Nuffnang Ads

Tuesday, 20 May 2014

Presiden Gerakan Calon BN Bagi PRK Teluk Intan – Muhyiddin

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, 53, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, 31 Mei ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan perkara tersebut berkata bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu adalah pilihan yang sesuai kerana telah lama berkecimpung dalam politik dan mengenali hati pengundi di kawasan itu.
“Walaupun pada pilihan raya (umum) lepas beliau mengalami kekalahan, (dan) saya fikir ini adalah kebangkitan semula parti Gerakan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon BN serta melancarkan jentera BN bagi PRK Parlimen Teluk Intan di sini, hari ini.
Mah-Siew-Keong-Presiden-Gerakan-PGRM-Calon-BN-PRK-Telok-Intan-Perak
Mah, anak jati Teluk Intan pernah menjadi anggota Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004.
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah lulusan ijazah sarjana muda sains dari London School of Economic dan sarjana dalam bidang pembuatan dari City University London, serta ijazah perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Muhyiddin berharap lebih 60,000 pengundi di Parlimen Teluk Intan akan memberi peluang kepada Mah untuk menjadi wakil mereka kerana beliau adalah calon tempatan yang dikenali dan mengetahui isu dan permasalahan penduduk kawasan itu.
“Kita percaya di peringkat negeri di bawah pimpinan Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) adalah lebih mudah jika wakil rakyat daripada BN.
“(Jika) Mah di peringkat Parlimen, hubungan dengan kerajaan pusat akan akrab, ini akan memberi kelebihan kepada beliau untuk atasi masalah penduduk di sini,” katanya.
Ditanya mengenai peluang BN merampas kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP yang menang dengan majoriti 7,313 undi pada Pilihan Raya Umum 2013, Muhyiddin berkata: “Saya rasa kalau semua anggota BN bergerak untuk menemui setiap pengundi, kita yakin boleh mencapai kemenangan.”
Beliau berkata BN mengetahui kekuatan serta kelemahan di setiap pusat daerah mengundi berdasarkan keputusan pilihan raya umum lepas.
“Kita letakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu sasaran realistik supaya jentera parti yang bergerak di setiap peringkat tahu apa matlamatnya dan berapa ramai pengundi harus mereka dapatkan di kawasan itu,” katanya.
Ditanya mengenai sokongan pengundi Cina, Muhyiddin berkata BN berharap akan berlaku berubahan yang ketara seperti PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
“(Di DUN Kajang) sudah ada anjakan positif dari sokongan masyarakat Cina kepada kepimpinan MCA yang baharu di bawah Liow (Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai), saya jangka hal yang sama akan berlaku di sini, walaupun tahu itu satu cabaran,” katanya.
Berhubung DAP yang meletakkan calon wanita, Dyana Sofya Mohd Daud pada PRK Teluk Intan, Muhyiddin berkata: “Saya tidak mahu perkecilkan calon mereka. Nanti ada pihak kata kita menidakkan kaum wanita,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata PRK ini sekali lagi akan menjadi platform pembangkang untuk membuat tohmahan termasuk membangkitkan isu seperti ekonomi, kos sara hidup dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP).
Muhyiddin berkata semua perkara yang akan dibangkitkan oleh pembangkang akan dijelaskan secara terperinci kepada rakyat supaya mereka tidak terpedaya dengan helah pembangkang.
Beliau berharap dalam tempoh yang singkat ini, jentera BN dapat bergerak sepanjang masa bagi memastikan kemenangan calon yang dipilih.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei ini dengan disusuli pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei. 

Raja Perlis Mahu Rakyat Lakukan Perubahan Sikap, Terapkan Mentaliti Kelas Pertama

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah supaya rakyat Perlis fokus kepada perubahan sikap dan budaya kerja dengan menerapkan mentaliti kelas pertama untuk memajukan negeri seiring Wawasan 2020.
Raja-Perlis-Sultan-Tuanku-Syed-Sirajuddin-ibni-Tuanku-Syed-Putra-Jamalullail
Baginda bertitah cita-cita kerajaan negeri agar Perlis maju seiring dengan Wawasan Perlis Maju 2015 dan negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 tidak akan menjadi kenyataan tanpa komitmen rakyat.
“Beta menyeru rakyat Perlis agar leibh fokus terhadap sikap, budaya kerja dan pemikiran. Janganlah menolak pembangunan kerana takut kehilangan rezeki secupak. Lihatlah implikasi baik pembangunan tersebut,” titah baginda pada sambutan ulang tahun ke-71 keputeraan baginda di Istana Arau di sini, hari ini.
Baginda berkenan menganugerah darjah kebesaran dan pingat negeri Perlis kepada 243 orang. Daripada jumlah itu, 30 orang menerima anugerah tersebut dalam satu istiadat di Balai Rong Seri Istana Arau hari ini.
Tuanku Syed Sirajuddin turut mengenang tragedi Malaysia Airlines MH370 dan meminta rakyat menerimanya sebagai pengajaran supaya leibh memahami erti kehilangan, kesabaran, kekuatan mental dan fizikal serta perpaduan.
“Tragedi ini tidak sekadar memperlihatkan kekuatan dalam negara malahan bantuan negara luar yang turut bersatu merungkai misteri tragedi tersebut.
“Di kesempatan ini beta menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh ahli keluarga para penumpang dan anak-anak kapal pesawat. Marilah kita terus berdoa agar segala persoalan terjawab. Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah Perlis sanggup menggalas cabaran sebagai tuan rumah Sukan Malaysia ke-17 dari 24 Mei hingga 4 Jun ini walaupun Perlis cuma negeri kecil.
“Pencapaian 41 daripada 53 indikator atau 77.36 peratus ‘Wawasan Perlis Maju 2015′ menggambarkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan kerana 53 indikator itu merangkumi tujuh elemen pembangunan holistik. Kini tinggal satu sahaja elemen pelangkap untuk memenuhi wawasan yang merupakan pencapaian membanggakan,” titah baginda.
Baginda turut berpesan supaya agensi kerajaan beroperasi dengan efisien, meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan sumber manakala rakyat memperkukuhkan perpaduan dan menunaikan tanggungjawab dengan mematuhi undang-undang, membayar cukai serta zakat kepada pihak berwajib. 

Friday, 16 May 2014

Najib Lahirkan Penghargaan Buat Warga Pendidik

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan penghargaan kepada semua warga pendidik atas sumbangan yang mereka curahkan dalam mendidik anak bangsa.
Beliau mengakui guru memikul beban melahirkan pelajar berilmu dan berkebolehan, yang bersedia untuk mewarisi perjuangan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Tanggal 16 Mei setiap tahun, Hari Guru disambut di seluruh negara bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru yang telah bersusah payah memerah keringat mendidik anak bangsa dan mendorong mereka ke arah menjadi insan cemerlang dalam apa jua lapangan yang diceburi.
“Kita berterima kasih kepada guru yang yang begitu banyak berjasa, berkorban masa dan tenaga dan tidak pernah jemu melaksanakan tanggungjawab mereka yang besar ini,” katanya dalam catatan di laman blog www.1malaysia.com.my sempena sambutan Hari Guru hari ini.
Perdana menteri berkata tugas dan tanggungjawab yang digalas warga pendidik  amat berat dan mencabar, justeru mereka wajar dihargai.
“Bagi pihak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia, Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua warga pendidik atas sumbangan mereka yang tidak ternilai demi kemakmuran bangsa dan tanah air. Terima Kasih Cikgu,” kata Najib.

Profesionalisme, Kualiti Guru Perlu Ditingkatkan Untuk Hadapi Saingan Global – Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peningkatan profesionalisme dan kualiti guru harus diutamakan dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam system pendidikan.
Beliau berkata ini sejajar dengan tugas dan tanggungjawab besar yang terletak di bahu guru dan tuntutan komitmen tinggi bagi melahirkan insan yang berjaya termasuk pemimpin negara.
“Sememangnya menjadi guru dewasa ini tidak semudah yang disangka. Guru perlu sentiasa menambah nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen perubahan dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan negara kita.
muhyiddin-menteri-pendidikan-nutp-pbs-pmr-pt3-baru
“Guru yang hebat mendidik pelajar sehingga menjadi pemimpin. Guru yang sederhana membimbing kita menempuh laluan itu namun guru yang hebat mengilhamkan kita untuk mencari laluan kita sendiri. Mereka menggalakkan kita untuk menyerlahkan bakat masing-masing,” katanya.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata demikian ketika melancarkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-43 dengan tema ‘Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi’ di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan I dan II Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan selain ribuan warga pendidik.
Ke arah meningkatkan profesionalisme dan kualiti guru tempatan, Muhyiddin berkata kementerian akan memantapkan latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) membabitkan kursus dalam program pendidikan yang turut memberi penekanan terhadap kreativiti dan inovasi.
“Elemen inovasi turut diberi tumpuan melalui Program Diploma Perguruan (PDP) merangkumi pembentangan, projek, pembinaan sumber, pertandingan inovasi bagi pendidikan lestari dan pembelajaran atas talian.
“Pembudayaan inovasi di IPG juga dimantapkan dengan penganjuran program berunsur inovasi di peringkat IPG kampus,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata 566 sekolah rendah telah menerima Anugerah Tawaran Baharu Guru Besar kerana berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing melepasi sasaran prestasi tahun lepas.
Ia merangkumi 209 sekolah bandar, 302 sekolah luar bandar dan 55 sekolah pedalaman.
“Ini menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian bagi tahun 2012 iaitu 180 sekolah bandar dan 280 sekolah luar bandar yang menerima anugerah ini,” katanya.
Pada majlis itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Kebangsaan manakala bekas Pengetua Cemerlang, Tengku Azuan Tengku Mohamed dinamakan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan.
Bekas guru Matematik yang mengajar Muhyiddin di Sekolah Tinggi Muar, Yusuf Karto, 80, didatangkan khas dalam penampilan istimewa selain diraikan dalam jamuan tengah hari sempena majlis itu.

Malaysiakini Diberi Notis Tuntutan Saman Berhubung Laporan Berunsur Fitnah

Penguambela dan Penguamcara Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini menghantar notis tuntutan saman kepada portal berita pembangkang, Malaysiakini, di atas penerbitan artikel yang berunsur fitnah yang bertajuk A Case Of The PM Reaping What He Sows dan How Much Will Najib Spend To Keep Terengganu.
Menurut wakil Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, peguambela Raihanah Ariffin, notis tuntutan saman tersebut telah dihantar ke pejabat operasi Malaysiakini yang bertempat di Jalan Bangsar Utama  petang tadi.
najib-umno-saman-portal-mkini-malaysiakini-portal-pembangkang-fitnah-kes-mahkamah-peguam-terengganu-bn
“MKINI DOTCOM Sdn Bhd melalui portal beritanya, Malaysiakini secara sedar telah mengumpul dan memilih komen-komen yang berunsur fitnah dan hasutan yang jelas menunjukkan niat jahat terhadap anakguam kami dan telah diterbitkan di laman web tersebut bertarikh 14 Mei 2014 baru-baru ini.
“Biarpun pada awalnya wakil daripada portal berita tersebut berkeras tidak mahu menerima notis tersebut, namun akhirnya mereka akur dan menerimanya,” jelasnya di sini hari ini.
Kata Raihanah, notis tuntutan itu menuntut portal tersebut untuk membuat permohonan maaf, penarikan balik artikel, menyediakan akujanji bertulis tidak akanmengeluarkan lagi sebarang kenyataan terhadap UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak, menyediakan akujanji akan lebih berhati-hati untuk menerbitkan semula komen pengguna secara amnya serta membayar ganti rugi serta kos perbelanjaan dalam perkara ini.
“Segala tuntutan yang dibuat oleh anakguam kami itu hendaklah dipenuhi oleh portal berita Malaysiakini dalam tempoh masa 48 jam dan sekiranya mereka gagal, maka kami akan meneruskan prosiding mahkamah bagi permohonan memfailkan injunksi bagi menghalang sebarang penerbitan lanjut berhubung isu  tersebut terhadap Malaysiakini,” jelasnya.
Turut menerima notis tuntutan saman itu ialah Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan juga Ketua Editor, Steven Gan kerana telah membenarkan artikel tersebut diterbitkan.
pejabat-portal-pembangkang-mkini-malaysiakini-fitnah-saman-rasis-diskriminasi-bias-anwar-pakatan

Tiada Sebarang Tindakan Terhadap Ahmad Said, 2 ADUN Terengganu

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu termasuk Ahmad kerana keluar UMNO dan kemudian kembali dalam masa singkat.
krisis-mb-terengganu-setiausaha-agung-kerja-umno-bn-tengku-adnan-abu-khamis-ab-rauf-yusoh-media-wartawan
“Pada saya isu itu sudah selesai setelah mereka menarik semula keputusan  dan kekal sebagai Adun. Jadi tiada masalah,” katanya selepas merasmikan prapelancaran Festival Bunga dan Taman Putrajaya.
Tindakan Ahmad keluar parti telah disusuli Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata anggota UMNO dan Barisan Nasional (BN) begitu menyedari perjuangan UMNO dan BN merupakan perjuangan tulen demi masa depan bangsa, agama dan negara.
“Mereka tidak akan sanggup mengkhianati parti. Ini jiwa kita dalam UMNO dan BN. Memang ada sedikit sebanyak pergeseran seperti pinggan mangkuk, berbunyi juga, tetapi akhirnya bertaut semula,” katanya.

Wanita BN Kekalkan Strategi Tradisi ‘Rumah Ke Rumah’

Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk kembali ‘menakluki’ Parlimen Teluk Intan sekaligus menepis dakwaan kononnya kawasan itu kubu pembangkang, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata ini berdasarkan analisis pergerakan itu terhadap keputusan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, Sungai Limau dan Kajang yang menunjukkan berlaku peningkatan sokongan para pengundi kepada BN termasuk kawasan peti undi yang diandaikan milik pembangkang.
“Analisis yang merekodkan trend positif itu terus menjadi semangat dan kekuatan kepada Pergerakan Wanita BN untuk bekerja keras bagi merealisasikan kemenangan parti untuk kerusi Parlimen Teluk Intan,” katanya sebelum bermesyuarat bersama-sama jentera Wanita BN Parlimen Teluk Intan di sini hari ini.
shahrizat-noraini-lawat-changkat-jong-prk-teluk-intan-wanita-umno-bn-perak
Bagi menghadapi cabaran di Teluk Intan, beliau berkata Wanita BN mengekalkan strategi tradisi yang menjadi kekuatan mereka untuk meraih sokongan pengundi iaitu melalui pendekatan turun ke setiap rumah serta sentuhan dari hati ke hati.
Pendekatan itu digerakkan jentera Wanita BN bukan hanya untuk mendapat sokongan golongan wanita malah ia juga berkesan untuk semua lapisan pengundi, katanya.
“Sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, Wanita BN tidak pernah mengamalkan sikap sambil lewa. Kami tetap terus pergi rumah ke rumah dan bercerita mengapa pemilih patut mengundi BN…sentuhan Wanita ini adalah nadi BN,” katanya.
Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata BN berharap pengundi memberi peluang kepada parti itu di Teluk Intan selepas pembangkang yang cuba membawa perubahan gagal menunaikan janji mereka.
Beliau berkata kemenangan BN di Teluk Intan merupakan kesinambungan kemantapan kerajaan negeri dan pusat yang dipimpin oleh parti itu.
“Pengundi di Teluk Intan memerlukan kepimpinan BN kerana banyak janji pembangkang yang tidak ditunaikan. Ini peluang kepada masyarakat Teluk Intan untuk menentukan janji pembangunan pembangkang itu diambil alih oleh BN,” katanya.
Pilihan raya kecil Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Pada pilihan raya umum Ke-13, Seah menewaskan calon BN Datuk Mah Siew Keong dan calon Bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei disusuli dengan hari pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.