Nuffnang Ads

Monday, 19 November 2012

PM: Tindakan Tidak Islamik Pas Akan Musnahkan Kredibilitinya


Tindakan PAS mengadakan solat hajat dan mendoakan kejatuhan Barisan Nasional (BN) dan Umno pada pilihan raya umum akan datang akan memusnahkan kredibilitinya sebagai parti Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi BN dan Presiden Umno itu berkata, tindakan seumpama itu amat tidak Islamik dan bertentangan dengan prinsip Islam.
“Doa biasanya untuk kebaikan, mohon orang dipanjangkan umur, negara selamat dan negara sejahtera.
“Tak pernah doa dibuat untuk membinasakan parti. Ia bertentangan dengan prinsip Islam. Umno tak pernah pun berdoa untuk PAS dibinasakan,” katanya kepada media Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai tindakan parti pembangkang itu mengadakan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu semalam serta berdoa agar BN dan Umno dihancurkan untuk memudahkan laluan PAS ke Putrajaya.
Najib berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-21 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari bermula hari ini.
Mai Pikiaq Pi: PAS memberi gambaran buruk kepada agama lain kononnya memperjuangkan Islam...

Doa Hajat Hancurkan UMNO, BN Disifatkan Politik Desperado


Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah berdoa dan bersolat hajat untuk kehancuran parti lawan atau pimpinan lawannya.
Tegasnya, tindakan Pas dan pimpinan pembangkang berdoa dan bersolat hajat untuk kehancuran UMNO dan BN adalah sejenis politik desperado daripada spesis yang kurang beretika.
“Hajat kami (UMNO) ialah untuk kemenangan 2/3 majoriti BN agar menjadi kerajaan yang kuat bagi manfaat rakyat. Hajat kami ialah umat Islam bersatu supaya menjadi umat yang berjaya dan disegani.
“Hajat kami rakyat Malaysia berusaha jadikan negara ini maju berpendapatan tinggi tahun 2020 dan berdaya saing di pentas global untuk kebaikan rakyat. Hajat kami dalam barisan 1Malaysia, masa depan rakyat lebih terjamin, negara bertambah aman dan harmoni”, katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, hajat Pas agar UMNO dan BN hancur bermakna mereka ingin menghancurkan hajat-hajat yang baik-baik yang selama 55 tahun Merdeka telah dibuktikan dengan kejayaan terpampang di hadapan mata.
“Negara membangun dengan baik, rakyat berpadu harmoni, malahan disebut negara Islam contoh di dunia ini.
“Hajat Pas semata-mata ingin merebut kuasa untuk jadikan Negara Berkebajikan yang telah lama UMNO dan BN usahakan," ujarnya.
Jelas beliau lagi, perjuangan pembangkang sebenarnya semakin tidak relevan kerana berjuang apa yang BN sedang jayakan.
Malah katanya, perjuangan Pas menggadaikan prinsip asal hanya semata-mata untuk memuaskan kelompok DAP dan PKR.
“Oleh itu, jangan gadaikan negara ini kepada parti yang telah menggadai prinsip asal perjuangan mereka.
“Jangan gadaikan negara kepada mereka yang berfikiran untuk menghancurkan sesama seagama, sebangsa dan senegara. Mari kita doakan kemenangan kepada hajat mulia untuk kesejahteraan negara," ujarnya.
Mai Pikiaq Pi: Agama Islam sendiri menegah umatnya mendoakan keburukan untuk orang lain.... 

Fathul Bari turut gesa Nurul Izzah bertaubat


Meskipun PAS berusaha untuk mendiamkan diri dalam isu kenyataan Nurul Izzah di gereja, seorang lagi ulama muda, Ustaz Fathul Bari tampil menggesa Naib Presiden PKR itu bertaubat.
“Isu hak bangsa satu isu, isu mendaulatkan Islam satu isu yang lain, jangan dicampuradukkan.
“Hak bangsa adalah satu hak, kita kena pertahankan hak Melayu. Itu adalah perjanjian yang termaterai dulu lagi dan kita hidup aman kerana perjanjian tersebut.
“Dan kemudian, Melayu diikat dengan Islam. Tidak ada di negara Arab di dunia ini yang meletakkan bangsa mereka dengan agama Islam, melainkan Melayu, tetapi mengapa tiba-tiba kita nak membuka ruang (untuk robohkan),” katanya dalam rakaman ceramah di Terengganu yang diterbitkan abuaqif studio, 15 Nov.
Menurutnya, dalam isu ini sepatutnya Nurul Izzah menarik balik kenyataan yang pernah dibuat di gereja tersebut dan bukannya terus mempertahankannya dengan teknik memutar belit.
“Cuba perhati baik-baik..apabila kenyataan Nurul Izzah menyebut secara terang. Saya minta dia tarik balik, senang. Bila dia tarik balik, dia kata tersalah cakap, itu merupakan satu kemuliaan untuknya.
“Tapi masalahnya tak mengaku salah. Putar. Yang ni yang problem,” katanya lagi.
Katanya lagi, pendirian Nurul Izzah di gereja itu bercanggah dengan pendirian PAS yang berhasrat untuk melaksanakan hudud di negara ini.
Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pernah menasihatkan Nurul Izzah supaya bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT serta menarik kembali kenyataannya berhubung kebebasan beragama di gereja tersebut.
“Dia (Nurul Izzah) terlampau mudah buat kenyataan seperti itu. Dia perlu bertaubat, bertaubatlah dan tarik balik kenyataan dalam ucapannya itu. Minta maaflah kepada semua. Manusia ini tidak lari daripada melakukan kesilapan, kita mudah melakukan kesilapan,” katanya.
Namun kenyataan Mufti Perak itu disanggah oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib yang turut meminta Harussani turut bertaubat kerana didakwa tidak menyokong perjuangan Islam.
“Bertaubat kalau dia (Nurul Izzah) buat salah besar… Tan Sri Harussani harus bertaubat juga kerana tidak menyokong perjuangan Islam. Dia juga harus bertaubat,” katanya yang dilaporkan cuba mengelak diri apabila diajukan soalan lanjut tentang isu tersebut.
Harussani menjawab gesaan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu dengan berkata, beliau sentiasa bertaubat selepas menunaikan solat, sebanyak 10 kali di atas apa jua kesilapan yang telah dilakukannya.
Menurutnya, setiap manusia sentiasa melakukan kesalahan dan dengan bertaubat, umat Islam tidak akan terus berada dalam dosa di atas kesilapan yang dilakukan.
“Jadi, saya hanya meminta (Naib Presiden PKR) Nurul Izzah bertaubat apabila melakukan kesalahan,” gesanya lagi.
Harussani berkata, perjuangan Islam mestilah menurut acuan Islam yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan bukannya hanya berkepentingan politik sahaja.
“Perjuangan orang Islam terutamanya pemimpin sekarang lebih kepada kepentingan politik sendiri.
“Mereka jauh terpesong, mereka tidak mengikut ajaran Islam dan tidak mengikut sunnah Rasulullah,” kata beliau lagi.
Mai Pikiaq Pi: Pas memperjuangkan Islam hanya kepentingan politik semata-mata bukannya sebagai pejuang tulen...

Friday, 16 November 2012

Harussani: Nurul Izzah wajib bertaubat


Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan supaya anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT serta menarik kembali kenyataannya berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya, baru-baru ini.
Beliau juga mengulangi nasihat itu untuk seluruh pengikut pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit yang menyokong serta bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan itu kerana ia adalah berdosa besar.
“Dia (Nurul Izzah) terlampau mudah buat kenyataan seperti itu. Dia perlu bertaubat, bertaubatlah dan tarik balik kenyataan dalam ucapannya itu. Minta maaflah kepada semua. Manusia ini tidak lari daripada melakukan kesilapan, kita mudah melakukan kesilapan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.
Katanya, pengikut pemimpin pembangkang itu juga bersubahat dalam tindakan atau perbuatan yang tidak dibenarkan oleh agama Islam dan berdosa besar.
“Orang ini (pengikut) bersubahat dan berdosa besar, mereka wajib bertaubat… perlu menggunakan akal yang waras. Jangan permain-mainkan agama,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: PAS kata Nurul Izzah tak perlu bertaubat atas kenyataan orang Melayu perlu diberi kebebasan beragama... Mana letaknya prinsip sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam???

PAS TANDATANGANI PERJANJIAN SULIT


Seorang bekas ahli seumur hidup PAS, Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena sebagai CN Al-Afghani mendedahkan PAS telah menandatangani satu perjanjian sulit dengan DAP dan PKR untuk menggugurkan perjuangan hudud dan Negara Islam.
Menurutnya, perjanjian sulit itu ditandatangani pada 18 Disember 2009 antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita ini ditipu oleh pimpinan. Kalau baca dalam buku saya ini, ada saya sebut, persefahaman pada 18 Disember 2009 telah disebut dan ditandatangani oleh tiga orang pemimpin.
“PAS oleh Tuan Guru Haji Hadi, PKR oleh penasihat dia, dan DAP oleh Lim Kit Siang.
“Apa yang ditandatangani, antara kandungannya, apabila PR berkuasa di Putrajaya, pemerintahan ini tidak akan menyentuh tentang hudud dan Negara Islam,”dedahnya dalam Wacana Mengembalikan Pas ke Landasan Asal, 11 November.
“UMNO memang jahat, tak mahu buat hudud, tapi UMNO tidak pernah janji untuk buat hudud. Dan dia (UMNO) tidak pernah tanda tangan untuk menafikan hudud.
“Tetapi pimpinan kita menandatangani..tidak akan laksanakan hudud. Ini kita tidak tahu perkara ini. Ini kesilapan pemimpin-pemimpin kita, buat sesuatu tidak hebah kepada rakyat,”katanya lagi.
Semua pendedahan itu terkandung dalam buku terbarunya yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.
C.N Al-Afghani sebelum ini pernah menulis buku kontoversi bertajuk ” Mohd Sabu Air Mata di Bumi Memali,” mendedahkan wujudnya penyelewengan dan penipuan berjuta-juta ringgit milik berpuluh-puluh anak yatim, 14 balu dan 200 mangsa Memali oleh pihak kepimpinan PAS.
Akibatnya, buku tersebut dilarang dijual ketika berlangsungnya Majlis Memperingati 25 Tahun Memali pada November 2010, namun difahamkan saudara mara dan anak-anak mangsa Memali berusaha gigih menjual buku tersebut agar penyelewengan itu terdedah kepada umum.
Menurut penulis, kutipan derma yang dibuat dari tahun 1986 sehingga ke 2001 iaitu selama 15 tahun, tidak pernah dibuat laporan penyata kewangan yang jelas.
Kesannya, pada tahun 2001, salah seorang keluarga mangsa pernah membuat laporan polis tentang penyelewengan tersebut.
Mai Pikiaq Pi: PAS telah melupai perjuangan asalnya demi kepentingan politik bersama DAP dan PKR...

Sultan Pahang kecewa kenyataan Nurul Izzah


Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah meluahkan rasa kecewa dan dukacitanya terhadap kenyataan seorang pemimpin pembangkang mengenai isu kebebasan beragama rakyat termasuk orang Melayu baru-baru ini.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai mengarut dan tidak masuk akal, baginda juga kesal dengan pihak terbabit yang terlalu lantang bercakap mengenai agama tanpa memperhalusi kesannya kepada masyarakat terutama umat Islam.
“Sebagai Ketua Agama Islam dan pemerintah negeri Pahang saya berasa sedih, dukacita (dengan kenyataan itu). Kita tidak boleh terlampau lantang sangat sebut pasal agama ini.
“Saya nasihatkan agar rakyat tidak mendengar cakap-cakap sebegitu dan perlu memikirkan perkara itu dengan sehalus-halusnya,” titah baginda selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, di sini Khamis.
Baginda bertitah sebagai seorang Islam, kenyataan berkaitan agama Islam tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa merujuk kepada pihak yang lebih arif.
“Tidak semestinya orang yang mahir tentang Islam boleh bercakap mengenai Islam, saya juga mahir dan boleh juga bercakap mengenai Islam tapi kita ada Majlis Agama Islam, ulama kita semua bijak bistari, sebab itu saya tak berani bercakap,” titah baginda.
“Saya sayang agama saya. Kita kena sanjung agama kita setinggi-tingginya dan jaga dengan sepenuh hati. Dalam Perlembagaan turut menyebut bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini,” titahnya.
Pada 3 Nov lepas, portal berita Malaysiakini melaporkan Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sebagai berkata, rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.
“Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama…bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.
Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?’, di Subang Jaya pada 3 Nov.
Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menasihatkan umat Islam agar berhati-hati dengan pihak tertentu dan kenyataan sedemikian yang boleh membawa kepada penyelewengan dan merosakkan akidah umat Islam.
“Jangan ikut kehendak pemikiran yang boleh merosakkan akidah. Ini salah satu usaha yang dilakukan oleh musuh Islam yang suka hendak menyeleweng akidah umat Islam dengan cara meragukan orang Islam dengan pemikiran yang menyimpang (daripada ajaran Islam sebenar),” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Kenyataan Nurul Izzah boleh memesongkan akidah umat Islam!

Wednesday, 14 November 2012

Pemimpin gagal pertahan agama Islam wajar ditolak


Kenyataan mengelirukan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama diharap dapat membuka mata rakyat untuk menolak pemimpin yang gagal mempertahankan kesucian agama Islam.
Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, kenyataan yang boleh memesongkan akidah umat Islam itu juga tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin Islam seperti Nurul Izzah kerana dikhuatiri menjadi ikutan khususnya oleh generasi muda.
Beliau berpendapat, tindakan tegas harus dikenakan terhadap Anggota Parlimen Lembah Pantai itu sebagai pengajaran kerana cuba memesongkan soal agama demi kepentingan politik dan cita-cita memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Saya tidak tahulah bagaimana pendirian dia (dalam soal agama), tetapi nampaknya dia ‘desperate’ (terdesak) sangat hendak menang (pilihan raya) sehingga sanggup gadai akidah sedangkan dia tahu perkara ini boleh menjadi ikutan khususnya generasi muda yang taksub dengan beliau.
“Saya harap perkara ini dapat membuka mata rakyat… pemimpin yang sanggup menggadaikan maruah dan akidah harus ditolak,” katanya.
Sharifah Azizah mengulas kenyataan Nurul Izzah sebelum ini bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara itu juga patut terpakai kepada orang Melayu.
Anggota Parlimen Lembah Pantai itu di dalam forum “Negara Islam: Versi Mana, Tanggungjawab Siapa?”, di Subang Jaya pada 3 November lepas juga dipetik sebagai berkata: "Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata".
Menolak andaian ‘terlepas cakap’ dalam isu itu, Sharifah Azizah yakin Nurul Izzah bukan cetek pengetahuan agama, tetapi bertindak begitu untuk menunjukkan beliau bukan terlalu fanatik dalam Islam.
“Beliau bukan budak umur 10 tahun…saya tak percaya dia tak sengaja (mengeluarkan kenyataan) tetapi (sebaliknya) terpaksa berperwatakan begini untuk menunjukkan dia bukan terlalu fanatik pada Islam, menyokong pengamal seks bebas lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan beragama…,” katanya.
Beliau juga menyifatkan Nurul Izzah sengaja menegakkan benang yang basah dengan menyaman media arus perdana dan tidak mengambil tindakan terhadap portal propembangkang yang menyiarkan kenyataan kontroversinya itu baru-baru ini.
Pengerusi Biro Agama Wanita UMNO, Datin Paduka Mesrah Selamat pula secara peribadi berpendapat seorang pemimpin Islam yang gagal menjaga kepentingan agama Islam tidak layak menjadi pemimpin dan harus ditolak rakyat.
Merujuk surah Al-Kafirun yang isi kandungannya tidak diizinkan orang Islam berkompromi dalam bentuk mencampuradukkan ajaran agama, Mesrah berkata, pemimpin Islam yang tidak memahami surah itu perlu ditolak oleh rakyat tanpa mengira pegangan politik.
“Kita tidak boleh kompromi, berselindung agenda politik di sebalik agama…tidak kira di platform mana pun, kita bercakap dengan kelompok mana sekali pun, soal agama mesti cakap yang betul, kita tidak boleh kompromi,” katanya.
Katanya, kenyataan Nurul Izzah mungkin boleh memberi impak khususnya kepada anak-anak muda Islam.
Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) pula menyifatkan kenyataan Nurul Izzah sebagai tidak bertanggungjawab dan biadab, sambil menggesa pihak berwajib membuat penyiasatan terperinci dan menyeluruh berhubung kenyataan berkenaan.
Kontroversi itu jika dibiar berterusan boleh memberi salah tanggapan mengenai Islam selain membuka ruang kepada pihak lain untuk menghasut orang Islam, kata Pembela dalam kenyataan media.
“Pembela tidak akan sekali-kali menerima sebarang petualang (termasuk ahli politik) untuk menangguk di air keruh, untuk memporak-perandakan ummah demi memenuhi niat jahat mereka, lebih-lebih lagi mereka yang sedia bersekongkol membantu merosakkan akidah dan memurtadkan kaum seagamanya."
Mai Pikiaq Pi: Kita tiada kompromi dalam soal akidah... Justeru, rakyat perlulah menolak pemimpin yang jelas memperlekehkan agama Islam....