Nuffnang Ads

Tuesday, 18 June 2013

Kajian ‘Suara Hati Johor’


Kerajaan Johor pada Isnin memulakan inisiatif baharu bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyatnya melalui kajian yang dikenali sebagai ‘Suara Hati Johor’.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kajian selama tiga bulan itu akan dilaksanakan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan menyasarkan kira-kira 8,000 responden.
Katanya, kajian itu bagi membolehkan kerajaan membuat tindakan seperti menggubal dasar berpandukan kehendak, jangkaan dan keperluan rakyat dengan tema ‘Merakyatkan Kerajaan’.
“Bagi merealisasikan aspirasi ini, kerajaan menjalankan satu kajian melibatkan rakyat terhadap 100 hari pentadbiran saya sebagai Menteri Besar.
“Kajian ini dilihat sebagai satu wadah bagi memperkasa dan memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan menyeluruh ke arah pembentukan Negeri Johor Maju menjelang tahun 2020,” katanya pada sidang akhbar di Kota Iskandar, di sini, Isnin.
Objektif utama kajian itu adalah mengetahui beberapa indikator berkaitan permasalahan rakyat, mengenal pasti isu utama dihadapi rakyat dan mencadang dasar yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan.
Penyelidikan itu akan menggunakan dua kaedah iaitu kuantitatif dan kualitatif melalui kajian di lapangan dan laman web, katanya.
Beliau berkata, kajian itu diharap dapat menghasilkan hasil berguna untuk dijadikan dasar yang akan dilaksanakan kerajaan negeri.
Mohamed Khaled yakin akan keprihatinan rakyat Johor terhadap dasar kerajaan, mengalu-alukan penglibatan mereka dalam kajian tersebut yang akan dijalankan secara jujur, rasional, terbuka serta berterus-terang.
Orang ramai yang ingin mengambil bahagian dalam kajian yang dijalankan dalam bahasa Melayu, Tamil, Mandarin dan Inggeris itu boleh melayarihttp://surveys.suarahatijohor.com/s3/.
Mai Pikiaq Pi: ' Merakyatkan Kerajaan' adalah aspirasi kerajaan bersama rakyat..... 

Jangan Tak Sokong Kerajaan Kerana Pembohongan Pembangkang, Kata Najib


Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan Malaysia.
Perdana Menteri berkata fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu misalnya telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan terpelajar juga turut mempercayainya.
“Sampai hari ini belum ada buktipun bahawa kononnya kita bawa 40,000 warga Bangladesh (untuk mengundi), ini satu fitnah dan pembohongan yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini.
“Sebab itu saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir, rupanya ada orang tak boleh fikir, saya dapat tahu peguampun tak boleh fikir. Apa sudah berlaku ke atas mereka, apa yang terjadi dengan tahap kecerdikan dan rasional yang tak boleh fikir soal ini,” katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di Dewan Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di Kuningan, di sini hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isteri Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail.
Najib berada di sini dalam rangka lawatan peribadi untuk bertemu beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengannya, selain berehat selepas PRU13.
Perdana Menteri meminta para pelajar Malaysia di Indonesia berfikir secara rasional bagaimana Barisan Nasional (BN) kononnya boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi kerana ia memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal dan memerlukan 1,000 buah bas pula untuk membawa mereka ke tempat mengundi pada hari mengundi.
Secara logik, katanya, dakwaan pembangkang itu tidak masuk akal dan BN pula sukar untuk menyembunyikan warga Bangladesh di Malaysia kerana ciri-ciri paras rupa mereka adalah berlainan dengan kebanyakan warga Malaysia.
“Saya sebagai Pengerusi BN menafikan dengan sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya telah berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan,” katanya.
Najib berkata BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan telah menang secara sah pada PRU13, namun ia kalah dalam perang persepsi kerana fitnah dan pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif yang lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus perdana.
“Kita perlu untuk PRU akan datang, BN melengkapkan dari segi kemampuan untuk memerangi perang persepsi, realitinya kita sudah sampaikan, Malaysia semakin hari semakin makmur dan menjadi contoh kepada negara lain tetapi persepsinya dikatakan sebaliknya.
“Inilah yang kita hadapi sebagai cabaran yang paling besar kepada BN untuk memerangi perang persepsi,” katanya.
Perdana Menteri berkata sunggupun lawatannya ke Indonesia kali ini bersifat peribadi, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengan beliau.
“Saya telah menegaskan kepada mereka bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia merupakan hubungan yang sangat penting yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan peribadi,” katanya.
Najib berkata dalam lawatannya kali ini beliau turut ditemu bual stesen TV swasta MetroTV dan ditemu ramah majalah Tempo di sini di mana beliau antara lain menyampaikan mesej bahawa Malaysia ingin melihat integrasi ekonomi antara Malaysia dan Indonesia menjadi lebih mendalam walaupun kedua-dua negara mempunyai jumlah dagangan yang sentiasa baik iaitu kira-kira AS$18 bilion.
Sasaran yang dituju dari segi jumlah dagangan untuk kedua-dua negara itu ialah AS$30 bilion menjelang tahun 2015.
“Saya sampaikan mesej ini dengan harapan berdasarkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat yang sangat serasi, maka ia perlu diterjemahkan dalam bentuk hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, yang boleh menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia lebih kukuh,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Pembangkang akan sentiasa menabur fitnah demi kelangsungan politik kotor mereka... 

Friday, 14 June 2013

DAP patut belajar kendali pemilihan parti


Ketika suasana negara masih panas dengan isu Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 (PRU13) sehingga kini, banyak isu yang dimainkan oleh pembangkang di antaranya ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan PRU, isu pengundi hantu dan sebagainya.
Segala-gala isu yang dimainkan pembangkang adalah memberikan imej buruk kepada kerajaan Barisan (Nasional) sekaligus mewujudkan rasa benci rakyat kepada BN dan SPR.
Namun sebenarnya, apa sahaja yang dilontarkan oleh pembangkang kepada kerajaan pimpinan BN mahupun SPR ibarat meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, sekiranya pembangkang khususnya DAP menuduh SPR tidak telus dalam mengendalikan 13,268,002 pengundi berdaftar, bagaimana pula dengan DAP yang menguruskan proses pengundian pada pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang hanya melibatkan tidak lebih daripada 2500 perwakilan.
“Sehingga kini, DAP masih gagal untuk melaku atau membetulkan kesilapan memalukan dalam proses pengundian CEC. Walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf pemilihan CEC dan seharusnya proses pemilihan diadakan semula, namun DAP masih gagal memberi jawapan konsisten tentang isu ini.
“Apa yang mereka sering lakukan adalah menyalahkan pihak ketiga menuding jari ke arah orang lain. Jika proses pengundian yang hanya melibatkan jumlah yang amat sedikitpun mereka tidak mampu telus jadi mengapa mereka harus mempertikaikan SPR yang mengendalikan jumlah pengundi yang berlipat kali ramai.
“Mengapa DAP terus-terusan mencari kesalahan memburukkan BN dan SPR sedangkan hakikat sebenarnya ‘kain’ mereka sendiri koyak rabak. Oleh itu, adalah lebih baik mereka selesaikan dahulu masalah dalaman mereka daripada terus-terusan menyerang pihak lain,” ujar Zainal.
Tambah Zainal, DAP perlu ingat bahawa individu yang terlibat dalam SPR semasa hari mengundi di Pulau Pinang adalah terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan kakitangan kerajaan negeri sendiri.
Ini membawa maksud bahawa mereka adalah pro pembangkang. Keputusan PRU-13 juga menyaksikan SPR telah memberi kemenangan kepada DAP. BN pula tewas di 30 kerusi DUN dan 10 kerusi Parlimen.
“Jadi, yang harus berasa tidak puas hati dan patut komplen adalah BN. Bukan DAP. Kalau mereka terus mempertikaikan keputusn SPR maka sama seperti mereka mempertikai integriti kakitangan kerajaan negeri… Saya sendiri akui bahawa memang terdapat kekurangan semasa SPR mengendalikan PRU-13 namun mereka telah melakukan yang terbaik walau tidak sempurna.
“Seperkara lagi yang harus DAP sedar bahawa sekiranya kita mahu membuat laporan salahlaku etika pilihan raya, kita boleh lakukan kerana DAP telah mengamalkan selama bertahun-tahun memberi wang kepada para pengundi. Mereka memberi RM100 kepada pengundi berusia 60 tahun ke atas dan sebagainya.
“BN pula memberi wang kepada semua rakyat negara ini seperti BR1M dan sebagainya. Bukan seperti mereka yang hanya memberi bantuan kepada pengundi berdaftar. Ini adalah menyalahi etika pilihan raya. Jadi nasihat saya DAP dan rakan sekutunya boleh berhenti berpolitik.
“Lupakan PRU-13 dan mula buat kerja. Masih banyak yang perlu dilakukan termasuklah selesaikan masalah dalaman mereka yang amat kritikal itu. Jangan nanti bila DAP diharamkan mereka menuduh ini semua salah UMNO dan BN juga,” jelasnya lagi.
Mai Pikiaq Pi: Kegagalan pemilihan CEC dalam DAP amat memalukan yang kononnya mereka adalah parti yang gah buat pengundi Cina..... 

Video seks: Wakil rakyat DAP nafi terlibat

Adun Senawang dari DAP, P Gunasekaran menafikan dirinya adalah individu dalam video seks yang tersebar dalam Youtube.

Dua video seks berdurasi 1 minit 18 saat dan 3 minit 15 saat yang bertajuk 'Wakil Rakyat DAP Guna Scandal' dan ‘Wakil Rakyat DAP Guna Scandal 03’ itu dimuat naik di Youtube pada 1 dan 2 Mei lalu.

Video pertama memaparkan seorang lelaki yang didakwa menyerupai Gunasekaran sedang duduk memakai tuala sambil memegang telefon bimbit di sebuah bilik.

Manakala video kedua menunjukkan lelaki itu mula membuka tualanya dan melakukan 'aksi panas' dengan seorang wanita.

Bagaimanapun, wajah lelaki itu kelihatan kurang jelas berikutan suasana bilik yang gelap.

Gunasekaran berkata, beliau dimaklumkan tentang penyebaran video seks itu oleh rakan-rakannya sebelum kempen PRU13 lalu.

"Saya sudah melihatnya dan lelaki dalam video itu, bukan saya. Saya juga tidak kenal wanita dalam video itu.

"Saya percaya kewujudan video ini adalah bermotif politik kerana disebarkan ketika musim kempen PRU lalu,” katanya.

Gunasekaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, video itu disebar  untuk memfitnah dirinya di samping menjatuhkan karier politik beliau.

“Saya tidak tahu siapa yang buat dan sebarkan video ini. Boleh jadi orang politik yang mahu menjatuhkan karier saya.

“Mungkin ia dilakukan parti lawan dan boleh jadi juga dilakukan orang dalaman parti saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, satu laporan polis akan dibuat dan dia bercadang melantik peguam untuk bawa perkara itu ke muka pengadilan.

“Saya sedih dengan penyebaran video ini, begitu juga isteri dan dua anak saya.

"Penyebaran video ini telah menjejaskan maruah keluarga saya," katanya.

Katanya, beliau tetap akan teruskan khidmat sebagai wakil rakyat meskipun penyebaran video tersebut telah menjejaskan imej bersihnya sebelum ini.

“Rakyat menjadi keutamaan saya. Mereka kenal siapa saya kerana sudah lama saya terlibat dalam dunia politik," katanya.

Gunasekaran berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Senawang sejak PRU12 dan berjaya mengekalkan kerusi yang disandangnya pada PRU13 lalu apabila menang dengan memperoleh 9,010 undi mengalahkan calon BN, Choong Vee Hing (4,205 undi) dan calon Bebas, S Karthigesan (120 undi).

Sementara itu, Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke Siew Fook mendakwa, video itu sengaja disebarkan sebelum kempen PRU13 yang lalu bagi menjatuhkan imej dan reputasi Adun Senawang itu.

“Video tersebut telah disebarkan sejak sebulan yang lalu dan digembar-gemburkan untuk menjatuhkan imej bersih Gunasekaran.

“Saya percaya lelaki dalam video tersebut bukanlah Gunasekaran dan ia sengaja direka untuk memfitnah beliau," dakwanya.

Siew Fook berkata, beliau telah menasihatkan Gunasekaran supaya membuat laporan polis segera berhubung penyebaran video tersebut.

“Setakat ini kita tidak tahu siapa yang membuat dan menyebarkan video itu.

"Kita serah kepada polis untuk buat siasatan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai bijak menilai apa yang berlaku.

"Saya fikir rakyat tahu perkara sebenar dan tidak akan layan tuduhan dan fitnah sebegini," katanya lagi.


Mai Pikiaq Pi: Tak habis-habis kisah salah laku seks daripada pemimpin Pembangkang... Memang sah morah rendah dalam kalangan mereka.... 

Jangan beri muka kepada Pembangkang - Dr Mahathir


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan kerajaan supaya tidak lagi berlembut dan memberi muka kepada pembangkang yang berterusan memperlekeh sistem demokrasi negara.

"Kita perlu keras sikit jangan bagi muka sangatlah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam sempena Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2013 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sikap pembangkang yang pada mulanya bersungguh-sungguh mahu mengiktiraf pilihan rakyat bertukar sekelip mata apabila mereka  gagal memperoleh sokongan majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)  lepas.
"Mereka hendak iktiraf pilihan rakyat tapi sekarang hendak jatuhkan kerajaan. Bila sistem demokrasi dilaksana mereka tolak sistem itu. Bagi mereka demonstrasi jalanan adalah demokrasi," katanya.

LID 2013, yang berlangsung selama enam hari sejak Ahad lepas, disertai enam negara iaitu Namibia, Uganda, Kenya, Nigeria, Lesotho and Botswana.

Sementara itu, dalam ucapannya bertajuk 'Transforming A Nation: The Malaysian Experience", Dr. Mahathir berkata, pelaksanaan dan penyelarasan  yang betul oleh Kerajaan Malaysia telah memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah mempertingkatkan daya   saing dan peluang ekonomi Malaysia.

"Ketika waktu saya, saya telah mengarahkan semua menteri turun ke akar umbi bagi memastikan semua perancangan dilakukan dengan sewajarnya,"  katanya.

Dr. Mahathir berkata, strategi kerajaan juga termasuk menyediakan insentif kepada syarikat tempatan dan percutian bebas cukai kepada pelabur untuk menggalakkan lebih banyak kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI).
"Apabila kita (Malaysia) mempunyai lebih banyak aliran masuk FDI dan kadar guna tenaga meningkat, FDI juga merangsang ekonomi kita," katanya.
Mai Pikiaq Pi: Makin hari makin melampau sikap pemimpin pembangkang yang tidak lagi menghormati sistem demokrasi negara.....

Politik Kebencian Melampau Bakal Musnahkan Asas Pembinaan Negara Bangsa


Pakatan pembangkang seharusnya menerima realiti kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan tindakan mengheret rakyat melalui politik melampau selepas kegagalan merampas Putrajaya, seharusnya dihentikan.
Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Abdul Halim Bin Sidek berkata, kesan tindakan politik melampau dan politik kebencian ini telah menyebabkan rakyat sudah tidak lagi menghayati dan menghormati Rukun Negara yang menjadi asas kepada kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara.
Tegas beliau, sepatutnya setiap warganegara Malaysia mesti mendukung, berikrar dan berpegang teguh kepada cita-cita dan prinsip-prinsip Rukun Negara yang merupakan salah satu asas pembinaan negara bangsa.
Beliau berpendapat bahawa kebelakangan ini ramai pemimpin pakatan pembangkang membelakangi asas-asas pembinaan negara bangsa di dalam kenyataan-kenyataan dan tindak tanduk mereka serta menyinggung ramai pihak.
“Sekarang ini mereka seperti sudah tidak ada lagi jati diri sebagai rakyat Malaysia. Jika mereka mempunyai jati diri, sudah pasti mereka akan mengutamakan negara berbanding keutamaan diri mereka sendiri.
“Jika jati diri mereka kuat, semangat patriotik mereka kuat dan kental, mereka akan jadi warganegara yang baik, akan menjaga keamanan dan sedia berkorban untuk negara bukan cuba untuk memporak-perandakan, membuat huru-hara dan akhirnya akan menganggu gugat keharmonian Negara.
“Walaupun mungkin ada perbezaan pendapat daripada segi ideologi politik, tetapi kita tidak seharusnya mengorbankan negara dengan mewujudkan suasana yang tidak harmoni ini kerana akhirnya negara akan rosak atau musnah,” katanya.
Beliau juga berkata, “Bagi memastikan perpaduan kaum di negara ini terpelihara, setiap warganegara hendaklah daripada segi perlakuan dan tindak-tanduk mereka tidak mengenepikan kewujudan cita-cita serta prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan setiap rakyat di negara ini”.
Pada masa yang sama beliau juga menyeru agar prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, yang menekankan kepada personaliti dan perlakuan seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi juga tidak diketepikan bagi membantu mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang harmoni di samping sentiasa memelihara perpaduan kaum di negara ini.
Mai Pikiaq Pi: Pembangkang tidak dapat menerima realiti rakyat masih ramai tidak menyokong mereka....

Thursday, 13 June 2013

Malaysia mesti memilih ekonomi terbuka


Malaysia mesti memilih ekonomi terbuka dan lebih anjal, meningkatkan pembabitan dengan rakan serantau, memperoleh pelaburan  dan membuka industri untuk meningkatkan persaingan, bagi menikmati kemakmuran pada masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun  Razak hari ini.

Beliau berkata Malaysia juga mesti memperkukuh pelaburan domestik, memajukan syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta sebagai juara dunia  dan serantau serta menyediakan ruang untuk perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk bersaing di peringkat dunia.

"Ini bermakna membangunkan ekonomi mampan, dengan pasaran terbuka yang membolehkan pertumbuhan dan kestabilan.

"Dan ini bermakna menarik dan membangunkan bakat yang diperlukan untuk besaing dalam dunia yang saling bersambungan," katanya semasa  merasmikan persidangan Invest Malaysia 2013 di sini.

Perdana Menteri juga mengumumkan pengenalan visa pelbagai kemasukan sehingga lima tahun untuk pelabur perniagaan dan pengurus dana yang  layak untuk melawat Malaysia.
Najib berkata Program Transformasi Ekonomi (ETP) mempunyai matlamat jelas mengenai jenis ekonomi yang mahu diwujudkan, termasuk merangsang  pelaburan asing, meningkatkan permintaan domestik dan memastikan ganjaran pertumbuhan mampan dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

"Dalam jangka sederhana, kita mesti menjadikan program tindakan jelas kita lebih mesra pasaran dan meritokrasi," katanya dan menambah, Malaysia  mesti memberi tumpuan dalam merangsang permintaan domestik dan produktiviti bagi mengimbangi penurunan eksport utama negara.

Beliau berkata usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai hab tenaga serantau mesti diteruskan dan bakal menyaksikan pertumbuhan  memandangkan industri itu yang menyumbang lebih daripada 40 peratus kepada pendapatan negara perlu melindungi kedudukan jangka sederhana  dan jangka panjang negara.

Walaupun pasaran modal Malaysia mempunyai struktur institusi dan kawal aturan yang berkualiti, Najib berkata lebih banyak lagi perlu dilakukan bagi menggalakkan penyertaan antarabangsa yang lebih besar menerusi pembukaan pasaran Malaysia kepada spektrum individu, masyarakat dan  perniagaan secara lebih luas.

"Kita juga perlu menggandakan usaha untuk menyediakan produk kewangan Islam yang lebih menyeluruh dan luas serta meningkatkan usaha untuk mengantarabangsakan pasaran modal Islam," katanya.

Beliau berkata menerusi pengenalan myULM tahun depan, platform dagangan dalam talian pertama negara untuk produk sekuriti dan pelaburan  alternatif yang tidak di senarai, mampu menjadi pemangkin dalam mewujudkan lebih banyak produk pasaran modal yang inovatif dan terangkum untuk  pelabur.

Najib juga menggesa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, terutama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), memain peranan yang lebih  penting dan meningkatkan kecerdasan pasaran, terutama dalam saham modal sederhana berkualiti tinggi, bagi meningkatkan tahap dagangan saham  dan membuat sumbangan bermakna terhadap kecerdasan pasaran secara keseluruhan.

Beliau berkata penyertaan mereka akan memberi satu lagi ruang untuk syarikat mengakses pembiayaan utama dan sekunder untuk mengangkat  perniagaan mereka ke tahap pembangunan berikutnya.

Bagi memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif, Perdana Menteri berkata Program Wakil Graduan atau GRP 100 akan dilancarkan dalam  tempoh terdekat bagi memasukkan beribu-ribu graduan baharu untuk menyokong peningkatan aktiviti pasaran.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia akan terus memain peranan utama dalam membangunkan Asean sebagai kelas aset dengan bekerja  bersama-sama negara lain di rantau ini bagi merealisasikan penyepaduan ekonomi Asean.

"Banyak yang perlu dilakukan: tahap pelaburan hutang dan ekuiti merentas sempadan kini masih rendah, dengan entiti Malaysia, Singapura dan  Thailand hanya melabur sebanyak lapan peratus ekuiti dan pelaburan hutang luar pesisir masing-masing di rantau ini," katanya.
Mai Pikiaq Pi: Lagi 7 tahun Malaysia menjadi negara maju!!!