Nuffnang Ads

Wednesday, 3 July 2013

20,000 rakyat Malaysia diburu Imigresen UK

Ramai tinggal secara haram selepas visa tamat tempoh, disalah guna

London: Kira-kira 20,000 rakyat Malaysia menetap secara haram di United Kingdom (UK) dan mereka kini diburu pihak berkuasa untuk diambil tindakan dan dihantar pulang. 


Sumber di sini memberitahu kebanyakan mereka tinggal secara haram selepas tamat tempoh visa atau menyalahgunakan visa. Mereka kebanyakannya bekerja atau berniaga kerana tertarik dengan gaji atau hasil lumayan. 

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Seri Zakaria Sulong, ketika diminta mengulas bagaimanapun berkata pihaknya tidak mempunyai perangkaan rasmi jumlah sebenar rakyat Malaysia tinggal secara haram di sekitar UK.


Peraturan ketat

“Peraturan imigresen Kerajaan Britain agak ketat dan tidak berkompromi dalam isu ini meskipun mereka mengalu-alukan kedatangan pelancong, pelajar dan peniaga Malaysia yang masuk dan keluar secara sah.

“Saya harap rakyat Malaysia patuh kepada undang-undang Britain dan tidak menyalahgunakan visa. Jika mereka ada masalah, kita sedia membantu tetapi jangan tinggal secara haram di sini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada isu itu turut disentuh dalam perbincangan dua hala antara Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Britain, David Cameron, esok.

Najib dalam rangka lawatan kerja empat hari ke UK dan hari ini beliau menemui 130 pelajar tajaan FELDA di Universiti LimKokWing sebelum menghadiri taklimat Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang akan diadakan di sini Oktober nanti.

Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula mengadakan lawatan ke pusat autisme di Treehouse School di sini.

Permit khas pelajar

Zakaria berkata, pelajar yang melanjutkan pengajian di UK ada permit khas dan begitu juga di kalangan rakyat Malaysia yang ingin bekerja di sini, memerlukan permit kerja.

Sebelum ini UK memutuskan tidak mengenakan keperluan visa kepada pemegang pasport Malaysia selepas berpuas hati dengan usaha negara menangani masalah rakyatnya yang tinggal melebihi tempoh di UK.

Difahamkan, Malaysia berada di kalangan 10 negara tertinggi bagi pencabulan undang-undang imigresen di UK.

SYARAT KETAT JADI PENGETUA

Mulai tahun depan pelantikan guru besar dan pengetua akan melalui proses penapisan teliti, bukan lagi disandang secara automatik seperti sekarang. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu selaras matlamat dan transformasi Sistem Pendidikan Negara untuk memastikan guru besar dan pengetua berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah. 

Harus melalui proses penilaian

“Mereka harus melalui proses penilaian tahap kepemimpinan dan yang berkaitan kemampuan melaksanakan tanggungjawab, kreativiti, inovatif, dan inovasi di samping rekod cemerlang dalam kerjaya guru, selain menjalani latihan dan bimbingan yang komprehensif.

“Syarat utama adalah mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Seramai 1,000 pendidik akan mengikuti kursus lima bulan di Institut Aminuddin Baki (IAB) tahun depan,” katanya selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan

Syarat utama ikuti program NPQEL
Muhyiddin turut melancarkan Repositori IAB di mana semua hasil karya penulisan dan penyelidikan sarjana institut itu dikumpul, disusun, dipelihara dan disebarkan melalui satu pusat menggunakan pendekatan terkini dunia teknologi maklumat.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah IAB, Datuk Khairil Awang.

Ketika ini, pencalonan bagi mengisi jawatan pengetua dan guru besar berdasarkan cadangan Pengarah Bahagian dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan persetujuan Ketua Pengarah Pendidikan.

Calon yang boleh dicadangkan adalah mereka yang diluluskan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP). Guru penolong kanan termasuk dalam senarai yang diluluskan LKPPP, boleh dicalonkan untuk mengisi jawatan pengetua.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, proses pemilihan calon untuk kedua-dua jawatan berkenaan sedang dilaksanakan dan diikuti penilaian tahap kepemimpinan, sebelum pelantikan bermula 2014.

Guru paling cemerlang

“Apabila ada kekosongan ia akan diisi guru terbaik. Walaupun sebelum ini sudah dibuat begitu tetapi kali ini kita ambil kira ujian dan pencapaian guru untuk pastikan hanya yang terbaik dalam kalangan yang terbaik menjawat jawatan guru besar dan Pengetua,” katanya.

Mengenai proses NPQEL, beliau berkata, ia membabitkan guru paling cemerlang dengan rekod atau sejarah tugas terbaik di sekolah tempat mereka bertugas.
“Tiada kompromi dalam hal ini kerana sekolah yang berjaya adalah faktor kepemimpinan guru besar dan pengetua,” katanya.

20,000 permohonan

Mengenai isu pertukaran guru, beliau berkata, pihaknya tidak bercadang menjalankan kajian kerana ia isu yang sentiasa dihadapi terutama kerana jumlah guru yang mencecah 480,000 di seluruh negara.

Beliau berkata, permohonan dipenuhi jika ada kekosongan di negeri dan sekolah, subjek yang diajar guru yang memohon sepadan dengan kekosongan dan sebab yang munasabah.

“Permohonan pertukaran dibuka dua kali setahun dan tahun lalu saja 20,000 permohonan diterima. Biasanya kita tidak boleh penuhi semuanya menyebabkan ada yang membuat permohonan berkali-kali, malah ada hingga 10 kali serta minta bantuan wakil rakyat dan ibu bapa.

“Jika permohonan munasabah seperti ibu bapa uzur, kita ambil kira tetapi kekangan tempat dan subjek sepadan menyebabkan ia tidak dapat disempurnakan,” katanya.

Tuesday, 2 July 2013

Sekat Ceramah, Tutup Bazar Ramadhan Tonjol Sikap Cauvinis Perkauman DAP

Tindakan  Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menyekat program Forum Ehwal Islam yang disertai penceramah bebas, Ustaz Kazim Elias yang dijadualkan 5 Julai ini adalah bukti bahawa sikap pilih kasih pemimpin pembangkang, lebih menyedihkan apabila sekatan itu dari pemimpin (EXCO) yang beragama Islam yang sekadar menjadi boneka kepada pemimpin DAP.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pemimpin DAP sendiri yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara namun apa yang berlaku ke atas Ustaz Khazim Elias ini jelas mereka takut dengan bayang-bayang sendiri, apatah lagi kalau perkara ini ‘kena pada batang hidung sendiri'.
“Sikap EXCO yang beragama Islam yang menyekat program keagamaan sebegini juga menyedihkan kerana sepatutnya dia menyokong dan memberi galakan agar program-program keagamaan sebegini diperbanyakkan lagi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Dalam masa yang sama, beliau turut kesal dengan sikap perkauman DAP apabila Ketua Publisiti parti itu, Tony Pua mencadangkan pasar Ramadan ditutup kerana didakwanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Tindakan dan kenyataan ini jelas menghiris hati orang-orang Islam kerana Bazar Ramadhan ini sudah menjadi satu amalan untuk orang Islam pada bulan Ramadhan. Kita setuju kalau ada syarat atau peraturan-peraturan tertentu untuk peniaga Bazar Ramadhan ini tetapi tindakan menutupnya merupakan satu tindakan perkauman yang jelas akan merosakkan perpaduan dan keharmonian di dalam negara kita.
“Tambahan pula, kewujudan bazaar Ramadhan ini merupakan satu tindakan untuk membantu peniaga-peniaga kecil selain merapatkan hubungan sesama orang Islam”, ujarnya.
Justeru tambah beliau lagi bazaar Ramadhan ini cukup penting kerana selain proses membeli juadah untuk berbuka, ia membuka peluang perniagaan kepada peniaga kecil .
“Dalam masa yang sama, ketika membeli juadah ini tidak mustahil kita akan berjumpa kawan-kawan atau saudara-mara, ianya mampu untuk merapatkan hubungan persahabatan dan persaudaraan sesama kita,” ujarnya.

HENTI PERTIKAI EXCO JOHOR

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta semua pihak berhenti mempertikaikan pelantikan Datuk Tee Siew Kiong sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang dibuat atas perkenan dan pilihan baginda. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah, baginda bertitah sama ada MCA ataupun pihak lain harus menghormati keputusan yang dibuat dan tidak wajar terus mempertikaikan kuasa Sultan yang memerintah negeri ini. 


Jaba berkata, pelantikan Siew Kiong sebagai EXCO dibuat mengikut kuasa melantik yang termaktub di dalam Fasal 4 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895. 


Wakil semua kaum 

Pelantikan itu dibuat kerana Sultan Ibrahim mahu setiap kaum utama mempunyai wakil dalam barisan EXCO Johor. Justeru, baginda tidak perlu mendapatkan cadangan daripada mana-mana pihak serta tidak perlu menjelaskan mengapa Siew Kiong dipilih (sebagai EXCO), katanya. 

Kenyataan itu turut menyebut sebarang masalah dalam parti politik yang Siew Kiong sertai, tidak menjadi isu terhadap pelantikannya sebagai EXCO. 

Walaupun beliau dipecat daripada partinya, Siew Kiong tetap ahli EXCO Kerajaan Negeri Johor yang sudah dilantik Sultan Johor. 


Apa juga tindakan yang hendak diambil parti terhadapnya, itu adalah hak serta kuasa parti dan pemimpinnya. Sultan Johor tidak akan mencampuri urusan dalaman parti politik dan juga tidak mahu mana-mana parti mencampuri urusan pemerintahan baginda, katanya. 

Kukuh perpaduan 

Jaba berkata, harapan Sultan adalah jelas kerana perpaduan rakyat di Johor mesti dipelihara serta diperkukuhkan oleh semua kaum yang tinggal di negeri ini. 

MCA menggantung keanggotaan Siew Kiong selama tiga tahun pada 20 Jun lalu kerana menerima jawatan EXCO. 

Ketua Pemuda parti itu, Datuk Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini turut mempersoal tindakan Siew Kiong itu dengan alasan masih ada wakil rakyat lain yang boleh mewakili kaum Cina dalam barisan EXCO Kerajaan Johor.


Mai Pikiaq Pi: Kuasa Sultan tiada siapa boleh pertikaikan kerana Sultan ada hak untuk menentukan barisan Exco negeri masing-masing....

PAPA OK, MAMA TAK OK


Pengumuman kerajaan mengenai kadar baru kos pengambilan pembantu rumah Indonesia RM8,000 berbanding RM4,511 dua tahun lalu, mendapat reaksi berbeza Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) dan Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA).

Kenaikan kos 
Presiden PAPA, Jeffrey Foo berpendapat kadar itu relevan dengan keperluan kos dan risiko ditanggung pembantu rumah manakala Presiden MAMA, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein menyifatkan kenaikan kos itu tidak mengikut harga pasaran dan membebankan majikan. 


Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, di Parlimen, menjelaskan kadar baru itu ditetapkan selepas mengambil kira kos membabitkan kedua-dua negara. 

Beliau berkata, kos sebelum ini dianggap agensi pembekal tenaga kerja di Indonesia terlalu rendah berbanding negara lain seperti Hong Kong, Asia Barat dan Singapura.

Berikutan keputusan itu, beliau menjangka bekalan pembantu rumah dapat diperoleh dalam beberapa minggu akan datang.

Tak banyak agensi minat 

Muhyiddin berkata, sebelum ini, tidak banyak agensi pembekal tenaga kerja Indonesia berminat membekalkan pembantu rumah ke negara ini menyebabkan majikan membelanjakan kos lebih tinggi untuk mengambil mereka menggunakan Journey Perform Visa (JP Visa) dikeluarkan Jabatan Imigresen.

Ada majikan yang terpaksa berbelanja sehingga RM10,000 menggunakan JP Visa untuk membawa masuk pembantu rumah Indonesia, katanya.

Muhyiddin berkata, sejak penetapan kadar pengambilan pembantu rumah Indonesia RM4,511 dibuat melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Pekerja Domestik Indonesia Antara Malaysia dengan Indonesia pada Oktober 2011 hingga sekarang, hanya 290 pembantu rumah Indonesia dibawa masuk.

Katanya, walaupun kadar baru itu mungkin tidak disenangi majikan di negara ini, ia penting untuk memastikan agensi tenaga kerja di Indonesia bersetuju membawa tenaga kerja itu ke Malaysia.

Mungkin ada pihak tidak setuju. Kalau kita tidak setuju, sampai bila pun mereka (agensi tenaga kerja Indonesia) tidak akan setuju. Mereka bandingkan dengan negara lain. Majikan di Malaysia mahukan pembantu rumah... kita ambil faktor luar kawalan kita sebagai penanda aras. Kita dapat pekerja terlatih, katanya.

Penetapan kos berkenaan dibuat melalui Perjanjian Lombok yang dipersetujui Kerajaan Malaysia-Indonesia pada Oktober 2011. Dalam perjanjian itu, pembantu rumah Indonesia dibenarkan bekerja semula di Malaysia mulai 1 Disember 2011.

Majikan Malaysia perlu membayar RM4,511 bagi mendapatkan seorang pembantu rumah, iaitu RM2,711 dibayar majikan manakala RM1,800 lagi oleh pembantu rumah dengan cara majikan memotong gaji mereka tiga bulan. 

Berikutan itu, dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, di Putrajaya pada Disember lalu, kedua-dua negara bersetuju menyemak semula bayaran agensi pembantu rumah Indonesia bagi menentukan kadar lebih munasabah.
Mai Pikiaq Pi: Kalau mahal pun tak ada gunanya jika pembantu rumah yang datang membawa banyak masalah kepada majikan....

Monday, 1 July 2013

Jangan Biarkan Golongan Tertentu Ambil Kesempatan - TPM


Rakyat tidak harus membiarkan golongan tertentu di negara ini mengambil kesempatan daripada kebebasan berhimpun untuk mewujudkan konflik antara masyarakat dan memecahbelahkan perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata tindakan seperti mengadakan perhimpunan haram dan protes jalanan boleh menggugatkan kestabilan negara serta merugikan rakyat dan negara.
Rakyat harus memanfaatkan semua kekuatan kepelbagaian etnik dan warisan budaya yang unik di negara ini untuk membina perpaduan, katanya.
“Kemakmuran negara dan keharmonian rakyat akan terus wujud sekiranya kerjasama di antara pelbagai kaum sentiasa dipupuk,” katanya ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan di sini hari ini
Muhyiddin berkata rakyat harus bersama menjaga dan mempertahankan perpaduan demi melestarikan kehidupan dan kejayaan masa kini untuk kesejahteraan dan kemakmuran di masa akan datang.
Menurutnya, dengan semangat perpaduan tersebut, Malaysia berjaya menjadi sebuah negara yang dapat berkembang dan membangun dengan pesat sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya.
“Kita seharusnya mempelajari daripada apa yang kita capai pada masa lalu untuk kita membentuk landasan yang akan kita lalui pada masa akan datang.
“Walau apapun bentuk landasan yang akan kita bangunkan nanti, apa yang pasti perpaduan rakyat Malaysia tetap merupakan tonggak kukuh yang akan membina negara ke arah yang lebih progresif di masa akan datang,” jelasnya.
Mengenai Tadau Kaamatan atau pesta menuai di Sabah, Muhyiddin berkata perayaan tersebut penuh dengan adat tradisi yang perlu diteruskan untuk generasi akan datang, di samping mampu mempelbagaikan unsur kebudayaan Malaysia yang
boleh dikongsi bersama ke arah integrasi nasional
.
“Perayaan seperti Tadau Kaamatan yang disambut setiap tahun bukanlah untuk bergembira semata-mata, tetapi untuk melahirkan rasa kesyukuran atas segala nikmat dan rahmat yang diperolehi,” katanya.
Muhyiddin berkata amalan menguatkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan mampu mengangkat martabat negara sebagai sebuah destinasi pelancongan dalam persekitaran yang berdaya maju, interaktif dan
dinamik.
“Tambahan pula dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia pada tahun depan, strategi ini amat penting bagi memastikan matlamat kita tercapai,” katanya.

Malaysia jadi penanda aras


Dialog Perkongsian Pintar Global (GSPD) 2013 memanfaatkan Malaysia dalam bidang ekonomi dan hubungan antarabangsa kerana negara Afrika amat menyanjungi negara yang menjadi penanda aras kemajuan pembangunan mereka, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, negara Afrika menawarkan peluang pelaburan bernilai beratus juta ringgit kepada syarikat negara dan memberi komitmen untuk menyokong Malaysia dalam pemilihan negara anggota bukan tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahun depan.
Malah katanya, Pameran Teknologi, Barangan dan Perkhidmatan Malaysia yang dianjurkan MATRADE dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sempena dialog kali ini menghasilkan potensi perniagaan bernilai lebih RM600 juta.


Penyertaan kita dalam dialog seperti ini dapat memperkenalkan Malaysia dan mengukuh hubungan dengan negara Afrika. Walaupun tidak seberapa maju seperti Malaysia, mereka boleh menjadi rakan yang ikhlas kepada kita.

Kita pula boleh membantu mereka mencapai kemajuan lebih besar dan mereka membuka peluang kepada Malaysia menyertai proses pembangunan, katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Nyerere.

Selama di sini sejak Jumaat lalu, Najib turut mengadakan pertemuan dua hala bersama beberapa pemimpin negara Afrika dan juga Sri Lanka.

Algeria pelawa PETRONAS
Perdana Menteri berkata, Algeria misalnya menjemput PETRONAS membida projek cari gali minyak di negara itu dan mahukan syarikat kedua-dua negara saling mengenal pasti peluang perniagaan lain.

Katanya, Uganda pula meminta Malaysia memainkan lebih banyak peranan dalam pertumbuhan ekonomi negara itu, termasuk melabur dalam pemprosesan kopi dan sektor pengeluaran tenaga.

Uganda adalah pengeluar besar kopi tetapi dieksport dalam bentuk mentah dan mereka mendapat pendapatan begitu kecil berbanding apabila komoditi itu diproses di Eropah, katanya.

Najib berkata, Presiden Tanzania, Jakaya Kikwete pula menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana membantu merangka pelan transformasi bagi mencapai wawasan negaranya.

Beliau beberapa kali ucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana ia sumbangan amat bermakna kepada masa depan Tanzania. Beliau berhasrat memenuhi aspirasi rakyat dengan adanya konsep dan model pembangunan yang disumbangkan Malaysia dan yakin Tanzania akan berjaya dalam pembangunan, katanya.

Perdana Menteri berkata, beberapa pelaburan Malaysia di Tanzania sedang diperincikan termasuk pembinaan lebuh raya bertol menghubungkan Dar es Salaam oleh UEM Berhad serta cadangan pembinaan hospital swasta pakar oleh syarikat yang dikuasai Khazanah Nasional Berhad.

Najib berkata, lebuh raya dan hospital pakar berkenaan boleh dimanfaatkan negara yang berjiran dengan Tanzania kerana kedudukan Dar es Salaam sebagai pelabuhan strategik di rantau ini.

Malaysia ikhlas

Mengenai kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kepada negara Afrika supaya berhati-hati menerima negara pelabur baru, Najib berkata:

Kita tidak ada masalah kerana kita dilihat amat ikhlas dalam usaha kita membantu mereka. Apa saja urusan perniagaan yang ditawarkan kepada orang luar mestilah berdasarkan perkongsian pintar dan situasi menang-menang. Malah mereka menghormati Malaysia dan mengharapkan pembabitan Malaysia.

Ditanya apakah Malaysia akan memberi tumpuan kepada Afrika seperti sedang dilakukan beberapa negara lain, khususnya China, Perdana Menteri berkata, dasar pelaburan negara adalah berasaskan kepada kesesuaian dan kepentingan strategik.