Nuffnang Ads

Thursday, 17 January 2013

SPR TAK SEKAT NGO JADI PEMERHATI PRU13

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi memberi jaminan tidak akan menyekat kebebasan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pemerhati untuk menjalankan tugas mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, langkah SPR melantik pemerhati bebas bertujuan memastikan pilihan raya dijalankan dengan telus dan memuaskan hati semua pihak.

"Ini ruang yang sangat baik untuk rakyat Malaysia memantau proses pilihan raya dan sepatutnya juga beri kepuasan kepada parti-parti politik. Lantikan NGO ini sebagai pemerhati merupakan satu lonjakan transformasi politik negara.

"Tidak pernah dalam sejarah pilihan raya kita dipantau NGO bebas yang boleh tulis apa sahaja dan laporkan kepada SPR," katanya ketika menjadi panel dalam rancangan Soal Jawab yang disiarkan TV3 malam ini.

Turut bersama Wan Ahmad ialah penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar dan dipengerusikan Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Bhd Datuk Ahmad Talib.

Wan Ahmad berkata proses lantikan empat NGO yang dikenal pasti sebagai pemerhati iaitu Merdeka Center, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) akan dilakukan bulan ini juga.

Sementara itu, Chandra berkata, sebarang rasa tidak puas hati berhubung proses pilihan raya oleh mana-mana pihak boleh disuarakan mengikut saluran yang betul berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang, bukannya dibawa ke jalan raya.

"Jika kita protes tentang sesuatu ketidakadilan dan berhimpun secara aman, itu tidak salah.

"Tapi jika lepas pilihan raya kita tak setuju dan buat protes ikut cara lain dengan matlamat untuk gulingkan kerajaan yang dipilih, itu bertentangan sama sekali dengan amalan demokrasi," katanya. 




Mai Pikiaq Pi: Tak sabar untuk mengundi parti yang telah terbukti keberkesanannya memerintah negara....

#KL112 hanya riak-riak air, bukan gelombang

Meskipun pembangkang menggambarkan bahawa Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung Sabtu lalu sebagai satu kejayaan besar, yang membawa petanda baik kepada mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), pemerhati melihat ia daripada sudut pandangan berbeza.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, apa yang berlaku sebenarnya menzahirkan tsunami politik 2008 semakin menjauh.

"Dalam sastera Melayu ada bincang tentang riak-riak yang membawa gelombang. Jadi saya tengok daripada segi itu, (memang ada) riak-riak kecil, mungkin ia tidak jadi gelombang tetapi riak sahaja.


"Jadi untuk pilihan raya akan datang, ia soal riak-riak, bukan soal tsunami," katanya pada sidang media Wacana Pra-PRU13: Siapa Jadi Pilihan, di sini, hari ini.

Menurut Shamsul Amri, meskipun terdapat beberapa siri #KL112 diadakan sebelum kemuncak himpunan itu pada 12 Januari lalu, ia nyata gagal mencapai angka yang disasarkan penganjur.

"Bila saya kira semula sehinggalah data yang diberikan pada hari Sabtu tempoh hari, tidak sampai sejuta.

"Jadi maknanya ada sokongan tetapi apakah sokongan itu boleh menjadi satu gelombang yang boleh merubah... ia kecil-kecil," ujar beliau.

Mengulas perhimpunan itu, Selasa lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa himpunan Sabtu lalu bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada seperti yang berlaku di sesetengah negara Arab.

Pengarah #KL112, Mohamad Sabu menegaskan, memang Pakatan Rakyat (PR) berniat mahu menggulingkan kerajaan namun katanya, ia bukan lah menerusi himpunan jalanan sebaliknya akan direalisasikan menggunakan laluan demokrasi. 
Mai Pikiaq Pi: KL112 yang tidak mencapai sasaran.... 






Majlis Syura Pas Diingatkan Jangan Lupa Isu Anwar Sokong Keselamatan Israel


Walaupun Majlis Syura Ulama Pas telah pun membuat keputusan berhubung isu Kalimah Allah, namun mereka sebenarnya masih lagi berhutang dengan satu lagi isu besar yang sehingga kini masih lagi menjadi tanda tanya iaitu isu sokongan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Israel seperti yang disiarkan di dalam Wall Street Journal (WSJ) beberapa bulan lalu.
Sehingga kini perkara itu masih belum selesai kerana rakyat masih lagi tertunggu-tunggu apakah keputusan dari Majlis Syura Ulama Pas.
Mengulas perkara tersebut, Exco Pemuda UMNO,  Ustaz Syahrin Jamaluddin mempersoalkan apakah Anwar “maksum“ dalam kalangan  kepimpinan Pas.
“Pas, DAP dan PKR bergabung tanpa ideologi yang jelas… .namun pada satu ketika seolah-olah memperlihatkan Pas mempertahankan individu Anwar ini tersangat hebat. Dan ini menimbulkan keraguan terhadap rakyat.
“Apa yang datang daripada Anwar kita boleh lihat bagaimana tidak konsistennya Pas…. Dan adakalanya buat tak nampak… daripada situ kita boleh lihat seolah-olah menzahirkan Anwar adalah seorang yang insan yang istimewa di sisi Pas..bukan semua tetapi yang ada kepentingan. Justeru kita harap Pas khususnya Majlis Syura Ulama mereka tidak lupalah isu dakwaan sokongan Anwar terhadap Israel seperti yang disiarkan di dalam Wall Street Journal (WSJ)," katanya di sini.
Mengulas lebih lanjut beliau seterusnya menambah apakah majlis berkenaan sudah terlupa terhadap isu berkenaan.
“Apakah Majlis Syura lupa untuk bermesyuarat bagi mengambil ketetapan atau pendirian berhubung isu berkenaan….Atau pun saya terlepas pandang berkenaan pendirian mereka itu?.
“Cumanya jika belum ada ketetapan, singkap-singkaplah balik isu tersebut agar keberanian mereka dalam isu hari ini berterusan. Tentunya segala pandangan dan tanggapan sebelum ini dapat dikikis,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Anu War maksum dalam kalangan Pakatan Pembangkang...  

Wednesday, 16 January 2013

Rakyat Mahu Bersama Kerajaan BN


Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berada di atas landasan yang betul dalam usaha untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta berusaha keras untuk memaju dan meningkatkan pendapatan negara.
Dasar-dasar transformasi baik daripada sudut politik mahupun di dalam pentadbiran kerajaan di bawah teraju Datuk Seri Najib dilihat telah memberikan kesan yang besar terhadap sistem pentadbiran negara, serta ianya  amat diterima oleh rakyat secara keseluruhannya di negara ini, demikian tegas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
“Hari ini kita nampak parti-parti di dalam BN, khususnya UMNO memperlihatkan kesatuan yang utuh  dan semangat  perpaduan yang tinggi di kalangan kepimpinan sehinggalah ke peringkat akar umbi.
“Selain perpaduan dan keselarasan gerak kerja yang diperlihatkan oleh BN, ini termasuklah dasar–dasar transformasi kerajaan yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib, telah memperlihatkan begitu banyak perubahan yang berlaku di dalam negara kita yang melibatkan pelsebagi sektor dan lapisan masyarakat.
“Begitu juga dengan falsafah dan pendirian kerajaan BN hari ini di mana aspirasi dan keperluan rakyat didahulukan serta melaksanakan janji-janji yang telah dibuat oleh kerajaan kepada rakyat, merupakan faktor-faktor utama yang meletakkan BN di atas landasan yang betul dan terus bersedia mentadbir negara,” jelas beliau di sini hari ini.
Justeru itu kata beliau, rakyat mampu untuk melihat dan menilai sendiri sejauh manakah prestasi BN dalam kesatuan matlamat dan kesepakatan untuk memakmurkan negara,  berbanding dengan apa yang diperlihatkan oleh Pakatan Pembangkang hari ini.
“Hari ini kita boleh lihat tiada kesepakatan di antara parti-parti yang bergabung di dalam Pakatan Pembangkang. Malah dalam beberapa isu, kita lihat setiap parti di dalam Pakatan berpegang kepada prinsip masing-masing dan tiada kesepakatan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Begitu juga dengan ketelusan dan intergriti yang seringkali mereka laung-laungkan kepada rakyat, kononnya Pakatan lebih telus berbanding UMNO dan BN. Hari ini, satu demi satu kes salah guna rasuah, penyelewengan yang berlaku di dalam parti-parti gabungan Pakatan sudah terbongkar.
“Malah baru-baru ini, isu pemilihan CEC dalam DAP sudah cukup untuk memberikan kita gambaran sebenar tentang parti tersebut di mana, ketidakmampuan mereka untuk mentadbir satu pilihanraya kecil di dalam parti serta salah guna kuasa yang berlaku di dalam pemilihan tersebut,” ujarnya lagi.
Berdasarkan pengamatan beliau, sokongan rakyat terhadap BN hari ini semakin padu dan meningkat apabila melihatkan begitu banyak program-program yang disediakan oleh kerajaan untuk penambahbaikkan segala kemudahan untuk rakyat di negara ini.
“Seperti mana di Selangor, saya lihat ada isyarat yang jelas dari rakyat yang menyatakan sokongan yang semakin meningkat terhadap usaha-usaha BN Selangor dalam melaksanakan segala dasar dan transformasi kerajaan terhadap rakyat negeri Selangor.
“InsyaAllah, saya berkeyakinan bahawa rakyat Selangor akan mengembalikan semula pentadbiran kerajaan negeri kepada BN untuk bersama-sama kita terus bergerak ke hadapan dan menjadikan Selangor negeri termaju di negara ini,” akhiri beliau.
Mai Pikiaq Pi:  Rakyat mula menaruh harapan yang tinggi BN akan memenangi lebih 3/4 kerusi pada PRU akan datang...

Ubah Keputusan CEC: Cubaan DAP Perbodoh, Tipu Orang Melayu


Semakin hampir pilihan raya, pelbagai usaha dilakukan oleh pembangkang untuk menambat hati rakyat, DAP juga tidak ketinggalan apabila sanggup mengubah keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Naib Ketua Wanita UMNO Selangor, Datin Paduka Norhayati Onn berkata, apa yang dilakukan oleh DAP itu adalah  helah politik untuk memancing undi Melayu selepas menyedari keputusan pemilihan itu boleh menyebabkan mereka kehilangan sokongan pengundi Melayu.
“Ia bukan satu kesilapan, tetapi suatu perancangan untuk menutup kesilapan yang dilakukan selepas menyedari keputusan pemilihan itu boleh memberi kesan terhadap sokongan pengundi Melayu kepada pembangkang pada pilihan raya nanti.
“Mengapa selepas tiga minggu keputusan itu diumumkan, baru mereka menyedari berlakunya kesilapan dan menyalahkan sistem komputer, keputusan itu memberi tekanan kepada DAP, keputusan itu menunjukkan parti berkenaan adalah parti perkauman dan ramai di kalangan ahlinya dari bukan Melayu.
“Rakyat perlu sedar terutama pengundi Melayu bahawa, tindakan mereka mengubah keputusan itu adalah untuk mengaburi mata orang Melayu dan sesuatu yang tidak masuk akal apabila undi tempat ke 65 boleh menjadi tempat ke 20, ini semua silap mata yang dilakukan oleh DAP,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan pemilihan Jawatankuasa CEC DAP baru-baru ini yang terpaksa dirombak bagi memberi laluan kepada calon Melayu untuk berada dalam jawatankuasa berkenaan sedangkan ketika keputusan diumumkan pada hari pemilihan, semua calon Melayu yang bertanding kalah teruk.
Norhayati berkata, sebelum ini pembangkang sering menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya tidak telus, sedangkan yang sebenarnya DAP sendiri yang tidak telus, keputusan pemilihan Jawatankuasa CEC boleh dirombak untuk kepentingan politik.
“Dan bukanlah suatu yang mustahil jika pembangkang boleh merubah apa sahaja yang dianggap memberi keuntungan tanpa memikirakan hak orang lain, jika berkuasa sudah berlaku perkara sebegini, bagaimana pula jika mereka berkuasa nanti,” katanya.
Menurutnya, rakyat jangan terpedaya dengan apa yang berlaku itu sebaliknya perlu memikirkan apa akan berlkau kepada negara jika mereka berkuasa, ketika ini pelbagai usaha dilakukan oleh mereka untuk merubah apa yang telah termaktub bagi merealisasikan cita-cita mereka terutanya DAP.
Mai Pikiaq Pi: Boleh pula keputusan pemilihan dirombak balik....  

PAS TIDAK LAYAK MEMIMPIN

Pemimpin seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak layak memimpin rakyat kerana beliau sering mengubah kenyataan sekiranya mendapat tentangan hebat daripada sesuatu pihak, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah. 
 
"Kita nak pilih pemimpin tak boleh main-main. Saya harap ahli dan penyokong PAS boleh buat penilaian sendiri, Umno dan Barisan Nasional (BN) tak pernah buat sesuatu keputusan yang meragukan rakyat," katanya mengulas tindakan Pas mengubah pendirian dan akur menyatakan bahawa kalimah ALLAH adalah khusus untuk Islam.
     
Ahmad Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata berkata, kepimpinan Pas memang bersikap suka bertukar-tukar kenyataan hanya untuk mencari kepentingan politik tanpa mengendahkan setiap keputusan yang dibuat.
 
"Kalau mereka (Pas) rasa kenyataan itu rugi, mereka tarik balik. Mereka selalu buat macam itu sebab nak dapatkan sokongan dan simpati daripada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada pelajar Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung dekat sini hari ini.
 
Di Kedah seramai 408,011 pelajar dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, agama rakyat dan negeri serta swasta layak menerima bantuan berjumlah RM 40.8 juta yang mula diagihkan hari ini hingga hujung Februari.


Mai Pikiaq Pi: Jangan silap pilih pemimpin yang tiada pendirian....

Tuesday, 15 January 2013

Krisis Air: Tindakan Kerajaan Selangor Mahu Saman Syabas Satu Skrip Terancang


Tindakan Kerajaan Selangor yang mahu menfailkan saman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dilihat bagaikan satu skrip yang sengaja dilakonkan khusus untuk memperlihatkan kegagalan syarikat tersebut mengurus air sehingga menyebabkan berlakunya krisis air di Selangor hari ini.
Sedangkan pada hakikatnya, keengganan Kerajaan Selangor memberikan kerjasama dalam pembinaan loji rawatan air tambahan di Langat seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan Pusat,  adalah merupakan punca utama mengapa berlakunya krisis air di Selangor hari ini, demikian tegas Ketua Penerangan UMNO Selangor, Shukur Idrus.
“Kerajaan negeri boleh buat apa saja, termasuk untuk menfailkan saman terhadap Syabas kerana saya yakin syarikat tersebut mempunyai bukti yang cukup untuk menyanggah segala tuduhan kerajaan negeri.
“Setelah mendapatkan penjelasan daripada pihak Syabas baru-baru ini, saya yakin bahawa Syabas bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi kerajaan negeri sekiranya kerajaan negeri bertindak menyaman Syabas, kerana punca berlakunya krisis air di Selangor ini bukanlah berpunca daripada syarikat tersebut,” tegas beliau di sini hari ini.
Jelas beliau, sikap kerajaan negeri yang ingin bermain politik tarik tali dalam isu krisis air ini tanpa memikirkan nasib rakyat merupakan punca utama berlakunya krisis air di negeri tersebut.
“Isu krisis air ini akan dapat diselesaikan hanya dengan pembinaan loji Langat 2 bagi menampung bekalan air terawat yang hari ini sudah melebihi kapasiti yang sepatutnya. Namun Kerajaan Selangor malu mahu mengakui kesilapan mereka itu, lalu membuat keputusan untuk menyaman Syabas untuk menutupi kesilapan mereka dan meletakkan kesalahan tersebut kepada syarikat tersebut semata-mata,” ujarnya.
Beliau seterusnya membidas sikap Kerajaan Selangor yang lebih gemar bermain politik serta menuding jari meletakkan kesalahan di pihak lain, sedangkan ternyata krisis ini berlaku akibat sikap kerajaan negeri yang sebenarnya cuba mempolitikkan isu air ini untuk mempengaruhi pemikiran rakyat terutama apabila menjelang PRU tidak lama lagi.
“Saya mengalu-alukan tindakan kerajaan negeri untuk memfailkan saman terhadap Syabas. Tak apa, biarkan perkara ini dibawa ke mahkamah kerana saya yakin kebenaran akan berpihak kepada Syabas. Menurut apa yang dimaklumkan kepada saya, Syabas juga telah menyediakan bukti-bukti kukuh untuk membela diri daripada tuduhan kerajaan negeri itu.
“Dan saya yakin sekiranya perkara ini dibawa ke mahkamah oleh kerajaan negeri, maka kebenaran akan terbukti di mana kesalahan dan kesilapan yang sebenarnya dilakukan oleh kerajaan negeri dan bukan Syabas, berikutan keputusan kerajaan negeri yang tidak membenarkan Kerajaan Pusat untuk membina loji Langat 2 bagi menampung kekurangan air dirawat di negeri ini,” tegas beliau.
Mai Pikiaq Pi: Rakyat Selangor perlu membuka mata tembelang kerajaan negeri yang tidak berkesudahan.....