Nuffnang Ads

Thursday, 5 December 2013

Wanita UMNO Perlu Anjakan Mentaliti, Keluar Dari Zon Selesa

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan semua anggota pergerakan itu agar membuat anjakan mentaliti dan keluar dari zon selesa mereka.
Beliau berkata Wanita UMNO perlu mengeratkan lagi program dengan Wanita Barisan Nasional (BN) kerana perjuangannya bukan hanya untuk wanita Melayu sahaja tetapi untuk semua wanita di negara ini.
“Perjuangan Wanita UMNO merentasi kaum dan agama, walaupun kita ada agenda untuk wanita Melayu tetapi secara umumnya perjuangan kita adalah untuk semua,” katanya ketika menggulung perbahasan usul pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
shahrizat-ucapan-dasar-wanita-semangat-persidangan-perhimpunan-2013-pwtc
Beliau juga mengajak Wanita UMNO membina kekuatan dalaman dan sentiasa dikelilingi golongan cerdik pandai bagi memperbaiki diri.
“Jangan takut dengan bayang-bayang, walaupun tidak ada ijazah, puan-puan ini bukan calang-calang pemimpin, kalau kita hanya dikelilingi mereka yang kurang daripada kita bagaimana kita hendak perbaiki diri.
“Kita perlu dikelilingi mereka yang bijak pandai dan mahir daripada kita, barulah kita boleh jadi hebat, jangan takut,” katanya dengan diiringi sorakan gemuruh dari 955 perwakilan yang hadir.
Sementara itu dalam sidang media, Shahrizat berkata pada penggal kali ini pergerakan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi wanita sebagai agenda utama.
Beliau berkata tumpuan itu penting dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan usahawan wanita di samping dapat membantu golongan ibu tunggal yang memerlukan bantuan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan masing-masing.
Selain itu, beliau berkata program keagamaan dalam pergerakan itu akan turut dipertingkatkan lagi dengan pelbagai pendekatan yang membawa kepada hasil lebih efisien dan efektif selari dengan tuntutan globalisasi zaman sekarang.
Dalam pada itu, Shahrizat juga tidak menolak pendapat bahawa pergerakan itu berkeupayaan untuk menjadi ejen perpaduan kaum kerana sifat keibuan yang ada dalam diri mereka mampu menyelesaikan pelbagai masalah dengan mudah.

Lagu Tanya Sama Anwar Tarik Perhatian Perhimpunan Pemuda

Lagu tanya sama Anwar menghiasi perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2013 apabila pembahas Pemuda UMNO Kedah, YB Mahadzir Abdul Hamid mendendangkan lagu tersebut.
Dengan nada yang hampir sama didendangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau secara bersahaja menyanyikan “Tanya Sama Anwar, Apa Sebab Goyang, Nanti Jawab Anwar 11 Cabang Dah Hilang’.
“Tuan-tuan dah lupakah dengan gubahan lagu itu sebelum ini…dia nyanyi tanya sama Najib apa sebab goyang, nanti jawab Najib, Sabah nak hilang….Sabah hilang ka…? atau PKR yang hilang taring,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyokong usul terima kasih ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,Khairy Jamaluddin, di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.
Meneruskan ucapannya, beliau berkata UMNO adalah nadi dan jantung kepada guru, peniaga, kakitangan kerajaan, petani, kaum ibu dan bapa, nelayan dan semua lapisan masyarakat dan rakyat Malaysia.
“Kita perlu mendengar luahan rakyat bawahan, keluhan rakyat miskin dan membela mereka yang terpinggir. Selagi kita memahami, mendekati dan memenuhi aspirasi dan jiwa rakyat jelata, maka UMNO akan berada dalam landasan yg kukuh untuk menang..
“Kadang-kadang kita lihat seolah-olah terlalu susah sangat untuk dilakukan walaupun kuasa di tangan kita. Ni dok mai pulak masalah tariff elektrik yang akan dinaikkan hampir 15%. Apakah GLC yang kita sendiri tubuhkan, hari ini tidak lagi mencerna hasrat dan aspirasi rakyat?
“Bayangkan apa jadi dengan golongan kurang mampu, yang tinggal di luar bandar. Mereka ini menyumbang kepada kemenangan besar BN. Apakah ini harga perlu mereka bayar?.. kita tahu TNB sebuah syarikat yang  berorientasikan keuntungan tetapi, jangan prinsip “people oriented” dilupakan,” ujarnya.

Pemuda UMNO Garis Tiga Langkah Utama Tawan Generasi Muda

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin hari ini menggariskan tiga langkah utama bagi memenangi hati orang muda untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.
Langkah pertama, mengadakan program ‘Jelajah Anak Muda’ mulai tahun depan dengan mengerahkan tenaga Pemuda dalam kalangan perwakilan Exco dan Bahagian.
“Pemuda akan menjelajah institut pengajian tinggi awam, politeknik dan institut latihan bagi menemui mereka. Kita juga akan menghantar wakil bertemu pelajar di luar negara,” katanya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Pemuda 2013 di sini hari ini.
Bagi langkah kedua, Khairy berkata pihaknya akan menerap pendekatan ke pusat ibadah, yang mana pada masa sama, akan cuba menjadi ejen penyelesai masalah rakyat.
khairy-ucapan-dasar-semangat-pemuda-persidangan-perhimpunan-2013-pwtc
Beliau berkata Pemuda juga akan lebih ke depan dalam mencari penyelesaian masalah seperti banjir dan kebakaran agar rakyat tidak perlu lagi menunggu wakil rakyat mereka berbuat sesuatu.
“Kerana itulah kita telah meminta rakan-rakan Pemuda kita yang berada di sini supaya segera pulang ke kawasan dilanda banjir. Ada lebih kurang tujuh atau lapan bahagian telah kita arah pulang hari ini bagi membantu penduduk yang terjejas dengan banjir,” katanya.
Khairy berkata langkah ketiga menyaksikan Pemuda tidak perlu takut berdepan serangan pembangkang di arena politik dan segera tampil berdebat, jika perlu, untuk menerangkan sesuatu isu yang timbul.
Beliau berkata menerusi cara ini, generasi muda akan lebih mempercayai kredibiliti dan keupayaan Pemuda sekali gus tidak membenarkan pembangkang menang percuma.
Dalam pada itu, Khairy berkata Pemuda dan pihak berwajib akan membantu kira-kira 60,000 daripada 140,000 pemohon mendapatkan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) secepat mungkin.
Katanya, status pemohon ialah sedang menjalani kursus dan pemeriksaan, 50,000 berjaya memperoleh lesen manakala bakinya adalah mereka yang mempunyai masalah kerana lokasi yang jauh, dan golongan ini akan menerima bayaran khas daripada Pemuda.
Program BL1M merupakan antara inisiatif Pergerakan Pemuda UMNO di bawah kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar bagi membolehkan penunggang motosikal muda memperoleh lesen B2 dengan kadar yang lebih murah.

Wednesday, 4 December 2013

Pembangkang Kononnya Juara Demokrasi Tapi Sumbang Di Gelanggang Sendiri

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO menyifatkan pembangkang yang kononnya juara demokrasi tetapi hakikatnya sumbang di gelanggang sendiri.
Tegasnya lihat  sahaja DAP dan Pas yang tak sudah-sudah menabrak sistem pilihan raya negara dan SPR, sudahnya malu sendiri.
“Pilihan raya DAP yang ada dua ribu lebih pemilih pun tunggang langgang, habis semua orang disalahkan.  Akhirnya terpaksa buat pemilihan semula selepas sembilan bulan pemilihan pertama dibatalkan.  Tapi biasalah… semua itu bukan salah mereka.
“Pas bulan lepas apa kurangnya?  Berdalih melewatkan keputusan, konon silap sistem yang menguruskan cuma seribu orang itu.  Tiba giliran PKR, lain plot cerita, gegak gempita memperjuang ketelusan, pemimpin wahid sendiri kebal demokrasi.  Bahkan jawatan pun langsung tak wujud dalam perlembagaan parti”, katanya.
Tambah beliau lagi inilah bezanya anatara UMNO dengan pembangkang sebagai contoh DAP dan Pas yang hanya memberi muka kepada dua tiga ribu pemilih di peringkat pusat.
“… kita pula membuka aula kepada 150 ribu ahli di peringkat akar umbi untuk mengundi.  Berbanding PKR yang berketua umum-kan jawatan khayalan, seluruh jawatan dalam UMNO sah termaktub mengikut perlembagaan parti”, ujarnya.
Walaupun UMNO kata beliau lagi melakar sejarah baru menggunakan sistem pemilihan baru, yang bertunjangkan suara akar umbi dalam menentukan kepimpinan parti namun Pemuda menggesa agar post mortem segera dilaksanakan.
“Bukanlah kita ini ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, tapi penambahbaikan perlu untuk memastikan keputusan pemilihan saksama, dihormati dan tiada ruang untuk pertikaian.  Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas diperbetulkan.  Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh ikan tak dapat.
“Proses pemilihan itu sendiri, misalnya, masih punya ruang untuk diperkemas dan dimantapkan lagi.  Jangan ada kertas undi yang sama warna hingga menimbulkan ragu mengelirukan perwakilan. Bila mengumumkan siapa menang siapa kalah, keputusan yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama dengan yang apa telah disahkan oleh wakil-wakil calon di bahagian.  Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula diumumkan menang bila keputusan diisytiharkan di ibu pejabat”, katanya.
Menyentuh tentang logistik pula, tambah beliau aspek kerahsiaan hendaklah dijaga, perlu ada galang penghadang semasa proses mengundi dijalankan.
“Kita mesti menyediakan tenaga kerja yang cukup untuk memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu, tidak bimbang.  Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus.
“Proses rayuan itu juga tidak boleh dilihat umpama menghukum atau menyebelahi mana-mana pihak.  Kriteria untuk pengundian semula hendaklah diperbutirkan dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan.
“Namun demikian, kita bersyukur kerana UMNO terbukti mampu memberi ruang yang mampan untuk ahli menentukan pucuk pimpinan parti”, ujarnya.  

Tuesday, 3 December 2013

Mahasiswa Terus Diiktiraf UMNO, Jadi Jurucakap Perhimpunan Pemuda Dan Puteri

Persidangan Mahasiswa Nasional (Pemanas) sempena Perhimpunan Agung UMNO mencatat sejarah kepada para mahasiswa apabila mereka diberikan peluang untuk berucap pada perhimpunan agung sayap UMNO.
Jika sebelum ini, hanya wakil kelab UMNO Luar negara akan berucap di Perhimpunan Agung UMNO, namun pada kali ini mahasiswa dan mahasiswi akan mempunyai wakil mereka di perhimpunan agung Pemuda dan Puteri.
Pengerusi Biro Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan jurucakap berkenaan akan membawa usul yang akan diagih-agihkan nanti hasil daripada usul yang diterima pada persidangan mahasiswa hari ini.
Menurut beliau sebanyak 36 usul dapat dikumpulkan dan daripada jumlah tersebut, 10 usul politik, 7 pendidikan, 10 ekonomi dan 9 daripadanya adalah usul agama dan ianya datang daripada anak muda yang sayang pada perjuangan UMNO.
“Walaupun pahit untuk ditelan tetapi anak muda yang ada di depan saya ini sayang pada perjuangan UMNO. Suara itu bukannya datang daripada pembangkang tetapi datang daripada pemimpin kita.
“Dalam dewan ini juga kita ada satu kejayaan. Sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda tidak pernah kita dengar mahasiswa dan mahasiwi dijemput untuk hadir muktamar Pas…persidangan DAP….persidangan PKR.
“Tetapi hari ini mahasiswa dan mahasiswi bukan setakat hadir tetapi diberi ruang dan peluang untuk berucap memberi pandangan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Ini satu kejayaan bukan untuk kita banggakan…ini satu kejayaan sebab kita benar-benar rasa pentingnya mahasiwa dilibatkan dalam kita membuat satu-satu dasar.
“Dan mahasiswa boleh menilai parti yang mengiktiraf sumbangan mereka dalam membentuk kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Persidangan Mahasiswa Nasional (Pemanas) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013, di sini, hari ini.
Persidangan pada kali ini berkonsepkan ala persidangan Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas. Pesertanya terdiri daripada 75 orang wakil KULN dan 75 orang daripada mahasiswa dalam negara.
Sementara itu pada sidang media, Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata peluang yang diberikan kepada mahasiwa dan mahasiswi untuk berucap buat pertama kalinya di perhimpunan sayap tentunya akan memberi suntikan semangat kepada golongan tersebut dalam pembinaan negara.
“Usul dan persetujuan yang dicapai tadi sebahagiannya berhubungkait dengan institusi muda, peremajaan dapat dibangkitkan pada persidangan sayap dan baki mengenai dasar samaada pendidikan, ekonomi, agama dan politik boleh nanti kita asingkan untuk dibawa pada persidangan agung UMNO.
“Proses seterusnya saya difahamkan akan dipilih di kalangan mereka untuk dimasukkan dalam senarai jurucakap. Mereka ini akan duduk untuk pengagihan usul kelak dan jurucakap tersebut bawa mandat PEMANAS. Jurucakap ini kena kupas nanti,“ ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa puas hati perjalanan dan kejayaan Persidangan Mahasiswa Nasional hari ini.
“Sangat puas hati..sambutan baik percaya PEMANAS ini dapat kita jadikan salah satu kaedah untuk diteruskan. Kenapa saya katakan berpuas hati… Ini benda baru..kalau tidak ada sambutan baik dan kerjasama daripada semua pihak saya percaya apa yang kita laksnakan ini akan temui kegagalan dan kepuasan itu dapat saya kongsi bersama dengan yang lain,“ katanya. 

Monday, 2 December 2013

'Ingat asas perjuangan parti'


tengku-adnan-mansor-setiausaha-agung-umno
Walaupun UMNO kini menjangkau 67 tahun penubuhannya, namun asas perjuangannya demi kepentingan bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air tetap sama dahulu, kini dan selamanya.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata asas perjuangan UMNO bukanlah untuk menjaga kepentingan individu tertentu.
Sehubungan itu, beliau berkata anggota parti tidak perlu menyalahkan UMNO sekiranya hasrat mereka menyertai parti tonggak Barisan Nasional untuk mendapat laba peribadi tidak kesampaian.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis makan tengah hari perwakilan Persidangan Mahasiswa Nasional 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
“UMNO tidak pernah salah, yang salahnya kita orang dalam UMNO… masuk bahagian sahaja hendakkan jawatan itu ini, ada juga yang berhajat nak jadi timbalan menteri, menteri lah dan sebagainya. Bukan itu yang kita patut kejarkan dan bukan itu sebenarnya asas (perjuangan) kita,” katanya.

BN bangunkan masyarakat India secara berterusan

Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membangunkan masyarakat India dan ia merupakan proses berterusan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan pengagihan kekayaan negara dilakukan secara adil dan saksama serta bersifat inklusif kepada semua masyarakat.
“Sebagai sebuah kerajaan kita sentiasa mengusahakan untuk memastikan dasar-dasar negara yang ditunjangi BN merupakan dasar-dasar yang lebih adil, saksama dan pengagihan kekayaan dan peluang dalam semua lapangan bersifat lebih inklusif supaya setiap kelompok masyarakat tidak mengira majoriti atau minoriti akan merasakan di bawah BN mereka boleh mendapat masa depan lebih baik lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-67 di sini, Ahad.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel, timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.
Najib berkata beliau selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN bertanggungjawab mendengar pandangan dan cadangan dari semua parti komponen B Nserta rakyat Malaysia mengenai kekurangan atau kelemahan yang perlu ditambah baik.
“Inilah sifat yang saya amalkan selama empat setengah tahun dahulu, saya  memulakan proses untuk memperbaiki  kedudukan kaum India sebab pilihan raya umum 2008 memberi isyarat bahawa masyarakat India memerlukan perhatian yang lebih serius daripada kerajaan BN,” katanya.
Perdana Menteri berkata usaha untuk menyelesaikan permasalahan kaum India telah dilakukan dan hasilnya sokongan kaum itu kepada BN telah pulih.
Sebagai contoh, katanya dari segi pendidikan, gred purata nasional (GPN)  Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) telah menunjukkan peningkatan kepada 2.31 pada 2013 berbanding 2.58 pada 2010 dan hanya berbeza 0.04 dengan GPN  Sekolah Kebangsaan pada tahun ini.
Bagaimanapun, Najib berkata beliau belum berpuas hati dengan pencapaian itu kerana merasakan masih ada ruang yang boleh diperbaiki.
“Sokongan kaum India telah meningkat tetapi saya merasakan sokongan itu bukan sokongan besar-besaran, sebab itu saya anggap ia satu usaha berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Najib menafikan Bajet 2014 hanya memperuntukkan 0.08 peratus daripada keseluruhan RM264  bilion kepada kaum India.
Katanya pelbagai peruntukan menerusi kementerian-kementerian seperti pembinaan perumahan untuk rakyat juga melibatkan kaum India.
“Kita tidak sibuk naikkan gaji tinggi padahal mereka (kerajaan Selangor) kata berjuang untuk rakyat…jangan jadi hipokrit,” katanya merujuk pada kenaikan gaji dan elaun Menteri Besar, Speaker, Timbalan Speaker, Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor  antara 87 hingga 373 peratus.