Nuffnang Ads

Thursday, 14 February 2013

Dr. Mahathir jawab isu Pas ditipu UMNO


Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan UMNO tidak pernah menipu atau menjadi punca perpecahan Pas sehingga membuatkan parti tersebut mengambil langkah keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 1978.

Menurut bekas Perdana Menteri, apa yang dinyatakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Pas telah ditipu UMNO semasa parti itu berada dalam BN adalah tidak benar malah tidak dijelaskan secara terang.

''Saya sebagai menteri dalam Kabinet Tun Hussein (Allahyarham Tun Hussein Onn) ketika Pas keluar daripada BN. Saya juga ada dalam Kabinet Tun Razak (Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein) bersama Presiden Pas, Datuk Mohd. Asri Muda dan Datuk Hassan Adli semasa Pas menyertai BN.

''Mohd. Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian serta bertanggungjawab terhadap Felda. Setelah beberapa bulan Pas berada dalam BN, ahli-ahli UMNO Johor membuat aduan kepada Tun Abdul Razak dalam majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung UMNO bahawa Mohd. Asri giat mempromosikan Pas terhadap peserta Felda. Saya berada di sisi Tun ketika itu,'' katanya menerusi blognya, http://chedet.cc.

Dr. Mahathir menambah, ketika itu, secara kebetulan hampir semua peserta Felda terdiri daripada penyokong kuat UMNO dan tindakan sedemikian membuatkan peserta Felda mula menolak UMNO.

''Ahli-ahli UMNO di seluruh negara berpendapat penyertaan Pas tidak menolong BN. Ia hanya untuk memberi peluang kepada Pas mengembangkan pengaruh dalam kalangan ahli UMNO dan orang Melayu.

''Pada waktu itu timbul sengketa antara Mohd. Asri sebagai Ketua Pas dengan Datuk Mohd. Nasir sebagai Menteri Besar untuk ganti Mohd. Asri. Mohd. Nasir mendakwa dia telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan Mohd. Asri semasa dia menjadi Menteri Besar Kelantan,'' ujarnya.

Katanya, Mohd. Asri cuba menyingkirkan Mohd. Nasir melalui undi tidak percaya dan walaupun kalah, Mohd. Nasir enggan meletak jawatan.

Jelasnya, ramai ahli Pas memihak kepada Mohd. Nasir dan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Mohd. Asri.

''Kerana Pas berpecah, Kerajaan BN Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan. Pada Mac 1978, pilihan raya peringkat negeri diadakan di Kelantan.

''Mohd. Nasir menubuh parti Berjasa yang bertanding melawan Pas. Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga memenangi 11 kerusi. Pas memenangi hanya dua kerusi,'' katanya.

Menurut Dr. Mahathir, perpecahan dalam Pas bukan kerana UMNO tetapi kerana Mohd. Nasir mencabar kepemimpinan Mohd. Asri.

''Kekalahan Pas menyebabkan Pas keluar daripada BN. Tidak ada penipuan oleh UMNO. Walau apapun yang terjadi dahulu, jika seruan dibuat supaya berdamai, orang Islam disuruh oleh agama supaya menyambut seruan kedamaian.

''Orang Islam disuruh bersatu-padu, menganggap semua orang Islam sebagai saudara. Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatu-padu untuk memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas,'' katanya.

Mai Pikiaq Pi: Kenyataan Nik Aziz bahawa Pas ditipu oleh UMNO amat tidak matang!

SAPP, PKR tiada persefahaman


Barisan Nasional (BN) Sabah memerhati segala tindak-tanduk Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat gagal mencapai kata sepakat sebagai Pembangkang di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, perkara itu menunjukkan kumpulan pembangkang tidak boleh dipercayai untuk memegang tampuk pemerintahan negara.
Bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini hari ini, beliau berkata, ini berbeza dengan Kerajaan BN yang lebih menumpu perhatian terhadap keperluan untuk berkhidmat dan memberi yang terbaik kepada rakyat.
Pairin, yang juga Presiden PBS berkata, rakyat terutama golongan atas pagar perlu membuat penilaian yang betul terhadap segala usaha dan pendekatan Kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, hanya Kerajaan BN yang mampu membela dan meningkatkan taraf ekonomi mereka berdasarkan pengalaman melaksanakan pelbagai program tranfsformasi.
Mengenai kesudian SAPP untuk kembali ke pangkuan BN, beliau berkata: “Sekarang ini mereka sudah keluar…kalau mereka mahu masuk mereka fikir-fikir sendirilah.”
Mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, Pairin berkata, tradisi rumah terbuka menjadi elemen penting sebagai sebuah keluarga yang mewujudkan semangat kerjasama dan patriotisme.
“Kita perlu memahami keperluan yang kuat dan usaha untuk mewujudkan satu keadaan nasionalisme yang penuh perasaan cinta kasih sayang antara satu sama lain melalui perayaan,” katanya.
Turut hadir pada majlis rumah terbuka itu ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.
Turut mengadakan rumah terbuka ialah Gerakan di Kompleks Sukan Likas, MCA di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu dan SAPP di Sekolah Menengah Kian Kok, Likas.
Mai Pikiaq Pi: Pakatan Pembangkang tidak pernah sepakat... Masing-masing ada agenda tersendiri....

UNDI PAS ADALAH HARAM!

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang dianggotai para ulama, tok guru pondok, imam dan ustaz muda membuat pengisytiharan bahawa memberi undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah haram.

Pertubuhan itu ialah Minda Pondok, Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati), Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK) dan Pendita turut menegaskan bahawa perjuangan menentang Pas adalah jihad kerana mengundi parti itu bermaksud menyokong DAP yang merupakan parti cauvinis yang menolak Islam dan memperjuangkan sekularisme.
Sehubungan itu, kesemua NGO berkenaan yang diwakili pemimpin masing-masing berjanji akan menyediakan satu dokumen lengkap berhubung pengisytiharan tersebut untuk diberikan kepada Raja-raja Melayu dan Majlis Fatwa Kebangsaan agar dapat dibincangkan dan menyelesaikan kekeliruan yang ditimbulkan oleh Pas selama ini.
Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah yang juga Penasihat Minda Pondok berkata, kegagalan Pas mempertahankan Islam terutama penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam tidak boleh dimaafkan sama sekali, malah demi politik para pemimpin Pas seolah-olah jahil agama.
“Membiarkan kalimah Allah digunakan seperti itu berdosa dalam hukum. Maknanya kita mesti mempertahankan kalimah Allah dan akidah orang Islam, dalam pilihan raya umum kita mahu Perdana Menteri dan timbalannya, orang Islam maka di sinilah kita berjihad, kita jangan undi Pas.
“Saya bercakap mempertahankan kalimah Allah, saya rujuk empat kitab mazhab, kitab tafsir, kitab fekah dan banyak lagi rujukan. Boleh dikatakan menyeluruh kitab saya rujuk tetapi mereka tuduh saya jahil.
“Kesemua kitab ini menyebut bahawa kalimah Allah tidak boleh disekutukan, tidak boleh digunakan selain untuk agama Islam dan untuk mendaulatkan Islam. Ia adalah kalimah suci jadi kenapa kata saya jahil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Abdullah, Pas juga perlu ditolak kerana menyatakan sokongan padu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyokong hasrat DAP meskipun bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas.
“Orang seperti Anwar ini kami orang pondok tidak boleh terima kerana terlalu nyata kepada kami satu daripada itu (perjuangan Anwar) adalah membenarkan kalimah Allah (digunakan oleh bukan Islam),” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz berkata, kerjasama Pas dalam pakatan pembangkang yang kononnya atas nama tahaluf siyasi sebenarnya pada nama semata-mata, sebaliknya apa yang berlaku adalah Pas hanya kuda tunggangan DAP.
“Tahaluf siyasi Pas adalah haram maka wajib kita menolak mereka atas beberapa fakta antaranya Pas bukan parti dominan dalam pakatan dan kerajasama itu dibuat dengan parti DAP yang kita tahu menolak penubuhan kerajaan Islam.
“Sebelum bertahaluf siyasi, perjuangan Pas adalah menubuhkan negara Islam, ingin melaksanakan hudud, persaudaraan sesama Islam tetapi selepas itu matlamat mereka berubah iaitu mahu kerajaan berkebajikan, hudud bukan lagi agenda utama dan mendoakan kemusnahan sesama Islam.
“Tahaluf siyasi yang sebenar telah jelas kita lihat dalam Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO adalah ‘imam’ manakala MIC dan MCA adalah ‘makmum’ yang akan bersama-sama berjuang atas arahan imam,” tegasnya.
Ahli Jawatankuasa Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Mohd. Zawawi Awang pula berkata, permintaan DAP supaya kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam sama seperti yang berlaku di Indonesia apabila ramai masyarakat Islam negara itu menyokong pemikiran sekular.
Beliau memberikan contoh sebuah video yang dimasukkan ke dalam laman Youtube bertajuk ‘Bible dalam bahasa Arab’ yang dirakam di Institut Teologi Kalimatullah di Jakarta tentang bagaimana seorang pelajar Kristian membaca Bible dalam bahasa Arab di sebuah gereja.
“Gerakan ini sebenarnya sudah bermula berpuluh tahun dulu dan perkara sama kini cuba dibawa masuk ke Malaysia secara senyap-senyap tanpa kita sedari.
“Gerakan ini berjaya di Indonesia yang rakyatnya kira-kira 300 juta orang, jadi bayangkanlah jika kita membiarkan mereka bergerak di Malaysia pasti lebih mudah kerana rakyat kita cuma kira-kira 28 juta,” tambahnya.
Mai Pikiaq Pi: Pas hanya parti tunggangan DAP dan Anu War!!!

Pembangkang Jual Janji PRU 2008, Jual Fitnah PRU 2013


Semakin hampir tarikh pilihan raya, pembangkang semakin terdesak, fitnah dan pembohongan menjadi modal ceramah untuk memburuk-burukkan kerajaan kerana menyedari taktik yang digunakan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 tidak lagi diterima rakyat.
Exco Wanita UMNO, Suraya Yaacob berkata, pada pilihan raya lalu, pembangkang telah menggunakan taktik dengan membuat pelbagai janji untuk mendapatkan sokongan dan apa yang dilakukan membuahkan hasil sehingga berjaya menawan beberapa negeri.
“Kali ini, pembangkang tidak berani membuat pelbagai janji seperti apa yang dilakukan pada PRU 2008, mereka nampaknya lebih mirip kepada membuat fitnah terhadap kerajaan dan individu dalam usaha untuk mendapatkan sokongan.
“Antara fitnah yang dibuat oleh pembangkang ialah mengatakan negara ini akan bankrap jika terus diperintah oleh Barisan Nasional (BN), sedangkan pencapaian negara terus mendapat pujian daripada negara luar dalam menangani kemelut ekonomi global.
“Mereka sebenarnya sudah kehabiasan modal, rakyat telah kehilangan kepercayaan kepada pembangkang, lihat apa yang sudah dilakukan oleh pembangkang sejak memerintah Kedah, tiada pembangunan yang dibuat untuk rakyat Kedah,” katanya di sini.
Suraya berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini politik tempatan berhubung tindakan pembangkang lebih cenderung membuat fitnah dalam siri ceramah yang diadakan terutama di kawasan luar bandar.
Beliau yang juga ADUN Sungai Tiang, Kedah berkata, pembangkang terpaksa bertindak sedemikian kerana ingin menutup permasalahan yang berlaku dalam kalangan parti dalam pakatan pembangkang apabila mereka tidak bersependapat dalam sesuatu isu.
“Macam mana nak perintah negara, jika mereka sendiri tidak bersependapat dalam sesuatu isu yang besar seperti apa yang berlaku sekarang, mereka tiada perancangan untuk negara, niat mereka sebenarnya lebih untuk merampas tampuk pemerintahan daripada BN.
“Kita lihat apa yang dilakukan mereka, mereka cuba mengheret rakyat dengan meniru seperti apa yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat, mereka buat perhimpunan untuk dapatkan sokongan yang kononnya itu adalah suara rakyat,” katanya.
Suraya berkata, beliau tidak hairan jika pembangkang akan terus menyerang kerajaan dengan pelbagai fitnah dan pembohongan, yang penting adalah untuk menimbulkan persepsi buruk rakyat kepada kerajaan dan akhirnya menyokong mereka.
Mai Pikiaq Pi: BOHONG adalah kerja hakiki PAKATAN PEMBANGKANG! 

Dulu Anugerah Tuhan, Sekarang Huguon Siou Pula



Tidak cukup dengan gelaran “Anugerah Tuhan” yang diberikan oleh isterinya, Wan Azizah, yang juga diberikan gelaran “Saiyiditina Khadijah” oleh pembodek-pembodek NGO ABIM, Anwar Ibrahim semalam telah dianugerahkan pula dengan gelaran “Huguan Siou” oleh pembodek-pembodek beliau di Kampung Paginatan, Ranau.
Sebelum ini, hanya The Kadazandusun Cultural Association Sabah (KDCA) sahaja yang boleh menganugerah dan melantik “Huguan Siou” kepada mana-mana pemimpin masyarakyat KDM yang layak. Entah sejak bila KDCA memberikan kelonggarkan kepada penyokong-penyokong PKR untuk memberikan gelaran itu kepada orang luar (bukan dalam kalangan KDM) sesuka hati.
Huguan Siou adalah gelaran tertinggi masyarakat KDM Sabah. Gelaran ini hanya boleh diberikan oleh KDCA, sebuah badan bukan politik yang terdiri daripada 40 komuniti etnik campuran dari Sabah dan berdaftar di bawah Malaysian Society Act 1966. Persatuan ini pada masa sekarang diketuai oleh “Huguan Siou Honorable” Datuk Joseph Pairin Kitingan.
Sedangkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang lebih kerap datang ke Sabah dan lebih kerap membantu rakyat Sabah tidak pun dianugerahkan gelaran “Huguan Siou” Malaysia. Inikan pula Anwar Ibrahim yang hanya datang ke Sabah untuk membohong, memfitnah dan memutar-belit???
Sepatutnya penyokong dan pemimpin-pemimpin PKR Sabah tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan sebarang gelaran kepada pemimpin tertinggi mereka hanya kerana mahu mendapatkan sokongan politik. Tindakan itu bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan di negeri/negara ini mengenai istilah “Huguan Siou”, malah mencemar, mencabar dan meremehkan kewujudan pertubuhan KDCA yang sepatutnya bertanggungjawab menganugerahkan gelaran itu kepada mana-mana pemimpin KDM yang layak.
Mai Pikiaq Pi: Selepas ini gelaran apa pula yang akan diberikan kepada Anu War!!!

Friday, 8 February 2013

Akar Umbi Tolak Anwar - Zahrain


Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengunjungi dan menyambut hari lahirnya di kediaman Pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini dipercayai turut membincangkan cadangan calon Perdana Menteri Pembangkang, bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, ini kerana Nik Aziz sedar ahli Pas di peringkat akar umbi kini menolak persetujuan Pakatan Pembangkang sebelum ini yang mahu melantik Anwar sebagai Perdana Menteri jika Pembangkang menguasai Putrajaya.

Selain itu, kata beliau, rakan-rakannya di dalam Pas turut memberitahu penolakan terhadap Anwar juga semakin kuat daripada Majlis Syura Ulama Pas ekoran percanggahan pendirian kepimpinan pembangkang dengan majlis itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

“Itu semua menyebabkan Pas terdesak berbincang dengan DAP mencari calon alternatif menggantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Ini semua diperkuatkan lagi dengan tindakan Nik Aziz pergi berjumpa Karpal. Jika sebelum ini, kedua-dua mereka mengakui tidak membincangkan kemelut isu kalimah Allah, jadi apa lagi yang mereka bincangkan ketika itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Nik Aziz menyambut hari lahirnya di kediaman Karpal di Pulau Pinang baru-baru ini, walaupun Karpal sebelum ini menimbulkan kemarahan ahli Pas kerana mendesak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.

Zahrain menambah, kepercayaan ahli Pas terhadap Anwar mula terhakis ekoran beberapa isu besar termasuk dakwaan membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan sebuah video seks.

“Jelas sekali Anwar kini merupakan liabiliti Pakatan Pembangkang dan mereka sedang mencari calon baru bagi menggantikan Anwar," katanya.

Mai Pikiaq Pi: Anu War liabiliti bukan sahaja kepada Pakatan Pembangkang, malahan kepada seluruh rakyat Malaysia!

KETEPI PERBALAHAN UNTUK JAMIN KEMENANGAN BN


Setiap pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) terutama UMNO semakin memahami situasi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang memerlukan mereka mengetepikan setiap sentimen atau perbalahan untuk memastikan parti meraih kemenangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan itu berdasarkan kesedaran tentang kesan besar yang bakal dihadapi parti sekiranya para pemimpin terlibat masih mencetuskan masalah sesama sendiri.

"Biasalah dalam mana-mana parti ada masalah tetapi saya percaya UMNO faham bahawa kalau mereka nak cetus masalah sesama sendiri, ia boleh membawa kesan besar dalam (PRU13)," kata beliau dalam sidang akhbar selepas menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia di Dewan Sri Melati, Beseri di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Terdahulu, beliau mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau sebelum mendengar taklimat pilihan raya negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kangar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap isu perbalahan sesama sendiri dalam parti dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan BN mencatat kemenangan lebih mudah.

Mengenai Perlis yang dianggap kubu kuat BN, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, beliau yakin parti berkenaan akan terus diberi mandat untuk memerintah negeri ini.

"Hasil tinjauan dan maklumat diperoleh, UMNO yakin dapat memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk merampas kembali dua kerusi daripada Pas di DUN Sanglang dan Simpang Empat.

"Berdasarkan persiapan menghadapi pilihan raya, ada ruang yang perlu diberikan fokus kerana Perlis bukannya besar, bermakna kita (UMNO) boleh dapat sebahagian besar undi jika berusaha lebih keras," kata beliau.

Terdahulu, ditanya tentang harapan rakyat terhadap BN, Muhyiddin berkata, hasil tinjauan di seluruh negara menyaksikan rakyat mempunyai satu perasaan lebih yakin dan mempercayai kerajaan pimpinan BN dengan agak nyata.

Katanya, dalam tempoh dua tahun lepas, kerajaan telah mengambil kira apa yang disuarakan oleh rakyat dan memahami aspirasi mereka.

"Kita telah dapat isyarat pada pilihan raya lalu bahawa kita perlu buat sesuatu lebih besar, lebih berkesan untuk menangani beberapa perkara pokok yang menjadi perhatian rakyat.

"Sebab itu kita memperkenalkan program transformasi, transformasi ekonomi dan kerajaan. Bajet yang kita buat menjurus untuk membantu setiap kelompok masyarakat," katanya.

Mai Pikiaq Pi: PRU13 adalah ibu segala pilihan raya... Jatuh bangun sesebuah parti politik akan terbukti pada PRU nanti...