Nuffnang Ads

Monday, 2 June 2014

Mah Siew Keong Rampas Semula Kerusi Parlimen Teluk Intan


mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan setelah mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti undi sebanyak 238 pada pilihan raya kecil kerusi itu hari ini.
Mah, 53, memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya, 27, yang mendapat 19,919 undi.
Keputusan itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini pada kira-kira 9.41 malam.
Sebanyak 66.67 peratus atau 40,236 pengundi daripada 60,349 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Kemenangan Mah itu bukan sahaja menyaksikan kejayaan merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan malah memperkukuh kedudukan beliau sebagai Presiden Gerakan yang dimenanginya pada Oktober tahun lepas, serta kedudukan parti dalam BN.
Dengan kemenangan itu, Mah akan dilantik sebagai Menteri Kabinet berikutan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lepas.
Najib, yang sedang dalam lawatan enam hari ke China, membuat tawaran itu sambil berkata parti Gerakan merupakan parti pengasas BN dan menjadi amalan untuk presiden parti berkenaan menganggotai Kabinet.
Mah, yang mendakwa kempen pilihan raya kali ini paling kotor sejak bertanding dalam pilihan raya umum 1995 di kawasan itu, berjaya menebus kekalahan di kerusi Parlimen yang pernah dimenanginya pada 1999 dan 2004.
Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada 2008 berikutan tsunami politik apabila dikalahkan calon DAP M. Manogaran dengan majoriti undi 1,470 dalam pertandingan satu lawan satu.
Mah juga gagal memenangi semula kerusi itu pada 2013 setelah dikalahkan calon DAP Seah Leong Peng dalam pertandingan tiga penjuru.
Seah memenangi kerusi itu dengan majoriti undi sebanyak 7,313.
Sebelum dipilih sebagai anggota Parlimen Teluk Intan, Mah adalah bekas anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar, yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1995.
Anak kelahiran Teluk Intan dari keluarga yang terkenal di bandar ini, Mah bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan sebanyak lima kali dengan tiga kali menang dan dua kali kalah.
Semasa menjadi wakil rakyat Teluk Intan pada 2004, beliau dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala pada 2006 hingga 2008, Mah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Beliau pernah dilantik Pengerusi Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) dari 2010 hingga September 2013.
Pada 26 Okt 2013, Mah menerajui Gerakan setelah mengalahkan pencabarnya, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow, pada pemilihan parti itu dengan memperoleh 1,086 undi berbanding Teng, 577 undi.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari London School of Economic dan Sarjana Dalam Bidang Pembuatan dari City University London serta Ijazah Perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London, beliau amat dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan rajin bekerja oleh penduduk Teluk Intan.

Malaysia-China Perbaharui Ikatan Persahabatan

Malaysia dan China hari ini memperbaharui ikatan persahabatan yang terjalin sejak empat dekad yang lalu.
Dalam satu majlis ringkas tetapi bermakna di Dewan Agung Rakyat terletak berhadapan Dataran Tiananmen di sini, pemimpin kedua-dua negara yang turut disertai para diplomat, komuniti perniagaan dan belia yang mewakili generasi akan datang, berkumpul bagi memperingati peristiwa bersejarah yang berlaku 40 tahun lalu, di tempat yang sama.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China Li Keqiang menyempurnakan majlis yang berlangsung di Dewan Barat Dewan Agung Rakyat itu.
Ia merupakan dewan yang sama, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa Najib memulakan hubungan muhibah untuk menyemai bibit-bibit pemahaman dan kepercayaan bersama.
Di sini juga, pada tanggal 31 Mei 1974, Tun Abdul Razak Hussein menandatangani perjanjian bersama-sama Perdana Menteri Zhou Enlai, secara rasminya menjalinkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Pada majlis hari ini, Najib dan Li menandatangani pernyataan bersama untuk terus memperluas dan mengukuhkan kerjasama dalam semua bidang yang membawa manfaat bersama – ekonomi, pelancongan, perkhidmatan kewangan, politik, budaya dan ketenteraan.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk melakukan pertukaran lebih ramai pelajar, bekerjasama rapat dalam bantuan bencana dan memelihara kestabilan dan keselamatan di rantau ini.
Najib turut menyampaikan satu set setem peringatan kepada Li yang dikeluarkan Bank Negara.
Sebagai balasan, Li menyampaikan, satu set setem peringatan yang dikeluarkan China Post kepada pemimpin Malaysia itu.
Persahabatan yang bermula semasa Dinasti Song berkembang di bawah Dinasti Ming, kerana hubungan yang dibina di atas dasar perdagangan telah diperkukuhkan dengan pertalian darah — memandangkan keluarga dari China menjadikan Selat Melaka, tempat tinggal mereka.
Malaysia negara pertama dari Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.
Sepanjang empat dekad lalu, hubungan persahabatan dan perniagaan kedua-dua negara telah membangunkan dengan pesat.
China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dan Malaysia sebaliknya merupakan rakan perdagangan terbesar China, di Asean.
Kedua-dua negara telah membentuk Perkongsian Strategik Komprehensif untuk kemakmuran dan pertumbuhan dan pada tahun lepas dengan menandatangani Program Lima Tahun Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan bagi tempoh 2013 hingga 2017.
presiden-china-li-keqiang-mesra-pm-malaysia-najib-razak
mou-perbaharui-malaysia-pm-najib-anifah-china-presiden-li-keqiang-ding-wei-2014-2019-hubungan-40-tahun

Thursday, 22 May 2014

Sejak PRU Pertama, UMNO Sudah Iktiraf Wanita – Mas Ermieyati

Pakatan pembangkang khususnya DAP tidak perlu mendabik dada kononnya mengiktiraf golongan wanita muda apabila mengetengahkan calonnya Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan sedangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah lebih awal berbuat demikian, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyati Samsudin.
“DAP tak usahlah nak sembang kononnya membela kaum wanita sebab UMNO yang lebih awal iktiraf golongan terbabit dalam kepimpinan dan masih meneruskan perjuangan membela kaum terbabit,” katanya.
Jelas beliau, kaum wanita sebagai calon dalam pilihan raya tidak pernah ditolak dalam BN malahan calon wanita pertama yang mula-mula bertanding dalam pilihan raya pertama tahun 1955 adalah wakil dari BN yang sebelumnya parti perikatan iaitu Halimahton Abdul Majid.
“Dalam pilihan raya 1959 pula, Ibu Zain dan Fatimah Hashim telah bertanding di kerusi Parlimen dan menang, hinggalah sekarang bilangan calon wanita bertambah malahan saya sendiri diberi peluang sebagai wakil rakyat hasil penglibatan saya dalam politik bersama-sama Pergerakan Puteri UMNO,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Jelas beliau jika pakatan pembangkang dan DAP mengatakan mereka mengetengahkan golongan muda dan profesional maka sebenarnya laluan tersebut telah lebih awal dirintis oleh UMNO sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, seramai sembilan orang dipilih dari kalangan pemimpin pergerakan Puteri UMNO di seluruh negara.
“Perjuangan golongan wanita tidak pernah berhenti dan dalam UMNO Pergerakan Puteri bergerak selari dengan Pergerakan Wanita iaitu untuk mendapatkan kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam kepimpinan.”
Tambahnya, biarpun DAP menampilkan Dyana Sofya dalam PRK, tetapi calon terbabit tidak memberi impak atau tarikan kepada golongan wanita muda yang dkhuatiri akan beralih sokongan dari Puteri UMNO kepada Dap.
“Gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO telah diatur, kita fokus kepada matlamat kita dan kita tidak lihat kemunculan Dyana Sofya akan memberi kesan kerana Puteri UMNO ada kekuatannya sendiri.”
Dalam PRU lalu, calon pergerakan Puteri UMNO yang bertanding dalam kerusi Parlimen selain daripada Mas Ermieyati ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mewakili Papar manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah Asmaiza Ahmad (Chuping), Datin Norsabrina Mohd Nor (Kulim-Bandar Baharu), Salbiah Mohamed (Temenggor), Nolee Ashilin Mohd Radzi (Tualang Sekah), Nurhidayah Mohd Shahaimi (Luit) dan Norshida Ibrahim (Buloh Kasap).
mesyuarat-kaum-ibu-umno-kuala-lumpur-1954-wanita-perjuangan-malaysia

Pas ‘Double Standard’ Ajak Sokong Calon Islam Di Teluk Intan Tapi Tolak Di Bukit Gelugor

Pas tidak seharusnya ‘double standard’ berhubung pemilihan calon antara Islam dan bukan Islam pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan memandangkan perkara tersebut tidak pula dicanang pada kempen pilihan raya kecil di Bukit Gelugor.
“Ianya mula dimainkan oleh pemimpin Pas di Parlimen Teluk Intan untuk mengajak rakyat dan pengundi di sini untuk mengundi Calon DAP, Dyana Sofea memandangkan dia seorang Islam berbanding memilih calon BN, Datuk Mah Siew Keong yang bukannya beragama Islam.
“Kita mengambil contoh apa yang berlaku di Bukit Gelugor sekarang apabila ada ahli Pas sendiri bertanding di Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor, dia seorang Islam yang bernama Mohamed Nabi Bux, namun apabila bertanding di Parlimen Bukit Gelugor, dia tidak mendapat sokongan sahabat-sahabatnya dari Pas sendiri,” kata  Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ustaz Fathul Bari  Mat Jahaya.
Beliau persoal lagi ini kerana sahabat-sahabatnya dari Pas menyokong anak Karpal Singh bernama RamKarpal.
“Mereka sokong anak Karpal Singh berbanding Nabi Nux sedangkan Nabi Nux itu membawa misinya mempertahankan hudud dan nak bawa hudud.
“Mengapa di sana, isu seperti ini tidak dimainkan, mengapa kamu memilih orang bukan Islam, mengapa kamu tidak memilih orang Islam?,” ujarnya ketika menyampaikan Ceramah Perdana di Kampung Selabak, Teluk Intan malam tadi.
Tambah beliau lagi Pas sepatutnya konsisten dalam isu ini.
“Kadang-kadang orang guna nas, guna ayat Al-Quran, guna Hadis untuk memberi kepentingan sahaja.
“Cukup kepentingan dia, sesuai dengan hawa nafsu dia, dia akan guna. Kalau tak sesuai, ‘ini kita simpan’. Macamlah ayat Al-Quran itu tak terpakai di Bukit Gelugor Pulau Pinang, tapi terpakai di Teluk Intan. Hadis itu terpakai di Teluk Intan, tapi tak terpakai di Bukit Gelugor. Tak boleh macam itu.
“Jangan buat agama macam itu. Agama itu bukan macam capati, nak makan makan tak nak makan, sudah. Jadi saya minta tolong pada sahabat dalam Pas, jangan main isu ini,” katanya.

Calon Melayu Nyiru Untuk Tutup Sikap Rasis, Cauvinis, Tentangan Hudud DAP

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata bahawa tindakan DAP meletakkan calon Melayu di dalam Pilihanraya kecil (PRK) Teluk Intan ini adalah semata-mata untuk menutup sikap dan pendirian DAP yang rasis serta mahu menenggelamkan penentangan sikap dan pendirian kepimpinan DAP terhadap isu hudud yang dibawa oleh sekutu mereka, Pas.
Menurut beliau, DAP sedar bahawa isu penentangan mereka terhadap perlaksanaan hudud merupakan satu isu besar yang boleh menjadi punca hilangnya sokongan rakyat khususnya pengundi Melayu di kawasan tersebut kepada DAP.
“Jadi untuk menutup isu tersebut, serta juga mahu  melenyapkan persepsi negatif rakyat berhubung pertelagahan mereka dengan parti Pas berhubung isu perlaksanaan hudud ini, maka DAP bermain muslihat  dengan meletakkan calon Melayu di dalam PRK ini.
“Mereka tahu, sekiranya DAP meletakkan calon bukan Melayu, mereka tidak akan mendapat sokongan daripada pengundi Melayu ekoran penentangan keras kepimpinan DAP terhadap hudud,” ujarnya di sini hari ini.
Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa strategi DAP meletakkan calon Melayu pada PRK Teluk Intan ini adalah semata-mata untuk mengaburi pandangan rakyat terutama di kalangan pengundi Melayu berhubung pendirian dan ideologi rasis dan cauvinis yang menjadi pegangan parti tersebut selama ini.
“Dyana Sofya merupakan umpan DAP untuk membuktikan bahawa kononnya parti tersebut tidak rasis dan terbuka untuk semua kaum. Tetapi apa yang perlu difahami oleh rakyat, khususnya pengundi di parlimen Teluk Intan ialah, ideologi dan prinsip hak kesamarataan serta gagasan Malaysian Malaysia yang menjadi perjuangan DAP juga merupakan prinsip politik dan perjuangan calon DAP tersebut, biarpun beliau berbangsa Melayu.
“Dalam masa yang sama, saya juga  menganggap tindakan DAP meletakkan calon Melayu ini adalah sebagai satu signal ataupun sindiran kepada Pas, bahawa parti tersebut mampu untuk mendapat sokongan di kalangan pengundi Melayu tanpa Pas. Mereka mahu membuktikan kepada Pas, mereka mampu untuk menarik sokongan pengundi Melayu tanpa bantuan dari parti tersebut,” ujarnya.

Wanita UMNO Cadang Wujud ‘One Stop Centre’ Atasi Isu Pembantu Rumah

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Wanita telah membuat ketetapan untuk memperjuangkan masalah pembantu rumah yang dilihat semakin membelenggu kehidupan rakyat.
Jelas beliau, isu pembantu rumah masa kini dilihat semakin menghimpit kebanyakan keluarga dan oleh yang demikian penubuhan ‘One Stop Centre’ dirasakan dapat membantu menyelesaikan isu ini.
“Pergerakan Wanita akan mencadangkan kepada kerajaan agar dapat menubuhkan ‘One Stop Centre’ agar segala masalah berkaitan dengan pembantu rumah dapat ditangani dengan cepat dan baik.
“Contohnya, kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang terbabit ditempatkan di satu tempat iaitu di One Stop Centre ini. Jadi, ini memudahkan rakyat untuk berurusan dan tidak tercari-cari kementerian dan agensi manakah yang perlu mereka pergi untuk menyelesaikan masalah pembantu rumah,” ujarnya selepas merasmikan Bengkel Revolusi Pelaksanaan Proses Pengambilan Pembantu Rumah di PWTC hari ini.
Tambah beliau lagi disebabkan terlalu banyak agensi yang terlibat di dalam isu pembantu rumah maka Pergerakan Wanita amat berharap agar One Stop Centre ini dapat diwujudkan secepat mungkin.
“Terpulang kepada kerajaan nak wujudkan di mana tetapi ianya tidak boleh dilengahkan lagi. Masalah pembantu rumah ini sudah terlalu lama dan ianya perlu ditangani dengan segera.
“Inilah tujuan bengkel ini dan bengkel ini akan teruskan untuk masa hadapan dengan penyertaan dari golongan berbeza pula,” ujarnya. 

Wakil Rakyat BN Desak Rayer Mohon Maaf, Tarik Balik Perkataan ‘Celaka’

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid menyifatkan perkataan yang dikeluarkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima itu sebagai jijik, jahat dan menghina selain boleh menimbulkan perasaan benci dan provokasi kepada Umno khususnya wakil rakyat BN dan rakyat.


“Saya mohon Datuk Speaker supaya Seri Delima memohon maaf dan menarik balik kenyataannya. Kita mempunyai jiwa yang besar untuk menjaga martabat dewan ini. Jangan kita menjadi pencetus kepada kemarahan dan ketidakstabilan.
“Kalau pihak pakatan rakyat, kerajaan negeri, minta untuk menyokong usul ini bagi menjaga kemuliaan dan martabat dewan, kita tak ada masalah. Bagaimanapun, janganlah kita biarkan dewan ini dicemari dengan perkataan yang tidak sepatutnya dan ia perlu ditegur dan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas usul tergempar membincangkan kejadian sekumpulan lelaki menceroboh DUN semalam, yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng pada persidangan DUN, di sini hari ini.
Semalam, sekumpulan 100 lelaki terdiri daripada anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang untuk mencari Rayer yang mengatakan “Umno Celaka” dalam persidangan Dewan pada Selasa.
Rayer mengeluarkan perkataan itu ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969.
Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mendakwa keengganan Rayer memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu adalah punca tercetusnya kejadian itu.
Beliau turut mengkritik kandungan usul tergempar yang dikemukakan Ketua Menteri yang mendakwa Umno Pulau Pinang bertindak memimpin sekumpulan lelaki terbabit yang menghina kemuliaan dewan.
“Kami tidak pernah menyuruh, mengarah mereka malah tidak bersetuju dengan apa yang berlaku semalam. Malah kami ada menghantar SMS meminta kumpulan terbabit bertenang, sabar dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.
Nordin Ahmad (BN-Bayan Lepas) pula berkata setiap wakil rakyat perlu menjaga percakapan dan menghormati antara satu sama lain bagi mengelakkan berlakunya kejadian seumpama itu.
“Perkara ini tidak akan berlaku kalau tidak ada sesiapa yang menyakitkan hati sesiapa. Adakah ini yang kita mahukan, meniup keadaan yang boleh menimbulkan kemarahan,” katanya.