Nuffnang Ads

Thursday, 28 November 2013

Jangan Jadikan Isu Islam Sebagai Mainan Politik – Dr. Fathul Bari

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jaya meluahkan rasa hairan dan ragu apabila kepimpinan tertinggi Pas masih lagi tidak menyatakan pendirian rasmi parti tersebut berhubung tuntutan Comango, biarpun isu tuntutan gabungan NGO tersebut menjadi isu dasar yang diperbahaskan ketika muktamar Pas baru-baru ini.
Ujarnya, pendirian rasmi Pas berhubung isu tuntutan Comango ini amat penting kerana tuntutan yang dibuat oleh NGO tersebut amat jelas secara prinsipnya bertentangan dengan tuntutan Islam.
“Kita boleh lihat dalam beberapa hal yang terkandung di dalam tuntutan Comango ini suatu isu besar bagi umat Islam, seperti isu berhubung dengan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT), kesemarataan dalam agama yang ternyata bercanggah dengan prinsip Islam di negara ini.
fathul bari
“Biarpun ini isu yang bercanggah dan mengancam prinsip-prinsip Islam, tetapi mereka (kepimpinan Pas) tetap tidak bersuara. Maksud saya bersuara itu ialah menyatakan pendirian rasmi parti berhubung perkara itu secara tegas.
“Tetapi sebaliknya, dalam hal-hal yang kita cuba mencari titik persamaan sesama Islam, yang itu Pas dilihat lebih kerap bersuara untuk menimbulkan masalah khususnya dalam isu perpaduan sesama kita. Inilah yang membuatkan saya berasa amat hairan dan keliru dengan sikap kepimpinan Pas hari ini,” luah beliau di sini hari ini.
Kata beliau lagi, contohnya ialah isu perpaduan umat Islam di mana yang terbaru, isu muzakarah antara UMNO dan Pas sekali lagi terbit dari kenyataan Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Haji Hadi Awang dalam ucapan penggulungan di muktamar Pas baru-baru ini.
“Kira-kira setahun yang lalu, ketika Presiden Pas menyatakan kesediaan kepimpinan Pas untuk bermuzakarah dengan sesiapa saja, termasuk UMNO, saya merupakan antara orang pertama yang secara terbuka menyahut tawaran tersebut.
“Namun akhirnya apa yang berlaku? Bila kita (UMNO) nyatakan persetujuan untuk bermuzakarah, ia berlalu sepi begitu saja. Sampaikan kita melalui ILMU, menghantar surat kepada pejabat Pas pusat dan sebagainya untuk menyatakan kesediaan kita bermuzakarah, tetapi sehingga ke hari ini tidak ada apa yang berlaku,” ujarnya.
Justeru itu, beliau meminta agar kepimpinan Pas tidak menjadikan isu muzakarah mahupun isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam dan umatnya sebagai retorik politik sahaja.
“Jika kita nak buat muzakarah untuk kepentingan kaum muslimin, untuk kepentingan Islam, maka kita buat secara serius. Jangan jadikan ia semata-mata sebagai satu mainan politik. Apa yang penting, ialah bila berbicara soal kepentingan Islam, baik UMNO atau Pas kita mesti sepakat.
“Berbalik kepada isu Comango tadi. Mengapa kita tidak berdiri teguh bersama-sama menentang dalam isu ini, seperti mana kita boleh bersama-sama dalam isu Palestin, isu Syiria? Saya nak juga, di dalam isu Comango, UMNO dan Pas bersama-sama,” katanya.
Jangan hanya kerana ada terdapat beberapa tokoh politik Pakatan Rakyat yang terlibat  dalam Comango, menyebabkan Pas sampai hari ini tidak berani bersuara. Pas perlu menyatakan pendirian mereka dengan tegas, tegas beliau lagi.
“Pas mesti bersuara secara tegas. Presidennya bersuara, Ketua Pemudanya bersuara. Tetapi hari ini, kita tidak mendengar suara mereka. Di mana suara Pas dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam secara keseluruhnya ini,?”soalnya.

UMNO Tidak Boleh Selesa Dengan Kelumpuhan PKR Sabah, Kata Noh

UMNO tidak boleh berada dalam zon selesa dengan kelumpuhan PKR Sabah kerana pemimpin parti pakatan pembangkang itu didakwa mempunyai kebijaksanaan menipu sekali gus memanipulasi pemikiran rakyat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata contohnya di Selangor, pakatan pembangkang masih menang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) biarpun gagal menunaikan janji kepada rakyat Selangor.
“Kita tidak boleh menganggap bahawa mereka (PKR) sudah lemah. Contoh di Selangor walaupun hanya 34 peratus janji mereka yang ditunaikan, tetapi kerana kebijaksanaan mereka menipu rakyat dan mempengaruhi rakyat, akhirnya rakyat kembali percaya kepada mereka,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, pemimpin 11 cabang PKR Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).
Mereka terdiri daripada ketua cabang, timbalan ketua cabang dan ketua penerangan cabang parti itu dari Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang media semalam berkata situasi itu bererti bahawa PKR di Sabah hampir lumpuh dan sebaliknya BN semakin utuh serta semakin mendapat kepercayaan rakyat Sabah.
Dengan memberi contoh isu 40,000 pengundi Bangladesh, Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan begitu mudah menafikan pernah menuduh kerajaan membawa 40,000 pengundi Bangladesh pada PRU13 lepas setelah berjaya menipu rakyat.
“Jadi kita harap rakyat jangan percaya lagi dengan apa jua kenyataan yang dikeluarkan oleh PKR kerana mereka mudah menafikan,” katanya.

Wednesday, 27 November 2013

Gelaran ‘Kucing Kurap’: Jangan Lupa Jasa Kakitangan Awam

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirleen melahirkan rasa sedih melihat istilah yang didakwa dibuat oleh Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi terhadap penjawat awam di negeri itu dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
jeff-ooi-lim-guan-eng-dap-rasis-parti-kucing-kurap-tokong-penang
Menurut beliau istilah ‘kucing kurap’ bukanlah jalan terbaik dan penggunaan kata-kata yang mengguris hati seharusnya dielakkan kerana kakitangan awam juga merupakan sebahagian besar penyumbang kepada pentadbiran.
“Saya sendiri terguris sebab saya tahu sebahagian besar mereka ini penggerak pentadbiran..kenapa mereka harus diheret dalam kancah politik sebegini. Kalau marah sekalipun jangan guna perkataan yang mengguris hati orang.
“Jadi saya nasihatkan supaya ada tindakan yang diambil oleh pihak yang berkenaan supaya perbuatan kurang ajar macam ini jangan berulang lagi. Kita tidak pilih pemimpin mana…dalam soal ini beliau kena bertanggungajwab,” katanya.
Rosnah yang juga  Timbalan Menteri Kerjaraya seterusnya menambah beliau terkejut dengan apa yang berlaku itu.
“Saya sangat terkejut mengenai perkara itu. Tentunya ramai yang marah termasuklah saya sendiri dan juga kakitangan awam lain tanpa beliau memikirkan sumbangan mereka ini kepada pentadbiran negara.
“Apa yang kita capai selama ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh mereka ini (penjawat awam). Jadi saya nasihatkan beliau kalau nak cari publisiti murahan janganlah sampai menyentuh hati…saya tengok ini tidak sepatutnya…pendekatan beliau itu tanpa memikirkan kesan,” ujarnya. 

Pengintipan Tidak Boleh Diterima – Ahmad Shabery

Pengintipan bukan satu perkara yang boleh kita terima terutama dalam kalangan negara yang dianggap sahabat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata adalah tidak wajar bagi sebuah negara untuk mengintip ‘perbualan’ sebuah negara sahabat atau berjiran, tidak kira sama ada ia membabitkan perkara yang sensitif atau tidak.
“Saya tidak menuduh sesiapa dalam perkara ini, Amerika Syarikat atau sebagainya… tapi secara prinsipnya, pada dasarnya tidak boleh untuk mereka berbuat demikian (mengintip),” katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Beliau berkata demikian semasa dirujuk mengenai laporan sebuah portal berita baru-baru ini mengenai dokumen rahsia yang dibocorkan oleh pemberi maklumat Amerika Syarikat, Edward Snowden, yang mendedahkan bahawa Singapura membantu kumpulan perisikan yang didakwa terbabit dalam aktiviti mengintip di Malaysia.
Pada Isnin, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata kerajaan sangat bimbang mengenai laporan dakwaan pengintipan oleh beberapa negara terhadap Malaysia dan pihaknya akan memanggil pesuruhjaya tinggi Singapura untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan itu.

Ekonomi Malaysia Antara Yang Paling Kukuh Di Rantau Ini

Ekonomi Malaysia merupakan antara yang paling teguh di rantau ini dengan permintaan domestik menjadi pemacu pertumbuhan utama di tengah-tengah perbelanjaan kukuh kerajaan.
Ketua Strategi Pelaburan dan Ketua Ekonomi AMP Capital, Shane Oliver berkata ini akan memastikan ekonominya akan terus menjadi antara yang paling dinamik di rantau ini.
“Saya menilai Malaysia sangat tinggi. Walaupun terdapat peluang besar di Indonesia dan Thailand, Malaysia akan sentiasa menonjol dari segi negara yang bertindak secara bersepadu dalam membangunkan negara,” katanya pada ABC News dalam satu temu ramah baru-baru ini.
Oliver berkata persekitaran pelaburan yang menggalakkan telah menyokong pengembangan kukuh ekonomi.
“Satu perkara yang anda nampak tentang Malaysia ialah keazaman untuk berjaya dan kita telah melihat ini selama 20 tahun sekarang.
kuala_lumpur_malaysia_maju_ekonomi
“Anda boleh berhujah politik dan semua perkara seperti yang lazimnya orang Barat lakukan tetapi apa yang penting ialah kerajaan Malaysia nampaknya telah menjalankan tugas yang amat baik dalam menarik pelaburan dan menyediakan persekitaran menarik bagi syarikat untuk datang melabur dan mengekalkan pertumbuhan,” kata Oliver.
Beliau berkata ekonomi Malaysia agak kukuh dengan pertumbuhan dijangkakan sekitar 4.5 peratus tahun ini.
Oliver berkata gelembung kredit isi rumah tidak dilihat memberikan risiko utama.
“Pandangan saya ialah sekiranya hutang berterusan meningkat maka ya ia akan menjadi satu kebimbangan.
“Kita bermula daripada asas agak rendah dan saya rasa kemungkinan masih jauh lagi sebelum kita terlalu bimbang dengan hutang isi rumah di Malaysia,” katanya.
Mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), Oliver berkata: “Saya rasa terdapat peluang baik ia akan dilaksanakan. Kerajaan menuju ke arah hala tuju ini kerana GST, walaupun tidak seluas seperti yang diharapkan oleh pakar ekonomi, ia masih cukai yang baik dari segi membawa masuk pendapatan tetapi tidak menyebabkan hereton ekonomi seperti yang boleh dibawakan oleh cukai pendapatan peribadi dan cukai korporat.
GST akan menggantikan sistem rumit pelbagai cukai jualan dan perkhidmatan sekarang dan manfaat utamanya menjadi lebih cekap dan mengembangkan asas cukai diharap dapat mengimbangi penurunan pendapatan minyak, katanya.

Kuasa Besar China Sokong Usaha Perdamaian dan Diplomatik Bersama UMNO

China yang menjadi antara kuasa besar dunia sentiasa menyokong usaha perdamaian dan hubungan diplomatik yang wujud antara parti apatah lagi apabila ia dapat memberikan sumbangan besar kepada negara dan rakyat di dalamnya,  kata Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), H.E. Sun Chunlan.
“CPC sentiasa menghargai jalinan yang wujud dengan UMNO dan menyokong usaha kepimpinan parti ini yang tidak pernah jemu dan terus berusaha memastikan kesinambungan kedaulatan, kebebasan dan perpaduan di Malaysia,” katanya dalam kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor malam tadi.
Ujarnya, CPC mengagumi perjuangan UMNO dalam mempromosikan perpaduan khususnya keharmonian dalam pelbagai kaum dan etnik dengan kesatuan dalam kepelbagaian.
“Sebagai parti politik yang terbesar di Malaysia, UMNO telah berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat di negara ini dengan pembangunan ekonomi nasional selain program-program jangka panjang yang sangat berkesan,” katanya.
Beliau turut mengimbas semula hubungan antara UMNO dan CPC berlangsung akrab sejak tahun 1994 yang kemudiannya membawa pertukaran delegasi antara kedua-dua parti untuk berkongsi pengalaman dalam soal politik pembangunan bagi diaplikasikan di negara masing-masing.
“Kita bukan hanya mahu berkongsi idea tetapi juga mempelajari struktur perkembangan UMNO yang telah berjaya membawa negara ini dikagumi d ipersada antarabangsa biarpun hidup dalam masyarakat yang pelbagai kaum.”
setiausaha-umno-malaysia-tengku-adnan-cpc-china-h.e-sunlan-komunis-2013
Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan turut melahirkan rasa gembira dengan hubungan yang terjalin dan menghargai usaha CPC yang sentiasa memberi sokongan terhadap UMNO khususnya dalam menjayakan Forum Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung dan saban tahun menjadi delegasi dalam perasmian persidangan tahunan UMNO.
“Tahun ini UMNO berdepan dengan cabaran besar dan berjaya melepasi rintangan yang ada sebagaimana pilihan raya umum yang berlangsung Mei lalu dan kemudiannya melaksanakan pemilihan UMNO yang julung kali melibatkan jumlah perwakilan yang sangat besar iaitu hampir 150,000 orang.
“Kita mahu menyediakan parti yang mempunyai struktur kukuh dengan organisasi mantap bagi diwariskan kepada generasi akan datang dengan menyediakan mereka kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, delegasi seramai 11 orang ini dalam rangka lawatan selama tiga hari ke Malaysia turut melakukan kunjungan hormat kepada Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen pada sebelah pagi.
Hubungan antara UMNO dan CPC telah dimetrai melalui memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua parti yang berlangsung dalam suasana harmoni di Bangunan Perhubungan Antarabangsa CPC, Beijing pada 4 Ogos 2010.
Menerusi memorandum itu juga UMNO dan CPC bersetuju mengembangkan hubungan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, hak kesamaan mutlak, saling menghormati dan bersetuju untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing.
Delegasi CPC adalah antara parti-parti politik yang akan bersama-sama dalam Forum Antarabangsa menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang bertemakan ‘The Politic of Moderation Accommodates and Balances Competing Principles That Leads to Peace and Stability’ pada 2-7 Disember ini. 

Tuesday, 26 November 2013

Pembangkang Pertikai Yayasan Selangor Hilang Pendapatan RM4.8 Juta Setahun

Seorang anggota pembangkang hari ini membangkitkan isu pengurusan Yayasan Selangor sehingga ia dikatakan hilang hasil sewaan bangunannya di Bukit Bintang Kuala Lumpur berjumlah RM4.8 juta setahun.
Sulaiman Razak (BN-Permatang) berkata bangunan komersil milik yayasan itu telah dikosongkan sejak dua tahun lepas untuk tujuan baikpulih tetapi difahamkan sampai sekarang “Development Order” daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih belum diperolehi.
Akibat daripada pengosongan bangunan itu, Yayasan Selangor kehilangan pulangan daripada sewaan bangunan sejumlah RM400,000 sebulan, katanya semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di persidangan dewan undangan negeri di sini.
Sulaiman turut menimbulkan isu 80 peratus daripada penyewa bangunan yayasan itu di Petaling Jaya telah keluar dari bangunan tersebut mengakibatkannya kehilangan pendapatan.
Beliau juga mempersoalkan status cadangan projek pembangunan baharu di tapak Asrama Tun Dr Ismail dan Toh Puan Norashikin di Kampung Pandan Kuala Lumpur yang telah dikosongkan.
Sehingga kini tiada pembangunan dijalankan atas tapak asrama itu dan bangunan asrama belum lagi dirobohkan, katanya.
Abdul Khalid tidak memberi jawapan tentang status pembangunan di tapak asrama itu tetapi berkata beliau akan mengarahkan kakitangan yayasan menyediakan laporan mengenai kemajuannya sejak 2008 untuk diedarkan kepada anggota-anggota dewan.
Bagaimanapun beliau berkata kini sejumlah 5,000 anak Selangor mendapat bantuan pelajaran Yayasan Selangor berbanding 2,000 sebelum ini.
Peruntukan pendidikan dari Yayasan Selangor juga telah ditingkatkan dari RM10 juta sebelum ini kepada RM30 juta sekarang, katanya.
Mengenai status bangunan komersil Yayasan Selangor, Abdul Khalid berkata yayasan terpaksa mengeluarkan semula tender membaik pulih bangunan itu.
Bercakap kepada pemberita di luar sidang dewan, Abdul Khalid diminta member penjelasan lanjut tentang isu membaik pulih bangunan yayasan itu.
Katanya, projek membaik pulih itu telah ditender semula bagi mendapatkan kos  kontrak yang lebih baik.
“Kita tender semula dan dapatkan harga lebih baik. Harga lebih baik ini akan menampung ‘opportunity cost’ sewaan setahun (bangunan) itu,” katanya.