Nuffnang Ads

Tuesday, 25 June 2013

Sesi Angkat Sumpah Bukti Pembangkang Iktiraf Keputusan PRU13


Kehadiran semua 89 anggota Parlimen pembangkang pada majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat hari ini menunjukkan sistem demokrasi di negara ini diperakui pembangkang di sebalik laungan tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dengan itu, pembangkang pada masa depan tidak sepatutnya mempertikaikan lagi sistem pilihan raya atau demokrasi negara.
“Proses ini (angkat sumpah) menandakan sistem demokrasi di negara kita sudah diamalkan dengan baik, dan kitapun, termasuk pembangkang, telah angkat sumpah taat setia, mematuhi undang-undang dan menghormati Perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini.
Ditanya kekecohan yang dicetus segelintir pemimpin pembangkang sewaktu proses pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat pagi ini, anggota Parlimen Semporna, Sabah itu berkata perkara yang dipertikai hanyalah kecil dan sengaja diperbesarkan.
“Kita selaku anggota Parlimen sepatutnya ada peradaban dan faham aturan mesyuarat mana yang boleh, mana yang tidak, takkanlah kita terlampau ‘rigid’ sangat dalam cara perjalanan mesyuarat, sedikit perkataanpun nak dijadikan pertikaian dia (pembangkang),” katanya.
Acara angkat sumpah melibatkan 222 anggota Dewan Rakyat itu didahului Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diikuti anggota Dewan Rakyat lain, termasuk 89 daripada gabungan pembangkang PAS-DAP-PKR.
Komposisi Dewan Rakyat kali ini terdiri daripada 133 anggota Parlimen Barisan Nasional selain 38 dari DAP, PKR (30) dan PAS (21).
Turut menyokong kenyataan Mohd Shafie ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang menjelaskan prosedur pemilihan Speaker dan timbalannya melalui undi bersurat sudah dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 4.
“Undi bersurat bermakna kita kena tandatangan sebab nanti sesiapapun boleh undi, jadi bila kita undi kita tanda tangan, bererti kena tulis nama kitalah untuk pastikan tandatangan itu tandatangan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menasihatkan semua wakil rakyat agar mematuhi lafaz sumpah yang diucap pada sesi mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini.
“Keputusan pilihan raya telah dibuat malah sudah sampai masanya semua wakil rakyat datang bersidang dan lupakan isu-isu politik dan sebaliknya menunjukkan komitmen serta semangat mereka untuk menyumbang kepada rakyat,” katanya.
Abu Zahar berkata semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik seharusnya menggunakan persidangan kali ini sebagai platform untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berharap anggota Dewan Rakyat pada kali ini akan berhujah dengan lebih bijaksana selaras dengan peringatan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
“Beliau telah memberi peringatan awal supaya Parlimen Malaysia menjadi contoh dan anggota Parlimen yang baharu dan lama dijadikan ikutan ketika sesi perbahasan,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Tahniah kepada semua wakil rakyat yang baharu angkat sumpah....

'Pemimpin Bertepuk Tampar' Di Dalam, Penyokong Di Luar Berguling Meroyan


Gabungan NGO Islam berpandangan positif melihat dua pemimpin yang berlainan ideologi politik dan citarasa duduk semeja dan makan bersama iaitu di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah selesai upacara mengangkat sumpah ahli-ahli Dewan Rakyat pada pagi 24 Jun, semalam.
Presiden Kelab Wartawan Muda, Dzulkarnain Taib berkata, ini adalah satu senario yang tidak terbayang boleh berlaku oleh penyokong-penyokong pembangkang yang hanya beberapa jam sebelum itu berguling-guling di atas jalanraya di hadapan bangunan Parlimen dan bertempur dengan pihak keselamatan.
“Akhirnya sejumlah daripada penyokong tersebut ditangkap pihak polis kerana cuba merempuh masuk ke kawasan Parlimen. Mereka yang terlibat sebelum itu sanggup bermalam dalam khemah di Padang Merbok dalam keadaan cuaca yang panas dan berjerebu yang amat merbahaya kepada kesihatan.
“Ini semuanya tidak dipedulikan demi pengorbanan dan keyakinan kepada pemimpin agung mereka, Anwar. Malah sehari sebelum itu juga, pemimpin terhebat mereka berucap berapi-api di atas pentas di Padang Merbok menghasut rakyat menentang kerajaan malah `Ayatollah’  Husam Musa telah mengeluarkan fatwa syahid kepada siapa yang rela mengadai nyawa demi rasa sayang yang mendalam terhadap Anwar,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, ada dalam kalangan penyokong-penyokong pembangkang yang begitu taksub dan ekstrem sanggup mendirikan pusat pendaftaran bagi mereka yang mahu menjadi pengebom berani mati.
Begitulah hebat aura dan tarikan persona Anwar dengan dibantu oleh `ulama tahi kucing’ seperti Husam yang mengabsahkan segala tindakan pembangkang walaupun ia bertentangan sekali dengan undang-undang mahupun logik dan akal manusia, ujar beliau.
“Sementara penyokong ‘Khalifah’ Anwar berhempas pulas menahan lapar dan dahaga di bawah matahari terik, Anwar pula bersenang-senang, gelak ketawa, riang ria bersama pemimpin negara yang sebelumnya dilaknat, dikutuk, dimaki, difitnah dan dicerca dengan pelbagai dakwa-dakwi.
“Anwar nampak seolah-olah telah melupakan segala apa yang telah beliau hemburkan untuk memboikot majlis angkat sumpah dan persidangan Parlimen. Malangnya topeng yang dipakai ini jarang boleh dilihat oleh penyokong-penyokongnya yang memilih untuk membontotinya membabi buta dengan menelan apa saja yang keluar dari mulut pemimpin mereka.
“Mungkin mereka juga akan mempertikaikan kesahihan gambar yang menunjukkan Anwar makan tengahari dengan Perdana Menteri dengan mengatakan ‘rupa macam dia tapi bukan dia’,” katanya lagi.
Mai Pikiaq Pi: Kenapalah pengikut-pengikut Anwar sanggup ditipu oleh Anwar untuk kesekian kali... 

Agong: Terima keputusan PRU13

Yang di-Pertua Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah menitahkan supaya semua pihak khususnya pemimpin politik agar menerima dan menghormati keputusan PRU13 lalu dengan hati terbuka.

Baginda juga bertitah supaya ahli Parlimen yang dipilih rakyat berganding bahu dan menumpukan sepenuhnya perhatian dalam membangunkan negara khususnya berkhidmat untuk rakyat.

"Beta menyeru semua pihak terima dan hormati keputusan PRU13 yang diadakan baru-baru ini sebagai sistem demokrasi dan berganding bahu bagi negara melangkah kehadapan.

"Beta percaya komitmen kerajaan dalam merealisasi agenda transformasi dalam bidang keberhasilan nasional dan ekonomi dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat," titah baginda ketika menyampaikan ucapan perasmian Pembukaan Dewan Rakyat bagi penggal pertama kali ke-13, di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.


Mai Pikiaq Pi: Kerajaan yang dipilih rakyat akan terus merealisasikan agenda transformasi...

BN WUJUDKAN MAKMAL POLITIK UNTUK JANA PERUBAHAN


Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN telah memutuskan untuk mengadakan makmal politik yang akan diadakan pada bulan Julai akan datang.
Ujarnya, ini adalah berdasarkan apa yang telah berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu dan mengambil kira senario pencapaian BN dan aliran trend pengundian ketika ini.
Maka jelas beliau intipati makmal politik ini kelak akan membincangkan perubahan yang perlu dilakukan dalam BN.
“Perubahan tersebut mungkin dalam bentuk struktur, branding (penjenamaan), dasar atau ketiga-tiganya sekali. Ini adalah berdasarkan apa yang telah dapat dilihat semasa PRU-13 yang lalu yang menyaksikan lanskap politik yang telah berubah.
“Perubahan ini adalah untuk kejayaan BN pada masa hadapan. Makmal politik ini juga akan disertai oleh tiga wakil daripada setiap parti komponen, wakil NGO, tokoh-tokoh dan juga wakil belia,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN di PWTC hari ini.
Tambah beliau lagi, makmal politik ini akan mengambil kira semua cadangan yang dikemukakan dan ianya akan dipertimbangkan sebaik mungkin untuk diterapkan dalam parti BN.
Mai Pikiaq Pi: Jana perubahan untuk kelangsungan politik parti... 

Monday, 24 June 2013

Anwar, Pemimpin Pembangkang Memalukan Diri Sendiri


Kesediaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang lain untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada hari  ini membuktikan mereka bukan saja seorang hipokrit malah tidak mempunyai pendirian dalam  apa yang pernah diucapkan sebelum ini.
Sambil menyifatkan tindakan tersebut memalukan diri sendiri, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad juga berkata, pemimpin pembangkang lain terutama Anwar juga  sebagai seorang pemimpin yang tidak berintergriti, sedangkan sebelum ini begitu lantang tidak menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, apabila menuduh sistem pilihan raya negara ini sebagai tidak betul.
“Inikah sikap seorang pemimpin, pemimpin yang tidak mempunyai pendirian, boleh berubah dalam sekelip mata dalam keputusan yang dibuatnya, apakan orang seperti Anwar ini layak untuk menjadi seorang pemimpin yang bercita-cita tinggi untuk menjadi Perdana Menteri.
“Pemimpin seperti ini hanya pandai bercakap sahaja tetapi tidak mampu untuk melaksanakan apa yang dinyatakan, bercakap hanya untuk dapat sokongan, memang mudah untuk bercakap kerana tidak perlu mempunyai modal, tetapi sebagai seorang pemimpin, seharusnya ada pendirian dan prinsip dan hanya pandai bercakap tapi tidak mampu untuk mengotakannya”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Anwar untuk hadir di majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, sedangkan sebelum ini dia menggesa supaya Ahli Parlimen memboikot majlis berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan PRU13.
Menurutnya, apa yang dilakukan oleh itu hanyalah lebih kepada sandiwara atau lakonan untuk mengaburi mata rakyat supaya menyokong dan bersamanya menyertai perhimpunan haram yang diadakan si seluruh negara sebagai tanda bantahan kepada keputusan PRU13.
“Itu semua adalah lakonan dan sandiwara Anwar untuk mengaburi rakyat, Anwar terpaksa menelan semula apa yang pernah dinyatakan apabila menyedari perancangan tidak mendapat sambutan, dan jangan terperanjat jika dia memberi pelbagai alasan terhadap apa yang dilakukan itu.
“Pembohongan sudah menjadi mainan kepada pembangkang dan Anwar, sebab itu mereka berani bertindak apa sahaja walaupun merubah pendirian yang dibuat sebelum ini, tindakan Anwar untuk hadir apabila menyedari ketidak hadirannya boleh menyebabkan kehilangan haknya sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Nawawi berkata, jika benar pembangkang tidak menerima keputusan pilihan raya, sudah pasti semua Ahli Parlimen pembangkang tidak akan hadir pada majlis berkenaan, tetapi kesediaan untuk menghadiri majlis berkenaan membuktikan mereka menerima keputusan pilihan raya kecuali Anwar.
Mai Pikiaq Pi: Anwar dari dulu hingga sekarang memang suka bersandiwara....

Tindakan Peserta Perhimpunan Berkhemah Ketika Jerebu Perbuatan Bodoh


Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengutuk tindakan peserta perhimpunan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang berkhemah di kawasan Padang Merbok ketika negara diselubungi jerebu dan menyifatkannya sebagai perbuatan tidak munasabah serta sia-sia.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa sepatutnya bertindak lebih tegas terhadap kumpulan berkenaan kerana kelonggaran undang-undang yang diberikan kepada kumpulan itu hanya akan melahirkan persepsi bahawa undang-undang negara adalah lemah.
“Pendapat ini juga disuarakan NGO lain yang bersama PPIM…ini adalah perbuatan yang paling bodoh, terutama kalau kita tengok keadaan cuaca sekarang, dengan jerebu lagi.
“Kita akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara ini, kerana kita takut rakyat pada masa hadapan akan terus tidak endah kepada undang-undang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, sepuluh NGO dengan 240 anggota mendirikan 60 khemah dan bermalam di Padang Merbok, selepas perhimpunan Black 505 untuk menyatakan bantahan mereka terhadap cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan PRU13.
Setakat pukul 4.30 petang, sebahagian kumpulan yang berkhemah di kawasan itu bersurai setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis dua jam supaya mengosongkan kawasan tersebut, manakala selebihnya masih berdegil dan tidak berganjak.
Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Mohd Hafiz Ariffin berkata, tindakan protes dengan berkhemah tidak patut diadakan kerana Malaysia yang menuju ke arah Wawasan 2020 sepatutnya mempunyai rakyat yang lebih bertindak matang dan berganding bahu sekiranya berhadapan masalah.
Mohd Hafiz turut mengajak generasi muda bertindak lebih rasional dan praktikal demi masa hadapan negara dan tidak menjadi ‘anti-establishment’ dengan melakukan pelbagai protes di jalan raya dan bertindak agresif.
“Generasi muda sepatutnya mempunyai intelektual segar dan metodologi perundingan dan diplomasi (supaya) kita akan lebih diterima, tetapi sekiranya generasi muda menghindari cara ini, harapan kita untuk mempunyai pemimpin masa depan (bagi) memandu negara akan menjadi gelap,” katanya.
Turut mengutuk tindakan itu ialah Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia Amir Ansaa yang berpendapat ada lebih banyak perkara yang lebih penting perlu diberi keutamaan oleh kumpulan berkenaan.
Amir berkata kerajaan yang wujud selepas PRU13 dipilih mengikut undang-undang negara, dan sehingga sekarang, tidak ada masalah kronik timbul seperti kebuluran, jika sekiranya didakwa kerajaan sekarang adalah kerajaan tidak berkemampuan.
“Demonstrasi seperti ini hanya mencemarkan nama negara,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kasim menggesa kumpulan yang rata-rata terdiri daripada golongan muda itu supaya tidak secara melulu terpengaruh dengan hasutan pihak pembangkang.
“NGO itu sebenarnya hanya diperkudakan pihak Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kepentingan politik mereka sendiri.
“Pembangkang sudah pun setuju untuk mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, ini bermakna mereka terima dan iktiraf keputusan PRU13, jadi apa perlu diadakan perhimpunan, apatah lagi melakukan kerja sia-sia berkhemah di Padang Merbok,”katanya.
 Sementara itu, Pensyarah di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Maszlee Malik berkata titik noktah perlu dijelaskan pemimpin pembangkang khususnya Anwar berhubung hala tuju politik selain daripada perhimpunan atau demonstrasi jalanan yang sering diadakan kebelakangan ini. 
“Kita akui hak rakyat untuk berhimpun menyatakan hasrat dan sebagainya selagi aman tetapi perlu dijelaskan selama mana nak dibawa? Kita tidak mahu rakyat tidak iktiraf keputusan PRU13 dan menyatakan kerajaan yang dipilih tidak sah tetapi akhirnya tidak tahu ke mana arah tuju rakyat untuk maju ke depan.
“Harapan kita terhadap kerajaan yang dipilih supaya memperkasakan masyarakat untuk turut bersama dalam tadbir urus agar suara rakyat dapat digunakan untuk membangunkan negara, dan bukannya hanya suara orang politik sahaja,” katanya.
Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pula mencadangkan agar pemimpin pembangkang khususnya Anwar memberikan fokus kepada kemaslahatan (faedah) rakyat berbanding melakukan perkara bersifat retorik.
Beliau berkata tidak dinafikan hak berkumpul secara aman diiktiraf Perlembagaan Persekutuan tetapi mereka perlu turut memikirkan apa jua yang dilakukan perlulah membawa kebaikan kepada rakyat bukan sekadar bermotifkan perasaan peribadi individu atau sesuatu pihak.
“Jika benar perhimpunan itu diadakan untuk rakyat, jadi perlulah fikir soal kesihatan mereka juga, mungkin boleh tangguh atau sebagainya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana perhimpunan atau demonstrasi yang diadakan kebelakangan ini memberi pulangan positif kepada rakyat.
Mai Pikiaq Pi: Demonstrasi jalanan memberi kesan negatif kepada masyarakat dan negara... 

JEREBU OH JEREBU


Semua sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan ditutup esok seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel.
Palanivel berkata beliau akan meminta Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan sewajarnya.
“Situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka berada dalam rumah dan memakai topeng jika mereka perlu keluar.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, yang diisytihar sebagai kawasan darurat, mencatat sedikit penurunan dengan bacaan 690 pada 11 pagi tadi berbanding 746 empat jam sebelumnya.
IPU bagi Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka, yang sebelum ini masing-masing mencatat bacaan di tahap bahaya 357 dan 334, meningkat ke 415 dan 428.
Negeri lain yang mempunyai IPU tidak sihat termasuk ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor manakala dua kawasan yang dikategori sebagai mempunyai kualiti udara sihat ialah Sandakan dan Tawau di Sabah.
Mai Pikiaq Pi: Festival Flora di Putrajaya dicemari jerebu....