Nuffnang Ads

Tuesday, 22 January 2013

Isu Kalimah Allah: Tindakan Anwar Sembunyi Tengkuk, Berdiam Diri Dibidas


Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendiamkan diri menyembunyikan tengkuk dari memberikan sebarang komentar mengenai  polemik  isu kalimah Allah yang ditimbulkan oleh Lim Guan Eng baru-baru ini, dilihat merupakan jalan selamat bagi beliau apatah lagi kepimpinan Pas akhirnya menukar  pendirian mereka  berhubung isu tersebut.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman beranggapan bahawa Anwar kini teperangkap di dalam permainan politiknya sendiri apabila kepimpinan Pas baru-baru ini, termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini bersetuju dengan isu kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam, akur dengan keputusan Majlis syura ulama Pas.
“Bila kepimpinan Pas ambil keputusan tidak mahu bersubahat dalam isu ini, jelas Anwar mati akal. Sebab itu kita lihat tidak ada sebarang kenyataan berhubung isu ini yang dikeluarkan oleh beliau. Ini merupakan jalan selamat bagi beliau agar tidak dipandang serong oleh kepimpinan Pas mahupun DAP.
“Begitulah sikap Anwar. Jika sesuatu isu itu dilihat tidak mendatangkan keuntungan pada kepentingan politiknya, beliau akan mengambil jalan berdiam diri. Tetapi jika ada sesuatu isu yang dilihat akan memberikan keuntungan politik bagi dirinya, beliau akan hebohkan satu dunia, biarpun isu tersebut belum tentu lagi sejauh mana kebenarannya,” tegas beliau kepada UMNO-Online hari ini.
Tambah Satim, beliau yakin bahawa Anwar akan terus mendiamkan diri dalam isu ini untuk menjaga hati pengikut dan penyokong Pas dan juga DAP.
“Anwar tahu kalau beliau menyatakan pendiriannya sekali lagi berhubung isu ini, sudah tentu ada diantara dua parti tersebut, samada Pas atau DAP akan membidas beliau. Jadi, mahu tak mahu beliau terpaksa mendiamkan diri daripada membuat sebarang komen tentang isu tersebut kerana bimbangkan retak di dalam Pakatan akan menjadi belah.
“Dan secara umumnya rakyat sehingga ke hari ini sudah jelas dengan pendirian  Anwar, bahawa beliau masih lagi tetap dengan keputusannya yang  bersetuju bahawa kalimah Allah boleh diguna pakai oleh orang bukan Islam, seperti mana yang diumumkan beliau bersama kepimpinan Pakatan Pembangkang sebelum ini.
“Tapi tak tahulah kalau esok lusa beliau juga pusing kenyataannya, namun saya yakin Anwar akan terus berdiam diri daripada membuat sebarang kenyataan tentang isu ini sebagai jalan selamat demi kepentingan politiknya di dalam Pakatan Pembangkang,” ujarnya.
Mai Pikiaq Pi: Anwar hanya pandai berkata BOHONG!!! 

Monday, 21 January 2013

MELAYU SERAH BANYAK HAK ATAS NAMA PERPADUAN


Melayu sudah menyerahkan banyak hak mereka kepada kaum lain di negara ini semata-mata untuk mewujudkan perpaduan dan suasana yang harmoni.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Melayu suatu ketika dahulu mempunyai 80 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini tetapi sanggup berkorban dan menyerahkan sebahagian hak itu kepada kaum lain.

“Selepas itu, jumlahnya berkurangan kepada 60 peratus. Tiada penduduk di mana-mana negara di dunia ini yang mahu berbuat demikian.

“Hanya orang Melayu yang sanggup melakukannya. Kita banyak menyerah dan berkorban hak untuk orang lain.

“Segala-galanya kita serah kepada orang asing. Kita sanggup tukar nama Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia. Tiada lagi unsur Melayu yang ada. Orang Melayu tidak marah tetapi merelakannya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Program Transformasi Ekonomi dan Pelajaran Melayu Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di
sini, semalam.

Selain itu, orang Melayu memberi hak warganegara atau kerakyatan kepada orang asing walaupun ia tidak berlaku di negara lain sejak dahulu lagi.

“Walaupun kita penduduk majoriti tetapi orang Melayu hanya menguasai 30 peratus ekonomi.

“Berbanding penduduk kaum lain berjumlah 40 peratus, mereka menguasai 70 peratus dari ekonomi negara ini.

“Orang Melayu masih menyerah dan merelakannya.

Tetapi apabila peluang 30 peratus yang ada pun masih mahu diganggu orang lain, orang Melayu mulai gusar dan menjadi marah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, penduduk kaum lain di negara ini perlu bersyukur dan berterima kasih kepada Melayu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mewujudkan keamanan di Malaysia.

Mahathir turut membidas sikap sesetengah kaum di negara ini yang masih belum puas, sebaliknya mahu pula menguasai politik tanah air, yang selama ini didominasi orang dan parti politik Melayu.

“Tak cukup lagikah dengan penguasaan 70 peratus dalam ekonomi selama ini. Apa matlamat mereka untuk menguasai politik pula,”
katanya.

Menurutnya, Melayu perlu sedar keadaan itu dan memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang untuk memastikan nasib mereka terus terbela hingga generasi akan datang.
Mai Pikiaq Pi: Bangsa lain sepatutnya bersyukur atas nikmat yang diperoleh di Tanah Melayu...

Kenyataan Azmin bukti kecelaruan kepimpinan Pakatan Pembangkang


Kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali bahawa Pakatan Pembangkang akan terus berpegang kepada keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada penganut Kristian memperlihatkan betapa bercelarunya perpaduan dan kesepakatan yang wujud di dalam gabungan parti pembangkang tersebut.
Menurut bekas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Hidayat Mohd Shariff berkata, ini merupakan masalah yang paling kritikal di dalam Pakatan Pembangkang di mana ketiga-ketiga parti sering bercanggah pendapat dalam menangani isu-isu yang timbul.
“Saya tidak terkejut dengan kenyataan Azmin. Memang ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Pembangkang tidak pernah sepakat dan sekata dalam menghadapi sebarang isu yang timbul. Kita sudah lihat banyak contoh yang berlaku sepanjang pemerintahan mereka di beberapa buah negeri selama empat tahun kebelakangan ini.
“Jika dalam hal-hal sebegini pun mereka tidak boleh bersepakat, bagaimana mereka mahu bersepakat untuk membina dan mentadbir negara? Sudah tentu akibat ketidaksepakatan mereka sesama sendiri, pentadbiran negara akan bertambah caca marba akibat perbalahan pendapat sesama sendiri. Inilah masalah utama Pakatan Pembangkang,” tegas beliau di sini hari ini.
Beliau juga menjangkakan bahawa ahli-ahli dan kepimpinan Pas juga terbahagi dua di mana satu puak akan menyokong kenyataan Azmin manakala satu puak lagi akan mempertahankan keputusan Majlis Syura Ulama Pas.
“Pas perlu sedar bahawa di kalangan kepimpinan mereka ada pengikut-pengikut tegar Anwar Ibrahim. Selama ini, sememangnya Anwar telah meletakkan orang-orangnya untuk meliberalkan Pas dan juga akan menenggelamkan suara majlis syura ulama Pas.
“Kenyataan Azmin itu sudah cukup untuk menggambarkan penolakan terhadap keputusan Majlis Syura Ulama Pas dan saya yakin kenyataan Azmin itu keluar setelah mendapat restu dari kepimpian tertinggi PKR,” tegas beliau.
Justeru itu beliau menyeru rakyat, khususnya ahli-ahli PKR dan Pas agar membuka mata supaya tidak tertipu dengan permainan politik kepimpinan di dalam ketiga-tiga parti tersebut.
“Apa yang jelas, mereka tidak pernah sepakat. Tanpa kesepakatan, bagaimana kita mampu untuk mentadbir negara dengan baik? Mereka lebih banyak menghabiskan masa berbalah sesama sendiri untuk menegakkan kepentingan politik parti masing-masing, sehingga mengabaikan rakyat yang telah memilih mereka sebagai wakil rakyat dan kerajaan,” ujarnya.
Mai Pikiaq Pi: Jangan politikkan agama!!!  

Kalimah Allah: DAP Mahu Presiden PAS Ubah Semula Keputusan Majlis Syura


Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh akan meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya mengubah semula pendirian Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam termasuk Bible versi Bahasa Melayu.
Karpal dilaporkan berkata, Hadi perlu melakukan perkara itu supaya keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang bermesyuarat pada 13 Januari tidak bercanggah dengan keputusan yang dicapai Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 8 Januari lalu.
“Adalah penting untuk Majlis Syura Ulama Pas mengambil satu pendirian yang sama dengan PR dan saya harap Abdul Hadi dapat menentukan pendirian Majlis Syura.
“Saya merayu kepada Abdul Hadi agar dapat menentukan semula pendirian Majlis Syura ini,” kata beliau pada sidang media di Georgetown hari ini.
Ahad lalu, Majlis Syura Ulama Pas yang dianggotai 15 anggota memutuskan sebulat suara bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu selepas isu berkenaan dibantah pelbagai pihak.
Mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa menterjemah perkataan ‘God’ atau ‘Lord’ daripada mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah daripada segi makna, tidak menepati kehendak sebenar dan perlu dicegah kerana membawa kekeliruan yang nyata.
Hadi juga termasuk salah seorang ahli Majlis Syura Pas yang bersetuju dengan keputusan tersebut.
Isu penggunaan kalimah ALLAH timbul selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sambutan Krismas lalu meminta kerajaan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam Bible Bahasa Melayu.
Semalam, Nik Aziz secara tegasnya mahu semua pihak termasuk pemimpin PR menerima keputusan Majlis Syura Ulama iaitu kalimah ALLAH tidak boleh digunakan bukan Islam.
Nik Aziz berkata, perkara itu tidak perlu ditimbulkan semula setelah Majlis Syura Ulama menetapkan larangan penggunaan kalimah yang eksklusif bagi orang Islam itu diterjemahkan mana-mana kitab agama bukan Islam kerana salah dari segi maknanya.
Diminta mengulas tindakan Guan Eng yang enggan mengulas mengenai isu itu, Karpal berkata:
“Bukan Guan Eng tidak mahu mengulas… dia tidak tukar pendirian dia. Itu maksudnya apabila dia tidak mahu mengulas.”
Di Sabah dan Sarawak, katanya, ia diamalkan sejak sekian lama dan tidak pula timbul sebarang masalah atau tentangan.
“Jadi saya rasa ia juga boleh dilaksanakan di Semenanjung kerana tidak akan menjejaskan mana-mana kuasa dan pihak,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: DAP tiba-tiba nak jadi juara kalangan penganut Kristian sedangkan mereka telah menyentuh sensitiviti masyarakat Islam...

Friday, 18 January 2013

Orang Melayu Ada 2 Pilihan - Dr. Mahathir

Di sebalik demam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin dirasai, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan orang Melayu bahawa mereka bukan sekadar bakal berhadapan dengan pilihan raya umum biasa, sebaliknya bakal menentukan percaturan survival masa depan.

Dalam mencapai matlamat itu, bekas Perdana Menteri berkata, orang Melayu sebenarnya boleh membuat keputusan sama ada yang akan mendatangkan kebaikan ataupun keburukan terhadap masa depan bangsa mereka sendiri.

PRU13 dilabel sebagai ibu kepada segala pilihan raya umum negara ini.

Malah katanya, “orang Melayu boleh membuat pilihan yang akan memberi kebaikan hanya pada masa ini tetapi masa depan yang akan terkubur.

“Jadi, apa yang kita nak ramal untuk masa depan kita?

“Saya berpendapat, orang Melayu cuma mempunyai dua pilihan.

"Bagi yang sedar, mereka akan mempertahankan kedudukan mereka dan bagi yang tidak sedar, mereka akan berkata keadaan adalah biasa... kami orang Malaysia dan kita tidak perlu kaitkan diri kita dengan Melayu lagi, kita juga akan berjaya,” kata negara ini yang dilihat akan memainkan peranan penting dalam menentukan arah aliran sokongan pada PRU13.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk "Masa Depan Melayu & Islam Selepas PRU13" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri dan telah memimpin Barisan Nasional pada PRU 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Antara yang hadir sama pada majlis hari ini ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan bekas Ahli Parlimen Shah Alam yang juga bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin.

Program petang ini menarik kehadirin sekitar 500 orang.

Pada program itu, Dr Mahathir turut melancarkan buku Berani Tanpa Segan tulisan Tan Sri Abdullah Ahmad.

Menyentuh pelbagai aspek berkaitan dengan masa depan politik orang Melayu, Dr Mahathir berkata, masa depan orang Melayu adalah berdasarkan apa yang difikirkan dan kebolehan bangsa itu membuat pertimbangan, terutamanya sejauh mana kecekapan mereka untuk meneka apa yang akan serta sudah berlaku.

Katanya, tidak ramai yang membuat kajian sendiri mengenai perkara seperti ini dan rata-rata apabila orang Melayu berasa marah, mereka sekadar melepaskan rasa marah.

“Kita tidak bertindak untuk mengatasi masalah, sebaliknya kita hanya marah.

"Mengapa kita kata begitu... tak baik, itu sahaja, sebaliknya kita perlu bertindak bukan untuk mengganas seperti di negara-negara yang lain dengan mengikat bom pada badan dan letupkan diri kita.

“Hanya yang dikehendaki, kita harus berfikir secara mendalam tentang masa depan kita dan bagaimana menyelamatkan dan memajukan masa depan kita,” jelas beliau.

Dr. Mahathir yang juga bekas Presiden Umno menambah, sebagai sebuah negara demokrasi, keputusan banyak bergantung kepada pemilihan orang Melayu termasuk pemilihan tentang siapa yang mampu mentadbir negara.


Ujarnya lagi, jika orang Melayu bertindak berasaskan emosi dan terutamanya kebencian, beliau yakin masa depan orang Melayu tidak akan terjamin.

“Sebaliknya, jika berfikir secara mendalam, berasaskan kepada pengalaman kita berasaskan keadaan, sejarah dan keadaan yang kita lihat sekarang, saya yakin kita akan membuat pilihan bijak.

"Pilihan yang bijak akan menentukan masa depan kita akan terselamat," katanya.

Dr. Mahathir, seorang doktor perubatan sebelum menceburi politik dan pernah menghasilkan buku "Dilema Melayu" yang popular berkata:

"Kita juga harus ingat orang Melayu ini juga yang beragama Islam."

"Kalau orang Melayu gagal, disingkir dan diketepikan dan menjadi kaum yang termiskin dalam negara kita ini, percayalah agama Islam juga akan menghadapi masalah," kata beliau.


Mai Pikiaq Pi: Orang Melayu jangan gadaikan masa depan hanya ingim mencuba.... 

BN gagal dua pertiga makna 'kemenangan kosong' - Dr. Mahathir


Barisan Nasional (BN) dikira tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekiranya mereka masih gagal memperoleh kemenangan dua pertiga seperti mana disaksikan pada tahun 2008.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun BN masih menang, namun kemenangan tersebut disifatkan "kosong" kerana sebuah kerajaan yang berwibawa memerlukan kemenangan majoriti besar dalam Dewan Rakyat.

Menurutnya, dalam sistem demokrasi, kerajaan yang lemah amat mudah diserang dan kekuatan mereka akan terus merosot jika tidak berani bertindak.

“Untuk menghadapi PRU13, pemimpin-pemimpin kena berani menonjolkan diri, jangan takut, jika terus takut maka kerajaan akan terus diserang dari pelbagai penjuru.

“Jadi sekiranya kerajaan sekarang gagal mendapat dua pertiga, maka kerajaan yang ada sekarang adalah lemah,” katanya pada program Bicara Minda: Masa Depan Melayu dan Islam Selepas PRU13?’ anjuran Sinar Harian di sini, semalam.

Selain itu, Dr. Mahathir turut menegur kerajaan sekarang yang dilihat terlalu berlembut dengan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak pembangkang sehinggakan keputusan tersebut amat merugikan.

Sambil memberi contoh pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Dr Mahathir menegaskan pelbagai negara seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat (AS) meniru Malaysia, walaupun pernah menuduh akta ini menindas hak asasi manusia.

“Di Malaysia, tangkapan ISA masih tertakluk di bawah undang-undang, tetapi AS terus menangkap tanpa apa-apa undang-undang dan menempatkan mereka di Teluk Guantanamo sehingga 10 tahun lebih,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Jangan ulangi kesilapan 2008!

Soal pemilihan calon, pembahagian kerusi hampir selesai


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perbincangan soal pembahagian kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) telah hampir selesai dan begitu juga pemilihan  calon-calon di mana sebahagian besarnya telah pun diputuskan di dalam beberapa siri perbincangan sebelum ini.
Menurut Najib, biarpun begitu namun masih ada beberapa perkara yang  memerlukan penelitian yang lebih mendalam untuk memastikan bahawa pilihan calon tersebut tepat bukan sahaja daripada sudut kebolehan tetapi juga daripada sudut penerimaan rakyat.
“Dalam menghadapi  PRU tidak lama lagi, semua parti komponen BN telah diberikan panduan yang jelas dan kita akan tentukan beberapa perkara  lain seperti manifesto, logistik dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan persediaan menghadapi PRU ini.
“Manakala tarikh pengumuman calon pula setakat ini kita masih belum putuskan bila, namun perbincangan serta pandangan tentang perkara tersebut telah pun ada. Namun  kita belum buat keputusan lagi bila masa yang sesuai untuk membuat pengumuman tersebut,” kata beliau kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di PWTC, Khamis semalam.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang sokongan rakyat terhadap BN, beliau berkata, setakat ini banyak petanda bahawa sokongan rakyat kini bertambah  dan lebih positif kepada BN.
“Namun kita sedar dalam masa pilihanraya ini  ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi keputusan akhir pilihanraya nanti. Oleh itu,  kita tak mahu bersikap terlalu selesa dan terlalu yakin seolah-olah tidak ada apa  yang boleh menggugat kedudukkan kita.
“Saya berharap agar BN terus menggandakan usaha untuk memastikan semua urusan yang perlu dilakukan,  akan dilakukan dengan sebaik mungkin dan kita akan terus memberikan semangat serta keyakinan kepada jentera BN untuk memenangi PRU akan datang ini,” ujarnya.
Mai Pikiaq Pi: Harap calon BN kali ini akan memenuhi inspirasi penduduk di kwsn masing-masing...