Nuffnang Ads

Tuesday, 25 March 2014

INMARSAT jejak MH370 guna pendekatan unik

Pendedahan bahawa pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia adalah berdasarkan analisis baru oleh penyiasat-penyiasat di United Kingdom dan firma satelit Britain, INMARSAT.

Menurut laporan BBC, INMARSAT mengemukakan data baru itu kepada bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) supaya ia boleh diperiksa sebelum disebarkan kepada orang awam.

INMARSAT berkata pengiraan terbarunya melibatkan sejumlah besar data analisis yang memberi tumpuan kepada beberapa faktor termasuk pergerakkan pesawat lain.

Firma itu menambah bahawa ini adalah teknik terbaru dan oleh kerana itu, analisis tersebut memakan masa.

Naib Presiden Kanan INMARSAT, Chris McLaughlin berkata firma itu mengkaji “ping” elektronik yang pesawat itu hantar kepada salah satu satelitnya.

"Kami telah berurusan dengan sesuatu yang baru. Kami telah cuba untuk membantu siasatan berdasarkan hanya satu isyarat yang diterima sekali setiap jam dari sebuah pesawat yang tidak ada sebarang data GPS, masa dan jarak maklumat.

"Mereka berjaya mencari jalan untuk mengatakan hanya satu “ping”  sahaja boleh digunakan untuk mengatakan pesawat itu membuat perjalanan. Kemudian, melalui proses penyingkiran dengan membandingkannya dengan pesawat-pesawat yang lain, diketahui ia terbang ke arah Selatan.

Sementara itu, dalam satu temubual di Sky News, MacLaughlin berkata pesawat yang terbang ke arah selatan itu kehabisan minyak.

Semalam, Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pesawat MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu,disahkan hilangdi kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Najib berkata, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit INMARSAT dan AAIB yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke koridor selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.

"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.

"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Pesawat itu membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia.

Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.

Siasatan awal mendapati pesawat yang hilang itu telah dilencongkan dengan sengaja oleh seseorang yang memandunya. Bagaimanapun, pelbagai spekulasi dan teori konspirasi timbul kerana sistem komunikasi dengan pesawat itu terputus dan tiada bukti-bukti kukuh atau petunjuk mengenai kehilangan pesawat itu.

Antara teori yang dikemukakan dalam masa pencarian sepanjang 17 hari lalu oleh pakar dan penganalisis penerbangan termasuk rampasan, sabotaj oleh juruterbang serta kemungkinan pesawat itu mengalami masalah sehingga menyebabkan semua anak kapalnya tidak sedarkan diri dan pesawat itu terbang sendiri sehingga kehabisan minyak.

Pesawat penerbangan MH370 membuat hubungan terakhir dengan pusat kawalan trafik udara semasa berada di Laut China Selatan di sebuah kawasan yang terletak antara sempadan Malaysia dan Vietnam.

Ia kemudian dikesan berpatah balik dari laluan asalnya dan terbang selama beberapa jam.

Usaha mengesan pesawat itu kemudiannya digerakkan di dua jalur di sebelah utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand serta dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi.

Kebebasan, Demokrasi Semakin Difahami Rakyat – Tun Musa Hitam

Kebebasan dan demokrasi di negara ini dilihat masih diterima dan semakin difahami rakyat, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.
Musa berkata buktinya setiap individu dan kumpulan menggunakan demokrasi dan kebebasan dalam setiap tindakan mereka yang menjadikan ia subur di negara ini.
“Lebih-lebih lagi dengan adanya demokrasi digital ia digunakan oleh golongan kelas pertengahan yang besar dan terpelajar berbanding zaman saya dahulu yang hanya dilihat sebagai satu bahagian kecil dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Dalam Radar’ terbitan Bernama Radio 24 di Wisma Bernama di sini, hari ini.
Musa berkata sehubungan itu, pemimpin kini perlu telus dan bermaklumat dalam mengeluarkan idea serta bersedia menerima segala cadangan atau kritikan daripada rakyat.
“Sebab itu kenapa pemimpin perlu telus, mesti bersedia dan mesti mampu menyuarakannya, kalau merepek habislah demokrasi kita,” katanya.
Dalam program berkenaan, Musa yang pernah menjadi Menteri Pelajaran (1978-1981) juga menekankan mengenai kualiti yang perlu dimiliki pelajar selain mengekalkan kecemerlangan akademik.
“Saya berpandangan mereka harus terima bahawa pendidikan meliputi keseluruhan. Mereka harus hadapi realiti dunia, berfikiran luas, pandai bergaul dan menanam sikap keyakinan diri yang tinggi terutamanya di kalangan pelajar Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) berkata persidangan WIEF kali ke-10 tahun ini akan diadakan di Dubai pada 28 hingga 30 Okt depan.
“Lokasi Dubai sebagai tempat persidangan WIEF ke-10 merupakan satu galakan kepada WIEF sendiri setelah penganjuran WIEF ke-9 tahun lalu di London mendapat sambutan menggalakkan.
Fokus WIEF ke-10 kali ini masih belum dipastikan, namun ia akan berasaskan kepada maklum balas persidangan di London dan juga mengambil kira kehendak hos (Dubai) yang bercadang menjadi pusat ekonomi Islam sedunia,” katanya.
WIEF yang ditubuhkan pada 6 Mac, 2006, menyasarkan untuk meningkatkan kebajikan ekonomi masyarakat dan negara Islam di seluruh dunia dengan meningkatkan dagangan dan peluang perniagaan sesama mereka selain di dunia.
Pada edisi ke-9 forum itu di London tahun lepas, WIEF menerima perakuan global apabila berjaya menarik 2,800 perwakilan dari 128 negara.

KRONOLOGI KEHILANGAN PESAWAT MH370

Misi mencari yang menyelamat pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200 dengan kod MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang pada awal 8 Mac.

MH370 berlepas dari KLIA pada jam 12.41 tengah malam. Data yang diperolehi daripada radar awam dan tentera menunjukkan bahawa pesawat mula memasuki ruang udara Vietnam dan kemudian terputus hubungan radio pada 1:30 pagi, dan kemudian terputus hubungan radar pada 2:15 pagi 205 batu dari barat laut Pulau Pinang.

Ikuti kronologi kehilangan pesawat MH370.

MH370

Peratusan Mengundi Merosot Bukti Rakyat Tidak Suka Demokrasi Dipermainkan

Peratusan mengundi yang merosot dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bukti pengundi di kawasan itu tidak suka demokrasi dipermainkan oleh sesetengah pihak.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, perkara itu terbukti apabila jumlah yang mengundi merupakan terendah dalam sejarah PRK di semenanjung.
wan-azizah-calon-pkr-pakatan-kajang-anwar-tak-kena-tertawa-takut-kanak-kanak
“Baru Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pilih wakil rakyat, sekarang ni hendak keluar lagi mengundi kerana wakil rakyat yang mereka undi meletak jawatan  sewenang-wenangnya, tanpa berunding dengan pengundi mereka.
“Paling serius saya merasa terbukti di PRK Kajang ini adalah rakyat menjadi jemu,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Ruang Bicara di Bernama TV, Isnin malam.
Sejumlah 28,314 pengundi atau 72 peratus daripada keseluruhan 39,278 pengundi berdaftar, mengundi pada Ahad.
Jumlah itu menurun sebanyak 16 peratus berbanding 88.4 peratus pada PRU13, Mei tahun lepas.
Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 16,741 undi berbanding 11,362 undi calon Barisan Nasional Datin Paduka Chew Mei Fun, dengan majoriti 5,379 undi.
Sementara itu, Datuk Wan Ahmad menyokong cadangan sesetengah pihak supaya mana-mana wakil rakyat yang melepaskan jawatan tanpa alasan yang kukuh dikenakan tindakan.
“Wajarlah perundangan dikaji semula supaya tidak membazir wang rakyat, membazir masa, tenaga dan tidak memperlekehkan pilihan rakyat.
“Kalau tidak berwaspada, cara peletakan jawatan seperti di Kajang ini akan terjadi lagi,” katanya.
Beliau mencadangkan jika benar seseorang wakil rakyat ingin melepaskan jawatan tanpa sebab yang kukuh, mereka hanya boleh berbuat demikian selepas tiga tahun berkhidmat.
“Selepas tiga tahun, tidak perlu lagi diadakan PRK. Kawasan itu akan ‘ditanggung’ oleh parti berkenaan. Maka tidak perlu mengeluarkan belanja sejuta ke dua juta untuk membuat PRK,” katanya.
PRK Kajang diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Jan lepas.

Hishammuddin ikut dukacita dengan nasib MH370

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan operasi mengesan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang disahkan hilang di selatan Lautan Hindi akan diteruskan.

Beliau memberikan jaminan itu melalui mesejnya di Twitter malam tadi, tidak lama selepas kedudukan terakhir pesawat Boeing 777-200 itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada dunia.

"Saya sangat memahami tidak ada kata-kata yang dapat mententeramkan ahli keluarga #MH370. Seluruh dunia bersama anda pada saat-saat sukar ini," katanya dalam mesej pertama.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mengetuai jawatankuasa teknikal operasi mengesan dan menyiasat kehilangan pesawat yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu memberikan sidang media perkembangan operasi hampir setiap hari.

Dalam sidang medianya lebih kurang empat jam sebelum pengumuman Najib malam tadi, Hishammuddin antara lain memaklumkan mengenai penemuan dua objek di kawasan carian di selatan Lautan Hindi yang mungkin ada kaitan dengan pesawat MH370 oleh pasukan pencari dari Australia.

Campur Tangan Kerajaan Bukan Faktor Indeks Kebebasan Akhbar Bagi Malaysia Menurun

Campur tangan kerajaan bukanlah faktor utama kepada berlakunya penurunan kedudukan Malaysia sebanyak 23 tangga dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2013.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan semata-mata sebagai punca tunggal kepada kurangnya kebebasan media kerana terdapat faktor penyumbang yang lain.
“Tanggapan orang ramai yang menganggap kebebasan akhbar musuhnya adalah kerajaan tidak semestinya betul, saya juga bimbang kedudukan kita merosot,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang didaftarkan di Perancis menunjukkan Malaysia jatuh ke tangga 145 daripada 179 buah negara tahun lepas berbanding kedudukan ke-122 pada tahun sebelumnya.
Ahmad Shabery berkata faktor campur tangan daripada individu tertentu yang berpengaruh juga menyumbang kepada penurunan itu.
“Kalau kejap-kejap (media) kena saman dan larangan liputan beberapa akhbar oleh sesetengah parti politik juga telah menurunkan indeks kebebasan akhbar.
“Misalnya orang yang boleh mengawal contohnya dari pejabat seorang ketua menteri, dia terus telefon editor akhbar untuk memastikan apakah sepatutnya menjadi tajuk muka depan akhbar, ia mencampuri urusan akhbar untuk berjalan dengan baik ini juga menyebabkan berlakunya penurunan ranking kita,” kata Ahmad Shabery.
Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk penambahbaikan dalam usaha mempertingkatkan kebebasan media di negara ini termasuk kelonggaran pengeluaran permit akhbar.
“Kalau dahulu permit suratkhabar perlu diperbaharui setiap tahun, tapi sekarang tidak ada, secara automatik permit diluluskan kecuali akhbar itu melanggar peraturan, tetapi kenapa ranking kita jatuh.
“Negara seperti Filipina tiada permit tetapi rankingnya di bawah kita, Indonesia setelah habisnya rejim Suharto langsung tidak ada permit tetapi kedudukannya tidak pula melambung.

Penerbangan MH370 Berakhir Di Selatan Lautan Hindi – Najib

Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
Najib membuat pengumuman itu berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.
sidang-media-najib-hisham-azharuddin-sahih-lautan-hindi-mh370-pwtc
“Menggunakan sejenis analisis yang belum pernah digunakan sebelum ini dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberi beberapa petunjuk lebih jelas mengenai laluan penerbangan MH370.
Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
“Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi,” kata Najib dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Perdana Menteri berkata Malaysia Airlines telahpun memaklumkan kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal mengenai perkembangan itu.
“Bagi mereka, beberapa minggu lepas merupakan tempoh yang memilukan, saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media menghormati privasi mereka dan memberikan mereka ruang yang diperlukan di saat-saat sukar seperti ini,” kata Najib.
Beliau berkata maklumat lanjut berhubung perkembangan ini akan diumumkan esok.
Najib berkata sidang akhbar yang tidak dijadualkan malam ini diadakan bagi memaklumkan kepada dunia mengenai perkembangan baharu itu dengan secepat mungkin.
“Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada sikap terbuka dan menghormati anggota keluarga terbabit, dua prinsip yang menjadi amalan dalam siasatan ini,” katanya.
Turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
Ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya yang juga hadir pada siding akhbar berkenaan kelihatan menitiskan air mata ketika pengumuman itu dibuat.
Ketika pengumuman itu dibuat, ramai wartawan yang mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 turut menitiskan air mata.
Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Usaha mencari dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Operasi SAR MH370 disifatkan sebagai yang terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan lebih 27 negara.