Nuffnang Ads

Wednesday, 30 January 2013

DAP tak mampu sangkal isu rasuah, rasis


Bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Fairus Khairuddin percaya DAP tidak mampu untuk menjawab apatah lagi menyangkal kenyataan bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim  berhubung isu rasuah dan rasis yang diamalkan parti itu.
Ini kerana tegasnya sehingga kini DAP terutama Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng terus mengunci mulut walaupun isu rasuah dan rasis yang dibangkitkan Tunku Aziz itu sudah lama berlarutan.
“Bak kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah. Ini belum lagi isu kesilapan kira undi. Nampaknya DAP sudah terkena ludah mereka sendiri.
“Mereka terutama Guan Eng boleh terus tutup mulut tapi rakyat akan terus buka mata dan fikiran untuk menilai sejauh mana kebenaran kononnya DAP ini satu parti yang bersih, telus dan ada akauntabiliti”, katanya di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan DAP yang sehingga kini masih berdiam diri berhubung dakwaan oleh bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim  berkenaan isu rasuah dan rasis parti berkenaan.
Mengulas lebih lanjut Fairus seterusnya menambah DAP hanya nampak kesalahan dan kesilapan orang lain umpama mengata kain orang koyak tetapi kain sendiri makin terlondeh.
“Sebenarnya pelbagai pendedahan serta dakwaan oleh Tunku Aziz menjadi bukti bahawa parti terbabit telah terkena batang hidung sendiri. Dan seharusnya Tunku Aziz perlu mendedahkan apa lagi yang belum didedahkan untuk kepentingan umum.
“Percayalah….bangkai jika ditutup dengan apa sekali pun ianya akan tetap berbau dan akhirnya diketahui umum juga akhirnya. Apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar untuk menyembunyikan wajah hodoh mereka yang sebenarnya,” ujar beliau.
Beliau seterusnya percaya DAP akan selamanya berdiam diri dan tidak akan berani tampil untuk memberikan penjelasan yang sepatutnya.
Mai Pikiaq Pi: DAP hanya pandai mengambil kesempatan ke atas orang Melayu! 

Tuesday, 29 January 2013

DAP Pernah Pancing Anakanda Tunku Muhriz Jadi Calon - Tunku Aziz


Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa, Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook pernah meminta beliau memujuk anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk menjadi calon parti itu dan bertanding di kerusi DUN pada pilihan raya umum.
Tunku Abdul Aziz berkata, Loke meminta beliau mengadakan satu majlis dan menjemput Tunku Zain Al-’Abidin ke majlis itu untuk menyatakan hasrat tersebut kepada baginda.
“Kerana DAP telah melihat Tunku ini seorang yang amat pintar, petah bercakap, jadi dia nak sasarlah Tunku dan suruh saya sebagai ‘Tunku yang tua’ barangkali boleh saya pujuk ‘Tunku yang muda’ ini.
“Kononnya untuk bagi Tunku jadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Tidakkah ini satu benda yang bodoh, tak masuk akal. Anak jadi Menteri Besar, ayah jadi Yang Dipertuan Besar,” katanya dalam satu ceramah di sini malam ini.
Tunku Abdul Aziz berkata, beliau bagaimanapun telah menyampaikan hasrat DAP itu kepada Tunku Zain Al-’Abidin namun ditolak baginda.
Tunku Abdul Aziz berkata, Loke yang juga Anggota Parlimen Rasah, tidak berhenti setakat itu sahaja, sebaliknya terus meminta beliau memujuk Tunku Zain Al-’Abidin untuk bertanding mewakili DAP, dan kali ini di kerusi Parlimen serta berjanji akan menawarkan jawatan menteri kabinet kepada baginda jika pembangkang menguasai Putrajaya.
Bagaimanapun, Tunku Abdul Aziz berkata beliau tidak menyampaikan hasrat Loke itu kepada Tunku Zain Al-Abidin kerana berpendapat ia sesuatu yang tidak masuk akal.
Katanya, perkara ini jelas menunjukkan DAP adalah parti yang sanggup melakukan apa sahaja bagi menguasai Putrajaya sehingga ke tahap ‘memancing’ anakanda pemerintah utama Negeri Sembilan untuk bertanding dalam pilihan raya mewakili parti itu.
Dalam pada itu, Tunku Abdul Aziz menyifatkan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu kalimah ‘Allah’ digunakan dalam Bible sebagai tidak sensitif dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah ‘batu api’.
Menurutnya, agama dan politik tidak boleh dicampuradukkan kerana akan mengakibatkan bahaya yang besar, terutama dalam perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Mai Pikiaq Pi: MPP hanya tau pancing ikan aje..... Lainlah DAP hanya tau pancing tp tak kena jerat....

Sokongan Padu Rakyat Perlu Untuk Teruskan Projek Berimpak Tinggi


Sokongan padu rakyat adalah amat perlu bagi membolehkan kerajaan sekarang meneruskan usaha melaksanakan projek-projek berimpak tinggi yang memberi manfaat besar kepada mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, projek-projek berimpak tinggi ini telah dijalankan sejak tiga tahun lepas melalui pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi yang mengutamakan peningkatan pendapatan rakyat.
Biarpun Malaysia secara keseluruhannya telah berjaya mencapai pembangunan lebih tinggi, apa yang lebih penting adalah impak positifnya kepada rakyat, katanya semasa berucap merasmikan kompleks Medan Niaga Satok yang bernilai RM46.6 juta di sini hari ini.
“Tidak ada maknanya sebuah negeri atau negara itu maju tetapi rakyatnya miskin. Kerajaan mempunyai wang yang banyak tetapi rakyat tidak mempunyai apa-apa,” katanya.
Menurutnya, projek Medan Niaga Satok ini juga merupakan salah sebuah projek yang berjaya menjana impak yang positif dalam membantu rakyat, khususnya golongan petani untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Melalui kerjasama erat kerajaan negeri Sarawak dan Persekutuan, Muhyiddin berkata projek Medan Niaga Satok berjaya disiapkan dengan menyediakan ruang untuk lebih 2,000 peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka.
Selain itu, perancangan untuk menggabungkan industri berasaskan pertanian dengan industri pelancongan di medan niaga ini akan turut memberikan nilai tambah kepada usaha ini, katanya.
“Sebuah projek sebegini tentulah mempunyai kesan berganda, dalam bentuk jumlah bisnes dan perniagaan yang boleh dijana,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM13.5 juta lagi bagi menambah lagi kemudahan-kemudahan untuk keselesaan peniaga dan pengunjung di medan niaga ini.
Menurut Muhyiddin, kejayaan melaksanakan projek ini menjadi satu lagi bukti keupayaan kerajaan Barisan Nasional untuk menunaikan janjinya untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup.
Mai Pikiaq Pi: Sokongan padu rakyat memastikan transformasi kerajaan berjalan lancar....

Friday, 25 January 2013

Anwar Patut Utamakan Pendirian Ulama Majlis Syura


Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim  yang mempertahankan pendirian bersama Pakatan Pembangkang berhubung isu penggunaan kalimah Allah yang sekaligus ,,dilihat menolak ketetapan oleh Majlis Syura Pas adalah tidak wajar sama sekali.
Timbalan Rektor Al-Madinah International Universiti, Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, ia menyalahi etika dan amat tidak wajar perkara itu berlaku kerana ketetapan yang dibuat oleh Majlis Syura Pas adalah berdasarkan pandangan majoriti.
Menurut beliau, Anwar sepatutnya perlu mengambil kira pandangan Majlis Syura Pas dan sewajarnya ketetapan itu  didahulukan memandangkan Majlis berkenaan diwar-warkan dibarisi oleh golongan ulama dan cendekiawan Islam Pas.
“Dalam ilmu tafsir….. pandangan terkini memansuhkan pandangan yang lama dan terdahulu. Justeru bagi saya, sewajarnya pandangan terkini yang perlu diambil kira.  Dan ia sama sekali amat tidak wajar dan sekaligus menyalahi yang sepatutnya,“ tegas beliau di sini.
Kata beliau, Anwar boleh jatuh dan boleh dikategorikan dalam situasi menghina kredibiliti ulama Pas yang membarisi Majlis Syura parti berkenaan.
“Ini satu perkara yang besar. Kepakaran Anwar adalah dalam politik… dan kepakaran dalam agama adalah orang yang selayaknya. Jadi sama-samalah  kita bermuhasabah,“ katanya.
Ustaz Fadlan seterusnya memetik sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan etika/akhlak yang mulia”.
Kontroversi berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kalangan pembangkang dilihat belum selesai apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendirian bersama Pakatan Pembangkang sebelum ini agar kalimah berkenaan boleh digunakan oleh bukan Islam.
Menurut Ketua Pembangkang seperti yang dilaporan Mstar, Pakatan Rakyat kekal dengan pendirian mereka sebelum ini walaupun Majlis Syura Ulama Pas membuat ketetapan bertentangan apabila melarang penggunaanya oleh bukan Islam.
“Setakat ini, inilah pendirian Pakatan Rakyat berdasarkan kenyataan yang dibentangkan (Presiden Pas), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Rabu.
Mai Pikiaq Pi: Anwar hanya tunjuk profesor serba tau tapi dia langsung tak tau!!!  

Wednesday, 23 January 2013

Muhyiddin Yakin Melaka Kekal Kubu Kuat BN


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Melaka akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Beliau berkata BN Melaka dijangka mempertahankan semua kerusi pada PRU-13 di samping mampu menawan beberapa kerusi yang kini dikuasai pembangkang.
“Saya yakin BN Melaka bukan setakat mempertahankan tetapi meningkatkan lagi jumlah kerusi sama ada di peringkat Parlimen, lebih-lebih lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya selepas menghadiri jamuan rakyat 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malik di sini sempena lawatan sehari beliau ke Melaka, Selasa.
Muhyiddin merangkap Timbalan Pengerusi BN yang sebelum itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin BN Melaka di ibu pejabat Umno negeri di Jalan Hang Tuah di sini, menyatakan rasa puas hati dengan persiapan jentera B Nnegeri bagi menghadapi PRU-13.
“Daripada taklimat yang Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah sampaikan, saya cukup berpuas hati, Melaka satu-satunya negeri yang sudah pun bersedia hampir 100 peratus,” katanya.
Muhyiddin meminta jentera BN negeri agar terus menjalankan usaha bagi meningkatkan sokongan rakyat kepada parti pemerintah itu sehingga ke hari pengundian.
Beliau turut mengingatkan anggota BN di negeri itu agar saling berkerjasama dan tidak menimbulkan masalah yang boleh menggugat parti.
“Jangan timbulkan apa-apa masalah baharu, kerjasama dan perpaduan antara pemimpin dalam komponen parti BN ini mesti kita teruskan dan jentera di semua peringkat mesti dalam keadaan bersiap siaga daripada sekarang sampai Parlimen (Dewan Rakyat) dibubar, lepas itu penamaan calon, hari-hari berkempen sampai ke hari membuang undi,” katanya.

Kabinet Bayangan Tak Akan Wujud Takut Tembelang Pecah


Janji pakatan pembangkang untuk menamakan anggota dalam ‘Kabinet Bayangan’ sekiranya dapat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak pernah ditunaikan biarpun ia disebut-sebut sejak PRU yang lalu lagi.
Aktivis politik tempatan, Datuk Osman Abdul melihat bahawa Kabinet Bayangan ini adalah antara gula-gula politik pakatan pembangkang dalam usaha mencari pengaruh dan menarik perhatian rakyat kepada mereka.
“Inilah pembohongan pembangkang yang hanya boleh bercakap tetapi tak mampu untuk melaksanakannya apabila diminta, malah sehingga ke hari ini yang ada hanya nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri namun apabila ada desakan daripada anggota DAP dan Pas maka tiada kata putus dibuat,” katanya.
Soal beliau, bagaimana mungkin Kabinet Bayangan mampu diperlihatkan kepada rakyat sedangkan isu dalaman melibatkan pembahagian kerusi menjelang PRU pun masih belum lunas.
“Kalaulah mereka meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, maka jawatan timbalan nak beri pada siapa? Katakanlah nak letakkan jawatan timbalan untuk dua orang maka tentunya untuk DAP dan Pas tapi tak mungkin Lim Kit Siang hanya mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri saja sedangkan apa yang diinginkannya hanya boleh dibuat jika dia sendiri berkuasa.
“Benarkah mereka mampu berkerajaan bersama sedangkan baru saja diberi kepercayaan mentadbir empat negeri macam-macam masalah yang timbul. Sudahlah perkara-perkara berbangkit berkaitan rakyat gagal ditangani,” katanya.
Tegasnya lagi, pakatan pembangkang gagal menunjukkan Kabinet Bayangan kerana masing-masing mempunyai agenda dan impian tersendiri untuk parti-parti sendiri dan bukannya seperti BN yang menjurus kepada semangat 1Malaysia.
“Tak usahlah Pas, PKR dan DAP  nak teruskan lakonan kononnya mereka sepakat dalam pakatan pembangkang sedangkan apa yang tergambar sekarang amat berlainan, dan rakyat tidak pernah lupa apa yang telah dijanjikan,” tegasnya.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat keseluruhan agar tidak terpengaruh dengan kata-kata manis pembangkang yang sanggup menyatakan macam-macam janji sedangkan ia hanyalah bayang-bayang bagi mengaburi mata pengundi.
Mai Pikiaq Pi: Kabinet Bayangan Pembangkang adalah kabinet rapuh dan hancur!!! 

Kalimah Allah: Akar Umbi PAS Pulau Pinang Bantah Kenyataan Karpal


Sekumpulan anggota akar umbi PAS di Pulau Pinang berhimpun di hadapan pejabat Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh di sini, bagi membantah kenyataannya mempertikai keputusan Majlis Syura PAS berhubung isu kalimah Allah.
Perhimpunan lebih sejam di Jalan Green Hall yang disertai anggota PAS dari kawasan Tanjong dan Bagan Ajam itu diketuai Pengerusi Tetap PAS Kawasan Tanjong, Zaidi Abu Bakar.
Mereka turut membawa sepanduk dan kain rentang yang memaparkan antaranya “Kalau Hang (Karpal) Nak Lawan Ulama Kami Langkah Mayat Kami Dulu”, “Orang Melayu Jangan Undi Karpal”, “PAS Wajib Keluar PR”, “Kami Pertahankan Majlis Syura Ulama” dan “Karpal + Azmin Tidak Hormat Dasar PAS”.
Mereka turut memijak bendera DAP.
Sementara itu, Zaidi dalam ucapannya berkata, Karpal tidak berhak mencampuri urusan agama Islam dan mesti menghormati keputusan Majlis Syura yang dikaji ulama PAS selaras tuntutan syariat.
“Pada mulanya ada pemimpin PAS buat kenyataan tersasar tetapi setelah ada keputusan daripada Majlis Syura Ulama, semuanya telah capai kata sepakat jadi Karpal jangan masuk campur dan keruhkan keadaan,” katanya.
Beliau juga mendakwa kebanyakan anggota PAS di Pulau Pinang kecewa dengan kepimpinan PAS negeri yang hanya berdiam diri dengan kenyataan Karpal itu.
Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PAS negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menyifatkan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim bersekongkol dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
“Mereka ini terlalu berhati-hati keluar pendapat demi menjaga hati pakatan rakyat berbanding jaga kalimah Allah. Dah tiba masanya PAS tinggalkan pakatan jangan jadi pengecut,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua orang pemimpin itu langsung tidak boleh diharap untuk membela kepentingan umat Islam di Pulau Pinang.
Karpal pada sidang medianya baru-baru ini berkata, beliau akan memujuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar mengkaji semula pendirian Majlis Syura Ulama PAS yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh diguna orang bukan Islam termasuk Bible bahasa Melayu.
Katanya, pendirian Majlis Syura itu bercanggah dengan keputusan yang dicapai pemimpin pakatan pembangkang termasuk Abdul Hadi dan Mursidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 8 Jan lalu lalu yang bersetuju dan menyokong cadangan Lim yang mendesak Kerajaan Pusat membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.
Mai Pikiaq: Karpal nak jadi juara kalangan Kristian!!! Pirahhhhhhhhh!!!!