Nuffnang Ads

Friday, 5 July 2013

'Syarikat tak boleh diwajibkan bayar zakat'

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, berkata Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan zakat dikutip daripada orang Islam, bukan daripada syarikat.

Katanya undang-undang tidak boleh menjadikan sesebuah syarikat sebagai orang Islam atau bukan Islam. 


“Saya tidak mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Selangor. Saya hanya cuba memahami asas atau rasional di sebalik keputusan itu (isu zakat),” katanya dalam ucapan bertajuk 'Kewajipan Syarikat Membayar Zakat: Isu yang timbul daripada kesan entiti undang-undang berasingan' pada Persidangan Undang-Undang dan Korporat Malaysia 2013 di sini, semalam. 


Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Selangor gagal membezakan antara seorang manusia beragama Islam dan sebuah syarikat apabila mereka mengatakan syarikat wajib membayar zakat.

"Mereka membuat andaian bahawa di sebalik sesebuah syarikat, ada manusia (pemegang saham). Mereka mengaitkan agama pemegang saham dengan syarikat itu. Jika pemegang sahamnya beragama Islam, maka syarikat itu dianggap sebagai seorang Islam oleh itu, wajib membayar zakat,” katanya.

Abdul Hamid yang juga ahli Majlis Penasihat Syariah berkata, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bukan sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang dan ia tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang.

“Keputusannya bukan ‘fatwa’ yang mengikat sesiapa. Di Wilayah Persekutuan, jawatankuasa fatwa yang mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa ialah Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (“Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan”). 


“Jawatankuasa Fatwa Selangor ditubuhkan secara undang-undang di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Enakmen No. 1, 2003). Kedua-dua keputusan berkenaan dengan jelas mengatakan bahawa sesebuah syarikat diwajibkan membayar zakat,” katanya. 

Negara maju seawal 2018

Malaysia boleh mencapai status negara maju berpendapatan tinggi seawal 2018 iaitu dua tahun lebih cepat daripada sasaran 2020, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Perdana Menteri berkata, Bank Dunia meletakkan Malaysia pada tangga ke-12 dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2013 dan kajian terbaru menunjukkan Malaysia berada dalam landasan betul untuk mencapai sasaran itu dua tahun awal. 

"Kita berada dalam landasan betul untuk mencapai sasaran itu dan percayalah, ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa kerja kuat rakyat Malaysia, sama ada di dalam negara atau di sini," katanya.

Status negara berpendapatan tinggi2018

Beliau berkata demikian ketika berucap pada jamuan ‘Sepetang Bersama Perdana Menteri’ di sebuah hotel terkemuka di London, semalam.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Seri Zakaria Sulong serta kira-kira 1,000 peniaga dan rakyat Malaysia yang berada di kota metropolitan ini.

 
Laporan Unit Pengurusan dan Pelaksanaan (PEMANDU) 2012, menyebut Malaysia sudah melepasi Pendapatan Kasar Negara (GNI) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

Menurut PEMANDU, Malaysia mungkin mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2018, jika jangkaan semasa kekal berdasarkan pertumbuhan KDNK, terutama selepas pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kriteria ditetapkan Bank Dunia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi ialah pendapatan perkapita AS$15,000 (RM45,000) berdasarkan GNI. 



Negara maju seawal 2018

Berdasarkan GNI, pendapatan perkapita negara meningkat kepada AS$9,970 (RM30,239) akhir tahun lalu berbanding AS$6,700 (RM20,321) pada 2009, naik 49 peratus dalam tempoh tiga tahun selepas ETP dilancarkan. 

Najib berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkannya sebelum ini seperti Program Transformasi dan ETP sudah mula menghasilkan kejayaan.

“Oleh itu, kedudukan Malaysia di peta dunia semakin bertambah baik,” katanya.

Malah katanya, Malaysia muncul sebagai pelabur tunggal terbesar dalam sektor hartanah di UK melalui projek pembangunan semula stesen janakuasa Battersea bernilai 8 bilion pound (RM39.2 bilion).

Terdahulu, Najib ketika mengadakan pertemuan dengan Rakan Barisan Nasional UK (FBNUK) di House of Lords di sini, berkata, cita-citanya selepas diberi mandat dalam pilihan raya umum baru-baru ini ialah untuk menjamin pertumbuhan yang lebih inklusif dan mapan.

“Dengan mandat baru ini, kita akan lebih fokus untuk mentransformasi ekonomi dan negara, bagi menyumbang pertumbuhan lebih baik, lebih banyak peluang dan urus tadbir lebih mantap.

“Malaysia sudah menjadi tempat terbaik di dunia untuk menjalankan perniagaan, ekonomi kita kuat dan terus tumbuh,” katanya.

Thursday, 4 July 2013

Malaysia mahu isu Laut China Selatan ditangani secara dialog

Malaysia menegaskan sebarang pertelingkahan mengenai Laut China Selatan perlu ditangani melalui dialog secara aman dan rundingan berlandaskan prinsip Undang-Undang Antarabangsa. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata ini termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982. 


Beliau yang berkata demikian pada Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar - Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS-FMM) di Brunei Darussalam semalam turut menyatakan pendirian Malaysia berhubung situasi di Syria dan Palestin. 



Menurut kenyataan Wisma Putra, Anifah juga menyarankan negara peserta ARF memperkukuh penyelarasan dan kerjasama untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan kapasiti bagi menangani ancaman keselamatan siber. 

Bertukar pandangan 

Dalam sesi pemukiman ARF, menteri luar negara peserta ARF bertukar pandangan mengenai cabaran keselamatan di rantau ini termasuk perkembangan di Laut China Selatan, proses perdamaian di Timur Tengah dan situasi di Semenanjung Korea dan Syria. 

Mereka turut membincangkan isu ancaman keselamatan bukan tradisional seperti bencana alam, keganasan, pengedaran dadah, penyeludupan dan pemerdagangan manusia, keselamatan siber dan kegiatan lanun. 


Anifah berkata, sidang kemuncak itu telah melalui banyak perubahan sejak penubuhannya di Kuala Lumpur pada 2005. 

“Dalam kerjasama keselamatan EAS, pendekatan berlandaskan undang-undang dalam mentadbir hubungan antara negara dapat menggalakkan, mempromosi dan memastikan ketelusan niat dan ramalan tingkah laku secara berterusan,” katanya. 

KAWAL HUTANG ISI RUMAH

Penetapan pendapatan bersih sebagai syarat memohon pinjaman perumahan dan kenderaan adalah antara langkah diambil untuk mengawal kadar hutang isi rumah negara. 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kerajaan sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan kadar hutang isi rumah negara yang ketika ini mencecah 83 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Katanya, walaupun peratus itu tinggi, ia masih dalam kawalan dan belum pada tahap membimbangkan kerana kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) juga terkawal.


Keluar pekeliling

“Antara langkah diambil BNM (Bank Negara Malaysia) ialah mengeluarkan pekeliling kepada institusi kewangan mengarahkan ia mesti menggunakan prinsip pendapatan bersih untuk pinjaman perumahan atau kenderaan.

“Jika kita guna pakai pendapatan kasar dalam menilai permohonan, ia mungkin tinggi tetapi selepas ditolak perbelanjaan pendapatan bersih, ia mungkin jadi rendah. 
“Justeru, BNM mengarahkan setiap institusi kewangan menggunakan pendapatan bersih,” katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Sebahagian besar hutang isi rumah disumbang oleh pinjaman perumahan dan kenderaan, hutang kad kredit serta pinjaman peribadi.

Tumpu hutang kad kredit

“Kita akan tumpu pada hutang kad kredit dan pinjaman peribadi dalam memastikan hutang isi rumah terkawal kerana ia turut membabitkan sebahagian besar kakitangan awam. 

“Ia mesti dikawal supaya masyarakat tidak membawa pulang baki gaji yang terlalu rendah untuk perbelanjaan akibat bebanan hutang dan BNM sedang menelitinya,” katanya.

Dalam pada itu, Husni berkata, Kementerian Kewangan dalam proses mengadakan pertemuan dengan 15 kumpulan sasar berkaitan pelbagai perkara membabitkan Bajet 2014.

“Kita dimaklumkan ada 106 memorandum daripada pelbagai pihak setakat ini. Kita akan semak satu persatu dan ia turut diperhalusi dalam mesyuarat kumpulan fokus.

“Matlamat utama Belanjawan 2014 adalah untuk menurunkan defisit fiskal daripada 4.5 peratus KDNK tahun lalu kepada empat peratus tahun ini.

“Dari segi pengurusan kewangan yang berhemat, kita akan memastikan nisbah hutang kepada KDNK tidak melebihi 55 peratus dan akan mengekalkan lebihan operasi,” katanya.

DUN PULAU PINANG 'BUNUH' DEMOKRASI

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bermula semalam mencetuskan kontroversi apabila sesi soal jawab tidak diadakan yang disifatkan oleh ADUN Barisan Nasional (BN) sebagai tindakan 'membunuh' sistem demokrasi berparlimen negara.

Alasan ketiadaan masa yang diberikan oleh Speaker DUN negeri, Law Choo Kiang itu tidak dapat diterima oleh ADUN BN kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN negeri. 

Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid, berkata Speaker tidak mempunyai kuasa berbuat demikian dan ia menunjukkan keangkuhan kerajaan pimpinan DAP.

Beliau berkata, ia tidak pernah berlaku dalam sejarah DUN negeri dan menganggapnya sebagai ‘hukuman maut’ terhadap sistem demokrasi.

Sangat mendukacitakan

“Ia sangat mendukacitakan, tambahan pula ini adalah persidangan pertama. Sesi soal jawab penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang menguji kebijaksanaan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam menjawab isu,” katanya ketika bangun membantah keputusan itu. 


Namun, ia menyebabkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo bangun memintanya menarik balik kenyataannya itu.

“Saya minta Yang Berhormat tarik balik kenyataan yang menyatakan sistem demokrasi sudah maut dalam dewan ini. Saya minta tarik balik kerana demokrasi tidak maut dalam dewan ini,” katanya.

Keengganan Jahara menarik balik kenyataan itu menyebabkan Jagdeep meninggikan suara dan berlaku pertengkaran apabila Jahara meminta ADUN Datok Keramat itu supaya tidak mengherdiknya.

“Saya bercakap mengikut peraturan dewan, iaitu keperluan untuk memberitahu. Saya percaya sesi soal jawab ini bukan saja penting kepada wakil pembangkang tapi semua ahli dewan,” katanya.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) kemudian meminta isu kekangan masa tidak dijadikan alasan untuk menafikan keperluan mengadakan sesi soal jawab pada sidang DUN kali ini.

Bagi menyelesaikan ketegangan, Speaker kemudian campur tangan dengan mengarahkan ahli dewan bertenang dan meminta mereka menghormati keputusan itu.

“Saya sudah jelaskan ketiadaan sesi soal jawab pada sidang kali ini tidak melanggar peraturan mesyuarat, tidak menjadi masalah dan berharap ia tidak dibangkitkan lagi,” katanya.

Persidangan DUN ke-13 Penggal Satu itu bermula kelmarin dengan majlis perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan akan berlangsung sehingga esok.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mengakui hairan dengan keputusan itu berkata, ia tidak wajar berlaku dan sesi soal jawab sepatutnya dibenarkan.

“Saya jangka ia berlaku kerana faktor masa, bagaimanapun ia perlu disemak semula oleh Speaker,” katanya kepada pemberita selepas sidang berhenti rehat.

Namun, Guan Eng berkata, Law tidak sepatutnya dipersalahkan kerana baru dilantik pada 28 Jun lalu.

Law, ketika dihubungi malam tadi mendakwa tidak berpeluang mengubah atur cara mesyuarat kerana pelantikan sebagai Speaker terlalu hampir dengan sidang DUN yang bermula Selasa lalu.

“Ketika dilantik Speaker, semua atur cara mesyuarat sudah diputuskan Penasihat Undang-udang negeri dan Setiausaha DUN. Keputusan ini dibuat kerana kekangan masa kerana mesyuarat kali ini dibuat berserta majlis angkat sumpah. Mungkin jika pelantikan dilakukan lebih awal, saya sempat menyemak atau merombak atur cara mesyuarat,” katanya.

Wednesday, 3 July 2013

Majikan tanggung RM6,200 kos amah

Majikan di negara ini hanya perlu menanggung RM6,200 sebagai kos penggajian Pekerja Domestik Indonesia (PDI) atau pembantu rumah Indonesia daripada kadar baru RM8,000, yang diumumkan kelmarin.

Kementerian Sumber Manusia menjelaskan, kadar baru itu adalah termasuk RM1,800 yang boleh dibuat potongan gaji oleh majikan selama enam bulan. 


“Ini bermakna kos perlu ditanggung majikan hanyalah RM6,200. Struktur kos diumumkan itu mengambil kira perbincangan bersama kerajaan Indonesia dan cadangan struktur kos yang dikemukakan oleh MRA (Agensi Pengambilan Pekerja Asing Malaysia) dan IRA (Agensi Pengambilan Pekerja Asing Indonesia) berjumlah RM8,500 hingga RM11,000,” kata kementerian dalam kenyataan, semalam.

Tetap kos ambil amah

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju menetapkan kos pengambilan pembantu rumah asing Indonesia pada kadar RM8,000 selepas mengambil kira kos yang wujud membabitkan kedua-dua negara. 

Antara kos yang terbabit ialah latihan selama 200 jam, kos dokumen perjalanan, kos makanan dan penginapan pembantu rumah sebelum diserahkan kepada majikan, kos pengangkutan, kos pemeriksaan kesihatan serta bayaran kepada agensi pekerjaan di kedua-dua negara. 
Hasil perbandingan

Kenyataan itu menambah, keputusan struktur kos baru itu juga sudah dibuat perbandingan dengan kos penghantaran pembantu rumah warga Indonesia ke beberapa negara penerima lain seperti Arab Saudi, Singapura, Taiwan dan Hong Kong yang secara purata adalah antara RM6,100 hingga RM8,900.

“Kos ini tidak termasuk kos lain yang dikenakan agensi pekerjaan di negara berkenaan,” katanya.

Katanya, Malaysia tidak mampu bersaing untuk menarik IRA supaya terus menghantar pembantu rumah ke negara ini jika kerajaan mengekalkan struktur kos RM4,511 di bawah memorandum persefahaman (MoU) 2011.

Bagi tempoh 1 Disember 2011 hingga sekarang, jumlah pembantu rumah Indonesia dibawa masuk hanya 290 orang.

BN KEMUKA TIGA NAMA CALON


Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. 
Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nama yang disenaraikan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, secepat mungkin.


“Kita ada tiga nama di kalangan tokoh terbilang di Kuala Besut yang juga orang tempatan berkelayakan tinggi, berhemah dan memang dikenali orang tempatan.

PM di luar negara

“Walaupun Perdana Menteri berada di luar negara, tetapi kita akan sampaikan nama berkenaan secepat mungkin,” kata Timbalan Perdana Menteri selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan Ke-20 di Institut Aminuddin Baki di sini, semalam.

PRK DUN Kuala Besut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mulai 26 Jun lalu berikutan penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar, meninggal dunia selepas seminggu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat paru-paru berair. 
Ia adalah PRK pertama diadakan selepas Pilihan Rya Umum Ke-13 (PRU-13). Allahyarham menang di kerusi berkenaan selepas memperoleh 8,809 undi dengan menewaskan Napsiah Ismail dari PAS yang mendapat 6,375 undi.

Dengan majoriti 2,434 itu, Dr A Rahman membantu BN mengekalkan penguasaan kerajaan negeri dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 kerusi, berbanding 14 kerusi dimenangi PAS dan PKR satu.

Muhyiddin yang juga Pengarah PRK BN DUN Kuala Besut berkata, mesyuarat jentera PRK itu diadakan pagi semalam, dengan dihadiri Timbalan Pengarah PRK, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

“Persiapan rapi sudah dilaksanakan, pembahagian tugas untuk membantu jentera di kalangan pemimpin tertinggi UMNO seperti Naib Presiden, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Jika negeri lain nak bantu, sudah ditetapkan dua negeri jaga satu peti undi, begitu juga bahagian UMNO di Terengganu juga akan ditugaskan menjaga peti undi,” katanya.

Beliau yang optimis BN akan mengekalkan kemenangan di kerusi DUN berkenaan berkata, strategi terperinci sama ada PRK diadakan semasa Ramadan atau selepas bulan puasa juga sudah dirangka.

“Insya-Allah kita menang kerana strategi untuk menang dan tidak timbul soal lain.

Strategi berbeza

“Jika musim puasa kita ada strategi dan lepas itu pula kita ada cara lain sebab jika pada bulan puasa gerakan kempen berbeza dan semua aspek diambil kira,” katanya.

Katanya, BN dan UMNO sudah bersedia untuk melalui proses PRK itu lebih-lebih lagi kerana kawasan berkenaan adalah kubu kuat BN.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat berkempen dengan lancar dan memperoleh keputusan lebih baik berbanding PRU lalu dengan majoriti yang lebih tinggi. 
Ditanya mengenai tindakan DAP untuk memboikot PRK itu, beliau berkata: “Bagus juga jika mereka (DAP) boikot tetapi dalam sistem demokrasi ini jika ada pencabar kita pasti akan tentang.”