Nuffnang Ads

Tuesday, 16 July 2013

BONUS AIDILFITRI BELUM DIBINCANG


Kerajaan belum membincangkan mengenai bonus kakitangan awam sempena Aidilfitri bulan depan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, katanya, semua penjawat awam menikmati satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Julai lalu, yang boleh disifatkan sebagai bonus. 
Berlandas pencapaian 
“Itu kita belum bincang. Ini terpulang kepada kerajaan kerana selalunya bonus diberi pada hujung tahun. Kita berlandaskan kepada pencapaian kita. 
“Ini baru setengah tahun. Jadi, terpulang kepada kerajaan,” katanya selepas melancarkan Dasar Negara Bagi Pembangunan dan Pelaksanaan Peraturan, di sini semalam.

Permintaan CUEPACS

Ali diminta mengulas permintaan CUEPACS supaya kerajaan memberi sekurang-kurangnya setengah bulan gaji sebelum Aidilfitri sebagai bonus kakitangan awam. CUEPACS sebelum ini turut meminta kerajaan mempertimbangkan bonus dua setengah bulan gaji tahun ini. 
Berkuat kuasa 1 Julai lalu, semua kakitangan awam menerima satu KGT membabitkan kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, awal tahun ini.

Ali berkata, kerajaan perlu melihat sama ada isu bonus terlalu awal untuk dibincangkan kerana kerajaan sudah memperuntukkan RM2 bilion untuk KGT pada tahun ini.

“Selain itu, bulan ini kita menyemak semula enam skim (perkhidmatan awam) dan 81 lagi pada November. Ini membabitkan perbelanjaan dan semuanya adalah demi kepentingan kakitangan awam,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Harap ada berita baik daripada kerajaan tentang bonus raya.....

Tokoh agama terus kecam Duta Vatican City



Tokoh agama terus mengutuk kenyataan Duta Vatican City ke Malaysia, Archbishop Joseph Marino dan menggesa kerajaan memanggilnya untuk memberi keterangan. 

Mereka juga menuntut duta itu membuat permohonan maaf kerana menyentuh sensitiviti umat Islam dan mencampuri urusan dalaman negara ini. 
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadut, berkata kenyataan itu sewajarnya dikecam dan dibantah semua pihak khususnya umat Islam tanpa mengira parti politik serta tanpa bimbang atau takut.
Katanya, laporan polis dan menghantar memorandum kepada kedutaan antara langkah yang wajar diambil semua pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Tambah baik peruntukan undang-undang

Malah, beliau mencadangkan kerajaan menambah baik peruntukan undang-undang sedia ada bagi menguatkuasakannya terhadap pihak yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Ini membabitkan masalah akidah umat Islam, jika benarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut Kristian, bermakna tuhan kita ada tiga, sedangkan Allah itu Maha Esa. 
“Kenyataan Marino itu mencabar Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tubuh kerajaan negeri dan ketua agama. Kenapa perlu dia mencampuri hal ehwal negara kita sedangkan kita tidak pernah mencabar mereka dalam perkara sensitif,” katanya.

Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata umat Islam perlu bersatu dan ketepikan sentimen politik dalam mempertahankan maruah dan kesucian Islam.

Katanya, tindakan Marino itu adalah satu bentuk campur tangan dalam urusan dalaman negara dan wajar memohon maaf kepada rakyat negara ini khususnya umat Islam.

Usir dari Malaysia

“Jika beliau enggan, kerajaan perlu mengusirnya bagi membuktikan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan negara,” katanya

“Kerajaan perlu bersikap tegas dalam perkara membabitkan Islam kerana ia adalah antara teras kerangka Perlembagaan iaitu kedaulatan Raja-Raja, agama Islam sebagai agama negara dan pemerintahan secara demokrasi.

“Jika satu daripadanya runtuh, maka peperangan akan berlaku,” katanya. 
Mai Pikiaq Pi: Pelbagai bentuk dan cara pihak tertentu untuk menyesatkan umat Islam....

Pemuda BN gesa Wisma Putra keluar nota bantahan

Pemuda Barisan Nasional (BN) menggesa Wisma Putra mengeluarkan nota bantahan kepada Vatican City berhubung tindakan dutanya mencampuri urusan negara dengan membangkitkan isu penggunaan kalimah Allah. 

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin, berkata nota bantahan itu bagi memastikan Duta Vatican City ke Malaysia, Archbishop Joseph Marino tidak lagi membuat sebarang kenyataan yang boleh merumitkan keadaan. 

“Isu penggunaan kalimah Allah adalah satu perkara yang amat sensitif.. sama ada perkara ini dipersetujui atau tidak, ia masih pada peringkat mahkamah.

“Majoriti umat Islam kata tidak boleh (kalimah Allah digunakan oleh penganut agama lain) dan ada penganut Katholik di Malaysia meminta mahkamah buat semakan tetapi itu hal ehwal negara, jangan pula dia (Marino) campur tangan,” katanya.

Khairy berkata demikian pada sidang media sempena majlis pelancaran Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BNYJF) di Menara Dato’ Onn di sini, semalam.

Marino dalam wawancara dengan sebuah portal berita baru-baru ini menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini. 


Undang kemarahan umat Islam

Kenyataan itu sekali gus mengundang kemarahan umat Islam yang menyifatkannya sebagai perbuatan biadab dan cubaan perangi umat Islam di negara ini.

Sementara itu, Pemuda UMNO menyifatkan permohonan maaf pasangan yang mempersendakan Ramadan dengan menyentuh sensitiviti umat Islam, tidak memadai, sebaliknya mendesak mereka dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran kepada pihak lain.

Sambil menyifatkan kes itu jelas dan mempunyai bukti kukuh untuk membolehkan tindakan diambil terhadap Alvin Tan dan Vivian Lee, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata ia adalah kes serius yang menimbulkan kemarahan umat Islam dan mereka perlu bertanggungjawab terhadapnya.

Beliau berkata, tindakan tegas bukan hanya terhadap pasangan itu, sebaliknya terhadap mana-mana pihak yang cuba mengguris sensitiviti agama di negara ini dan tindakan sama perlu diambil bagi mengelak wujudnya pendakwaan terpilih.

“Walaupun mereka sudah meminta maaf, kita kena ambil tindakan juga, jika tidak (selepas ini) kita boleh cakap apa saja yang mengguris hati orang ramai, lepas itu minta maaf dan anggap ia selesai,” katanya.


Mai Pikiaq Pi: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menghina Islam....

Usah berlembut pihak hina kesucian Islam

Dua penghinaan hampir serentak terhadap kesucian Islam ketika umatnya di negara ini baru memulakan puasa Ramadan minggu lalu, mungkin tidak berlaku jika pihak berkuasa bertindak cepat, tegas dan bijaksana dalam menangani beberapa kes seumpamanya sebelum ini. 

Walaupun tindakan pasangan blogger seks, Tan Jye Yee dan Vivian Lee, menyiarkan gambar mereka menghirup sup babi sambil mengucapkan selamat berbuka, mungkin tiada kaitan dengan kenyataan Duta Vatican City, Joseph Marino menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini, kedua-duanya sengaja dilakukan dan mempunyai motif sama. 

Sebagai rakyat Malaysia, Tan dan Vivian pasti tahu sensitiviti umat Islam yang menjadi majoriti di negara ini, apa lagi mengenai daging babi. Begitu juga dengan Morino. Sebagai utusan Vatican City, mustahil beliau jahil dengan sejarah keharmonian antara agama di negara ini.

Oleh kerana itu, kita melihat motif mereka tidak lain daripada mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini serta mempromosi kebebasan tanpa batas dalam semua perkara.

Dasar semakin terbuka

Walaupun matlamat seperti itu bukan perkara baru, mereka dan beberapa kumpulan lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin berani berbuat demikian kerana dasar kita yang dilihat semakin terbuka.

 
Perubahan landskap politik tanah air menyebabkan tindakan seumpama itu mendapat sokongan daripada pemimpin atau parti politik tertentu yang menjadikan kebebasan sebagai landasan perjuangan. 


Pemimpin atau parti politik yang sepatutnya menentang, hanya membisu kerana takut kehilangan rakan kongsi atau sokongan pengundi bukan Islam.

Pada masa sama, pihak berkuasa yang sepatutnya bertanggungjawab menangani kes seumpama ini, dilihat lambat bertindak atau tidak berbuat apa-apa, sehingga kes baru muncul semula.

Kes pasangan Cina bekas pelajar National University of Singapore itu bukan yang pertama, selepas mereka menggemparkan rantau ini apabila memuat naik gambar dan video lucah sendiri ke blog mereka. Mereka dilaporkan kembali ke Malaysia bagi mengelak tindakan pihak berkuasa republik itu.

Awal bulan ini, mereka memuat naik video menunjukkan operasi pihak berkuasa menahan sekumpulan remaja Islam menyertai parti buih. Pada video berkenaan, ditulis keterangan ‘susahnya jadi Melayu’. Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, blog mereka memuat naik gambar separuh bogel Vivian yang hanya dilitupi bendera sebuah parti politik.

Dalam kes yang menimbulkan kemarahan terbaru umat Islam ini, mereka memuat naik gambar ketika menikmati hidangan dengan tulisan ‘Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan’. Logo halal turut diletak pada gambar berkenaan.

Agenda tersembunyi terhadap Islam

Kepada beberapa pertubuhan Islam, Marino dilihat mempunyai agenda tersembunyi terhadap Islam dan umatnya. Rekod menunjukkan pemimpin kanan gereja Roman Katolik ini selalu berada di kawasan krisis membabitkan konflik Islam-Kristian.

Marino menyertai delegasi Vatican ke Belgrade ketika kemuncak krisis Kosovo yang menyaksikan pembunuhan umat Islam pada 1999. Beliau juga turut serta dalam rombongan Vatican ke Rumah Putih sebelum Amerika Syarikat menyerang Iraq pada 2003.

Sebelum dihantar sebagai duta Vatican ke Malaysia, Marino berkhidmat empat tahun di Bangladesh yang mana beliau dilaporkan turut mencampuri urusan dalaman politik negara umat Islam itu. 

Ketiga-tiga individu ini bernasib baik kerana mereka melakukan kebiadapan itu di Malaysia yang mana kemarahan umat Islamnya diluahkan melalui laporan polis dan desakan supaya tindakan tegas diambil.

Kita tidak tahu sejauh manakah keberkesanan laporan polis dan desakan itu dalam memastikan kedua-dua kes ini tidak berulang dan melarat ke tahap lebih buruk. Setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia belum memberi reaksi terhadap kebiadapan Tan/Vivian, manakala Wisma Putra masih membisu berhubung keceluparan Marino.


Mai Pikiaq Pi: Akan muncul Alvin baru jika kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadapnya dan orang-orang yang menghina Islam.....

Perbezaan Politik, Pendapat Tidak Seharusnya Bawa Konflik Keterlaluan – Najib


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, biarpun ada perbezaan politik dan pendapat di kalangan umat Islam di Malaysia, ia tidak seharusnya membawa kepada konflik yang keterlaluan.
“Sebaliknya kita cari titik pertemuan agar umat Islam dan Islam itu sendiri tidak tergugat dan kita dapat majukan bumi Malaysia ini kepada masa depan yang jauh lebih baik lagi,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama kepimpinan Umno Selangor dan masyarakat setempat di Masjid Jamiuridhuan, Simpang Empat Jeram di sini malam ini.
Beliau berkata Malaysia menolak fahaman ekstremis dan fanatik serta mereka yang hendak melakukan kerosakan di bumi Allah ini dan sebaliknya mengamalkan kesederhanaan dan jalan tengah yang dilihat pendekatan terbaik untuk negara dan Islam.
Selain itu, katanya, kerajaan juga mengamalkan dasar inklusif, yang menghimpunkan mereka yang beragama Islam dan bukan beragama Islam di bawah satu pentadbiran yang adil dan saksama.
“Satu daripada sebab Malaysia aman damai dan harmoni bukanlah macam Negara yang terlibat dalam pergolakan di Afrika Utara dan Timur Tengah kerana kita amalkan dasar-dasar kesederhanaan, kerana jalan tengah…sederhana jalan sebaik-baiknya mengikut Islam,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir negara sebaik-baiknya supaya pembangunan secara holistik atau menyeluruh seperti dituntut Islam dapat dilaksanakan.
Najib berkata sebagai menghargai mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan BN pimpinan Umno, syiar Islam akan terus dipertingkatkan, akidah dan kesucian Islam termasuk kalimah Allah dipertahankan.
“Kita akan menyediakan lebih banyak peluang dari segi pendidikan termasuk pendidikan Islam, tempat ibadat seluruh negara kita akan tambah dan sediakan kemudahan lebih selesa,” katanya.
Selain itu, sebagai menghargai anggota jawatankuasa surau dan masjid di seluruh negara, Najib berkata mereka akan diberikan sumbangan kain pelikat, kain jubah, telekung, air zam-zam.
Pada malam ini, Najib menyampaikan sumbangan berkenaan kepada ketua-ketua bahagian Umno di Selangor untuk diagihkan kepada anggota jawatankuasa masjid dan surau di seluruh Selangor.
Beliau turut meluluskan permintaan jawatankuasa masjid itu bagi mendirikan sebuah dewan serbaguna untuk orang ramai.
Pada malam ini, Najib bersama kepimpinan Umno Selangor berbuka puasa bersama lebih 2,000 hadirin selain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Perdana Menteri yang mengenakan baju Melayu hijau muda, berkain pelikat hijau tua dan bersongkok hitam turut meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah selepas selesai solat.
Najib berkata antara sebab Jeram dipilih sebagai tempat pertama beliau berbuka puasa di Selangor ialah kerana sokongan padu pengundi di sini yang memberikan kemenangan kepada kesemua dua kerusi dewan undangan negeri, iaitu Bukit Melawati dan Jeram di bawah parlimen Kuala Selangor yang turut dimenangi BN.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukur Idrus, Ketua Bahagian Umno Selangor yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Datuk Amiruddin Setro, Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim, Adun Bukit Melawati Jakiran Jacoma dan anak lelaki Najib, Norashman Razak.
Mai Pikiaq Pi: Teringin nak berbuka puasa dengan PM....

Monday, 15 July 2013

Pastikan Pemilihan Jawatan Peringkat Cawangan Kukuhkan Parti


Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan anggota Umno peringkat cawangan di seluruh negara yang akan bermesyuarat bermula Isnin ini agar mendahulukan perpaduan parti berbanding kedudukan mereka dalam parti.
Beliau berkata walaupun semua anggota bebas menawarkan diri untuk bertanding sebarang jawatan, pada masa yang sama mereka perlu memastikan sebarang pertandingan itu menyumbang kepada kekuatan parti dan bukan melemahkannya.
“Peringatan saya ialah utamakan perpaduan parti. Cawangan merupakan kekuatan kita. Di situ tunjang kekuatan parti kita. Bahagian tidak ramai, tetapi (anggota) cawangan beratus, beribu orang. Jadi, betapa (pentingnya) cawangan itu dijaga dengan baik, dipimpin dengan baik,” katanya.
Shafie yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan khas dengan ketua kampung, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, imam dan ketua Umno cawangan serta ketua ketiga-tiga sayap di setiap cawangan.
Mesyuarat Umno peringkat cawangan akan berlangsung dari 15 Julai hingga 30 Ogos ini.
Ditanya sama ada perlu pertandingan jika kepimpinan sedia ada telah melaksanakan tugas dengan baik, Shafie berkata: “Mengapa kita perlu goncang sekiranya ia akan memecah belah. Kalau kita yakin kepimpinan cawangan sedia ada berkebolehan kita teruskan perjuangan itu.”
Mai Pikiaq Pi: Jangan ada ahli yang cantas mencantas....

Syukuri Nikmat Keamanan Dan Kestabilan Politik – Najib


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keamanan dan kestabilan politik yang dinikmati Malaysia sejak dahulu hingga kini perlu disyukuri setiap umat Islam kerana membolehkan mereka melakukan pelbagai amal ibadat terutama pada bulan Ramadan.
Perdana menteri berkata kedatangan Ramadan setiap tahun amat dinantikan umat Islam dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran dalam mengejar sebanyak mungkin ganjaran daripada Allah S.W.T.
“Setiap umat Islam di negara ini menerima kedatangan Ramadan dengan penuh kegembiraan sebab ia penuh dengan keberkatan.
“Kita perlu bersyukur dan bertuah kerana dapat menyambut Ramadan dengan penuh keamanan dan menjalani ibadah puasa dalam ketenangan dan dapat melakukan pelbagai amalan sunat mengikut kemampuan,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Chini 2 di sini hari ini.
Najib berkata keamanan dan kestabilan yang dimiliki Malaysia tidak akan ditemui di kebanyakan negara Islam lain termasuk negara-negara Timur Tengah.
Beliau berkata di Mesir dan Syria contohnya, pergolakan politik yang melanda negara-negara itu semestinya akan menyebabkan umat Islam menjalani ibadah puasa dan ibadah lain dengan penuh cabaran.
“Di Syria, berjuta-juta umat Islam menjadi pelarian dan terpaksa tinggal di dalam khemah dan masa depan mereka tidak menentu.
“Di Iraq, Afghanistan dan Palestin pula rakyatnya berada dalam keadaan tidak begitu tenteram dan keselamatan tidak terjamin, sedangkan di Malaysia kita bebas mencari rezeki dan dapat melihat masa depan dengan penuh keyakinan,” katanya.
Najib yang baru pulang dari melakukan lawatan kerja di Tanzania baru-baru ini turut berkongsi keadaan ekonomi di negara Afrika itu dan jelasnya terlalu banyak jurang perbezaan pendapatan ekonominya berbanding Malaysia.
“Di sana terdapat ramai umat Islam, namun pencapaian dan pendapatan mereka tidak sama dengan di sini, di sana pendapatan per kapita hanyalah AS$1,500 sedangkan kita AS$10,000 per kapita.
“Kenapa tahap kejayaan mereka tidak sama dan jauh ketinggalan berbanding Malaysia sedangkan mereka kaya dengan minyak dan tanah yang subur…ini adalah kerana kepimpinan politik mereka yang tidak sama seperti yang kita miliki di sini,” katanya.
Pada majlis itu Najib turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 126 warga emas sekitar Felda Chini sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah.
Mai Pikiaq Pi: Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan keamanan bumi kita...