Nuffnang Ads

Monday, 15 July 2013

‘Kuala Besut Bertambah Biru’ vs ’16-16 Terengganu Baru’


Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razali Ibrahim melihat ‘16-16 Terengganu Baru’ yang dicanang oleh pembangkang pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut hanyalah untuk kepentingan mereka semata-mata.
Menurut beliau adalah lebih baik ‘Kuala Besut Bertambah Biru’ demi kepentingan serta kelangsungan sebuah kerajaan yang stabil dan mantap demi manfaat serta faedah secara menyeluruh.
“Baik kita ambil ‘Kuala Besut Bertambah Biru’ sebab tak ada negara, tempat dan kawasan yang bila kerajaannya 50-50 ini stabil. Semua huru-hara bila keputusan tidak dapat dibuat demi kepentingan rakyat. Mana boleh rakyat dapat manfaat. 16-16 itu bukan untuk rakyat.
“Jika kita tengok dan perhatikan betul-betul 16-16 mereka hanya nak menang yang akhirnya kerajaan jadi tidak stabil. Prinsip paling penting kalau keadaan stabil kita akan dapat lebih manfaat dengan syarat kekuatan itu tidak digunakan secara salah. Sebab itu hari ini ada orang cakap bagus ada pembangkang kuat supaya BN buat kerja.
“Pada saya separuh benar. Apa yang penting semua bersatu padu dan kita buat kerja dengan jujur dengan amanah. Yang jadi masalahnya bila kita kuat kita jadi lupa diri. Itu jadi punca dan bukan makna pembangkang ada atau tidak,” katanya.
Mengulas lebih lanjut beliau seterusnya menambah kemenangan BN di Kuala Besut cukup penting dan mempunyai signifikan yang tersendiri.
“Pada saya di Kuala Besut ini khususnya daripada dulu pun Ahli Parlimen dan Adunnya sama. Maka masa tidak akan dibazirkan dengan berpolitik. Bila tidak dibazirkan dnegan berpolitik maka rakyat yang dapat banyak manfaat.
“Apatah lagi jika kita datang daripada satu kumpulan yang boleh bekerjasama. Sama parti dan tidak bekerjasama pun tak boleh sebaliknya hubungan yang rapat dikalangan kepimpinan pastinya memberi faedah kepada penduduk setempat,” ujarnya.
Mai Pikiaq Pi: Biru itu mendamaikan..... 

Friday, 12 July 2013

Kemenangan Di Kuala Besut Cukup Signifikan Perkukuh BN Di Terengganu


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Tengku Zahrin Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera awam, sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Timbalan Perdana Menteri berkata Tengku Zahrin, 37, merupakan calon terbaik kerana selain anak jati Kuala Besut, pemilihan beliau mendapat sokongan anggota parti di semua peringkat.
“Bagi kita calon muda ini diterima ahli parti dan tidak ada masalah sebagai “orang pantai” kerana beliau dekat dihati rakyat,” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN dan pengumuman calon di sini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh mengundi untuk PRK Kuala Besut yang mempunyai 17,683 pengundi dan 12 Julai sebagai tarikh penamaan calon.
Kekosongan DUN Kuala Besut berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kemenangan pada pilihan raya kecil ini cukup signifikan untuk mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan BN di Terengganu.
Beliau yang juga Pengarah PRK Kuala Besut berkata oleh itu pengundi di Kuala Besut yang bakal menjadi penentu kepada nasib BN di Terengganu perlu memastikan agenda transformasi yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut dinikmati rakyat di negeri ini.
“Kemenangan di Kuala Besut jadi penentu untuk memastikan Terengganu kekal dapat bergerak seiring dengan kerajaan di peringkat pusat dan sebab itu kedudukan BN perlu dikukuhkan lagi dan kemenangan ini cukup signifikan,” katanya.
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu, BN Terengganu memenangi 17 kerusi DUN manakala pembangkang meraih 15 kerusi DUN untuk BN membentuk kerajaan negeri.
Muhyiddin berkata selain untuk mencatat kemenangan, jentera pilihan raya BN perlu memastikan jumlah majoriti meningkat berbanding majoriti 2,434 pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu.
Menurutnya kempen pada bulan Ramadan tidak akan menjadi penghalang jentera BN untuk mendekati rakyat selain menggunakan peluang tersebut untuk berkhidmat mengikut tuntutan agama Islam.
“Kita ambil ini sebagai cabaran sebab jatuh pada bulan puasa dan kita akur kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh PRK,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Calon BN seorang yang berpendidikan tinggi bakal membawa perubahan yang besar kepada penduduk Kuala Besut.... 

Thursday, 11 July 2013

Pembaharuan Pemilihan UMNO Tahun Ini


Pindaan Perlembagaan UMNO yang akan dilaksanakan dalam pemilihan UMNO tahun ini adalah satu penghargaan daripada pemimpin parti atas kesetiaan anggotanya bersama-sama UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose.
Jelas beliau, sebagai parti yang mendapat sokongan daripada masyarakat keseluruhan maka sewajarnya tanggungjawab dalam menentukan pucuk pimpinan juga dikembalikan kepada anggotanya.
“Inilah yang direalitikan oleh UMNO apabila pemimpin atasannya berani membuat perubahan dan bersedia melakukan pembaharuan sebagai satu manifestasi bagi memastikan kesinambungan UMNO,” katanya.
Katanya, sememangnya bukan mudah untuk sebuah parti yang besar dengan ahli lebih tiga juta akan mengadakan pemilihan dengan melibatkan ahli-ahlinya di akar umbi namun UMNO berani berdepan cabaran ini.
“Belum ada mana-mana parti politik pun di negara kita yang berani berdepan dengan risiko sedemikian malahan dengan anggota perwakilan yang terhad pun sudah ada insiden pergaduhan dalam dewan sebagaimana yang berlaku dalam PKR di Sabah.
“Dengan kematangan UMNO dan persediaan yang rapi maka tentunya setiap tindakan telahpun dinilai dan diteliti sebagaimana Presiden parti bersedia untuk berdepan dengan anggota perwakilan yang ramai dalam pemilihan terbesar UMNO.”
Persidangan tahunan cawangan UMNO akan bermula pada 15 Julai sehingga 31 Ogos ini yang kemudiannya akan disusuli oleh persidangan peringkat bahagian UMNO.
“Sebagai ahli parti tentunya saya menyokong penuh kepimpinan dan patuh kepada Perlembagaan parti yang memberi laluan kepada mana-mana anggotanya untuk bertanding dan terlibat secara langsung pemilihan ini.”
Pada 2009, pindaan Perlembagaan UMNO telah dibentang oleh Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan yang kemudiannya dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan dalam Persidangan Perhimpunan Agung UMNO Khas.
Mai Pikiaq Pi: Bukti UMNO sebuah parti yang telus.... 

Tengku Zaihan Calon Pilihan BN Untuk Pertahan DUN Kuala Besut


Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon muka baru, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil kawasan itu 24 Julai ini.
Tengku Zaihan merupakan bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, yang kini jurutera JPS di Putrajaya.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut sebentar tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi adalah 24 Julai.
PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 mengatasi calon Pas, Napisah Ismail.
Mai Pikiaq Pi: Pengundi Kuala Besut perlu membuat pilihan bijak!  

Pembangkang Rekod Buruk Tapi Ada Hati Pertikai SPR


Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) telah lebih dua bulan berlalu namun pakatan pembangkang masih lagi mempertikaikan kononnya terdapat penipuan dan ketidaktelusan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman menganggap pakatan pembangkang tidak layak untuk mempertikaikan berkaitan ketelusan dan integriti yang dilaksanakan mana-mana pihak sama ada dalam kerajaan atau oleh SPR kerana antara mereka juga terselah sifat negatif.
“Lihat sendiri, sedangkan parti DAP pun sentiasa pertikai kerajaan, Barisan Nasional (BN) serta UMNO seolah-olah tidak demokrasi baik dalam soal apa sekalipun sedangkan pemilihan dalam parti mereka pun ada banyak pertikaian.
“Pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP pada tahun lalu dianggap amat licik dan tidak bermoral seolah-olah permainan kotor yang kemudiannya dikatakan kesilapan teknikal pula dan sehingga kini masih berpanjangan,” katanya.
Pemilihan CEC DAP pada 15 Disember tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan tersebut.
“Apa yang dilaksanakan dalam pakatan pembangkang amat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh UMNO kerana parti ini lebih telus malah pemilihan yang dilaksanakan sejak dahulu lagi bersifat demokrasi.
“UMNO telah membuktikan keterbukaannya dan bersedia ditegur serta membuat perubahan berdasarkan kepada pindaan Perlembagaan parti yang memberi ruang demokrasi terbuka dengan lebih ramai ahli perwakilan di peringkat akar umbi akan menentukan pucuk pimpinan peringkat tertinggi.”
Jelasnya, dengan perubahan tersebut UMNO bukan sahaja bersedia untuk berubah tetapi menyesuaikan parti dengan generasi baru walhal pakatan pembangkang gagal membuka ketelusan dan integriti yang diperkatakan.
Keputusan pemilihan DAP tahun lalu juga menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih tetapi selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari sebagai ahli CEC.
Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) berikutan bimbang terdapat unsur-unsur manipulasi dalam keputusan tersebut.
Mai Pikiaq Pi: Pembangkang hanya tahu cari salah orang tapi salah sendiri tak nampak..... 

Monday, 8 July 2013

Pelajar Malaysia usah terbabit konflik di Mesir

Penuntut Malaysia di Mesir dinasihatkan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terbabit dalam konflik menentang atau menyokong bekas Presiden negara berkenaan, Dr Mohamed Morsi. 

Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Mesir, Habib Bakri Mamat, berkata peringatan itu perlu dipandang serius kerana ia membabitkan soal keselamatan dan nyawa pelajar Malaysia di Mesir. 


“Penggunaan media sosial seperti Facebook dan Twitter juga perlu dikawal bagi mengelakkan salah faham dengan penduduk tempatan. Kita khuatir jika apa yang ditulis itu difahami orang tempatan, tidak mustahil mereka bertindak ganas ke atas kumpulan yang tidak menyebelahi mereka. 


Sentimen makin kuat 

“Apa yang saya sedar, sentimen pro-Morsi dan anti-Morsi semakin kuat dan ini membimbangkan jika ia menular dalam kalangan pelajar kita,” katanya yang juga penuntut Tahun Empat Jurusan Perubatan, Universiti Mansurah, ketika dihubungi semalam. 

Beliau berkata, sehingga semalam, keadaan bergolak semakin terkawal dan pelajar Malaysia berada dalam keadaan selamat kerana mereka sudah diingatkan supaya tidak keluar selepas Asar berikutan perhimpunan demonstrasi bermula selepas waktu itu sehingga tengah malam. 

Katanya, pelajar Malaysia yang berada di Mesir adalah mereka yang menunggu keputusan peperiksaan atau bukan di kawasan konflik. 


Bergerak dalam kumpulan 

Sementara itu di Kota Bharu, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Datuk Abd Rahim Abd Ghani, berkata agensi itu sudah mengingatkan lebih 1,000 pelajar tajaannya di Mesir sentiasa bergerak secara berkumpulan, manakala yang tinggal berhampiran lokasi tegang diminta menjauhi kawasan berkenaan. 

“Penuntut tajaan MARA di sana dilaporkan selamat, boleh berhubung dengan bilik gerakan serta pegawai MARA yang ada di sana. Sebanyak 70 peratus daripada pelajar tajaan kita di Mesir adalah penuntut jurusan perubatan dan setakat ini pengajian mereka tidak terjejas,” katanya selepas Majlis Graduasi GiatMARA Kelantan Sesi 1/2013, semalam. 

Katanya, ibu bapa yang mahu mendapatkan perkembangan anak mereka di Mesir boleh menghubungi hotline Bilik Gerakan MARA di talian 03-26132117, 03-2613 2230, 03-2613 2264 atau 03-2613 2277 selain mendapatkan nombor Bilik Gerakan Keselamatan Iskandariah di Mesir yang beroperasi 24 jam daripada http://www.mara.gov.my. 

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Malaysia di Mesir, ketika dihubungi semalam, berkata 145 penuntut tajaan MARA di negara berkenaan sudah pulang ke tanah air sejak minggu lalu.

Friday, 5 July 2013

Nafi kemasukan 30,000 pekerja asing


Jabatan Imigresen menafikan laporan media asing berhubung kemasukan 30,000 pekerja dari Bangladesh ke negara ini secara berperingkat sejak Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad, sebaliknya menjelaskan hanya terdapat 198 pekerja dari Bangladesh masuk ke negara ini sejak April lalu untuk bekerja di sektor perladangan dengan syarikat Sime Darby. 
Katanya, kemasukan pekerja Bangladesh itu dibuat di bawah program khas dan pemantauan bersepadu antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh. 


Kekurangan pekerja

“Program dua hala ini tidak membabitkan mana-mana agensi pekerja asing bagi mengelak penyelewengan, pemerdagangan manusia dan sebarang isu lain timbul.

“Sektor perladangan kurang diminati rakyat tempatan, pihak berkenaan terpaksa memohon pekerja asing bagi mengisi kekosongan tenaga kerja manusia di sektor berkenaan yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Alias berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar asing, Dhaka Tribune yang melaporkan kira-kira 30,000 pekerja dari Bangladesh dijadual tiba ke Malaysia secara berperingkat sejak Jun lalu selepas satu keputusan dibuat antara wakil buruh Bangladesh di Malaysia dan pegawai kerajaan Malaysia pada 23 Mei. 
Menerusi media itu, Malaysia dilaporkan bercadang mengambil 30,000 pekerja Bangladesh untuk sektor perladangannya di bawah perjanjian antara kerajaan kedua negara yang dimeterai 26 November lalu.

Sementara itu, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS) semalam tampil membuat laporan polis membantah kemasukan 30,000 pekerja dari Bangladesh ke negara ini yang tiba secara berperingkat sejak Jun lalu.

Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah, berkata bantahan itu dibuat berdasarkan tinjauan dan kaji selidik pertubuhannya yang mendapati ramai warga asing mengambil kesempatan berniaga secara haram selepas berjaya masuk ke negara ini.

“IKHLAS mendapati ramai warga Bangladesh yang masuk ke negara ini dalam sektor perladangan namun selepas visa tamat tempoh, majikan lepas tangan dan membiarkan mereka berada di dalam negara tanpa pengawasan,” katanya.