Nuffnang Ads

Tuesday, 1 April 2014

Sandiwara Pertandingan “Laki-Bini’ Jawatan Presiden PKR, Perbodohkan Rakyat

Pertandingan ‘laki-bini’ antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail bagi merebut jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya sandiwara untuk memperbodohkan rakyat.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, adalah tidak masuk akal ‘laki bini’ yang tinggal serumah berebut jawatan yang sama.
sandiwara-keluarga-pasangan-anwar-wan-azizah-bodoh-rakyat-ahli-penyokong-pengundi-parti-pkr-pakatan-peralat-demokrasi-rebut-presiden
“Hanya mereka yang kurang siuman akan bebuat demikian. Apatah lagi membabitkan laki bini, ini tidak masuk akal,” tegasnya.
Beliau mendakwa provokasi Anwar akan menentang Wan Azizah bagi jawatan Presiden PKR sekadar wayang untuk memperbodohkan rakyat.
“Itu bukan amalan demokrasi namanya seperti didakwa pemimpin PKR, sebaliknya sandiwara memperbodohkan rakyat,” ujarnya dalam entri terbaru umnobahagiancheras.blogspot.com.
Anwar katanya, sengaja berbuat demikian untuk memberitahu rakyat kononnya beliau dihalang aktif berpolitik berikutan keputusan liwat 2 oleh Mahkamah Rayuan, baru-baru-baru ini.
Anwar kini sedang merayu hukuman penjara lima tahunnya di Mahkamah Persekutuan.
Di bawah Seksyen 9a(1)(b) Akta Pertubuhan 1966, seseorang pemegang jawatan tidak boleh memegang jawatan atau mengekalkan jawatan dalam pertubuhan berdaftar jika sabit kesalahan dan didenda tidak kurang RM2,000 atau dipenjara untuk tempoh tidak kurang daripada setahun.
Sehubungan itu kata Syed Ali, adalah tidak masuk akal apabila Anwar sengaja menawarkan diri bertanding jawatan Presiden PKR.
“Mustahil Anwar tidak faham (undang-undang), beliau berbuat demikian supaya timbul tomohan kononnya UMNO sengaja menghalang beliau daripada memegang jawatan tertinggi dalam parti itu,” katanya.
Beliau berharap rakyat akan lebih memahami permainan politik Anwar yang sememangnya bercita-cita untuk menguasai Putrajaya.
Bagaimanapun tambah Syed Ali, Wan Azziah tetap akan menjadi Presiden boneka PKR seandaianya beliau masih lagi diberikan mandat untuk menerajui parti itu.
“PKR adalah parti anak beranak Anwar sepertimana DAP, jadi antara laki bini itu semuanya ada agenda dan kepentingan yang sama,” ujarnya.
“Jika Wan Azizah kekal (presiden), beliau tetap sekadar boneka dan semuanya dibawah telunjuk Anwar.
Sabtu lalu, Wan Azizah dalam satu kenyataannya mengesahkan yang beliau bertanding sebagai satu bentuk ‘insuran’ jika suaminya dihalang daripada bertanding.
“Kini tidak mustahil akan ada percubaan dari pihak UMNO-BN untuk sekali lagi menafikan hak demokratik saudara Anwar untuk bertanding dan memegang jawatan Presiden PKR secara sah,” kata Wan Azizah.
Semalam, Anwar mengesahkan akan bertanding jawatan Presiden PKR apabila borang pencalonannya diserahkan oleh Timbalan Bendahari Agung PKR, Low Chee Chong.

Pemilihan PKR Sajikan Jenaka Keluarga, Ketepikan Integriti Institusi

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencalonkan dirinya untuk bertanding jawatan Presiden PKR biarpun telah disabitkan bersalah oleh mahkamah dengan hukuman penjara lima tahun dianggap sebagai mementingkan diri dan populariti tanpa mendahulukan parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim-Bandar Baharu, Datin Norsabrina Mohd Nor melihat tindakan tersebut menunjukkan sikap pemimpin tertinggi PKR yang mengutamakan dirinya sendiri dan tidak menghormati sistem atau organisasi yang ada.
“Jika nak dibandingkan antara Anwar Ibrahim dan Karpal Singh maka tentulah kredibiliti Karpal yang wajar dipuji kerana dengan rela hati melepaskan jawatan Pengerusi DAP kesan daripada keputusan mahkamah yang dihadapinya,” katanya.
nepotisme-kronisme-parti-anak-beranak-pkr-anwar-wan-azizah-nurul-izzah-cabul-demokrasi
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Karpal berkata, beliau tidak dapat memegang jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP, sehingga sabitan itu diketepikan atau dikurangkan denda di bawah RM2, 000.
Karpal Singh berdepan denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, lima tahun lalu.
“Sikap demi perjuangan parti, demi ahli-ahli dan demi masa hadapan perjuangan politik sebenar tidak wujud dalam PKR apabila mereka menerima pencalonan Anwar dalam kepimpinan parti walhal mahkamah telah menetapkan bahawa dia sememangnya bersalah.”
Mengikut Seksyen 9A (1)(b) Akta Pertubuhan 1966, seseorang tidak boleh menjadi atau kekal memegang jawatan dalam pertubuhan yang berdaftar jika disabitkan dengan apa-apa kesalahan dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun.
“Dengan penerimaan pencalonan tersebut, secara tidak langsung menunjukkan bahawa PKR mengakui orang yang telah disabitkan bersalah untuk menjadi teraju kepimpinan tertinggi mereka sendiri.”
Tegas beliau, tindakan yang dilaksanakan dalam PKR tentunya amat berbeza dengan prinsip dan perilaku untuk diterima dengan wajar dalam mana-mana parti politik secara amnya malah dalam UMNO sendiri tindakan tegas dibuat kepada individu yang telah sabit kesalahan dengan meletak jawatan demi kesinambungan perjuangan.
“Bukan sahaja dalam UMNO tetapi mana-mana pemimpin politik di peringkat antarabangsa pun, jika telah disabitkan dengan apa-apa skandal, kesalahan atau hal-hal yang mencemar nama baik parti maka mereka akan bertindak melepaskan jawatan namun bagi PKR lain pula jadinya. Inilah bukti bahawa mereka mereka tidak mempunyai kredibiliti.”
Sudahlah begitu, jelas beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, pencalonan Anwar sebagai Presiden bagi menentang isterinya sendiri iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail telah memperlihatkan secara jelas objektif perjuangan PKR sendiri.
“Seakan menjadi jenaka dalam keluarga apabila pasangan suami isteri bertanding untuk jawatan tertinggi parti yang sewajarnya ditafsir sempurna oleh ahli-ahlinya bahawa parti terbabit adalah untuk keluarga, untuk individu dan untuk orang tertentu sahaja iaitu Anwar Ibrahim sekeluarga.
“Bayangkan kalau dalam UMNO, maka tentunya macam-macam manipulasi dan persepsi akan dibuat sedangkan dalam hal ini secara terang-terangan Anwar dan Wan Azizah mempermainkan anggota parti PKR itu sendiri.
Dilaporkan juga, terdapat desas-desus mengatakan Anwar berkemungkinan akan menarik diri daripadabertanding dan membiarkan isterinya menang, selain tidak akan mengambil risiko bertanding kerana jika menang bakal berdepan hilang kelayakan ekoran hukuman penjara dihadapinya.
“Pemilihan yang mereka cuba laksanakan tidak menggambarkan PKR sebuah parti yang relevan kerana niat mereka telah menyimpang dari agenda politik sebenar malah kewujudan parti terbabit ibarat hanya untuk ‘buat kacau’ kepada kerajaan yang ada.”
Jawatankuasa Pemilihan PKR menetapkan 25 April hingga 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian pemilihan pucuk pimpinan parti dan akan dijalankan mengikut zon secara berperingkat dalam tempoh tiga minggu.
Keputusan undian dijangka diketahui selewat-lewatnya 5 petang sebaik prosespengundian tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei. 
nepotisme-kronisme-parti-pkr-anwar-nurul-azizah-anak-beranak-demokrasi

Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat - Hishammuddin

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan "terhempas atau tiada yang terselamat" semasa mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Perkara ini dijelaskan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar rutin hari ini berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia.

"Sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa perdana menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat.

Perkara itu benar-benar salah.Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat," katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac.

Semasa membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, Najib berkata: "Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi".

Kurang tujuh hari sebelum isyarat kotak hitam lenyap

Selepas 24 hari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang, pihak berkuasa kini mempunyai tempoh seminggu untuk mencari bukti fizikal terutamanya kotak hitam pesawat itu kerana isyarat daripada perakam itu bakal lenyap tidak lama lagi.

Isyarat yang dipancarkan daripada kotak hitam itu menggunakan kuasa bateri yang akan berakhir selepas 30 hari, dan adalah sukar bagi operasi pencarian  menjejakinya tanpa isyarat khususnya di kawasan luas seperti di Lautan Hindi.

Operasi pencarian oleh pelbagai negara telah mengenal pasti kawasan seluas 254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, iaitu kira-kira 1,850km dari barat Perth di Australia, sebagai kemungkinan lokasi pesawat itu berakhir.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata 10 pesawat termasuk sebuah pesawat awam dan 10 kapal telah memulakan perjalanan ke kawasan carian untuk mencari serpihan yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 itu.

Jika mereka menemui serpihan itu dan mengesahkannya daripada pesawat berkenaan, ia akan membantu pasukan mencari untuk mengecilkan kawasan pencarian  kotak hitam itu.

Bagaimanapun, dengan ketibaan kapal Ocean Shield yang dilengkapi alat pengesan isyarat, dan kapal selam kecil tanpa pemandu Bluefin 21 yang dijangka tiba di kawasan pencarian pada Khamis, harapan tinggi disandarkan bagi mengesan kotak hitam itu.

Mengenai objek berpotensi yang dikesan pada Sabtu, Hishammuddin berkata lima objek diambil oleh kapal perang tentera laut Australia OHMAS Success dan Haixun, sebuah kapal dari China.

"Bagaimanapun, didapati tiada ada satu pun objek itu yang berkaitan dengan  MH370," katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai perkembangan terkini berhubung misi pencarian MH370 di sini, hari ini.

Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di "selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit oleh firma telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB).

Najib juga akan melawat Perth, Australia pada Rabu ini untuk melihat sendiri operasi mencari pesawat yang hilang di Lautan Hindi itu.

"Perdana Menteri kami memutuskan pergi ke Perth pada Rabu bagi lawatan kerja ke pangkalan tentera udara Pearce untuk melihat sendiri operasi dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang terlibat dalam usaha mencari pelbagai negara ini, termasuklah kakitangan dari Malaysia," kata Hishammuddin.

Sementara itu, rakan kongsi kod MAS, China Southern Airlines, telah bersetuju untuk bekerjasama dengan MAS dalam memberi bantuan kepada anggota keluarga penumpang pesawat MH370.

Namun, ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat penerbangan nasional itu memikul lebih tanggungjawab di atas kehilangan MH370 kerana pesawat itu dimiliki MAS.

Penerbangan MH370 turut dipasarkan sebagai Penerbangan 748 (CZ748) China Southern Airlines, dengan ada penumpang yang memegang tiket syarikat penerbangan China itu.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Pencarian diteruskan meskipun cuaca dijangka buruk

Sepuluh pesawat dan sembilan kapal membantu pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang itu.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata kawasan pencarian operasi pada hari ini menjangkau 120,000 km persegi, ke barat Perth.

Ia berkata cuaca di kawasan pencarian dijangka buruk, dengan jarak penglihatan yang terhad.

Sepuluh pesawat yang terlibat pada hari ini ialah dua P3 Orion Tentera Udara Diraja Australia, dua C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia, sebuah Ilyushin IL-76 China, sebuah P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat, sebuah jet Gulfstream Jepun, masing-masing sebuah P3 Orion dari Korea Selatan, Tentera Udara Diraja New Zealand dan Jepun.

"Sembilan kapal telah ditugaskan mencari di empat kawasan.  Kapal Pertahanan Australia Ocean Shield berlepas dari HMAS Stirling malam Isnin , dengan pengesan bunyi 'ping'," kata AMSA dalam satu kenyataan dari laman sesawangnya hari ini.

Isnin lepas, Australia telah menubuhkan Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) yang diketuai oleh Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston, bekas Panglima Pasukan Pertahanan Australia, di Perth untuk menyampaikan dengan berkesan aktviti-aktiviti kerajaan Australia berkaitan operasi mencari.

JACC juga akan memastikan orang awam dan mereka yang berkepentingan, terutamanya keluarga penumpang dan anak kapal mengetahui perkembangan penyiasatan ke atas penerbangan MH370 Malaysia Airlines.

MH370: Keluarga berdepan situasi "Grief"

Keluarga penumpang dan krew penerbangan MH370 yang hilang sewaktu dalam penerbangan ke Beijing kini berdepan dengan situasi sukar yang dikenali sebagai “grief” atau dalam erti kata lain situasi kehilangan orang tersayang  dalam kehidupan.

Pakar Psikologi Kaunseling (Terapi Tingkah Laku Kognitif) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Huzili Hussin berkata, apabila berdepan dengan situasi “grief” ini, ahli keluarga akan menghasilkan reaksi-reaksi tertentu yang menggambarkan kehilangan yang dirasai itu.

Ujar beliau, apabila menghadapi keadaan ini, ahli keluarga akan menonjolkan empat perubahan dalam diri masing-masing iaitu perasaan, fizikal, pemikiran dan tingkah laku yang mana ianya mengambil tempoh masa yang agak lama untuk pulih.

Mh370

Katanya, dalam konteks biasa, mereka yang berdepan dengan situasi ini akan mencapai satu tahap tertentu untuk kembali bertenang dan menerima hakikat kehilangan yang mana biasanya ia dalam tempoh 15 hari yang pertama.

“Namun dalam konteks MH370, situasi yang dihadapi oleh ahli keluarga lebih teruk dari biasa bila mana kehilangan itu tidak nyata yakni tiada mayat atau petunjuk jelas dan ini akan membesarkan lagi gelombang kekeliruan dan ketidakpastian dalam diri mereka.

“Ia termasuk spekulasi-spekulasi yang bertebaran di media sosial dengan pelbagai andaian yang akhirnya akan meningkatkan tahap ingin tahu keluarga dan sekiranya dibiarkan, ia boleh menimbulkan masalah-masalah lain yang lebih serius, seperti kemurungan, putus harapan, masalah memori dan konsentrasi,” ujar beliau yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP.

Menurut Dr. Huzili lagi, dalam mengendalikan kes sebegini aspek menjaga kebajikan seperti yang dilakukan oleh kerajaan dan Penerbangan Malaysia adalah tepat dan boleh membantu mengurangkan tekanan yang dialami oleh keluarga.

“Saya melihat usaha kerajaan menyediakan dua kaunselor untuk setiap keluarga juga amat baik kerana mereka (kaunselor) akan lebih fokus terhadap emosi dan perasaan keluarga dalam kelompok yang lebih kecil.

“Ini penting kerana, dalam proses kaunseling, tumpuan dan fokus adalah proses yang terbaik untuk menghuraikan ketidakpastian yang wujud dan pada masa sama kaunselor juga harus menggunakan bahasa yang betul dan menenangkan,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai keluarga dari China yang melakukan tindak balas negatif, beliau berkata, nilai spiritual merupakan antara aspek yang tidak harus diketepikan. 

Setiap dari kita, jelasnya, mempunyai manifestasi agama yang berbeza dan sewajarnya ia digunakan dalam keadaaan seperti ini.

“Misalnya, bagi keluarga beragama Islam, penganjuran solat hajat, bacaan yassin dan zikir yang diadakan sebelum ini membantu mengurangkan tekanan keluarga, dan saya merasakan agama lain juga wajar melakukan perkara yang sama.

“Penggunaan kain rentang dan sebagainya bukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini dan pada masa sama saya tidak menolak ia dilakukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan,” jelasnya.

Ditanya tentang tempoh masa yang diperlukan untuk meredakan isu ini beliau berkata: “100 hari adalah tempoh terbaik. Itulah proses di mana manusia boleh mencapai ketenangan.”

Tambah beliau, kerajaan juga sewajarnya membersihkan segala spekulasi dan pandangan negatif sesetengah pihak termasuk isu keluarga dari China dalam tempoh tersebut.

“Selepas 100 hari pendekatan berbeza perlu dilakukan untuk menangani permasalahan berkaitan MH370,” katanya.

MH370: Koordinasi lemah didakwa punca tersilap kawasan pencarian lebih tiga hari - WSJ

Lemahnya koordinasi di kalangan negara-negara yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 telah menyebabkan pihak terlibat tersilap mencari di kawasan yang salah di Lautan Hindi, lapor akhbar Wall Street  Journal (WSJ).

Lapor WSJ, ini terjadi berikutan kumpulan penyiasat dan pakar-pakar antarabangsa telah menjalankan siasatan secara berasingan untuk mengesan lokasi di mana pesawat berkemungkinan jatuh.

WSJ yang memetik dua sumber yang dikatakan ada kaitan dengan operasi pencarian berkata, kegagalan koordinasi mengambil tindakan pantas, menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan kaedah penyampaian maklumat kepada negara-negara terbabit.

Sedang sebuah pasukan menganggarkan kelajuan dan jumlah minyak yang digunakan oleh pesawat berdasarkan data radar dan prestasi pesawat, pasukan yang lain mengambil masa berhari-hari untuk meneliti data satelit, kata sumber itu.

Lokasi pencarian akhirnya diubah pada Jumaat lalu hanya selepas pihak berkuasa mengaitkan dua hasil siasatan terbabit.

“Hasil siasatan mendapat maklumat yang kredibel mengenai laluan dan lokasi pesawat berkemungkinan terhempas di perairan Australia,” kata Ketua Pesuruhjaya Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan kepada WSJ.

Sumber juga mengatakan pencarian adalah ‘satu proses mengambil masa dan pegawai penyiasat telahpun berkongsi maklumat dengan negara-negara terlibat’.

“Namun pihak berkuasa Malaysia tidak merasakan adalah peranannya untuk memastikan pakar-pakar antarabangsa ini berkongsi maklumat sesama mereka,” satu sumber memaklumkan kepada WSJ.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.