Nuffnang Ads

Thursday, 6 September 2012

Bapa mohon maaf anak hina pemimpin negara



 Insiden 30 Ogos
Polis bebas pelajar tunjuk punggung
Bapa kepada pelajar kolej swasta, Muhammad Ammar A. Rahman, 19, yang terlibat dalam perbuatan menghina pemimpin negara pada malam ambang Merdeka baru-baru ini, memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kelakuan biadab anaknya itu.

A. Rahman Abdullah, 53, berkata, dia juga berhasrat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk memohon maaf secara peribadi.

Katanya, dia amat menyesali tindakan anaknya itu dan masih terkejut dengan apa yang berlaku.

"Hati saya seperti mahu luruh apabila mendapat tahu tentang perbuatan anak saya itu. Setahu saya, Muhammad Ammar tidak terlibat dalam mana-mana parti politik.

"Mungkin dia terpengaruh dengan rakan-rakan atau dipergunakan pihak tertentu. Sepatutnya, dia lebih menumpukan masanya terhadap pelajaran," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian 30 Ogos lalu, Muhammad Ammar serta beberapa individu dipercayai peserta Himpunan Janji Bersih mencemar sambutan ambang kemerdekaan dengan menghina gambar Najib dan Rosmah selain mengibar bendera selain Jalur Gemilang.

Muhammad Ammar bagaimanapun ditahan semalam untuk diambil keterangan manakala 10 individu lain masih diburu kerana kesalahan sama.

Menurut A. Rahman, polis memaklumkan anaknya itu dibebaskan kira-kira pukul 10 malam tadi namun sehingga 3 petang ini dia masih tidak dapat menghubungi Muhammad Ammar.

Dalam pada itu, dia turut menasihatkan anak muda lain tidak mudah terpengaruh dengan rakan- rakan atau mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam serta masa depan sendiri.

Pada masa sama, A. Rahman memuji tindakan dan kerjasama semua pihak dalam menangani insiden itu dan berharap anaknya insaf serta mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

Mai Pikiaq Pi: Harap pihak polis mencari dalang kejadian pelajar hina pemimpin negara!!!

Wednesday, 5 September 2012

BEKAS MENTERI DARI PERLIS LOMPAT PARTI?

Ahli Parlimen di Perlis Bekas menteri dan juga masih menjadi Ahli Parlimen di Perlis dikatakan meninggalkan Barisan Nasional (BN) sekiranya beliau tidak dicalonkan semula kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau yang pernah dilantik menganggotai kabinet semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila memenangi PRU11 pada 2004, kemudiannya digugurkan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pemerintahan.

Menurut laman Facebook pro-Umno Perlis, beliau juga dikatakan telah mengatur beberapa mesyuarat untuk menentukan nasibnya sekiranya tidak dicalonkan semula.

"Tidak sepatutnya mengugut kepimpinan dalam perjuangan BN, kena lihat apa juga sumbangan beliau semasa menjawat jawatan menteri. Apa yang beliau bawa kepada pembangunan Perlis?

"Umurnya pun sudah semakin meningkat, adalah wajar diberikan kepada pimpinan muda. Ini tidak, mengatur rancangan untuk berpaling tadah pula kepada BN," katanya semalam.

Perlis mempunyai tiga kerusi Parlimen milik BN dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dua daripadanya dimenangi pembangkang.

Ahli Parlimen di Perlis adalah, Datuk Seri Azmi Khalid (Padang Besar), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (Kangar) dan Datuk Ismail Kassim (Arau).

Menurut sumber lain, Ahli Parlimen berkenaan juga dikatakan sedang mengintai peluang bertanding kerusi DUN dan menjadi Menteri Besar sekiranya tidak dicalonkan di Parlimen.


Mai Pikiaq Pi: Agaknya siapakah Ahli Parlimen yang disebutkan itu? Kalau beginilah telatah seorang Ahli Parlimen, rakyat yang rugi kerana perjuangannya semata-mata kerana wang dan kuasa.....



Kononnya Bas Jelajah Merdeka Rakyat Disabotaj


Isu bas Jelajah Merdeka Rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa telah diserang dengan disimbah cat merah dan cerminnya pula dipecahkan, dilihat sebagai satu lagi taktik lapuk yang digunakan oleh kepimpinan PKR bagi menarik perhatian dan simpati rakyat terhadap parti tersebut.
Menurut bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, insiden tersebut seolah-olah adalah hasil daripada perancangan mereka sendiri, apabila bas tersebut dengan begitu mudah disimbah cat dan dipecahkan cerminnya seolah-olah ia dibiarkan tanpa sebarang pengawasan.
“Sedangkan, berdasarkan pengalaman saya bersama PKR, setiap kali PKR bergerak untuk mengadakan ceramah, mereka pasti akan menugaskan ahli-ahli mereka untuk mengawal segala peralatan termasuklah khemah-khemah,  kerana bimbang disabotaj oleh pihak-pihak tertentu. Dan saya yakin, pengawalan rapi terhadap segala aspek ketika turun padang berceramah seperti mengawal rapi  peralatan dan sebagainya masih lagi diamalkan oleh PKR sehingga ke hari ini.
“Sebab itu saya rasa pelik, apakah tidak ada ahli-ahli PKR yang ditugaskan untuk menjaga bas yang baru dibeli mereka itu, sehingga amat senang sekali bagi  individu atau kumpulan tertentu menyimbah cat, malah memecahkan cermin bas tersebut.
“Jika benar ia disabotaj, saya yakin ahli-ahli yang bertugas mengawal rapi bas tersebut akan dapat menangkap individu atau kumpulan yang melakukan perkara tersebut, atau sekurang-kurangnya menyebabkan niat mereka untuk mensabotaj bas tersebut terbantut, ” ujar beliau lagi.
Justeru itu, beliau berpendapat dalam isu sabotaj bas Jelajah Kemerdekaan Rakyat yang cuba digembar-gemburkan oleh PKR itu, ianya lebih kepada isu yang diada-adakan bagi menarik simpati rakyat dalam usaha mereka untuk menimbulkan kebencian khususnya terhadap UMNO.
Jelasnya lagi, beliau yakin rakyat juga sudah sedia maklum bahawa sebelum ini juga telah timbul beberapa isu seperti isu racun arsenik dan juga ugutan bunuh terhadap Penasihat PKR, yang sehingga ke hari ini tidak dapat dibuktikan secara jelas siapa dalangnya, biarpun Anwar secara terang-terang mendakwa bahawa UMNO dan BN terbabit dalam isu tersebut.
“Maklumlah dengan populariti PKR dan Pakatan Pembangkang yang kini semakin merosot ekoran rakyat sudah mula melihat tembelang mereka yang pecah satu demi satu, maka hari ini mereka terpaksa mencari satu isu untuk dipublisitikan bagi menarik kembali simpati rakyat terhadap mereka.
“Namun bagi saya, ia hanya satu strategi lama yang masih lagi diguna pakai oleh PKR yang kini dalam keadaan terdesak, memandangkan mereka kini tiada lagi isu untuk dijadikan modal bagi menghentam Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, apatah lagi dalam keadaan sokongan rakyat yang dilihat semakin meningkat terhadap kepimpinan negara yang sedia ada hari ini,” tegas beliau. 
Mai Pikiaq Pi: MPP percaya akan ada lagi isu yang akan dibangkitkan oleh pembangkang dan setelah itu akan menyalahkan BN sebagai dalangnya.....

Pembangkang didik rakyat jangan takut lakukan kesalahan


Sikap biadap segelintir penyokong Pakatan Pembangkang yang sanggup memijak gambar pemimpin negara, malah bertindak di luar jangkaan dengan mencanangkan agar bendera Jalur Gemilang ditukar,  disifatkan sebagai kejayaan  ajaran Pakatan Pembangkang dalam menyemai rasa benci terhadap pemerintah di negara ini.
Menurut Pengerusi Barisan NGO Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar, sikap dan pendekatan budaya kurang ajar yang disemai oleh Pakatan Pembangkang ini dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan dan salah faham dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Inilah perkara yang paling kita takuti apabila hilangnya rasa bersalah dalam kalangan rakyat apabila membuat kesalahan. Hari ini jelas, atas nama dan kepentingan politik mereka, segala bentuk sikap biadap dan kurang ajar dibenarkan demi untuk menjatuhkan kredibiliit dan maruah kepimpinan kerajaan yang sedia ada.
“Sebagai contoh, membuka seluar di khalayak ramai dengan memperlihatkan punggung di atas gambar pemimpin, memijak dan menghina pemimpin negara merupakan satu perbuatan yang tidak beradab. Namun jelas, tidak ada perasaan bersalah dalam diri mereka yang melakukan perkara tersebut, bahkan mereka ini bergembira dengan sikap tidak senonoh dan jijik itu serta ianya dianggap sebagai satu perjuangan rakyat.
“Apakah ini yang Pakatan Pembangkang mahu, anak-anak muda jadi kurang ajar serta tidak hormat kepada hak-hak orang lain semata-mata atas kepentingan politik mereka? Jika inilah nilai-nilai yang cuba disemai oleh kepimpinan Pakatan Pembangkang terhadap rakyat di negara ini, kami khuatiri provokasi seperti ini akan mencetuskan keadaan yang lebih buruk sekiranya ia tidak ditangani secara serius,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, sesuatu harus dilakukan oleh pihak yang terbabit dalam menyekat usaha pihak Pakatan Pembangkang yang kini dilihat sedang rancak menyemaikan benih-benih kebencian terhadap kepimpinan kerajaan yang dipilih oleh rakyat hari ini.
“Tindakan provokasi yang tidak bertamadun serta tidak bermoral ini seolah-olah bagaikan satu usaha untuk mewujudkan situasi tegang dalam kalangan rakyat, yang kami yakin sekiranya tidak dibendung, ia akan menyebabkan impak yang lebih besar seperti berlakunya huru-hara dan sebagainya.
“Sekiranya perkara seperti ini terus dibiarkan, maka keamanan dan keharmonian negara boleh hancur dengan sikap biadap dan kurang ajar segelintir rakyat  yang terpengaruh dengan hasutan dan dakyah Pakatan Pembangkang seperti yang dapat kita lihat hari ini.
“Hari ini, belum lagi berkuasa, mereka sudah memperlihatkan sikap seperti telunjuk menjolok mata. Cuba kita bayangkan sekiranya mereka berjaya menguasai negara, sudah tentu sikap biadap dan kurang ajar mereka akan lebih lagi daripada apa yang kita dapat lihat hari ini,” tegas beliau lagi.
Mai Pikiaq Pi: Anasir-ansir jahat ini patut diusir keluar dari negara...

Tuesday, 4 September 2012

Rakyat Sabah matang tolak parti pembangkang - PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin rakyat Sabah cukup matang untuk menolak dan tidak termakan hasutan yang dibawa oleh parti pembangkang.
Menurut beliau, rakyat Sabah tahu bahawa hanya melalui Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja dapat membangunkan negeri ini dan membela nasib rakyat.
Katanya, rakyat Sabah dan Malaysia keseluruhannya sudah memahami bahawa agenda terpenting bagi kerajaan adalah Progam Transformasi Nasional .
“Sehingga kini, sudah banyak kejayaan dan bagi kami (kerajaan) lima tahun untuk melipat-gandakan kejayaan itu,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Zon 5 (Libaran, Sandakan, Batu Sapi, Kinabatangan dan Beluran) di sini, hari ini.
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kemudiannya menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Umno Zon 5 sebelum beliau berlepas ke Kota Kinabalu.
Najib berkata, Kerajaan Persekutuan menyedari Sabah masih memerlukan kemudahan jalan raya, elektrik, rumah dan pelbagai kemudahan lain.
Katanya, semua itu mampu dilaksanakan oleh BN yang selari dengan komitmen 'Janji Ditepati' dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat di mana sahaja mereka berada.
Beliau berkata, hubungan baik dan kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah memperkukuhkan lagi usaha membangunkan negeri ini.
“Saya senang hati dengan kerjasama diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah diketuai (Ketua Menteri) Musa Aman dalam membangunkan Sabah.
“Jika terdapat pandangan berbeza, ia dibawa berbincang dan diselesaikan untuk kepentingan rakyat Sabah. Ini menjadi asas penting kepada kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Negeri Sabah,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau akan memastikan pembangunan di Sabah seimbang dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Katanya, antara usaha itu adalah memberikan peruntukan besar di bawah Program Transformasi Nasional kepada Sabah dan Sarawak.
Mai Pikiaq Pi: Rakyat Sabah tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pembangkang....

Manifesto Putar Alam Kerajaan Pakatan Selangor


Rakyat terperanjat bila Menteri Besar Selangor menyebut Manifesto Pakatan 2008 bukanlah satu perjanjian, jadi ianya tidaklah perlu ditunaikan.
Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, amat tidak disangka setelah lebih 55 tahun merdeka rakyat mempunyai Menteri Besar yang memiliki tahap kefahaman sistem pemerintahan demokrasi yang sangat lemah.
“GAPS beranggapan Manifesto Pakatan 2008 yang tidak perlu ditepati itu adalah manifesto pakatan putar alam yang setaraf dengan manifesto sistem pemerintahan komunis dan sosialis.
“Amat menyedihkan empat tahun lebih DAP, PKR dan Pas memerintah Selangor banyak skandal yang berlaku daripada skandal kewangan seperti skandal Talam, PKNS, Yayasan Selangor ke skandal moral seperti Exco telanjang dan Penasihat Ekonomi beraksi video lucah. Rupa-rupanya ini semua ini dirancang untuk berlaku sesuai kerana manifesto mereka adalah manifesto tempelan, pembohongan dan penipuan,” ujarnya lagi.
Tegas beliau lagi walaupun Malaysia merdeka kali ke-55 tahun ini, namun Selangor terus berada di ambang kebobrokan kerana mempunyai Menteri Besar yang mempunyai mentaliti kepimpinan yang rendah setaraf dengan anak tadika yang baru mengenal erti merdeka.
“GAPS mengulangi pendirian bahawa setiap isi rumah di negeri Selangor tak kira rumah batu, rumah kayu, rumah banglo, rumah teres, rumah kondo, rumah apartment, rumah pangsa, semuanya layak menuntut janji 20m3 air percuma daripada pentadbiran DAP, PKR, Pas Selangor bermula daripada April 2008 hingga ke hari ini sesuai dengan Manifesto Pakatan 2008,” ujarnya yang juga mantan Ketua AMK Negeri Selangor.
Mai Pikiaq Pi: Rakyat Selangor selama ini ditipu bulat-bulat oleh pemerintahan Pakatan Rakyat....

Isu bendera: Kerajaan DAP Pulau Pinang biadab


Tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang bukan sekadar menurunkan Jalur Gemilang malah mencampakkannya ke atas tanah adalah satu tindakan biadab dan tidak menghormati bendera Malaysia yang melambangkan maruah negara.
Tindakan tersebut diambil oleh MPPP kononnya adalah atas arahan pihak atasan. Bendera Malaysia yang dipasang bersama bendera Barisan Nasional (BN) adalah bersempena Program Semboyan Dibunyikan anjuran BN Bukit Bendera.
Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Musa Sheikh Fadzir, alasan MPPP bahawa ianya diarahkan oleh pihak atasan membuktikan bahawa Kerajaan DAP memang tidak tahu adab dan sedikitpun tidak mempedulikan maruah negara.
“Jalur Gemilang adalah lambang maruah negara. Sekiranya di negara lain, bendera ini disanjung dan dijaga dengan baik. Tetapi DAP bila mengajar pengikutnya bersikap kurang ajar dan biadab. Ianya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh rakyat negara ini.
“Disebabkan ajaran biadab inilah, maka bukan sahaja MPPP bersikap tidak rasional hanya kerana menurut arahan malah apa yang terjadi di malam merdeka di Kuala Lumpur juga adalah bukti ajaran kurang ajar pembangkang. Penyokong mereka memijak gambar pemimpin dan membawa bendera yang kononnya nak digantikan dengan Jalur Gemilang adalah sesuatu yang benar-benar mencabar maruah negara,” ujarnya lagi.
Oleh itu, Musa berharap agar rakyat di negara ini berfikir semula, adakah pemimpin yang menerapkan ajaran biadab dan cuba menanam rasa kebencian di hati rakyat sehingga boleh mengundang keadaan huru-hara ini layak untuk terus diangkat dan diberi kepercayaan untuk menjadi pemimpin.
“Rakyat boleh menilai, pembangkang hanya mementingkan politik dan hanya berpolitik 24 jam… Kerana politik mereka sanggup lakukan apa sahaja termasuk membelakangkan maruah negara dan masa hadapan rakyat. Harus diingat, Jalur Gemilang adalah ‘panji’ negara. Sekiranya ‘panji’ negara diperkotak-katikkan, bermakna maruah kita selaku rakyat negara ini juga dipermain-main dan diinjak sesuka hati mereka.
“Sikap pembangkang semakin hari semakin melampau… Kita lihatlah apa yang terjadi kebelakangan ini, terlalu banyak isu provokasi yang mereka lakukan. Semakin dekat pilihan raya, semakin teruk kelakukan mereka. Contohnya di Selangor, sikap kerajaan negeri yang membelakangkan Sultan dalam sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri… termasuklah apa yang terjadi di Pulau Pinang ini. Semuanya menunjukkan sikap biadab dan kurang ajar pembangkang.
“Jadi saya amat menyeru kepada seluruh rakyat negara ini, berfikirlah dengan bijak dan jangan sesekali terpengaruh dengan pembangkang yang semakin hari semakin terserlah kebiadapan mereka..,” ujarnya lagi.   
Mai Pikiaq Pi: Kebiadapan pembangkang dan penyokong mereka pada malam merdeka tidak dapat diterima dengan akal fikiran yang waras...