Nuffnang Ads

Friday, 9 November 2012

Institusi Pondok Masih Relevan - PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata institusi pondok masih relevan pada masa kini kerana ia menjadi benteng dalam mempertahankan identiti Melayu-Islam di rantau ini.
"Ia berfungsi untuk mempertahankan sistem nilai dan kehidupan umat Melayu-Islam Nusantara, yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Beliau berucap di majlis ramah mesra bersama warga pondok dan pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di sini, hari ini
Najib menarik perhatian bahawa sistem pondok memenuhi maqasid atau matlamat syariah termasuk agama, kemanusiaan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan keamanan.
Ia mesti dipertahankan kerana sebagai ilmu yang disalurkan oleh institusi pondok boleh diguna dan dirujuk untuk menangani pelbagai serangan ilmiah dan trend pasca-modenisme yang sedang berlaku, katanya.
Najib berkata dalam menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, “hujah daripada teks pondok adalah lebih mantap.”
Menurut beliau, banyak buku karya besar diambil daripada teks pondok dan dibaca oleh orientalis Barat dan musuh-musuh Islam.
Justeru, beliau berkata para ulama dan intelek Islam perlu berdiri dalam satu saf bagi melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan penghujahan yang mantap serta meyakinkan bagi menghadapi musuh.
Pada majlis itu, Najib, yang juga penaung YPPM mengumumkan geran RM100,000 bagi penubuhan sebuah pusat sumber di ibu pejabat yayasan itu.
Beliau berkata geran itu harus digunakan untuk mengumpul bahan-bahan ilmiah, manuskrip dan jurnal, serta sebarang penerbitan atau catatan berkaitan sejarah pondok, ulama pondok dan karya-karya mereka.

Apa tujuan gereja anjur forum negara Islam?


Kenyataan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah anak kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia amat mengejutkan banyak pihak terutamanya bangsa Melayu.
Tetapi, kenyataan sebegitu bukan perkara baru. Nurul Izzah sekadar mengesahkan ungkapan yang diuar-uarkan oleh bapanya sendiri sewaktu wawancara di luar negara bersama media asing. Contohnya Anwar telah mengatakan kepada media antarabangsa bahawa beliau menyokong Lina Joy sebagai seorang Melayu Islam berhak untuk murtad atas dasar kebebasan hak asasi manusia tidak lama dahulu.
Namun demikian kita tidak perlu membincangkannya lagi oleh kerana masing-masing sudah sedia maklum dan rata-rata rakyat Malaysia sudah tahu.
Untuk pengetahuan umum, forum ini telah diberikan liputan terperinci oleh sebuah laman web www.1christians.blogspot.com dan juga portal terawal yang memaparkan perkara ini ialah Malaysiakini dan Malaysia Insider.
Elok dilihat forum ini terlebih dahulu untuk kita memahami senario yang sedang berlaku dengan lebih mendasar. Pertama: Forum ini adalah mengenai persoalan ciri-ciri dan pertanggungjawaban tentang pelaksanaan sesebuah negara Islam.
Kedua: Forum ini di dianjurkan oleh gerakan bernama Oriental Hearts and Minds Study Institute (OHMSI) dan diadakan oleh pihak gereja bernama Full Gospel Tabernacle, USJ, Selangor.
Ketiga: Moderatornya selaku pengerusi majlis ialah Datuk Dr. Cyrus Das, seorang yang bukan beragama Islam. Keempat: Ucap utamanya adalah daripada Dr. Ahmad Farouk Musa seorang pakar kardiologi Fakulti Perubatan di Monash University Malaysia.
Kelima: Ahli panelnya ialah Dr. Syed Farid Alatas dari National University of Singapore; Malik Imtiaz (dari Human Rights Association); Dr. Wong Chin Huat (seorang aktivis sosial); YB Mujahid Yusuf Rawa mewakili Pas; YB Nurul Izzah mewakili PKR; Datuk Kenny Ng (peguam); dan YB Baru Bian mewakili Sabah dan Sarawak. Forum itu bermula pukul 9 pagi sehingga 12 tengahari.
Berhubung dengan perkara di atas: Jika kita lihat daripada moderatornya sehinggalah ahli panelnya kecuali Mujahid, semuanya tidak mempunyai kekuatan dalam bidang Islam.
Moderatornya selaku pengerusi majlis adalah seorang Kristian, ucap utamanya pula seorang pakar jantung, dan ahli-ahli panel majoritinya bukan berlatarbelakangkan bidang pengajian Islam.
Apakah mereka layak membicarakan atau mempersoalkan dasar-dasar berhubungan dengan ciri-ciri dan tanggungjawab pelaksanaan sesebuah negara Islam? Adakah pihak penganjur dan para ahli panel tersebut mempunyai autoriti yang tuntas membicarakan perkara ini? Kalau secara autoriti intelektualnya, mereka memang tidak layak dan tiada nilai keintelektualan.
Kedua: Dengan kehadiran Mujahid selaku mewakili Pas, kehadiran dan kesanggupan beliau menjadi ahli panel telah menampakkan Pas seakan-akan memberikan pengesahan kepada gereja untuk membincangkan dan mempersoalkan ciri-ciri dan tanggungjawab pelaksanaan negara Islam yang telah menjadi satu doktrinasi asas perjuangan Pas selama ini.
Pengiktirafan ini memberikan impak kepada perjuangan Pas. Apakah Pas sudah mahu mewujudkan satu fahaman liberalisasi dalam Pas? Tiada sesiapa pun membuat liputan apa yang diperkatakan oleh Mujahid dalam forum tersebut. Apakah Mujahid membantah? Atau menerima sahaja kenyataan Nurul Izzah?
Jika Mujahid menerima kenyataan Naib Presiden PKR itu maka inilah kenyataan pakatan pembangkang dan sekali gus Pas telah memberikan pengiktirafan kepada kenyataan Nurul Izzah serta penganjuran forum tersebut. Ia juga sekali gus memberikan pengesahan dan sokongan kepada Gerakan Melayu Liberalis (GML) di Malaysia. Jika benar Pas memberi pengiktirafan, apakah ini juga suara semua ahli Pas seluruh negara?
Ketiga: jika kita lihat, saya pasti hampir semua ahli panel kecuali yang bukan warganegara Malaysia, adalah daripada pakatan pembangkang. Oleh itu bolehlah dikatakan apa jua kenyataan yang dikeluarkan adalah mewakili pakatan yang diwakili oleh Pas, PKR dan DAP.
Untuk makluman, orang bukan Islam telah menjadi pengerusi forum tersebut. Ironinya, di sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam, tidak adakah orang Islam yang lebih layak untuk menjadi moderator/pengerusi di Forum ini?. Apakah locus stanbi si moderator ini untuk menjadi moderator forum sebegini rupa? Adakah kesemua ahli parti komponen dalam pakatan pembangkang meredakan perkara ini? Adakah acara ini mendapat pengiktirafan oleh kesemua YB dalam pakatan pembangkang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu?
Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah kehadiran Mujahid sebagai salah seorang panelis yang mewakili Pas. Ada beberapa perkara persoalan yang harus kita teliti mengenai perkara kehadiran beliau.
Pertama: Adakah kehadiran beliau ini telah diberikan pengesahan oleh Pas Pusat? Kedua: apakah Mujahid yang mewakili Pas bersetuju dengan kenyataan Nurul Izzah bahawa hak kebebasan memilih agama sepatutnya tidak terhad kepada bukan Islam tetapi juga kepada semua rakyat di mana dimaksudkan juga orang Melayu yang beragama Islam?
Jika jawapannya YA, maka ini boleh mencetuskan kembali satu isu fundamental, iaitu adakah fenomena murtad boleh dilihat dari sudut ‘hak asasi manusia’ bagi seorang Muslim?
Kedua, apakah locus standi atau hak sebuah gereja untuk menganjurkan forum membincangkan isu umat Islam dan negara Islam? Apakah agaknya reaksi yang bakal kita lihat sekira pihak Jakim atau mana-mana badan Islam menganjurkan suatu forum yang membincangkan atau mempersoalkan perkara-perkara yang mendasar berhubung isu-isu kepercayaan agama Kristian atau soalan negara Kristian?
Adakah pihak gereja akan bersetuju untuk memberi kebenaran kepada mana-mana NGO Islam atau badan-badan Islam yang lain menganjurkan suatu forum di dalam masjid membincangkan tentang, contohnya, “Apakah beza antara Kristian Katholik dengan Kristian Protestan: Versi Siapa Yang Betul? Dan Tanggungjawab Siapa?”
Sudah tentu, jika ada badan Islam yang melakukannya, maka hampir pasti ramai penganut Kristian di negara ini yang bakal bangkit menentang dan membantah perkara ini. Namun oleh kerana negara ini diperintah di bawah asas Perlembagaan maka perkara ini boleh dikawal dan sudah tentu NGO Islam yang menganjurkannya akan diambil tindakan undang undang.
Persoalannya, apakah pihak berkuasa sama ada JAIS atau pihak berkuasa yang berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang mengenai perkara ini? Namun yang demikian, sekiranya perkara ini sekadar dianjurkan sebagai perdebatan ilmiah di sebuah universiti dalam forum Teologi, mungkin apa yang berlaku adalah perdebatan ilmiah sahaja.
Memang di Malaysia kini seperti sudah menjadi suatu keghairahan untuk memperdebatkan hampir segala isu kemasyarakatan dan kemanusiaan, sehinggakan kadang-kala kita padat menyaksikan perdebatan-perdebatan sudah tidak mengendahkan sensitiviti-sensitiviti yang sedia ada dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
Saya sangat yakin bahawa rata-rata di Malaysia dewasa ini, masyarakat Islam semakin tertanya-tanya mengapa terdapat gerakan Kristian atau gereja begitu berani membincangkan dan mempersoalkan isu-isu Negara Islam dan Islam itu sendiri di tengah-tengah masyarakat yang majoritinya Muslim?
Dari manakah pihak gerakan Kristian atau gereja mengumpul keberanian yang sebegitu rupa? Adakah ia berpunca daripada sokongan dan dokongan yang tidak berbelah-bagi daripada segelintir wakil rakyat pembangkang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu?
Tetapi apabila ada YB Melayu beragama Islam dan mempunyai fahaman Islam liberal ini membuat kenyataan maka ia akan memberikan laluan kepada pengerak agama lain membina persepsi bahawa jika sudah ada orang Melayu Islam boleh mempertikaikan peruntukan Perlembagaan yang melindungi agama Islam itu sendiri, maka kenapa orang bukan Islam tidak mengambil inisiatif untuk terus mendesak agar perkara ini dituntut oleh mereka.

Thursday, 8 November 2012

Nurul Izzah disaran dalami hukum agama sebelum buat kenyataan


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah mendalami dan memperinci hukum agama sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai Islam.
Katanya soal agama tidak boleh dijadikan bahan politik untuk meraih sokongan.
“Apapun perbezaan parti namun dalam soal agama kita hendaklah kembali kepada hukum yang berdasarkan kepada Al-Quran, hadis dan terjemahan ulama.
“Ayat yang menyatakan tiada paksaan dalam beragama ertinya adalah tidak boleh memaksa penganut agama lain untuk masuk Islam tetapi menyamaratakan orang-orang Islam supaya bebas memilih agama mereka selepas tempoh umur tertentu adalah sesuatu yang di luar daripada hukum Islam sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Nurul Izzah bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga terpakai kepada orang Melayu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, tindakan Anggota Parlimen Lembah Pantai atas nama liberalisme dan pluralisme itu ternyata tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam di negara ini.
“Saya merasakan apa yang dinyatakan oleh Nurul Izzah adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin Islam dalam PKR,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Kenyataan Nurul Izzah persis Anwar Ibrahim... "Bapa borek, anak rintik"

Nurul Izzah: Soalan & Jawapan Di Gereja Full Gospel Tarbenacle


Rakaman video di atas yang dipetik dari Sel13 adalah berkaitan dengan soalan dan jawapan Nurul Izzah di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya, Sabtu lalu.
Nurul Izzah menjawab berkenaan dua topik utama iaitu LGBT dan kebebasan beragama di Malaysia.
Mai Pikiaq Pi: Anda tentukan sendiri maksud di sebalik kata-kata Naib Presiden PKR itu.....

Tindak Tanduk PKR, DAP Londehkan Tembelang Pas Dalam Perjuangan Islam


Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Mohd Fairus Khairuddin berkata, tindakan berterusan pemimpin pembangkang terutama daripada PKR dan DAP menghina Islam telah membuka tembelang Pas sendiri betapa parti itu sebenarnya lebih mengutamakan politik berbanding perjuangan Islam yang selama ini dilaung-laungkan.
Menurut beliau, hakikat itu dapat dilihat daripada tindak-tanduk segelintir pimpinan Pas berhubung kontroversi yang berlaku ke atas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang memperlihatkan hipokrasi parti berkenaan.
“Saya bukannya menuduh….dan sebenarnya keenganan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengulas lanjut berhubung kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menimbulkan kontroversi bukanlah  sesuatu yang mengejutkan. Apatah lagi Presiden Pas itu sendiri mengakui bahawa tumpuan utama parti itu sekarang ialah untuk menang pilihan raya.
“Memang kita dah jangkakan perkara ini jika isu tersebut ditanyakan kepada pimpinan Pas. Tentunya akan ada yang mengambil sikap berkecuali atau pun mereka akan mengelak untuk mengulas mengenainya demi kepentingan politik kecuali segelintir daripada pimpinan Pas yang lain,” katanya.
Beliau seterusnya menambah Pas seharusnya mengambil sikap berani menegur dalam apa jua keadaan sekalipun terutama dalam soal-soal bab akidah dan melibatkan kepentingan Islam.
“Kenapa perlu takut kerana tentunya perkara-perkara sebegitu boleh mengundang polemik yang lebih berterusan dan yang lebih besar. Bukankah dalam Islam kita disarankan agar mengelakkan fitnah.
“Jangan berpura-pura kerana tentunya sejauh mana kepura-puraan itu akhirnya akan diketahui umum. Penyakit yang busuk jika ditutup dengan apa sekali pun akan tetap dihidu baunya,” katanya.
Tambahnya lagi, umat Islam perlu melihat dengan penuh ilmu bagaimana politik Pas dan tentunya akan timbul persoalan apakah kerana tawaran menuju bersama ke Putrajaya membuatkan Pas mengambil tindakan sedemikian rupa.
“Kaedah ini saya kira orang dah boleh baca dan boleh nilai….Apabila timbul sahaja isu yang melibatkan pimpinan pembangkang, banyak dalih dan banyak pula alasan yang keluar. Tak cukup bukti la dan macam-macam lagi,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Mana pendirian Pas selama ini yang kononnya berpegang kepada Islam....

Wednesday, 7 November 2012

Pandangan Nurul Izzah senada Majlis Peguam & IFC


Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, pandangan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tentang kebebasan beragama di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya Sabtu lalu hampir sama dengan pandangan Majlis Peguam sebelum ini.
Menurutnya, sebelum ini, Majlis Peguam bersama NGO-NGO pronya telah menganjurkan satu gagasan untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).
“Ini adalah satu matlamat utama IFC iaitu memberikan kebebasan memilih agama dan keluar daripada sesuatu agama termasuk dalam kalangan umat Islam.
“Adakah Nurul Izzah sedar apa yang diungkapkan itu senada dengan Majlis Peguam dan beberapa NGO lain yang cuba nak menubuhkan IFC yang ditentang habis-habisan oleh PAS,” katanya.
Zulkifli juga turut bertanya apakah pendirian PAS sekarang berkaitan dengan kenyataan Nurul Izzah, sedangkan parti itu menentang keras penubuhan IFC suatu ketika dahulu.
“Saya nak tanya PAS, adakah pendiriannya masih sama? Kalau pendiriannya masih sama menentang IFC, maknanya ia mesti menentang apa yang dicadangkan oleh Nurul Izzah.
“Tetapi kalau ia tidak lagi memegang dasar tersebut iaitu menentang IFC, ia perlu beritahu kepada ahli-ahli akar umbinya..yang PAS sekarang bersama dengan Nurul Izzah.. dengan IFC,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Kenyataan Nurul Izzah buka peluang ramai Melayu murtad...

Sultan Selangor terkejut, kesal kenyataan Nurul Izzah



Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terkejut dengan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya berkaitan isu kebebasan beragama, sebagaimana dipetik oleh beberapa media sejak hujung minggu lalu.
“MAIS berasa begitu terkejut dan kesal dengan kenyataan dikeluarkan oleh YB Nurul Izzah dalam forum Negara Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab?” kata Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, MAIS telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat siasatan untuk tindakan sewajarnya.
Kata beliau, MAIS ingin menyatakan bahawa Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor dan pelindung hak dan kepentingan kaum Melayu juga berasa terkejut dan kesal dengan kenyataan tersebut.
“Dan, baginda menolak sama sekali sebarang pandangan daripada mana-mana pihak bahawa orang Melayu yang beragama Islam mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar daripada Islam,” kata beliau.
Mohamad Adzib berkata, Islam adalah satu syarat yang menentukan status sebagai seorang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, pemikiran liberalisme atau pluralisme ini amat bahaya kerana akan menghakis hak kedudukan dan keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada.
“Sultan Selangor juga menitahkan soal-soal berkaitan Islam jangan dipolemik dan dijadikan modal politik untuk kepentingan pihak-pihak tertentu kerana boleh mengelirukan dan memesongkan fahaman umat Islam berkaitan agama Islam,” kata beliau.
MAIS, kata beliau, bertegas bahawa apa-apa pun agenda mahupun tindakan berorientasikan politik tidak boleh sekali-kali menggadai kedudukan, kefahaman dan pelaksanaan Islam di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.
“Walau apapun, MAIS telah mengarahkan JAIS membuat siasatan untuk tindakan sewajarnya,” kata beliau lagi.
Mai Pikiaq Pi: Gejala murtad akan terus menjadi-jadi tanpa kawalan jika diberi kebebasan beragama kalangan orang Melayu...