia perlu hormat kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak”.
Timbalan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-13.
Jelas Sharkar selanjutnya, Anwar tidak perlu jadi kartun atau buat cerita lawak kerana dia pasti akan malu sendiri apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.
Sebagai individu yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, seharusnya Anwar lebih bijak mengeluarkan kenyataan dan tahu bagaimana Yang Dipertua Dewan Rakyat dilantik.
“BN sebagai kerajaan yang memerintah maka terpulanglah kepada kita untuk melantik siapa jadi speaker. Kita tahu siapa yang layak dan tidak layak. Sebelum ini, dia juga yang cakap tidak terima keputusan PRU-13, kemudian mahu boikot Parlimen, sekarang dia pula sibuk mahu mencadangkan siapa patut jadi speaker.
“Nampak sangat kemaruk untuk jadi Perdana Menteri… Sebenarnya, bagi saya Anwar rasa malu dengan penyokong sendiri kerana sebelum ini dia amat yakin dapat jadi Perdana Menteri. Bila kalah maka terpaksalah dia mereka ‘drama’ terbaru untuk tutup malu,” ujarnya lagi.
Tambahnya, Anwar perlu belajar untuk hormat orang lain dan jangan terlalu taksub mengejar jawatan sehinggakan semua perkara hendak campur tangan kononnya apa yang dicadangkan olehnya adalah yang terbaik.
“Sekiranya kerajaan sedia ada tidak menerima cadangannya maka perkara tersebut akan dijadikan ‘peluru’ untuk dicanangkan kepada rakyat memburukkan imej kerajaan”, ujarnya. 
Mai Pikiaq Pi: Kemaruk Anu War jawatan PM dari dulu hingga sekarang tak pernah berubah.. Hishhhh...hishhhhhh