Nuffnang Ads

Thursday, 10 April 2014

Penganjuran Parti Liar Cubaan Musuh Islam Pesongkan Akhlak Anak Muda

Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Iskandar Jaafar menyifatkan penganjuran parti Topless di Jalan Ampang yang dibatalkan penganjurannya oleh Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini adalah satu lagi cubaan musuh-musuh Islam untuk memesongkan akhlak dan perlaku anak muda di negara ini.
Ujarnya, parti liar ini jika diteruskan akan memberi satu tanda aras baru kepada peningkatan kerosakan moral anak-anak muda hari ini.
 ”Kita sudah cukup dikejutkan dengan pelbagai isu moral yang membabitkan remaja negara ini yang berlaku saban hari hingga ada membawa kepada kematian.
“Budaya hedonisme ini sebenarnya jauh menyimpang daripada tatasusila. Bagi umat Islam dan bukan Islam, setiap agama menganjurkan perlakuan yg baik dan bermoral. Sementelah lagi ia turut terpahat dalam Rukun Negara yang ke lima iaitu Kesopanan dan kesusilaan.
“Penganjur parti ini jelas terdiri daripada golongan warganegara yang gagal menghayati peranan sebagai seorang rakyat yang sepatutnya mendukung prinsip Rukun Negara. Manakala peserta yang bakal hadir juga mendedahkan diri mereka kepada persepsi umum bahawa mereka tidak dididik dengan akhlak yang baik dan sempurna,” katanya yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Tambah beliau lagi, penganjur seharusnya insaf dengan suasana negara ini yang sedang bersedih dengan tragedi kehilangan MH 370.
Sepatutnya tegas beliau lagi semua rakyat Malaysia bersatu memberikan sokongan kepada kerajaan dalam hal ini dan bukan menyertai program-program hiburan melampau yang jelas melalaikan.
“Mereka juga harus mengambil pengajaran daripada tragedi yang berlaku pada konsert di Bukit Jalil bukan lepas yang di buat tanpa batas sehingga melibatkan kematian akibat pengaruh dadah dan ahkohol.
“Biro Sosial dan  Etika  Pemuda UMNO Malaysia percaya banyak lagi parti seumpamanya telah dan akan dianjurkan. Justeru, kita mendesak pihak berkuasa menyekat budaya ini daripada menular. Pusat-pusat hiburan yang menganjurkan program-program seperti ini perlu ditarik balik lesen operasi mereka oleh DBKL.
 ”Jakim dan pihak berkuasa agama pula perlu lebih proaktif menjalankan pemeriksaan ke atas pusat hiburan bagi memastikan golongan remaja Islam tidak terlibat atau terjebak dalam kegiatan tidak bermoral ini”, ujarnya yang juga Pengerusi Biro Sosial & Etika Pemuda UMNO.
Pada masa yang sama kata beliau Biro Sosial & Etika Pemuda UMNO menyeru kepada semua remaja tanpa mengira bangsa dan agama yang bercadang untuk hadir ke parti tersebut (walaupun telah dibatalkan) atau mana-mana parti seumpamnya di lain-lain masa agar membatalkan niat mereka kerana ia jelas tidak memberi munafaat kepada perkembangan sahsia diri remaja itu sendiri.

Monday, 7 April 2014

Anwar-Wan Azizah Rebut Jawatan Presiden Buktikan PKR ‘Parti Kelambu Rumah’

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan perebutan jawatan Presiden PKR antara Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah sebagai satu sandiwara pelik yang terbaru dimainkan oleh parti PKR.
Ujarnya, parti PKR ini juga boleh diibaratkan sebagai ‘Parti Kelambu Rumah’ kerana keputusan pasangan suami isteri itu melucukan dan boleh dianggap strategi serampang dua mata oleh PKR dan akan digunakan sekiranya Anwar gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan berkaitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
pkr-parti-keluarga-rakyat-suami-isteri-anak-anwar-azizah-nurul-pemilihan
“Anwar sekiranya berjaya “mengalahkan” isterinya yang juga penyandang Presiden PKR, Anwar akan menggunakan jawatannya itu untuk meraih simpati dunia dengan mendakwa beliau telah dizalimi kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional.
“Dalam masa yang sama, tidak mustahil Anwar mahu mencipta sejarah sebagai presiden parti politik yang dipenjarakan dan akan memberikan persepsi tidak baik tentang sistem perundangan negara kita kepada orang luar,” katanya mengulas sandiwara terbaru perebutan jawatan Presiden PKR antara Anwar dan Wan Azizah.
Tambahnya, bukan setakat Anwar dan Wan Azizah yang nampaknya nak ‘berkuasa’ dalam PKR ini, malah anak sulungnya, Nurul Izzah tidak ketinggalan untuk turut sama memahatkan nama dalam kepimpinan tertinggi parti PKR dengan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR.
“Hakikat yang harus disedari oleh ahli-ahli PKR akar umbi ialah mereka menuduh UMNO mengamalkan nepotisme tetapi perebutan jawatan ‘anak beranak Anwar’ inilah nepotisme terbesar yang berlaku dalam sejarah politik di dalam dunia,” ujarnya. 

Tiang Rumah Kos Rendah Tak Naik-naik, Yang Naik Surcaj Air Di Pulau Pinang

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Muhammad Farid Saad membidas cadangan kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP untuk menaikan surcaj air yang menurut beliau hanya akan menambahkan lagi membebankan penduduk  di negeri tersebut khususnya masyarakat di luar bandar.
Menurut beliau,  sepatutnya kerajaan negeri memikirkan terlebih dulu rancangan untuk membina rumah-rumah kos rendah yang sememangnya amat-amat diperlukan oleh penduduk yang berpendapatan rendah di negeri tersebut.
ADUN_Pulau_Betong_Muhammad_Farid_Saad_UMNO_BN_Pulau_Pinang_Penang
“Kalau nak lihat contoh kebijaksanaan pemerintahan DAP, lihatlah di Pulau Pinang. Inilah contoh kerajaan yang kononnya prihatin terhadap nasib rakyat bawahan. Dulu mereka kata nak bina rumah kos rendah, tetapi hingga kini sudah lima tahun berlalu, tiang rumah kos rendah itu pun tak nampak.
“Sedangkan duit, tanah dan  juga kelulusan ada di tangan mereka. Hari ini mereka berkuasa. Kalau benar-benar kerajaan DAP mahu bantu rakyat marhain, maka sudah lama kerajaan bina rumah kos rendah untuk membantu meringankan beban rakyat.
“Tapi nampaknya, mereka lebih gemar untuk mengikut nafsu pemaju membina rumah-rumah mewah yang tidak mampu dimiliki oleh majoriti rakyat di negeri ini. Inilah kebijaksanaan DAP memerintah, yang hanya tahu mengikut nafsu mereka tetapi tidak pedulikan kehendak dan kesengsaraan rakyat kebanyakan,” tegasnya di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut menyentuh tindakan kerajaan negeri yang bertindak merobohkan gerai-gerai peniaga di situ tanpa memberikan sebarang alternatif lain untuk mereka terus dapat menjalankan perniagaan bagi mencari sesuap nasi.
“Kalau dulu ketika BN memerintah, sekiranya kita mahu merobohkan gerai peniaga maka kita akan pastikan mereka mendapat tempat lain sebagai ganti yang sah berlesen, sebagai ganti untuk mereka meneruskan perniagaan mereka.
“Namun, kerajaan DAP hari ini hanya tahu merobohkan gerai peniaga-peniaga kecil, dan selepas itu mereka biarkan saja nasib peniaga-peniaga yang dirobohkan gerai mereka itu terumbang ambing tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Pemimpin DAP perlu ingat, apabila mereka merobohkan gerai peniaga kecil yang menjadi punca pendapatan mereka, secara tidak langsung mereka jugalah menjadi punca kepada berlakunya krisis rumah tangga apabila sesebuah keluarga peniaga itu tidak lagi mempunyai pendapatan yang tetap,” jelasnya lagi.
Beliau juga meminta agar kerajaan DAP lebih bersikap adil dan saksama dalam membantu peniaga-peniaga kecil di Pulau Pinang dan jangan hanya melebihkan golongan dan kaum tertentu saja.
“Mengapa di sekitar Georgetown, kawasan itu boleh kerajaan negeri gazetkan sebagai tempat perniagaan dan peniaga di sekitar kawasan itu boleh meniaga sehingga larut malam di kaki lima jalan, sedangkan ditempat lain tidak dibenarkan.
“Ini memperlihatkan sikap kerajaan negeri yang berat sebelah dan justeru itu, saya menyeru agar rakyat di Pulau Pinang agar memandangkan perkara secara serius perkara ini dan DAP bukanlah sebuah parti yang benar-benar mahu untuk membela rakyat serta tidak mampu untuk mentadbir kerajaan negeri dengan baik, adil dan saksama,” katanya.

AirAsia Perlu Pindah Ke KLIA2 9 Mei Ini – Najib

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia perlu berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) seperti yang telah dijadualkan iaitu pada 9 Mei.
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagaimanapun kerajaan menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia mendengar dan berbincang dengan mereka sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul berhubung perpindahan itu.
najib-kenyataan-di-vietnam-lawatan
“Sebagai sebuah kerajaan kita perlu meneliti apa sebab kalau ada perkara yang mereka (AirAsia) fikir keberatan untuk berpindah tetapi yang saya mahu tekankan adalah dialog mereka dengan pihak kerajaan iaitu MAHB untuk mencari penyelesaian di atas kepentingan bersama.
“Kalau mereka buat kenyataan enggan berpindah, itu dilihat macam ‘arrogant statement’ (kenyataan berbaur angkuh) tapi kalau mereka kata mereka ada sebab dan mereka mahu berunding dengan kerajaan, saya fikir cara seperti itu adalah lebih sesuai lagi,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain-pemain industri Malaysia dan Vietnam, di sini hari ini.
Najib berada di sini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam yang berakhir hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan syarikat penerbangan itu baru-baru ini yang enggan berpindah ke KLIA2 dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), ekoran kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan operasi penerbangan di KLIA2.
Perdana Menteri berkata sepatutnya syarikat itu perlu mengemukakan sebarang kemusykilan dan masalah mereka tentang perpindahan itu pada peringkat awal dan bukannya pada peringkat yang mana KLIA2 sudah siap.
“Sekarang KLIA2 dah hampir siap, kita tidak boleh berpatah balik dan mereka (AirAsia) tidak boleh mengatakan ‘kita tidak mahu berpindah’ kerana mereka perlu berpindah ke sana,” katanya.
Najib berkata kerajaan telah pun melantik jururunding bebas iaitu Ikram Premier Consulting untuk menilai tahap keselamatan KLIA2, dan apabila jururunding berkenaan telah membuat keputusan secara objektif, maka semua pihak perlu menerima.

UMNO Kelantan Akan Bawa Isu Hukum Hudud Kelantan Semasa Mesyuarat MT UMNO

Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan membangkitkan hasrat Kerajaan Pas negeri melaksanakan hukum hudud pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Datuk-Seri-Mustapa-Mohamed
Beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan oleh MT UMNO sebelum kerajaan negeri Kelantan membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) Kelantan 1993 di Parlimen.
Beliau berkata rancangan kerajaan Kelantan itu memerlukan persediaan rapi termasuk penyelidikan dan pendidikan dakwah berkaitan penguatkuasaan hukum hudud tersebut.
“Tidak ada masalah…sebagai orang Islam, kita wajib sokong undang-undang Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-15 Badan Ihsan Anggota Pendidik Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli di sini, hari ini.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata demikian ketika diminta mengulas keyakinan kerajaan negeri melaksanakan hokum hudud pada awal tahun depan sekiranya Parlimen meluluskan pelaksanaan hukuman berkenaan.

Tiada penumpang dan anak kapal telah "dibersihkan" dari siasatan - Hishammuddin

Siasatan ke atas semua penumpang dan anak kapal pesawat penerbangan MH370 masih diteruskan dan belum ada mana-mana di kalangan mereka yang telah dibersihkan daripada siasatan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, siasatan yang menyentuh kemungkinan rampasan, keganasan, latar belakang psikologi dan peribadi melibatkan semua mereka yang berada dalam pesawat itu masih berjalan.

“Saya tidak rasa sesiapa (penumpang dan anak kapal) telah dilepaskan dari sebarang siasatan. Senarai penumpang yang termasuk anak kapal, masih disiasat di bawah empat perkara pokok iaitu kemungkinan rampasan, keganasan, latar belakang psikologi dan peribadi yang diingatkan berkali-kali oleh Ketua Polis Negara,” katanya semasa satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

Hishammuddin berkata demikian semasa menjawab soalan sama ada kesemua penumpang di dalam pesawat MH370 telah didapati “bersih” dari sebarang perkara yang mencurigakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tiga hari lalu mengumumkan kesemua 227 penumpang telah "dibersihkan" daripada empat elemen siasatan itu.

Pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang, jam 2.40 pagi pada 8 Mac lalu.

Sejumlah 239 penumpang dari pelbagai negara termasuk anak kapal berada di dalam penerbangan tersebut.

Pencarian pelbagai negara kini tertumpu di selatan Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.

Bateri isyarat kotak hitam dijadual diganti pada Jun 2014 - MAS

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya mengesahkan bahwa bateri isyarat kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang dijadualkan untuk diganti pada Jun tahun ini.

"Dalam hal bateri, kami sahkan bahawa terdapat program penyenggaraan dan bateri diganti sebelum tarikh luput dan kami sedar bahawa bateri itu dijadual untuk diganti baru hanya pada Jun 2014," kata beliau pada taklimat mengenai operasi mencari pesawat MH370 di Kuala Lumpur, Sabtu.

Beliau menjawab soalan daripada anggota hadirin sama ada bateri 'pinger' (isyarat) itu sepatutnya diganti baru pada 2012, sebagaimana didakwa oleh pengeluarnya Dukane Seacom Inc.

Pada Jumaat, presiden Dukane Seacom Inc, Anish Patel memberitahu CNN bahawa perakam berkenaan dijadual untuk diganti bateri pada 2012, tetapi bateri tidak pernah dikembalikan untuk senggaraan.

Semua pesawat komersil dikehendaki membawa alat pemantul isyarat dikenali sebagai 'underwater locator beacon' -- bagi membantu penyiasat mengesan kotak hitam jika pesawat terhempas dalam air.

Satu daripadanya dipasang di perakam data penerbangan (FDR), dan satu lagi pada perakam suara kokpit (CVR).

FDR dan CVR menjadi perakam penerbangan, juga dikenali sebagai kotak hitam. Isyarat itu berbunyi kira-kira sekali setiap saat, dan boleh dikesan dari jarak dua batu nautika oleh alat pengesan dipanggil 'towed pinger locators' (TPLs).

Kepada soalan mengenai bengkel avionic MAS, Ahmad Jauhari berkata bengkel itu menjalankan kerja-kerja membaiki dan servis kelengkapan avionic dalam semua pesawat, dan mempunyai sijil kelayakan berbuat demikian.

Mengulas mengenai kapasiti minyak penerbangan MH370 pada 8 Mac, Ahmad Jauhari berkata beliau sedar bahawa pesawat itu membawa minyak untuk penerbangan lapan jam.

Namun, angka sebenar masih berada pada pasukan penyiasat, kata beliau. "Daripada segi berat minyak, bila kita kira itu berbanding dengan isyarat terakhir yang diketahui, iaitu kira-kira 8.11 pagi, ia adalah kira-kira 8 jam penerbangan.

"Jadi kita tidak ada apa-apa (maklumat) lain selepas itu. Saya tahu mereka ingin mendapatkan lebih banyak (maklumat), tetapi itulah halnya. Pesawat hanya kehabisan minyak," kata beliau.