Nuffnang Ads

Thursday, 20 March 2014

MH370: Inikah dia?

Apakah misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang ghaib daripada radar sejak 8 Mac lalu akan mula terjawab hari ini — pada hari ke-13 usaha mengesannya?

Apakah objek yang dikesan oleh satelit di selatan Lautan Hindi adalah bahagian daripada pesawat Boeing 777-200 itu? Apakah petunjuk kali ini betul dan tidak seperti beberapa petunjuk sebelum ini yang kemudiannya disahkan tidak betul?

Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengetuai misi mencari pesawat yang hilang itu di jalur selatan dengan kerjasama Angkatan Tentera Australia, Tentera Udara New Zealand dan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Awal hari ini, ia menerima imej satelit yang menunjukkan dua objek yang boleh jadi ada kaitan dengan pesawat yang dicari itu.

"Ini satu petunjuk. Ini mungkin petunjuk yang terbaik yang ada setakat ini," kata Ketua Pengarah Bahagian Kecemasan AMSA, John Young dalam satu sidang media yang jadi perhatian dunia tengahari tadi.

map sar aussie 1
Pelan rancangan laluan NTSB dalam misi SAR MH370

Satu daripada objek itu dikatakan berukuran 24 meter panjang. Objek yang kedua itu lebih kecil. Apakah ini bahagian daripada pesawat MH370? Boleh jadi ya, boleh jadi tidak.

Semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari di jalur selatan itu kemudiannya mengerahkan pesawat dan kapal laut masing-masing ke kawasan carian yang terletak lebih kurang 2,500 kilometer ke barat daya Perth. Sesetengahnya sudah tiba dan beberapa lagi akan sampai dalam waktu yang terdekat.

Sebuah pesawat tiba di kawasan itu pada pukul 10.50 pagi tadi waktu Malaysia. Lima buah pesawat dijadual tiba pada pukul 12 tengahari manakala dua buah pesawat lagi berlepas ke kawasan itu pada pukul 3 petang dan 5 petang.

Sebuah kapal dagang yang kebetulan ada dekat kawasan itu juga menyahut seruan untuk menyertai operasi. Ia dijangka tiba pada pukul 3 petang.

Malaysia sebelum ini mengirimkan dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) -- KD Kelantan dan KD Selangor untuk menyertai operasi di jalur selatan.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyampaikan perkembangan terbaru ini pada pukul 10 pagi tadi. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga diberikan taklimat sama oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia.

"Setakat ini, pihak berkuasa Australia masih belum memastikan apakah objek berkenaan ada kaitan dengan misi mencari MH370," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan.

map sar aussie 2
Pelan pencarian yang dirancang untuk 19 Mac 2014

Usaha mengesan objek yang dirakamkan oleh satelit itu bukan mudah. Jarak penglihatan di kawasan berkenaan dilaporkan tidak begitu baik biarpun cuaca dilaporkan sederhana. Tetapi setakat ini dunia diberitahu bahawa "inilah petunjuk terbaik".

Beberapa petunjuk sebelum ini terbukti tidak betul dan pada suatu ketika disifatkan sebagai membantutkan tumpuan usaha mencari dan menyelamat. Ada tompokan minyak yang dijumpai di Laut China Selatan yang kemudiannya disahkan bukan daripada pesawat. Ada objek yang dikesan oleh pihak berkuasa Vietnam yang kemudiannya didapati tidak ada kena-mengena dengan pesawat MH370. Ada juga imej satelit yang dikeluarkan oleh China yang kemudiannya diumumkan sebagai "telah tersilap edar". Terakhir, penduduk di Maldives mendakwa melihat pesawat terbang rendah pada pagi kejadian. Itupun tidak benar serta dinafikan oleh tentera dan pihak berkuasa penerbangan Maldives.

Tetapi apakah imej satelit yang diterima oleh pihak berkuasa di Australia ini akan memberikan kita gambaran awal apa yang sebenarnya terjadi kepada pesawat MH370?

"Kita perlu sampai ke sana terlebih dulu, cari (objek itu), lihat dan nilai untuk mengetahui apakah ia bermakna atau tidak," kata Young.

map sar aussie 1
Pelan pencarian yang dirancang untuk 19 Mac 2014

Beliau juga memberi dua peringatan: usaha mencari objek yang dirakamkan oleh satelit itu tidak mudah dan kalau ditemui nanti, ia mungkin tidak ada hubung kait dengan pesawat MH370.

Tetapi setakat hari ini — pada hari ke-13 — operasi mengesan pesawat MH370 yang hilang dengan penuh misteri mendapat petunjuk baru. Adakah ini harinya — selepas kita menunggu selama hampir dua minggu khabar berita pesawat yang hilang itu? Apakah ini yang dicari-cari sejak 8 Mac lalu?

Malaysia kerahkan aset untuk sahkan objek yang dikesan - Hishammuddin

Pesawat dan kapal telah dikerahkan untuk mengesahkan objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bercakap kepada pemberita sebelum mesyuarat delegasi Australia di Hotel Sama - Sama di sini, beliau berkata maklumat itu merupakan petunjuk baru dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang masuk hari ke-13 pada Khamis.

"Seperti yang saya telah lakukan dari hari pertama, kita mengikuti setiap perkembangan. Harap-harap ini merupakan satu perkembangan positif," kata beliau sambil menambah bahawa ia adalah terlalu awal untuk mengesahkan di mana serpihan itu ditemui.

Ditanya apa jenis serpihan telah dijumpai dan berapa lama ia akan mengambil masa untuk mengesahkan ia, Hishammuddin berkata: "Kita tidak akan tahu, pesawat dan kapal telah dikerahkan"

Kawasan carian untuk carian Australia telah dikurangkan kepada 300,000 kilometer persegi daripada 600,000 kilometer persegi.

"Seperti yang telah kita lakukan dengan imej daripada satelit China dan serpihan lain yang beberapa petunjuk lebih awal. Kami menggunakan format yang sama."

Hishammuddin enggan mendedahkan maklumat apa yang telah diberikan oleh kerajaan Australia.

Hari ini, Perdana Menteri AustraliaTony Abbotmemaklumkan kepada parlimen negara tersebut mengenai penemuan dua imej satelit bersaiz24 meteryang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air berkemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) itu dalam penerbangan ke Beijing dilaporkan hilang sejak awal pagi Sabtu dan masih belum ditemui sehingga hari ini.

Perkongsian maklumat ketenteraan terbatas atas dasar keselamatan

Perkongsian maklumat ketenteraan antara negara-negara kadangkala terdapat halangan tertentu seperti soal keselamatan berkaitan pertahanan sesuatu negara.

Mantan Panglima Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Tan Sri Suleiman Mahmud berkata namun begitu, maklumat ketenteraan ini masih perlu dikongsi terutama dalam krisis kemanusiaan atau insiden seperti kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370.

"Sudah tentu ada batasannya dalam perkongsian maklumat ketenteraan ini namun dalam krisis besar seperti kehilangan pesawat MH370 yang juga melibatkan nyawa manusia, terdapat kelonggaran di mana negara-negara yang terlibat lazimnya lebih bersedia berkongsi maklumat-maklumat tertentu dengan Malaysia." kata Suleiman ketika ditemui Astro AWANI.

Beliau yang menjawat jawatan tertinggi dalam TUDM itu antara 12 Jun 2001 hingga 3 Mac 2003, menambah bahawa negara-negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei mempunyai jaringan hubungan ketenteraan yang sangat utuh dengan Malaysia.

Melalui persefahaman bersama ini juga, maka wujud pakatan-pakatan bilateral terutamanya dalam aspek latihan ketenteraan bersama seperti latihan Malindo (Malaysia dan Indonesia), Air Thamal (Malaysia dan Thailand) dan sebagainya. 

Selain itu,  Malaysia juga mempunyai perjanjian atau pakatan bilateral di bidang Mencari dan Menyelamat (SAR), yang bukan ketenteraan,  dengan Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei.

Meskipun negara tidak boleh mendedahkan informasi yang terdapat melalui radar ketenteraan tetapi disebabkan perkara ini melibatkan mencari dan menyelamatkan pesawat yang juga melibatkan nyawa penumpang-penumpang, maka maklumat tertentu boleh dikongsikan, asalkan ianya tidak menjejas keselamatan (security) negara.

"Menerusi pakatan bilateral dengan Negara-Negara ASEAN ini, sebarang maklumat yang diperlukan akan dikongsi menggunakan medium dan jaringan (networking) yang sedia terjalin, terutamanya apabila kita mengkehendaki bantuan kemanusiaan," ujarnya.

"Kita mempunyai jawatankuasa mencari dan menyelamat bersama namun ianya dicapai tidaklah secara menyeluruh kerana ianya lebih banyak berbentuk hubungan bilateral seperti Malaysia dan Indonesia, Malaysia dan Singapura dan seterusnya," tambah beliau.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata

"Perkongsian maklumat ketenteraan antara negara-negara yang terlibat terutamanya dalam misi pencarian pesawat MH370 ini adakalanya menjadi sukar dan tidak dikongsikan dengan awal kepada Malaysia berkemungkinan kerana pihak tentera negara-negara yang terbabit ini harus melihat dengan teliti objek yang melintasi radar mereka itu adakah benar-benar ianya pesawat MH370," katanya.

Namun begitu, informasi awal yang mampu dikongsikan kepada Malaysia dalam isu tersebut selalunya akan dinyatakan dalam bentuk umum.

"Sebagai contoh, mereka akan memberitahu bahawa ada objek atau pesawat melintasi radar mereka pada hari dan jam tertentu dan begitu juga maklumat terkini MH370 yang mengatakan terdapat pesawat yang terbang rendah di Maldives, maklumat tersebut hanya setakat itu dan tidak dipastikan kesahihan bahawa ianya adalah pesawat MH370," kata Abdul Rahman lagi.

Maklumat-maklumat ini agak rahsia dan lazimnya dikongsi sesama tentera sahaja dan tidak dihebahkan kepada umum.

Objek sepanjang 24 meter mungkin sayap pesawat Boeing 777

Objek sepanjang 24 meter yang dikesan satelit di kawasan selatan Lautan Hindi berkemungkinan sayap pesawat Boeing 777-200ER, kata penganalisis.

Penganalisis Kejuruteraan Penerbangan, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata jika spesifikasi 24 meter yang dikesan satelit ia berkemungkinan dari badan atau sayap pesawat.

Namun, katanya yang paling munasabah dengan saiz atau panjang itu ialah sayap Boeing 777.

"Difahamkan saizdebrisyang dikesan ialah sepanjang 24 meter, kalau spesifikasi itu ia mungkin datang dari badan atau sayap Boeing 777.

"Dengan saiz 24 meter itu yang paling munasabah ialah sayap Boeing," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dr Shamsuri juga berkata, jika debris bersaiz atau panjang 24 meter ditemui ia menandakan pesawat itu melakukansoft landing.

"Mana-mana pesawat, tidak kira Boeing atau tidak, jika seripihannya 24 meter, ia memberi petanda berlakusoft landingsebab ia tidak berkecai. Kalau ia terhempas dari satu ketinggian ia akan berkecai," katanya.

Hari ini, Perdana Menteri AustraliaTony Abbotmemaklumkan kepada parlimen negara tersebut mengenai penemuan dua imej satelit bersaiz 24 meter yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air berkemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) itu dalam penerbangan ke Beijing dilaporkan hilang sejak awal pagi Sabtu dan masih belum ditemui sehingga hari ini.




Cukup-cukuplah Keadilan Untuk Anwar… Keadilan Penduduk Kajang Bagaimana?

Cukup-cukuplah keadilan untuk Anwar… keadilan untuk penduduk Kajang yang menjadi pengundi bagaimana? Apakah makna keadilan untuk Anwar sedangkan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang adalah untuk memilih wakil rakyat yang berkhidmat untuk penduduk setempat, kata Bekas Setiuasaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari.
Beliau seterusnya mempersoalkan apakah layak mereka melaungkan soal keadilan sedangkan harapan pengundi yang memberikan mereka mandat pada pilihan raya umum lalu dipandang sebelah mata setelah dengan mudah mengosongkan kerusi berkenaan.
“Inikah yang dipanggil keadilan? Sudah-sudahlah tu…tak malukah mereka bercakap soal keadilan untuk Anwar di Kajang ini sedangkan seperti yang disebutkan di atas, pilihan raya ini untuk memilih wakil rakyat.
“Apa signifikannya bercakap soal sedemikian.. apa signifikannya melaung-laungkan soal itu di sini sedangkan seperti yang semua tahu DUN Kajang dikosongkan sewenang-wenangnya.
“Sebab itulah saya ingin sarankan sudah-sudahlah…takkan nak jaja lagi perkara yang sama. Janganlah jadikan penduduk Kajang ini mangsa keadaan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau seterusnya menambah sepatutnya kerajaan negeri di bawah pimpinan mereka perlu mencari sesuatu yang baru untuk manfaat penduduk Kajang dan rakyat Selangor amnya.
“Baru saja menang dan memerintah kerajaan negeri untuk penggal kedua.. sepatutnya itu diutamakan dan bukannya permainan politik yang tak sudah-sudah sepertimana yang berlaku di Kajang ini.
“Harap pengundi dapat melihat soal ini kerana pilihan raya DUN Kajang untuk memilih wakil rakyat mereka dan bukannya untuk sesiapa apatah lagi keadilan untuk Anwar,” ujarnya.

Dua objek dipercayai milik pesawat MH370 ditemui, kata PM Australia

Dua objek yang mungkin berkait rapat dengan pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac, telah dijumpai, kata Perdana Menteri Australia Tony Abbot.

Menurut laporan AFP, pesawat P-3 Orion milik Australia telah dihantar ke kawasan di mana objek itu kelihatan.

Australia mengetuai pasukan pencarian di bahagian selatan Lautan Hindi.

Abbot berkata pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia telah menerima maklumat tersebut berdasarkan maklumat yang diterima daripada satelit.

"Berikutan analisis pakar imej satelit ini, dua objek mungkin berkaitan dengan pencarian telah dikenal pasti." katanya di Parlimen negara itu.

The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa Abbot telah memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara ini.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia dijangka mengadakan sebuah sidang media pada pukul 12.30 petang waktu Malaysia.

Tawaran DAP Pada Calon BN Satu Rasuah Politik – Othman Abdul

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul menyifatkan tawaran  yang diberikan oleh ahli jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Datuk Teng Chang Khim kepada calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai satu rasuah politik.
Menurut beliau, sebelum ini DAP seringkali mengatakan bahawa UMNO mengamalkan rasuah politik namun hari ini secara terang-terang  bahawa parti tersebutlah yang sebenarnya mengamalkan rasuah, apabila menawarkan jawatan sebagai ahli majlis negeri kepada calon BN dengan syarat beliau meletakkan jawatan dan memberikan kemenangan kepada calon PKR.
Jadi ini menunjukkan juga bahawa DAP mengamalkan rasuah politik secara jelas, apabila membuat kenyataan secara terbuka dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar dengan menawarkan jawatan-jawatan tertentu sekiranya calon BN menarik diri daripada bertanding.
Sebelum ini menurut beliau, mereka sebelum ini begitu lantang menuduh UMNO sebuah parti rasuah,  tetapi hari ini jelas ianya merupakan satu tuduhan yang tidak betul.
“Tetapi apa yang mereka lakukan ini, membuat tawaran jawatan kepada calon BN sekiranya menarik diri dari bertanding amat nyata sekali merupakan satu rasuah politik dan ini jelas ianya adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan pilihanraya,” tegasnya.
Justeru itu, beliau menasihati semua pengundi di DUN Kajang mestilah melihat calon yang boleh berkhidmat dan mempunyai rekod yang baik.
“Bukannya dengan memilih calon PKR yang hanya mewakili suaminya untuk bertanding di DUN Kajang ini. Apakah tidak ada anak tempatan dari rakyat Kajang yang muda dan lebih berpengaruh di dalam PKR? Tetapi ini tidak berlaku kerana ternyata PKR mengamalkan politik keluargaan.
“Jadi adalah lebih baik pengundi di sini memberikan undi mereka kepada calon BN yang insyaAllah pastinya dapat memberikan bantuan dan perkhidmatan yang baik untuk menyelesaikan permasalahan rakyat di DUN ini,” ujarnya.