Nuffnang Ads

Thursday, 22 May 2014

Pas ‘Double Standard’ Ajak Sokong Calon Islam Di Teluk Intan Tapi Tolak Di Bukit Gelugor

Pas tidak seharusnya ‘double standard’ berhubung pemilihan calon antara Islam dan bukan Islam pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan memandangkan perkara tersebut tidak pula dicanang pada kempen pilihan raya kecil di Bukit Gelugor.
“Ianya mula dimainkan oleh pemimpin Pas di Parlimen Teluk Intan untuk mengajak rakyat dan pengundi di sini untuk mengundi Calon DAP, Dyana Sofea memandangkan dia seorang Islam berbanding memilih calon BN, Datuk Mah Siew Keong yang bukannya beragama Islam.
“Kita mengambil contoh apa yang berlaku di Bukit Gelugor sekarang apabila ada ahli Pas sendiri bertanding di Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor, dia seorang Islam yang bernama Mohamed Nabi Bux, namun apabila bertanding di Parlimen Bukit Gelugor, dia tidak mendapat sokongan sahabat-sahabatnya dari Pas sendiri,” kata  Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ustaz Fathul Bari  Mat Jahaya.
Beliau persoal lagi ini kerana sahabat-sahabatnya dari Pas menyokong anak Karpal Singh bernama RamKarpal.
“Mereka sokong anak Karpal Singh berbanding Nabi Nux sedangkan Nabi Nux itu membawa misinya mempertahankan hudud dan nak bawa hudud.
“Mengapa di sana, isu seperti ini tidak dimainkan, mengapa kamu memilih orang bukan Islam, mengapa kamu tidak memilih orang Islam?,” ujarnya ketika menyampaikan Ceramah Perdana di Kampung Selabak, Teluk Intan malam tadi.
Tambah beliau lagi Pas sepatutnya konsisten dalam isu ini.
“Kadang-kadang orang guna nas, guna ayat Al-Quran, guna Hadis untuk memberi kepentingan sahaja.
“Cukup kepentingan dia, sesuai dengan hawa nafsu dia, dia akan guna. Kalau tak sesuai, ‘ini kita simpan’. Macamlah ayat Al-Quran itu tak terpakai di Bukit Gelugor Pulau Pinang, tapi terpakai di Teluk Intan. Hadis itu terpakai di Teluk Intan, tapi tak terpakai di Bukit Gelugor. Tak boleh macam itu.
“Jangan buat agama macam itu. Agama itu bukan macam capati, nak makan makan tak nak makan, sudah. Jadi saya minta tolong pada sahabat dalam Pas, jangan main isu ini,” katanya.

Calon Melayu Nyiru Untuk Tutup Sikap Rasis, Cauvinis, Tentangan Hudud DAP

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata bahawa tindakan DAP meletakkan calon Melayu di dalam Pilihanraya kecil (PRK) Teluk Intan ini adalah semata-mata untuk menutup sikap dan pendirian DAP yang rasis serta mahu menenggelamkan penentangan sikap dan pendirian kepimpinan DAP terhadap isu hudud yang dibawa oleh sekutu mereka, Pas.
Menurut beliau, DAP sedar bahawa isu penentangan mereka terhadap perlaksanaan hudud merupakan satu isu besar yang boleh menjadi punca hilangnya sokongan rakyat khususnya pengundi Melayu di kawasan tersebut kepada DAP.
“Jadi untuk menutup isu tersebut, serta juga mahu  melenyapkan persepsi negatif rakyat berhubung pertelagahan mereka dengan parti Pas berhubung isu perlaksanaan hudud ini, maka DAP bermain muslihat  dengan meletakkan calon Melayu di dalam PRK ini.
“Mereka tahu, sekiranya DAP meletakkan calon bukan Melayu, mereka tidak akan mendapat sokongan daripada pengundi Melayu ekoran penentangan keras kepimpinan DAP terhadap hudud,” ujarnya di sini hari ini.
Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa strategi DAP meletakkan calon Melayu pada PRK Teluk Intan ini adalah semata-mata untuk mengaburi pandangan rakyat terutama di kalangan pengundi Melayu berhubung pendirian dan ideologi rasis dan cauvinis yang menjadi pegangan parti tersebut selama ini.
“Dyana Sofya merupakan umpan DAP untuk membuktikan bahawa kononnya parti tersebut tidak rasis dan terbuka untuk semua kaum. Tetapi apa yang perlu difahami oleh rakyat, khususnya pengundi di parlimen Teluk Intan ialah, ideologi dan prinsip hak kesamarataan serta gagasan Malaysian Malaysia yang menjadi perjuangan DAP juga merupakan prinsip politik dan perjuangan calon DAP tersebut, biarpun beliau berbangsa Melayu.
“Dalam masa yang sama, saya juga  menganggap tindakan DAP meletakkan calon Melayu ini adalah sebagai satu signal ataupun sindiran kepada Pas, bahawa parti tersebut mampu untuk mendapat sokongan di kalangan pengundi Melayu tanpa Pas. Mereka mahu membuktikan kepada Pas, mereka mampu untuk menarik sokongan pengundi Melayu tanpa bantuan dari parti tersebut,” ujarnya.

Wanita UMNO Cadang Wujud ‘One Stop Centre’ Atasi Isu Pembantu Rumah

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Wanita telah membuat ketetapan untuk memperjuangkan masalah pembantu rumah yang dilihat semakin membelenggu kehidupan rakyat.
Jelas beliau, isu pembantu rumah masa kini dilihat semakin menghimpit kebanyakan keluarga dan oleh yang demikian penubuhan ‘One Stop Centre’ dirasakan dapat membantu menyelesaikan isu ini.
“Pergerakan Wanita akan mencadangkan kepada kerajaan agar dapat menubuhkan ‘One Stop Centre’ agar segala masalah berkaitan dengan pembantu rumah dapat ditangani dengan cepat dan baik.
“Contohnya, kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang terbabit ditempatkan di satu tempat iaitu di One Stop Centre ini. Jadi, ini memudahkan rakyat untuk berurusan dan tidak tercari-cari kementerian dan agensi manakah yang perlu mereka pergi untuk menyelesaikan masalah pembantu rumah,” ujarnya selepas merasmikan Bengkel Revolusi Pelaksanaan Proses Pengambilan Pembantu Rumah di PWTC hari ini.
Tambah beliau lagi disebabkan terlalu banyak agensi yang terlibat di dalam isu pembantu rumah maka Pergerakan Wanita amat berharap agar One Stop Centre ini dapat diwujudkan secepat mungkin.
“Terpulang kepada kerajaan nak wujudkan di mana tetapi ianya tidak boleh dilengahkan lagi. Masalah pembantu rumah ini sudah terlalu lama dan ianya perlu ditangani dengan segera.
“Inilah tujuan bengkel ini dan bengkel ini akan teruskan untuk masa hadapan dengan penyertaan dari golongan berbeza pula,” ujarnya. 

Wakil Rakyat BN Desak Rayer Mohon Maaf, Tarik Balik Perkataan ‘Celaka’

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid menyifatkan perkataan yang dikeluarkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima itu sebagai jijik, jahat dan menghina selain boleh menimbulkan perasaan benci dan provokasi kepada Umno khususnya wakil rakyat BN dan rakyat.


“Saya mohon Datuk Speaker supaya Seri Delima memohon maaf dan menarik balik kenyataannya. Kita mempunyai jiwa yang besar untuk menjaga martabat dewan ini. Jangan kita menjadi pencetus kepada kemarahan dan ketidakstabilan.
“Kalau pihak pakatan rakyat, kerajaan negeri, minta untuk menyokong usul ini bagi menjaga kemuliaan dan martabat dewan, kita tak ada masalah. Bagaimanapun, janganlah kita biarkan dewan ini dicemari dengan perkataan yang tidak sepatutnya dan ia perlu ditegur dan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas usul tergempar membincangkan kejadian sekumpulan lelaki menceroboh DUN semalam, yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng pada persidangan DUN, di sini hari ini.
Semalam, sekumpulan 100 lelaki terdiri daripada anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang untuk mencari Rayer yang mengatakan “Umno Celaka” dalam persidangan Dewan pada Selasa.
Rayer mengeluarkan perkataan itu ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969.
Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mendakwa keengganan Rayer memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu adalah punca tercetusnya kejadian itu.
Beliau turut mengkritik kandungan usul tergempar yang dikemukakan Ketua Menteri yang mendakwa Umno Pulau Pinang bertindak memimpin sekumpulan lelaki terbabit yang menghina kemuliaan dewan.
“Kami tidak pernah menyuruh, mengarah mereka malah tidak bersetuju dengan apa yang berlaku semalam. Malah kami ada menghantar SMS meminta kumpulan terbabit bertenang, sabar dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.
Nordin Ahmad (BN-Bayan Lepas) pula berkata setiap wakil rakyat perlu menjaga percakapan dan menghormati antara satu sama lain bagi mengelakkan berlakunya kejadian seumpama itu.
“Perkara ini tidak akan berlaku kalau tidak ada sesiapa yang menyakitkan hati sesiapa. Adakah ini yang kita mahukan, meniup keadaan yang boleh menimbulkan kemarahan,” katanya.

Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur Bantu Ekonomi Malaysia Tingkat Rantaian Nilai, Kata Najib

Langkah Malaysia untuk mengukuhkan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur, yang memberi tumpuan kepada teknologi tinggi dan pekerja berkemahiran tinggi akan membantu ekonomi meningkatkan rantaian nilai dan seterusnya kepada status berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Bukan sahaja Dasar Pandang Timur diteruskan di bawah kepimpinan saya, tetapi juga selaras dengan program transformasi untuk Malaysia. Reputasi Jepun bagi kepimpinan ekonomi sudah terkenal dan juga diperakui, kata beliau.
Pada awal tahun 1980-an, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia memulakan dasar ‘Pandang ke Timur’, beralih ke Jepun dan Korea sebagai inspirasi, membantu untuk melatih generasi akan datang pelajar Malaysia dan pemimpin perniagaan dengan cara Asia Timur.
“Keadaan berbeza ketika itu. Asia sedang meningkat, tetapi pertumbuhan pesat sebenar masih belum berlaku,” kata Najib dalam ucap tama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia, “Kebangkitan Asia: Mesej Untuk 20 Tahun Akan Datang” yang diadakan di sini hari ini.
Persidangan itu dianjurkan oleh kumpulan media antarabangsa, Nikkei Inc, Jepun.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Inc, Tsuneo Kita.
Ini merupakan penampilan kedua Najib sebagai penceramah utama di persidangan Nikkei. Kali pertama pada Persidangan Nikkei ke-17 pada 2011.
“Kemunculan ekonomi ‘Harimau’, dan pembaharuan di China, menunjukkan kepada dunia bahawa ada sesuatu sedang berlaku di Asia. Pada tahun 1980-an lah frasa ‘Abad Asia’ dicipta. Tetapi bagi ramai pemerhati, Asia masih ‘satu cerita untuk esok’,” kata beliau.
Bagaimanapun, Najib dengan segera menjelaskan berkata ‘esok itu telah tiba’.
Dari segi ekonomi dan politik, Asia kini menjadi pusat hal ehwal dunia. Rantau yang paling ramai penduduk ini juga merupakan satu daripada rantau yang paling dinamik.
Perdana Menteri menekankan bahawa pembangunan ekonomi yang cemerlang telah menyebabkan dunia memberi tumpuan terhadap prospek Asia.
“Apabila krisis kewangan baru-baru ini menjejaskan keyakinan dalam pasaran kukuh, lebih banyak syarikat dan negara mula ‘memandang ke Timur’.
Peningkatan kesedaran momentum ekonomi juga telah menimbulkan kepentingan geopolitik, memandangkan kuasa baru muncul dan kuasa mantap bersaing untuk pengaruh di Asia.
“Trend ini tidak menunjukkan tanda untuk reda. Dalam tempoh 20 tahun, Asia telah bersedia untuk menguasai lebih daripada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global, dan 60 peratus daripada kelas pertengahan dunia,” kata beliau.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertumbuhan ini akan disertai oleh kedudukan, pengaruh dan minat global yang semakin bertambah dan Asia perlu bersedia menghadapi cabaran itu.
“Ekonomi Asia akan kekal menjadi tumpuan, dan dinamik dalaman kita dalam pemerhatian. Zaman pengasingan Asia tidak akan berulang. Kita adalah satu daripada pusat baharu graviti di dunia pelbagai polar yang baharu,” kata Najib.
Terdahulu dalam ucapan pembukaan Najib berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe, ekonomi Jepun telah kembali pulih dan kini kelihatan bersedia untuk melalui tempoh pertumbuhan mampan, dengan itu menetapkan satu standard baru bagi pembaharuan.

DAP Usah Main Politik Dolak-Dalih…. Patut Jujur Kepada Pengundi

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini membidas sikap DAP yang tidak mahu memperjelaskan pendirian mereka yang sebenar berhubungi isu-isu sensitif seperti Perkara 153, UiTM dan Hudud yang selama ini menjadi sasaran kritikan dan serangan mereka.
Menurut beliau, sekiranya DAP  tidak bersetuju dengan peruntukan Perkara 153 dan UiTM sebagai sebuah institusi Melayu, dan menentang usaha Pas menggunapakai undang-undang Islam, maka ini perlu dinyatakan dalam kempen-kempen DAP dengan jelas supaya pengundi  tahu apa pendirian, prinsip dan ideologi parti yang bakal mereka berikan undi.
yb-dr-salleh-said-keruak-umno-bn-sabah
“Pilihan raya atau pilihan raya kecil merupakan platform dan peluang untuk calon-calon untuk menerangkan dasar dan ideologi parti mereka kepada pengundi. Di sinilah tempatnya untuk mereka memperjelaskan kepada pengundi tentang pendirian parti.
“Mereka tidak sepatutnya memberitahu kepada pengundi “tidak mahu memberi komen” apabila ditanya tentang sesuatu perkara, kerana ia bermakna mereka tidak bersifat terbuka dan ada menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan pengundi.
“Adalah tidak jujur bagi parti  itu untuk meminta sokongan daripada pengundi tetapi enggan menyatakan pendirian sebenar mengenai isu-isu yang sensitif seperti Perkara 153, UiTM dan Hudud,” ujarnya di sini hari ini.
Tambah Salleh, jelas sekali ini merupakan taktik DAP untuk meraih sokongan pengundi Cina yang kini berada di persimpangan jalan sama ada menyokong DAP atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu.
“Bagaimanapun, strategi kempen yang menyentuh isu sensitif bakal mengundang risiko kerana kemungkinan ia akan merubah senario kepada persaingan Melayu lawan Cina atau bukan Melayu dan perkara ini telah disedari oleh Dap.
“Ini memandangkan sebelum ini, Dyana Sofya telah membuat kenyataan berhubung perlaksanaan Hudud yang Malaysiakini muatkan di Youtube, di mana jelas memperlihatkan  Dyana Sofya menentang perlaksanaan hudud di negara ini kerana itu adalah pendirian parti yang diwakilinya.
“Dan hari ini kita dapat lihat Dyana Sofya enggan mengulas mengenai perkara itu mungkin kerana  DAP menyedari komennya itu tidak  memberikan impak  sepertimana yang diharapkan, malah boleh menjejaskan sokongan pengundi Melayu terhadap DAP,” jelasnya.
Salleh seterusnya menegaskan bahawa dalam isu Uitm yang dibangkitkan oleh Dap baru-baru ini, beliau berkongsi pendapat dengan Pro Canselor Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad,  bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu terus kekal sebagai satu-satunya institusi Melayu.
“Saya bersependapat dengan Tan Sri Dr Rahman yang mengulas gesaan calon DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud agar peluang samarata diberikan kepada semua untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam di negara ini.
“Justeru itu, hujah Tan Sri Dr Rahman yang menyatakan bahawa adalah UiTM itu ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan seterusnya menekankan bahawa hak atau keistimewaan Bumiputera dan perkara ini tidak harus dipersoalkan lagi,”akhiri beliau. 
pas-dyana-melayu-sokong-pemimpin-parti-rasis-cauvinis-cina-india-lim-kit-siang-rsn-rayer-umno-celaka-islam

Antara Hudud Dan Undi, Pas Tidak Patut Main Wayang…

Pas perlu mengecualikan dirinya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan memandangkan calon DAP Dyana Sofya menyatakan ikrarnya untuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen, untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan sebagaimana pendirian DAP.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Alwi Che Mat berkata sekiranya Pas tidak berbuat demikian dan meneruskan sokongannnya pada pilihan raya kecil berkenaan bermakna parti tersebut menggunakan hudud sebagai komoditi undi.
“Pas perlu fikir banyak kali sebab tahaluf siyasi ini syaratnya adalah tidak menyebabkan agenda Islam terjejas. Mesti tidak menyebabkan asas mengenai Islam itu terencat sedangkan Pas meletakkan hudud dalam agenda utamanya.
“Jadi bila Dyana sendiri tidak menyokong sepatutnya Pas dalam pilihan raya ini mesti mengecualikan dirinya sebab Dyana dah buat pendirian yang jelas. Kalau Pas sokong juga pada PRK ini bermakna Pas sengaja menggunakan hudud ini sebagai komoditi undi. Benarlah seperti dakwaan sebelum ini bahawa Pas menggunakan Hudud untuk pancing undi “, katanya di sini.
Justeru tegas beliau lagi hudud kepada Pas bukan soal Islam tetapi hudud kepada Pas nampaknya adalah undi.
“Kalau dia betul-betul berpegang kepada prinsip Islam situasi hari ini mereka kena ‘divorce’.
“Tambahan pula berdasarkan prinsip yang dibuat oleh kerajaan Kelantan bahawa MB, Datuk Ahmad Yaakob bersedia hilang jawatan MB sekiranya hudud tidak dilaksanakan , Pas kena bercerai sekarang,” ujarnya.
Dalam wawancara sebelum ini dilaporkan, Dyana menyatakan ikrarnya untuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen, untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan sebagaimana pendirian Dap
Menjawab soalan apakah Pas tersepit dengan situasi yang berlaku di Teluk Intan, Alwi menjawab perkara berkenaan perlu ditanya kepada parti berkenaan.
“Kalau dia rasa tersepit..tersepitlah…kalau tak rasa tersepit tak tersepitlah…saya tidak tahu dia tersepit atau tidak. Dia kena fikirlah tetapi apa Pas nak buat dengan Dyana sekarang. Apa Pas nak kata dengan Dyana sekarang?” soalnya.
dyana-sofya-calon-melayu-islam-ambil-pendirian-polisi-parti-dap-tolak-sokong-hudud-teluk-intan-perak
gobind-singh-deo-karpal-pas-putar-belit-guna-hudud-agama-islam-kebenaran-demi-sokongan-undi-syurga