Nuffnang Ads

Thursday 13 September 2012

PRU13: Benarkah Anwar Tahu Tarikhnya?


Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan melontar persoalan, adakah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tahu tarikh pilihan raya sehinggakan beliau mengatakan bahawa pihak pakatan pembangkang tidak akan bersama-sama dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di peringkat Pusat bagi negeri Selangor dan Pulau Pinang?
“Dia tak tahu tarikh pilihan raya, kita pun tak tahu bila tarikhnya dan katalah kalau ditakdirkan pilihan raya ini pada bulan Mac atau April (2013), adakah kita tak saing? Bila pula dia nak buat pilihan raya (Selangor dan Pulau Pinang)?
“Ini kerana bulan April adalah tarikh akhir pilihan raya. Kalau di peringkat pusat pilihan raya berlangsung pada bulan Mac atau April, tetapi pihak pakatan tidak bersama-sama dengan kita jadi bila tarikhnya? Dia tak tahu malah kita pun tak tahu, jadi apa yang diperkatakannya ialah satu telahan,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat di sini, malam tadi.
Tambahnya, beliau yakin jika pilihan raya di peringkat Pusat diadakan di akhir tempoh, pihak pakatan suka atau tidak, akan ikut bersama. Ini kerana tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, akan dibubar apabila tempoh masanya tamat.
“Saya yakin tempoh masa DUN Selangor pun lebih kurang bulan April juga. Memanglah kita tahu mereka (pakatan pembangkang) mempunyai hak tentang perkara itu, itu tak jadi hal. Kalaulah dia tak bubar, katalah kita pilihan raya dulu, suka betullah kita kerana kita boleh berkampung di Selangor dan kita akan memastikan Selangor ini kita tawan.
“Dia sanggup mengambil risiko itu? Kalau dia nak buat awal, sama juga. Kita akan berkampung di setiap kampung, untuk memastikan Selangor kita tawan. Kita tahu, dia ini suka membohong,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Ahmad Maslan dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat mengajak ahli-ahli UMNO di segenap lapisan untuk bekerja keras dan memastikan usaha berterusan semua jentera UMNO Bahagian mampu membawa kejayaan kepada parti serta Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 akan datang.
Tegasnya, PRU kali ini amat penting kerana menentukan nasib bangsa, agama dan tanah air, malah rakyat negara ini mempunyai banyak sebab mengapa perlu menolak PKR serta penyokong-penyokongnya.
“Ini amat penting kerana jika pakatan pembangkang yang memerintah maka bangsa Melayu akan hancur di tangan mereka. Kita akan kehilangan segala hak keistimewaan yang kita dapat selama Kerajaan BN memerintah sekiranya mereka mengambil alih kerajaan,” ujarnya.
Datuk Ahmad Maslan turut menerangkan 10 sebab mengapa perlu memilih Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan menyokong penuh pentadbirannya selain, 10 sebab mengapa perlu menolak Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Kenyataan beliau itu mendapat perhatian serius daripada para perwakilan UMNO yang hadir. 
Mai Pikiaq Pi: Anggap ajelah PRU pada esok hari... Kita akan lebih bersedia....

No comments:

Post a Comment