Nuffnang Ads

Friday, 21 June 2013

Pemilihan UMNO Lebih Demokratik Dari Parti Yang Guna Nama Demokratik


Penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling menganggap pemilihan UMNO yang bakal berlangsung tahun ini adalah satu tindakan yang benar-benar bersifat demokratik jika dibandingkan dengan parti politik lain di negara ini yang menggunakan nama demokratik itu sendiri.
Katanya, dengan penglibatan ratusan ribu ahli-ahli UMNO untuk menentukan pemimpin tertinggi parti maka ia adalah satu perubahan besar yang melibatkan keanggotaan yang ramai tanpa sekatan.
“Sebuah parti politik yang berpegang kepada nama demokratik pun gagal menterjemahkannya tetapi UMNO dapat merealisasikan makna demokratik itu sendiri dengan penglibatan anggota yang sangat ramai dalam satu pemilihan dan tanpa ada peraturan-peraturan yang terlampau ketat,” katanya.
Jelas beliau, perubahan yang dilaksanakan oleh UMNO bukan sahaja membuktikan kematangannya sebagai sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu dan dalam masa yang sama menjadi payung kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Inilah proses peremajaan semula parti ini dengan melibatkan anggotanya dari semua peringkat termasuk di akar umbi bagi menentukan kesinambungan wujudnya UMNO dalam dunia di mana demokrasi itu sudah lebih meluas dan melebar sifatnya.
“Dengan pembaharuan yang digunapakai dalam pemilihan ini maka ia akan memberi ruang penyertaan kepada lebih ramai anggota untuk memilih ketua mereka di peringkat pusat dan menyalurkan pandangan serta idea-idea dari peringkat bawah untuk digunapakai untuk masa hadapan.”
Beliau yang juga Profesor Pelawat di Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan bahawa impak positif tentunya akan diperolehi UMNO berkaitan perubahan besar yang berlaku termasuklah golongan muda yang akan turut memberi peranan.
“Jika selama ini golongan muda dikatakan tiada peluang maka ini adalah antara ruang yang ada bagi mana-mana individu untuk terlibat sama dalam dunia politik sama ada untuk memberikan sumbangan dalam bentuk idea dan menentukan masa hadapan partinya berdasarkan kepada pemimpin yang mereka pilih.
Sedang berlangsung sekarang ini siri jelajah penerangan berkaitan pemilihan UMNO ke tiap-tiap negeri dan dijangka akan berakhir penghujung bulan ini sementara Majlis Tertinggi telah menetapkan Persidangan Cawangan bermula pada 15 Julai 2013 sehingga 31 Ogos 2013 dengan persidangan peringkat bahagian dan tarikh pemilihan akan ditentukan kemudian.
Mai Pikiaq Pi: Umno parti orang Melayu yang memayungi seluruh rakyat Malaysia selamanya...  

Antara Black 505 dan Sidang DUN: Siapa Pengkhianat Sebenarnya?


Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub membidas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang mengatakan mana-mana kepimpinan Pas yang tidak menyokong perhimpunan black 505 sebagai pengkhianat dan menyifatkan kenyataan itu adalah lebih tepat untuk ditujukan pada dirinya sendiri.
Menurut beliau, Husam sepatutnya mencermin diri sendiri terlebih dulu sebelum mengatakan orang lain sebagai pengkhianat parti.
“Bagi saya, Husam perlu sedar beliaulah yang  sebenarnya telah melakukan pengkhianatan yang lebih besar terhadap rakyat yang telah memberikan mandat kepada beliau, apabila beliau tidak hadir upacara angkat sumpah baru-baru ini.
“Walaupun Husam memberikan pelbagai alasan di atas ketidakhadirannya itu, namun jika dia benar-benar ikhlas berkhidmat untuk membantu rakyat, beliau perlu hadir dalam upacara angkat sumpah tersebut bagi memperlihatkan kesungguhannya untuk membantu rakyat,” tegas Jazlan hari ini.
Tambahnya lagi, Husam bukan saja mengkhianati amanah rakyat, tetapi turut menjadi pengkhianat kepada negara dengan terlibat memburuk-burukkan imej negara di mata rakyat dan dunia luar.
“Saya nak tanya Husam, pihak manakah yang seringkali menjaja keburukan negara sehingga imej negara terjejas akibat pengkhianatan seperti itu. Bukankah beliau termasuk salah seorang yang seringkali menjaja keburukan negara dengan fitnah dan tohmahan yang tidak ada asasnya,”
“Contohnya seperti sebuah keluarga. Jika ada seseorang ahli keluarga kita yang suka menyebarkan keburukan kita pada orang lain, apakah kita boleh menerima individu itu sebagai ahli keluarga lagi?
“Sudah tentu bagi kita, dia tidak layak untuk menjadi ahli keluarga kita kerana sikapnya yang suka menabur fitnah dan memburukkan keluarga sendiri,” tegasnya.
Justeru itu, beliau menasihati rakyat agar tidak terpengaruh dengan provokasi pembangkang yang cuba memfitnah bagi memburukkan imej SPR dengan mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini penuh dengan penipuan dan penyelewengan.
“Pembangkang akan sentiasa mencari alasan untuk memperlihatkan kekalahan mereka itu adalah akibat penyelewengan SPR. Mereka cuba pengaruhi rakyat dengan isu yang tidak ada bukti seperti blackout, isu dakwat kekal dan sebagainya.
“Ketika PRU pada 2004, BN Kelantan kalah kepada pembangkang hanya satu kerusi dengan majoriti hanya dua undi, untuk membentuk kerajaan. Namun kita tidak pula bising-bising dengan mengatakan pilihanraya di Kelantan itu tipu dan sebagainya, biarpun pembangkang menang hanya dengan kelebihan satu kerusi dan majoriti dua undi.
“Bagi saya, Inilah sikap pembangkang yang tidak dapat menerima hakikat bahawa majoriti rakyat di negara ini menolak mereka. Mereka tidak realistik dan mampu menerima hakikat kekalahan mereka dalam PRU yang ke 13 baru-baru ini,” ujarnya. 
Mai Pikiaq Pi: Pembangkang tidak pernah terima hakikat yang mereka kalah dalam PRU13....

Thursday, 20 June 2013

Cadang penjawat awam carum Perkeso

Kerajaan diminta terima cadangan supaya anggota perkhidmatan awam berstatus tetap mencarum di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan  Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berharap cadangan itu diterima dan dipertimbangkan berikutan ia disiapkan menerusi beberapa siri kajian dan dipersetujui oleh semua anggotanya.

Katanya, cadangan itu  yang bersifat faedah kebajikan kepada penjawat awam akan diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perbincangan. Awal bulan lalu, hanya anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak mencarum dalam skim Perkeso.

“Perkara itu sangat baik dan berharap ia dipanjangkan kepada anggota perkhidmatan awam bergaji tetap yang berpendapatan dari RM7,000 dan ke bawah.

“Skim yang terdapat di bawah pakej Perkeso ini lebih baik jika dibanding dengan skim ex-gratia yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam dan orang tanggungan jika terjadi sesuatu bencana semasa pegawai melaksanakan tugas rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar mengulangi tiga permintaan dalam Bajet 2014 iaitu kenaikan imbuhan perumahan kepada RM450, pelarasan kos sara hidup (Cola) dan pengeluaran 20 peratus wang gratuiti kepada anggota perkhidmatan awam yang berusia 50 tahun.


Mai Pikiaq Pi: Semoga kerajaan mempertimbangkan permintaan Cuepacs...

Penganjur 505 tetap mahu Padang Merbok


Penganjur perhimpunan Black 505 tetap bertegas perhimpunan Sabtu ini akan  tetap diteruskan di Padang Merbok, meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencadangkan tiga lokasi lain.
Pengerusi Sekretariat Black 505, Datuk Johari Abdul berkata, pemilihan lokasi di Padang Merbok tetap diteruskan seperti mana dirancang.

"Mereka berikan stadium, tetapi kami tetap mahukan Padang Merbok, seperti mana yang diputuskan dalam mesyuarat PR," katanya dalam sidang media, semalam.

Menurutnya, himpunan ini akan diketuai pemimpin PR dan NGO dan akan berkumpul di tujuh lokasi sekitar ibu negara sebelum bergerak ke Padang Merbok.

Beliau berkata, tujuh lokasi tersebut adalah di Bricfields, Masjid Negara, Jalan Pudu, Ibu Pejabat Pas (Jalan Raja Laut), Sogo, Universiti Malaya dan Pekeliling.

Sebelum ini, DBKL melalui Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mencadangkan tiga lokasi alternatif kepada penganjur  iaitu di Stadium Titiwangsa, Stadium Merdeka dan Taman Rekreasi Air Panas.

Johari turut menyeru agar wakil rakyat PR yang menang dalam PRU13 lalu menjadi barisan hadapan pada perhimpunan kali ini.

“Saya bertemu dengan ramai orang dan mereka berkata mahu melihat wakil rakyat PR yang menang mengetuai penentangan penipuan pilihan raya.

“Wakil rakyat yang menang tidak boleh berdiam diri. Kalau mereka menjadi barisan depan, maka lebih ramai rakyat akan turun dan menyokong perjuangan ini,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Kalah saja.. pilihan raya tak adil... kalau menang tak kata ape lak... Terima sajalah rakyat banyak yang menolak pembangkang yang hanya pentingkan diri...

Wednesday, 19 June 2013

GST PERLU DILAKSANA BERPERINGKAT - DR M

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jika dilaksanakan, haruslah dilakukan secara berperingkat, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini.

"Semuanya harus dilakukan secara berperingkat, perlahan-perlahan, bukan jumlah sepenuhnya sekaligus, bagi faedah rakyat," kata beliau kepada pemberita pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2013.

Pakar-pakar ekonomi berpendapat, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan GST sebagai sebahagian daripada usaha menambah pendapatan kerajaan.

Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias, sebelum ini berkata, ketika kerajaan dilihat akan mempercepatkan pelaksanaan GST, langkah-langkah sampingan harus diambil untuk melindungi golongan berpendapatan rendah daripada kesannya.

"Keseluruhannya, pelaksanaan GST itu baik. Saya rasa kerja-kerja perhubungan awam perlu dilakukan lebih sedikit tentang GST ini dan kita tidak harus bersikap terlalu idealistik dengan berkata ia tidak akan menyebabkan inflasi. Ia akan menyebabkan inflasi," tegas Nor Zahidi.

Mengenai sasaran kerajaan untuk mengurangkan lagi defisit fiskal dalam Bajet 2014, Dr Mahathir berkata ia adalah langkah yang baik dan ia menunjukkan bahawa kerajaan sedang bergerak positif ke hadapan.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Bajet 2014 akan dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober.

Najib juga mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit fiskal, memperkukuhkan kewangan awam dan memastikan kelestarian fiskal negara bagi jangka panjang.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu, yang akan merangkumi menteri-menteri Kabinet yang terpilih dan ketua-ketua jabatan.

"Jawatankuasa ini akan dipertanggungjawabkan kepada pejabat dasar fiskal di Perbendaharaan. Ini bertujuan menegaskan kesungguhan dalam menguruskan kedudukan fiskal kita dan mengurangkan defisit fiskal kita," kata beliau dalam ucapan pembukaannya pada sesi Konsultasi Bajet 2014.

Mai Pikiaq Pi: GST harap tak membebankan rakyat golongan bawahan dan pertengahan....

“Depan Cakap Lain, Belakang Buat Lain”


Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli berkata, keputusan pakatan pembangkang yang akhirnya membatalkan tindakan yang kononnya akan memboikot upacara majlis angkat sumpah sebagai anggota Parlimen memperlihatkan pembangkang sekali lagi bermain sandiwara.
Justeru beliau menyifatkan tindakan pembangkang khususnya DAP dan PKR yang masih ghairah untuk mengadakan perhimpunan haram 505 tidak lebih sekadar satu usaha untuk perbodohkan para penguikut mereka.
“Perhimpunan 505 adalah satu strategi mengelirukan penyokong mereka  atau dalam bahasa kasarnya ahli-ahli parti mereka. Ini semua hanyalah satu sandiwara mereka untuk menutup kegagalan dan harapan palsu yang diberikan sebelum ini kononnya mereka mampu menguasai Putrajaya.
“Mereka tidak mahu rakyat terutama penyokong mereka nampak kenyataan sebenar bahawa apa yang mereka laungkan selama ini terutama menjelang PRU-13 baru-baru ini hanyalah propaganda palsu.  Maka untuk menutup malu mereka mencipta pelbagai alasan dan fitnah terhadap SPR dan Kerajaan BN”, katanya kepada UMNO-Online.
Tegas beliau lagi  sekiranya benar segala dakwaan mereka contohnya PRU-13 tidak telus, berlaku penipuan dan sebagainya maka kenapa pembangkang setuju untuk angkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat dan menerima negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor sebagai negeri tawanan mereka.
Maka sudah jelas tambahnya lagi  bahawa pembangkang hanya memperalatkan penyokong mereka untuk mencapai agenda peribadi.
“Kita yakin rakyat makin tahu bahawa pakatan pembangkang hanya hidup atas sandiwara yang mereka mainkan. Malah tindak tanduk mereka ternyata berputar belit bak kata bidalan depan cakap lain, belakang buat lain”, ujarnya.
Mai Pikiaq Pi: Selagi mereka tidak berkuasa.. selagi itulah mereka menabur pelbagai dakyah songsang untuk menutupi segala kelemahan mereka terhadap rakyat... Rakyat sedar mereka tidak lagi boleh mempercayai parti pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim.... 

Anwar tak perlu buat lawak


“Anwar boleh lantik siapa sahaja yang dia mahu sebagai speaker dan kita akan terima tapi tunggu dia jadi Perdana Menteri. Sekarang dia perlu hormat kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak”.
Timbalan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-13.
Jelas Sharkar selanjutnya, Anwar tidak perlu jadi kartun atau buat cerita lawak kerana dia pasti akan malu sendiri apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.
Sebagai individu yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, seharusnya Anwar lebih bijak mengeluarkan kenyataan dan tahu bagaimana Yang Dipertua Dewan Rakyat dilantik.
“BN sebagai kerajaan yang memerintah maka terpulanglah kepada kita untuk melantik siapa jadi speaker. Kita tahu siapa yang layak dan tidak layak. Sebelum ini, dia juga yang cakap tidak terima keputusan PRU-13, kemudian mahu boikot Parlimen, sekarang dia pula sibuk mahu mencadangkan siapa patut jadi speaker.
“Nampak sangat kemaruk untuk jadi Perdana Menteri… Sebenarnya, bagi saya Anwar rasa malu dengan penyokong sendiri kerana sebelum ini dia amat yakin dapat jadi Perdana Menteri. Bila kalah maka terpaksalah dia mereka ‘drama’ terbaru untuk tutup malu,” ujarnya lagi.
Tambahnya, Anwar perlu belajar untuk hormat orang lain dan jangan terlalu taksub mengejar jawatan sehinggakan semua perkara hendak campur tangan kononnya apa yang dicadangkan olehnya adalah yang terbaik.
“Sekiranya kerajaan sedia ada tidak menerima cadangannya maka perkara tersebut akan dijadikan ‘peluru’ untuk dicanangkan kepada rakyat memburukkan imej kerajaan”, ujarnya. 
Mai Pikiaq Pi: Kemaruk Anu War jawatan PM dari dulu hingga sekarang tak pernah berubah.. Hishhhh...hishhhhhh