Nuffnang Ads

Thursday, 16 August 2012

PROGRAM PENERANGAN UMNO GANTI JUARA RAKYAT


Bermula bulan ini, program penerangan Umno diadakan di peringkat pusat daerah mengundi sebagai persediaan akhir menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, program yang menjadi ganti kepada Program Juara Rakyat itu yang sebelum ini diadakan di setiap bahagian, akan diadakan hampir setiap hari.
"Kita ada kira-kira 7,000 pusat daerah mengundi di seluruh negara. Urusetianya adalah Ketua Penerangan bahagian-bahagian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sahur Perdana di Kerpan dekat sini, awal hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang juga Anggota Parlimen Jerlun, Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Shariff dan Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Othman Aziz.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kempen penerangan itu perlu bagi menjelaskan usaha-usaha kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di negara ini termasuk bantuan-bantuan yang diberikan.
"Ini merupakan negara berkebajikan. Tuntutan PAS untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berkebajikan sudah tidak relevan. Negara kebajikan ini telah kita buat, sedang buat dan terus buat. Jadi dalam hal ini PAS sudah tidak diperlukan di Malaysia dan juga Kedah.
"Perjuangan PAS sudah tidak relevan. Negara berkebajikan Umno dah buat.
Pembangkang hanya berjanji. Janji mereka dalam manifesto di empat negeri yang ditawan banyak tetapi yang ditunaikan hanya sebahagian kecil," katanya.
Ahmad berkata, kerana itu rakyat perlu kembali menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana banyak lagi kebaikan menanti rakyat Malaysia.   
"Kita bukan hanya berjanji sahaja. Kita ada kaedah untuk menunaikan janji.
Seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kita ada untung RM26 bilion, maka kita gunakan 10 peratus...RM2.6 bilion untuk BR1M. 
"Janji pembangkang ini umpama umpan di hujung mata kail...kalau termakan mereka sebenarnya tertipu," katanya.
Mai Pikiaq Pi: BN akan tetap memberi kebajikan kepada seluruh rakyat Malaysia...

PM: Malaysia akan bertegas dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC


Malaysia akan menyatakan pendirian tegas terhadap isu di tiga negara Islam pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di sini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, ketiga-tiga isu itu ialah pergolakan di Syria, pengiktirafan negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan isu penindasan umat Islam di Myanmar.
Najib berkata, beliau akan menyentuh isu-isu itu dalam ucapannya awal pagi esok dan seterusnya menyatakan pendirian Malaysia.
“Kita akan menyokong cadangan untuk menggantung keanggotaan Syria dalam OIC kerana keadaan di negara itu telah meruncing sehingga rakyat kehilangan nyawa dan harta benda,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini, Rabu.
Perdana menteri mengetuai delegasi negara pada sidang kemuncak luar biasa itu yang bermula malam Selasa.
Najib berkata, Malaysia berpendapat telah tiba masanya untuk Kerajaan Syria memberhentikan keganasan dan menghormati hak rakyatnya yang mahukan pilihan raya secara demokratik diwujudkan di negara itu.
Beliau berkata, bagi isu Palestin pula, Malaysia akan mendesak agar PBB mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara anggotanya. OIC harus membuat pendirian agar impian menjadikan Palestin sebagai negara berdaulat dan anggota PBB menjadi realiti, kata Perdana Menteri.
“Isu negara Palestin adalah satu isu yang sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia dan kami mahukan Palestin diiktiraf oleh PBB dalam persidangannya September ini,” katanya.
Najib berkata, Malaysia juga mahukan OIC terus memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang didakwa ditindas dan dianiaya.
Perdana Menteri berkata, OIC telah membentuk sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai ‘Fact Finding Mission’ untuk melawat Myanmar dan mendapatkan maklumat sebenar mengenainya.
“Saya pernah menulis surat kepada Presiden Thein Sein dan beliau telah membalasnya dengan menyatakan bahawa isu itu (penindasan umat Islam) bukanlah sebesar seperti yang digambarkan oleh dunia luar dan oleh itu kita tunggu laporan dari Fact Finding untuk mendapatkan maklumat yang lengkap,” katanya.
Beliau berkata, di Malaysia sahaja terdapat lebih 90,000 pelarian Rohingya dan kerajaan sedang berusaha membantu mereka.
Najib berkata, beliau juga telah bertemu dengan Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dan berbincang mengenai hubungan dua hala antara negara itu dan Malaysia.
“Pakistan telah meminta Malaysia supaya syarikat swasta kita melabur dalam Taman Industri di negaranya bagi mengimbangi dagangan dua hala yang memihak kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Pakistan adalah pengimport kelapa sawit Malaysia dan negara itu tidak mempunyai komoditi untuk dieksport ke negara ini.
“Saya nyatakan perkara itu akan dibincang secara mendalam,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Harap ketiga-tiga isu ini mendapat keadilan sepenuhnya...

SEBAR FITNAH ANTARA STRATEGI PERANG SARAF PEMBANGKANG


Membuat spekulasi termasuk yang berbaur fitnah antara strategi dan perancangan perang saraf pembangkang mengaburi rakyat dengan tujuan untuk menimbulkan perasaan benci kepada kerajaaan.
Bekas pembantu khas, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman berkata, bukan perkara pelik kepada pembangkang mengembar-gemburkan sesuatu berita atau cerita walaupun perkara itu belum ada kesahihannya.
“Membuat spekulasi memang menjadi amalan kepada mereka, ia sebahagian daripada strategi perang saraf untuk mengelirukan rakyat, tidak kira apa sahaja, semuanya bagi mereka tidak betul walaupun perkara yang dilaksana untuk kebaikan rakyat.
“Malah sanggup mereka cipta cerita yang tiada kesahihan, di samping membuat pelbagai fitnah termasuk menyerang serta memburuk-burukkan individu tertentu, niat mereka tiada lain iaitu untuk menimbulkan persepsi buruk kepada individu terbabit,” katanya lagi.
Berhubung pendedahan Raja Petra Kamaruddin mengenai apa yang dilakukan pembangkang , Rahimi menyifatkan itu adalah biasa dan apa yang diceritakan itu adalah berdasarkan kepada pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini kerana Raja Petra pernah bersama pembangkang terutamanya PKR.
“Raja Petra antara mereka yang terbabit memburuk-burukkan pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya, pendedahan itu dapat memperbetulkan salah tanggapan masyarakat terhadap Perdana Menteri,” katanya.
Menurutnya, seperti biasa, pembangkang akan mendiamkan diri dan tidak memberi sebarang respon atau komen kepada pendedahan itu kerana menyedari jika menjawabnya lebih banyak pekong mereka akan terbongkar.
Mai Pikiaq Pi: Rakyat jangan mudah terima bulat-bulat apa yang digembar-gemburkan oleh pembangkang kerana mereka hanya pandai membuat fitnah daripada menunaikan janji!

Wednesday, 15 August 2012

MB Selangor perjudikan masa depan pelajar Unisel

                    
Walaupun sebelum ini, Naib Canselor Unisel, Profesor Dr. Anuar Ahmad berkata, pelajar-pelajar Universiti Selangor (Unisel) akan memulakan pengajian mereka pada 27 Ogos ini, namun sehingga ke hari ini masih belum ada jaminan berkenaan penginapan mereka.
Sebelum ini, Unisel menetapkan para pelajar mendaftar pada 8 Ogos, namun sebaik sahaja para pelajar hadir ke kampus, mereka telah diberi notis terbaru yang mengarahkan mereka pulang bercuti awal dan tarikh pendaftaran semester ditunda kepada 27 Ogos ini.
Penundaan pendaftaran ke tarikh baru itu berpunca daripada masalah penginapan, di mana syarikat konsesi, Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) pihak yang menyelia asrama penginapan itu mogok menuntut gaji yang tidak dibayar berbulan-bulan.
Unisel didakwa masih belum melunaskan hutang hampir RM15 juta terhadap JNSB yang melibatkan kos penyelenggaran dan bayaran asrama.
Apabila Unisel tidak membayar hutang, menyebabkan para pekerja JNSB kini berhadapan masalah kewangan dan lebih menyedihkan apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir.
Dalam sidang media Naib Canselor Unisel 8 Ogos lalu, beliau sendiri tidak dapat menjamin seratus peratus bahawa para pelajar mendapat penginapan mereka pada 27 Ogos ini.
Walau bagaimanapun, beliau berkata setakat ini, Unisel telah melakukan dua tindakan iaitu menghantar surat kepada Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawir dan kedua berusaha mendapatkan injuksi mahkamah untuk membenarkan pelajar memasuki penginapan mereka.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula dilihat mengambil sikap sambil lewa terhadap isu masa depan pelajar-pelajar meskipun Unisel adalah universiti di bawah kawalannya.
Sebaliknya masih berdolak-dalih dengan menyalahkan kampus yang tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF) sebagai punca Unisel tidak mahu menyelesaikan hutang yang didakwa bernilai hampir RM15 juta dengan JNSB itu.
Sedangkan sebelum ini, Abdul Khalid mendakwa pendapatan Unisel yang tidak mencukupi merupakan faktor hutang JNSB tidak dapat dilunaskan.
Selain itu, Abdul Khalid turut menyalahkan perjanjian antara Unisel dan JNSB yang ditandatangani pada 2003 dan 2004 selama 30 tahun yang didakwanya berat sebelah.
“Kita hanya bayar kepada Jana Niaga apa yang dipanggil sewa untuk menduduki asrama tersebut. Dalam perjanjian yang ditandatangani, sama ada orang duduk atau tidak, 100 peratus sewa penginapan kita kena bayar.
“Kita nampak ini sebagai berat sebelah untuk Unisel kerana bila orang cuti pun kena bayar,” katanya.
Abdul Khalid juga keberatan untuk mengambil alih tanggungjawab ini, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi untuk mempengerusikan mesyuarat bersama yang diistilahkannya sebagai timbang tara di antara kerajaan negeri, Unisel dan JNSB.
Menurutnya jawatankuasa yang dipengerusikan Khusrin itu akan memperhalusi kaedah penyelesaian terbaik termasuk kemungkinan mengkaji semula perjanjian sedia ada antara Unisel dan JNSB.
“Mesti ada mesyuarat dan perjanjian. Saya suruh Datuk Khusrin selesaikan isu ini. Ia tak boleh diselesaikan melalui media, ia perlu dibuat secara perjanjian dan ditulis semula perjanjian, itu paling penting,” katanya.
Namun perkembangan mesyuarat timbang tara yang diadakan semalam masih menemui jalan buntu, apabila wakil JNSB tidak hadir dalam pertemuan itu.
Dalam perkembangan lain, bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo menyelar sikap politiking Abdul Khalid yang melabel JNSB sebagai kroni UMNO.
“Kalau kata JNSB syarikat kroni Umno, sebutkan nama siapa orangnya? Panggil JNSB, tanya kamu ni parti mana – Umno atau tidak.
“Saya tidak tahu JNSB ini kroni Umno atau tidak. Tetapi apa masalahnya kalau JNSB kroni Umno. Orang berniaga dia tidak kira parti mana,” kata Dr. Khir seperti dilaporkan FMT.
Beliau juga turut mencabar Abdul Khalid menamatkan kontrak JNSB jika tidak gembira dengan syarikat itu dan gantikan dengan syarikat Pakatan Rakyat (PR).
“Kamu Menteri Besar boleh buat. Takkan benda macam itu tak tahu. Kata kamu korporat. Tetapi apa yang kamu buat dengan Unisel?” soalnya.
Beliau juga mempersoalkan ke mana perginya wang RM292 juta yang dibayar oleh Talam kepada Unisel.
Katanya, Unisel boleh menggunakan wang yang dibayar Talam itu untuk membayar hutangnya kepada JNSB yang dikatakan bernilai hampir RM15 juta itu, namun perkara itu tidak berlaku.
Dr. Khir berkata, Unisel mula berdepan masalah kewangan kerana jumlah kemasukan pelajar merosot teruk manakala perbelanjaan meningkat sejak diperintah PR.
“Angka terbaru pelajar Unisel ialah lebih 9,000 sedangkan ia boleh menempatkan 20,000 orang atau paling minima 14,000 pelajar.
“Apabila pelajar kurang, pendapatan Unisel pun kurang tetapi kos pengurusan Unisel meningkat RM20 juta daripada RM93 juta pada tahun 2008 kepada RM113 tahun 2010.
“Wang yang dikutip daripada pembayaran yuran pelajar digunakan untuk membayar gaji staf Unisel,” katanya lagi.
Pendapatan Unisel menyusut daripada RM94.4 juta pada 2008 kepada RM93.51 juta (2009) dan RM75.48 juta (2010).
Beliau berkata, kemasukan pelajar ke Unisel semakin berkurangan kerana standard telah jatuh ekoran terlalu banyak berpolitik.
Mai Pikiaq Pi: Rakyat Selangor harus menilai kembali adakah pemimpin yang mereka pilih sekarang patut dipilih pada PRU13 akan datang?


Anwar Terlibat Gerakan Freemason?


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia bagaimana nama beliau boleh tersenarai sebagai salah seorang ahli dan pemimpin dalam organisasi Yahudi antarabangsa, Freemason.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang terkejut dengan perkara itu berkata, berdasarkan senarai kedudukan yang disiarkan dalam laman web organisasi tersebut, Civil Service Lodge No. 148, peranan Anwar begitu aktif.
“Saya tidak menuduh Anwar tetapi menuntut beliau memberi penjelasan kerana perkara ini sangat mustahak. Ini kerana nama individu yang menyandang kedudukan dalam organisasi tersebut sama dengan Anwar tetapi jika hanya pelanduk dua serupa tidak mengapa.
“Apa yang saya bimbang jika individu tersebut benar-benar Ketua Pembangkang. Jika itu berlaku sudah pasti ia akan mengancam kedudukan Islam di negara ini kerana Freemason satu gerakan sulit Zionis yang bertujuan mempromosi kekuasaan Yahudi di seluruh dunia.
“Persoalannya bagaimana nama Anwar boleh berada di dalam kumpulan ini? Anwar perlu jawab dan jika benar beliau tidak terlibat sila tampil dengan penjelasan, bukan berdiam diri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut laman web Civil Service Lodge No. 148, jawatan Anwar dalam Freemason pada 2004 dan 2005 adalah sebagai Junior Deacon, 2009 dan 2010 sebagai Director of Ceremonies, manakala pada 2011 pula berperanan sebagai Tyler.
Freemason bermaksud bebas membangun dan sejarah penubuhan gerakan itu bermula selepas Perang Salib.
Ia ditubuhkan dengan matlamat untuk membina gereja Solomon di atas tapak Masjid al Aqsa di Baitulmuqaddis selain bertujuan membolehkan kelompok Yahudi menguasai dunia baik daripada sudut sosial, ekonomi serta politik.
Menurut Ibrahim, maklumat perkara tersebut difaks oleh pihak tidak dikenali dan selepas beliau sendiri meneliti serta membaca maklumat yang disiarkan di laman web berkenaan, ternyata terdapat seorang individu bernama Anwar Ibrahim dalam gerakan itu.
“Kita bimbang, jika tiada penjelasan segera daripada Anwar, masyarakat khususnya umat Islam di negara ini akan menjatuhkan hukuman lebih awal dengan mengambil kira kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini termasuk menyokong keselamatan Israel.
“Namun, saya masih lagi menaruh harapan bahawa semua ini tidak benar, iaitu Anwar tidak terlibat dengan gerakan sedemikian walaupun satu dunia mengetahui hubungan rapat Ketua Pembangkang dengan pemimpin-pemimpin Yahudi,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Sila jawab Anwar sama ada anda memang terlibat atau tidak... Masyarakat perlu tahu kebenaran...

Pembangkang Bina Imej Parti Pakar Tabur Janji


Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah kesal dengan tindakan pembangkang yang mempolitikkkan tema Hari Kebangsaan ‘Janji Ditepati’ kerana sebelum ini tidak pernah ada pihak yang mempolitikkan tema Hari Kebangsaan.
Katanya, Hari Kebangsaan adalah hari kebesaran negara dan ia sepatutnya tidak dipolitikkan oleh sesiapapun kerana inilah peristiwa yang membolehkan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan keturunan bersatu serta merayakannya bersama.
“Pembangkang menuduh kononnya tema Hari Merdeka kali ini ‘Janji Ditepati’ adalah agenda Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Pada saya ini tidak betul kerana selama inipun tema-tema yang digunakan oleh kerajaan semuanya yang berkaitan dengan agenda negara ini. Pada saya bukan persoalan tema sahaja yang pembangkang bimbangkan, namun ianya lebih daripada itu.
“Mereka sebenarnya bimbang dan takut jika rakyat boleh menilai tahap dan perkhidmatan mereka selama ini terutama selepas PRU12 kerana banyak yang mereka janjikan tetapi tidak pernah tertunai malah hanya bijak menabur janji kosong,” ujarnya lagi.
Shamsul Anuar yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong menjelaskan, sebenarnya sejak PRU12 tanpa disedari pembangkang telah membina imej mereka sendiri iaitu sebuah pakatan yang hanya bijak dan pakar menabur janji dan gagal menunaikannya.
Tegas beliau lagi, janji mereka hanya untuk menarik sokongan rakyat dan tema Hari Kebangsaan kali ini memberikan pukulan kepada mereka.
“Bagi saya dalam hal ini sepatutnya Pas sebagai sebuah parti Islam harus faham bila berjanji ia sebenarnya adalah hutang. Memenuhi janji dalam Islam adalah satu kewajipan. Sebab itulah Rasulullah menerangkan bahawa salah satu sifat orang munafik adalah ingkar bila berjanji dan kerana itu jugalah Allah berfirman ‘Dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya ‘ (Al-Isra : 34).
“Pas seharusnya tahu bahawa menepati janji adalah kewajipan syari’ baik sesama muslim ataupun tidak. Tetapi kerana memang sudah menjadi tabiat pembangkang yang hanya pandai berjanji tanpa menunaikannya maka mereka cuba mencari alasan untuk tidak menggunakan tema ini.
“Saya fikir punca utama mereka tidak mahu menggunakan tema ini selain mempolitikkkan tema hari kemerdekaan ini adalah helah mereka untuk menutup ruang agar rakyat tidak dapat menilai segala perkhidmatan mereka pada rakyat selama ini,” ujarnya.
Tambah Shamsul, apa yang dilakukan pembangkang ini adalah satu perkara yang amat dikesali kerana mereka seringkali mempolitikkkan setiap isu atau perkara yang kerajaan lakukan. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai rakyat negara ini, seharusnya mesti ada had dan batasan bila berpolitik.
“Janganlah semua perkara hendak dipolitikkkan. Keadaan ini sebenarnya akan memberikan gambaran buruk kepada rakyat terutama dalam kalangan anak-anak di sekolah yang secara tidak langsung diheret untuk berpolitik.
“Bayangkan di empat negara pembangkang tidak menggunakan tema Hari Kebangsaan yang sama seperti kerajaan putuskan, sudah tentu ia akan menimbulkan persoalan dalam kalangan kanak-kanak sekolah dan akan membahayakan masa hadapan negara sendiri. Pembangkang dengan sendirinya menanam nilai negatif dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi negara pada masa akan datang.
“Pada saya sebenarnya mereka sendiri tidak sepakat dan ini jelas menunjukkan mereka tidak ‘sejiwa’. Ini baru perkara kecil yang berkaitan penentuan tema Hari Kebangsaan mereka telah bercelaru. Bayangkan kalau perkara besar, apa yang akan terjadi. Sebab itu rakyat jangan memperjudikan masa depan dengan memilih mereka sebagai pemimpin,” tambah beliau lagi. 
Mai Pikiaq Pi: Agaknya kalau pembangkang diberi kuasa memerintah negara, apa pula tema yang dipilih.. "Janji Kosong" agaknya.....

Tuesday, 14 August 2012

TG ADNAN: PRU13 BUKAN OKTOBER

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak mungkin akan diadakan Oktober ini memandangkan umat Islam bakal menunaikan haji, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tarikh PRU13 terus dijadikan spekulasi oleh pelbagai pihak termasuk mengandaikan ia bakal diadakan pada bulan Oktober ini malah ada khabar angin mengatakan bahawa Perdana Menteri akan memanggil pilihan raya mengejut September ini iaitu selepas seminggu umat Islam menyambut Aidilfitri.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, sekiranya PRU13 diadakan pada tempoh masa tersebut sudah pasti banyak pihak akan mendakwa kerajaan tidak peka dengan Islam.

“Saya tidak berkeyakinan pilihan raya akan diadakan pada bulan Oktober, mandat akan habis pada bulan Mac tahun depan.

“(Pun begitu) saya tidak tahu mengenai itu dan semua ini perlu ditanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri,” katanya kepada media pada Program Berbuka Puasa Maidatul Al-Rahman bertempat di Medan Selera Presint 8, semalam.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, parti itu akan menganjurkan Rumah Terbuka sempena Aidilfitri pada 1 Septemberi ini.

“Rumah terbuka ini akan diadakan sekaligus bersama Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri sendiri,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya.


Mai Pikiaq Pi: Mandat kerajaan masih ada sampai Mac tahun depan... Jadi biarlah kerajaan melaksanakan dahulu segala perancangan tahun ini tanpa ada pihak-pihak yang suka menabur fitnah...