Nuffnang Ads

Thursday, 14 November 2013

Politik Bermusim Tidak Mampu Bertahan Di Sabah

Politik bermusim parti-parti pembangkang di Sabah bukan sahaja dilihat tidak diterima oleh rakyat negeri itu pada pilihan raya umum yang lalu, tetapi rupa-rupanya telah menular di kalangan wakil rakyat mereka sendiri.
Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar berkata perkara itu dapat dilihat setelah berlakunya penghijrahan daripada kalangan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) PKR dan DAP di Sabah baru-baru ini.
jamawi tenom umno bn
Menurut beliau gaya retorik yang hanya sekadar mahu memancing undi berbanding dengan apa yang direncanakan oleh kerajaan negeri yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan parti pembangkang di Sabah retak menunggu belah.
“Mungkin pengalaman bergelumang di dalam parti pembangkang secara lebih dekat memberi kefahaman yang jelas kepada adun-adun terbabit bagaimana hala tuju serta perancangan parti-parti pembangkang berkenaan.
“Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan syabas kepada ADUN pembangkang yang berani bertindak demi manfaat serta kepentingan penduduk di kawasan yang mereka wakili. Langkah mereka amat tepat sekali,“ katanya kepada UMNO-Online di sini.
Tambah Jamawi lagi mesej besar dan tersirat daripada apa yang berlaku itu perlu dikongsi  dan ianya bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada pimpinan negeri malah kepada pimpinan pusat parti pembangkang.
“Tersiratnya mesej daripada apa yang berlaku itu ialah gaya retorik serta perjuangan politik bermusim tidak akan ke mana.
“Sebaliknya rakyat mahukan sebuah parti yang benar-benar berkesan. Bagi saya itulah mesej yang cukup penting dan apa pun pembangkang di Sabah menuju kehancuran. Apa yang dilontarkan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, bongkak dan angkuh tetapi inilah realiti… inilah hakikat dan inilah senario di Sabah,” ujaynya.
Sebelum ini, ADUN kawasan Luyang daripada DAP, Hiew King Cheu, mengumumkan keluar parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas, manakala ADUN Kadamaian Jeremmy Malajad bertindak  keluar PKR berkuat kuasa pada Isnin lalu.
Terbaru, pada Jumaat,  ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan  pula mengisytiharkan peletakan jawatan Naib Pengerusi 1, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) parti itu, berkuat kuasa serta-merta .

PEMILIHAN PEMUDA UMNO ROMPIN TIDAK SAH

Pemilihan bagi jawatan kuasa Pemuda Umno Rompin bakal diadakan semula 16 November ini kerana terdapat masalah teknikal dalam pengendalian pemilihan tempoh hari.

Pemilihan semula itu diarahkan Pengerusi Pemilihan Umno Pusat, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali selepas persidangan jawatankuasa mendapati wujud kes dalam bantahan yang dibuat perwakilan.

Setiausaha Umno Bahagian Rompin, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain berkata, keputusan pemilihan tempoh hari bagi jawatan kuasa Pemuda Umno Rompin secara automatik terbatal.

“Pemilihan semula sayap Umno ini dilakukan kerana terdapat isu teknikal iaitu masalah dalam proses pengendalian pemilihan ketika itu.

“Selain itu, terdapat juga bantahan dibuat perwakilan yang bertanding dan pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat mendapati wujud kes dalam bantahan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemilihan Pemuda Umno Rompin di Dewan Uniten, Muadzam Shah pada 12 Oktober lalu, menyaksikan pertembungan sengit dua penjuru antara penyandang Ketua Pemuda, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dengan Datuk Mohd Johari Hussain.

Johari yang merupakan  Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang merangkap Adun Tioman tewas kepada Sahfri dengan perbezaan enam undi sahaja.

Dalam pada itu, Wan Kadri berkata, Umno Bahagian Rompin kini dalam proses memaklumkan kepada perwakilan dan calon bertanding mengenai pemilihan semula.

Sementara itu, Mohamad Sahfri menganggap pemilihan Pemuda Umno itu yang diadakan sebelum ini sudah berjalan dengan baik dan sempurna.

Menurutnya, demokrasi telah dilaksanakan sebaik mungkin dan tidak perlu terikut dengan rentak pembangkang yang cuba untuk menghancurkan perpaduan dalam Umno.

“Sikap mementingkan diri sendiri dan hasad dengki di kalangan ahli perlu dijauhi  ahli Umno.

“Oleh itu, saya berharap Umno akan terus dianggap sebagai parti yang membela rakyat dan saya bersedia untuk bertanding semula,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Yusmizan Md Yunus yang sebelum ini memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Rompin menewaskan Mohd Azrul Ali juga menyatakan kesediaan untuk bertanding semula jika diarahkan.

Menurut Yusmizan, beliau akan patuh kepada arahan Jawatankuasa Pemilihan Umno Pusat yang mahukan pemilihan semula diadakan.

“Jawatankuasa berkenaan telah menyiasat dan hasilnya mendapati wujud masalah dalam pemilihan baru-baru ini.

“Walaupun saya sudah menang, jika benar berlaku ketirisan maka saya sedia untuk bertanding semula,” katanya.

Cadang polis kawal kediaman penguat kuasa agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menempatkan anggota polis membuat kawalan berkala di kediaman pegawai dan anggota penguatkuasa jabatan agama.

Beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada KDN secepat mungkin bagi memastikan keselamatan anggota penguatkuasa agama.

"Kami faham KDN dan pasukan polis ada kekangan dan tugasan tetapi apa pun kami akan berbincang dengan KDN secepat mungkin.

"Kawalan ini adalah untuk mereka yang tinggal di luar kuarters...kami memerlukan rondaan secara berkala dan harian daripada pihak polis,"  katanya kepada pemberita selepas perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di Bandar Baharu Tunjung di sini, hari ini.

Perasmian kompleks bernilai RM25.8 juta itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Turut hadiri Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Cadangan kawalan polis itu adalah susulan pembunuhan Ketua Penguatkuasaan Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek, 49, Ahad lalu.

Dalam kejadian 1.55 petang itu, Ahmad Raffli maut akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga lelaki yang datang menemuinya di kediaman beliau di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.

Media melaporkan Allahyarham terlibat dalam penyiasatan beberapa kes besar termasuk memantau gerakan Syiah di Pahang dan ajaran sesat 'Tuhan Harun'.

Ditanya mengenai cadangannya supaya anggota penguatkuasa agama dibekalkan senjata api, Jamil Khir berkata cadangan itu sebenarnya dapat memotivasikan pihak penguatkuasaan dalam melaksanakan tugas yang semakin mencabar.

"Ini kuasa KDN untuk meluluskan atau tidak. Penguatkuasa kini dihambat cabaran dalam melaksanakan tugas seperti membanteras ajaran sesat dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Jamil Khir meminta semua negeri mengangkat martabat Mahkamah Syariah masing-masing dengan cara memastikan semua kes dapat diselesaikan dalam tempoh tertentu.

"Kami faham ada kekangan untuk menyelesaikan kes tertunggak tetapi demi martabat mahkamah itu sendiri, adalah menjadi sasaran agar kes-kes berkenaan dapat diselesaikan," katanya.

Kompleks di tapak seluas 2.4 hektar itu dimulakan pembinaannya pada 24 Mei 2010 dan disiapkan pada 8 Julai lepas.
Kompleks tujuh tingkat itu mula diduduki dan beroperasi pada 1 Ogos lepas dengan menempatkan pejabat pentadbiran, Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Kelantan, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan, Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan dan Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu.

Sebelum ini, semua urusan beroperasi di Kompleks Islam Darul Naim, Lundang.

Mai Pikiaq Pi: Orang awam juga turut berasa tidak selamat sejak kes tembak berleluasa...

Siti bidas, Khairy masih membisu

NAMA Datuk Siti Nurhaliza tiba-tiba dikaitkan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dek kenyataan Khairy yang disifatkan kurang manis oleh penyanyi nombor satu Malaysia itu, Siti menegur Khairy di laman mikro Twitter, semalam.

Dalam satu sidang media Isnin lalu, Khairy menyelar bekas kapten skuad kebangsaan yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Jamal Nasir yang dilaporkan terguris hati apabila ada pihak yang mengkritik secara melulu.

“Jika beliau bukan budak suruhan FAM, bukan pemimpin FAM, jadi jangan masuk campur. Ini antara menteri dengan FAM dan kalau tiada apa-apa jangan masuk campur,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Semalam, Siti menulis di akaun Twitter miliknya, “ sebagai menteri muda dan diperhatikan, rasanya Khairy perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Lantang tak perlu biadab dengan yang lebih tua.”

Status tersebut menerima pelbagai maklum balas dan tidak kurang juga yang mengkritik Siti kerana masuk campur urusan bola sepak negara.

Siti tegur KJ, KJ belum jawab

Dalam kenyataan yang dipetik di sebuah akhbar tempatan hari ini, Siti akui teguran tersebut ikhlas terpulang sama ada mahu menerimanya ataupun tidak.

“Siti cuma tidak berapa suka dengan pendekatan Khairy kerana beliau menteri muda dan sentiasa dipandang tinggi.

“Perkataan ‘budak suruhan’ daripada seseorang yang muda sepertinya kepada yang agak tua seperti Datuk Jamal memang kurang manis.

“Ada lagi bahasa yang elok patut digunakan. Siti sekadar menegur, tidak mahu ia menjadi ikutan pula selepas ini. Siti tegur dengan ikhlas, kalau tidak mahu terima, terpulang. Siti hanya rakyat biasa,” katanya.

Sehingga hari ini, isu tersebut masih belum mendapat maklum balas daripada Khairy.

Wednesday, 13 November 2013

ADAKAH DAP PARTI PELBAGAI KAUM?





Benarkah hipotesis bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 telah mengubah landskap politik Malaysia secara monumental dengan menjadikan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan?

Untuk mengesahkan kebenaran atau kepalsuan hipotesis itu, maka rakyat Malaysia perlu mengkaji sama ada parti-parti yang hari ini mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum adalah tulen dakwaannya dan bukan semata-mata bersifat pelbagai kaum secara kosmetik.

Oleh itu mari kita meletakkan sebuah parti politik tempatan yang amat gah mendakwa bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa bahawa ia adalah parti politik untuk semua kaum di Malaysia di bawah mikroskop sebagai bahan kajian. Parti yang dimaksudkan adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Slogan Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia adalah asas perjuangan DAP. Di bawah konsep ini DAP menentang hak istimewa yang berasaskan kaum dan memperjuangkan sistem meritokrasi di mana pembahagian sumber hendaklah kepada individu yang terbaik, paling berkebolehan, rajin dan yang tercekap.

Sekali pandang amat muluk matlamat perjuangan DAP, namun kita harus mengkaji sama ada kemulukan slogan memperjuangkan kepentingan semua kaum diikuti dengan pelaksanaanya. Pertama mari kita lihat sama ada dilihat dari segi keahliannya DAP memenuhi kriteria pelbagai kaum atau hanya beretorik.

Statistik menunjukkan bahawa pecahan penduduk Malaysia mengikut kaum adalah 65.1 peratus daripada etnik Melayu dan bumiputera, 26 peratus etnik Cina dan 7.7 peratus etnik India. Maka untuk sesebuah parti mengaku bersifat pelbagai kaum parti berkenaan haruslah tidak mempunyai keanggotaan satu kaum melebihi 50 peratus dari keseluruhan keahlian parti tersebut. Oleh kerana tidak ada sebarang statistik pecahan keahlian DAP mengikut kaum, maka kita boleh membuat ujian terhadap sifat kepelbagaian DAP dengan meninjau barisan kepemimpinannya.

Kajian yang dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung di laman web DAP menyaksikan dari 30 orang ahli jawatankuasa pusatnya, 22 (73 peratus) adalah terdiri daripada kaum Cina, 6 (20 peratus) adalah kaum India dan hanya 2 (7 peratus) adalah orang Melayu. Jelas barisan kepemimpinan DAP tidak membuktikan ia sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum.


Untuk berlaku adil kepada DAP oleh kerana dari segi statistik kepemimpinannya DAP tidak membayangkan ia sebuah parti politik untuk semua kaum di Malaysia, maka marilah kita melihat pula kepada corak perjuangan parti berkenaan manalah tahu jikalau perjuangannya membuktikan ia sebuah parti untuk semua kaum sepertimana slogannya Malaysia untuk orang Malaysia. Sudah tentu semua rakyat Malaysia bermaksud untuk orang Melayu, kaum bumiputera, Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.

Persepsi 

Tetapi apabila melihat isu-isu yang diperjuangkan parti DAP akan semakin terbukti bahawa bagi DAP slogan Malaysia untuk orang Malaysia tidak termasuk untuk orang Melayu. Persepsi ini timbul kerana apa yang dilihat sebagai penentangan DAP terhadap segala simbol kemelayuan yang terdapat kehidupan bernegara kita.

Contohnya keputusan memakai atau tidak memakai songkok telah dijadikan polemik oleh DAP. Perkara ini berlaku walaupun memakai songkok telah menjadi sebahagian pakaian formal bagi majlis yang melibatkan raja-raja Melayu sebagai tanda kesopanan. Persepsinya DAP melihat songkok sebagai tanda dominasi orang Melayu.

Walaupun setelah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran di Selangor dan Perak ( negeri beraja ) di mana anggota DAP yang menjadi anggota pentadbiran terpaksa memakai songkok namun masih terdapat penentangan seperti yang berlaku di Johor.

Soalan cepu emas yang perlu ditanya oleh orang Melayu dan perlu dijawab secara jujur oleh DAP ialah adakah pernah pada sebarang masa badan pembuat dasar tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Pusatnya mengeluarkan arahan melarang pemakaian songkok, adakah larangan ini masih berkuat kuasa dan kenapa ia berlaku. Begitu juga tindakan DAP yang lantang menentang sebarang usaha untuk mengkelaskan Malaysia sebagai negara Islam walaupun Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia.

Kenapa terdapat kedegilan di pihak DAP untuk terus mempertahankan status Malaysia sebagai negara sekular? Selain usaha untuk menyempitkan signifikan peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan DAP juga menentang peruntukan Perkara 121 (1A) yang tidak membenarkan campur tangan mahkamah sivil di dalam apa yang menjadi bidang kuasa mahkamah syariah. Kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjadi teras kepada status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua kaum DAP dikenali sebagai parti yang paling lantang memperjuangkan bahasa dan sekolah Cina. Begitu kerasnya pendirian DAP di dalam persoalan bahasa dan pendidikan ini sehingga mereka menentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan penubuhan sekolah wawasan yang pernah dicadangkan kerajaan satu ketika dahulu.

Bukan sahaja kepentingan agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu tidak diperjuangkan oleh DAP malah ia ditentang hebat oleh parti berkenaan. Begitu juga hak-hak istimewa orang Melayu juga ditentang oleh DAP kerana hak istimewa orang Melayu ini disifatkan sebagai antimeritokrasi. 

Penentangan ini berlaku walaupun hak-hak istimewa ini telah terbukti berjaya membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memperoleh sedikit keadilan sosial. Begitu antiDAP kepada hak-hak istimewa orang Melayu sehinggakan walaupun hanya 30 peratus pemilikan ekuiti negara disasarkan untuk orang Melayu, telah diasak dengan begitu hebat oleh DAP.


Hakikatnya hari ini majoriti 65.1 peratus (orang Melayu) penduduk Malaysia hanya menguasai 19.4 peratus kekayaan negara berbanding minoriti 26 peratus rakyat Malaysia (kaum Cina) yang menguasai 42.4 peratus. Nampaknya kejayaan yang sedikit ini pun hendak dicemburui dan mahu dihapuskan. Bagi DAP sebarang kejayaan orang Melayu akan dikaitkan dengan faktor rasuah atau pilih kasih bukannya usaha kaum tersebut.

Terbukti dari semua segi sama ada statistik kepemimpinan mahukan corak perjuangannya DAP bukanlah parti untuk semua kaum apatah lagi untuk orang Melayu. DAP adalah sebenarnya sebuah parti untuk orang Cina. Tanggapan terhadap DAP juga sebagai parti yang secara agresif memperjuangkan kepentingan untuk semua ras sebenarnya hanyalah ilusi. 

Menggunakan kriteria ujian yang sama terhadap parti-parti politik lain di Malaysia yang juga mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum sepertimana ujian kriteria yang digunakan terhadap DAP maka kita boleh menyimpulkan bahawa dakwaan landskap politik berhubung peranan ras yang dikatakan berubah pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebenarnya lebih bersifat indah khabar dari rupa.

Amat perlu bagi parti-parti politik Malaysia duduk semeja dan merangka satu tata etika agar mereka tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menipu rakyat dalam konteks sifat kepelbagaian kaum. 

Salah satu tataetika utama yang harus di persetujui semua adalah mana-mana parti politik yang ingin mendakwa bahawa mereka bersifat pelbagai kaum tidak boleh mempunyai dominasi keahlian sesuatu kaum melebihi 50 peratus sama ada dari segi ahli mahupun barisan kepemimpinannya, parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum juga perlu melambangkan komitmen berkenaan di dalam platform dasar mereka. Jika tidak dapat memenuhi syarat-syarat ini maka sebarang parti politik hendaklah dilarang daripada menggunakan label pelbagai kaum.

PAS SENGAJA SENSASI ISU LOMPAT PARTI

Pas Perak dilihat sengaja mahu mensensasikan isu khabar angin beberapa Adun BN Perak akan melompat parti menjelang Muktamar Pas Pusat kali ke-59.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Faizal Effendy Hasim berkata, isu itu sengaja dimainkan untuk meraih publisiti murahan.

Menurutnya, parti itu juga cuba meraih sokongan perwakilan seluruh negara agar calon dari Perak menang  jawatan penting pada pemilihan kali ini.

“Kita merasa amat pelik kerana Pas sahaja yang beriya-iya sedangkan tiada kenyataan rasmi dibuat PKR dan DAP.

“Pas Perak sepatutnya memikirkan hal lebih penting yang melanda parti itu sekarang khususnya kepercayaan orang Melayu dan kepercayaan rakan komponen di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Faizal Effendy berkata, Pas Perak juga dilihat cukup terkesan dengan pembentangan Bajet 2014 oleh perdana menteri baru-baru ini kerana tidak banyak perkara dalam bajet berkenaan boleh dijadikan isu untuk mengelirukan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Nadi Perak menjelaskan, pembentangan Bajet 2014 Negeri oleh menteri besar tidak lama lagi juga membuatkan mereka resah.

Jelas beliau, kebanyakan rakyat di negeri ini sudah mula menerima kosep 3P (Kita Turun Padang, Kita Selami Perasaan, Kita Laksana Penyelesaian) yang diterjemahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Kelmarin, Ketua Penerangan Pas Negeri, Dr Ahmad Nuri Al-Amin dalam kenyataannya menggesa Zambry membuat laporan polis berhubung dakwaan dua Adun BN akan melompat parti bagi menafikan perkara itu tidak benar.

Ahmad Nuri berkata, Pas Perak memandang serius perkara berkenaan dan melihat ia perkembangan yang tidak sihat dalam politik Perak.

TUN DR. MAHATHIR ULANG GESAAN AJAR SAINS, MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi gesaannya bagi Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
    
Beliau berkata, Sains dan Matematik kini merupakan ilmu yang amat penting dan perlu dikuasai rakyat Malaysia sekiranya Malaysia mahu maju dan mencapai status negara maju.
    
"Saya ingin merayu sekali lagi supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Kita perlu bersikap realistik. Bahasa Melayu masih belum lagi menjadi bahasa Sains dan Matematik," katanya.
    
Dr Mahathir berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa  Pendidikan Guru Dalam Dunia Islam kali ke-2 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.
    
Beliau berkata, sekiranya rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik khususnya bahasa Inggeris saintifik dan teknikal, rakyat Malaysia tidak akan mampu bergerak seiring dengan kemajuan pesat dalam bidang itu.


   
"Pelajar, malah tidak akan diambil bekerja. Kebanyakan siswazah menganggur ialah mereka yang tidak fasih bahasa Inggeris. Adalah menyedihkan sekiranya pelajar cemerlang di sekolah tetapi mereka ditolak daripada diambil bekerja kerana tidak menguasai atau lemah dalam bahasa Inggeris," katanya.
 
Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu bersikap pragmatik. Pejuang  bahasa kebangsaan mungkin berfikir nasionalisme ialah mengenai kemampuan bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik dan itu adalah salah.
    
"Nasionalisme ialah mengenai kejayaan dalam semua bidang dalam kehidupan, berupaya menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan negara anda dan bangsa anda, dihormati dan dikagumi orang lain, menjadi pemimpin dalam apa juga bidang yang anda ceburi dan berjaya berdiri sama tinggi. Itulah nasionalisme yang sebenar," katanya.
    
Dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama tersebut,Dr Mahathir berkata beliau dapati kerajaan tidak berminat untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
    
"Mereka ingin kembali kepada Bahasa Kebangsaan. Malangnya bidang ini tidak seperti bidang-bidang lain. Kalau belajar Geografi atau Sejarah isi kandungannya tidak berubah. Bertahun-tahun macam itu. Kalau sesuatu berlaku di sesuatu tempat, tidak boleh kata ia berlaku di tempat lain," jelasnya.
    
Dr Mahathir berkata, sains adalah berbeza kerana sepanjang masa ada penyelidikan dibuat dan pengetahuan baharu dengan benda-benda baharu diperkenalkan.
    
"Benda-benda yang tidak disangka pun diperkenalkan. Biasanya oleh penyelidik-penyelidik dalam kertas kerja yang mereka sediakan. Kertas kerja ini 98 peratus dalam bahasa Inggeris," jelasnya.
    
Katanya, kalau tidak belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sukar untuk ikut perkembangan ilmu semasa dan boleh ketinggalan.
    
"Saya orang Melayu. Saya sayang bahasa saya. Tapi saya lebih utamakan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh bangsa. Kalau tidak hendak guna bahasa Inggeris, kemungkinan ialah ketinggalan dari segi ilmu dan tidak boleh bersaing dengan orang lain. Malaysia tidak boleh jadi sebuah negara maju.
    
"Ilmu sudah berkembang dengan pesat tetapi orang Melayu tidak boleh dapat ilmu kerana ia tidak datang dalam bahasa Melayu," katanya.
    
Dr Mahathir turut mencadangkan kurikulum pelajaran agama Islam disemak semula.
    
"Saya dapati kebanyakan guru mempunyai ilmu tapi tekanan terhadap pembentukan peribadi yang baik tidak diutamakan. Apa yang diutamakan ialah bagaimana mengerjakan sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi agama Islam turut beri panduan bagaimana untuk menjadi manusia yang baik," katanya.