Nuffnang Ads

Monday 2 June 2014

Hukum Produk Cadbury Tercemar DNA Babi ‘Halal Dimakan’ – Fatwa Majlis Kebangsaan

Hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi adalah seperti hukum asalnya iaitu ‘halal dimakan’, demikian menurut Fatwa Majlis Kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata ia termasuk dalam kategori keadaan ‘Umum al-Balwa’, iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.
“Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai ‘Umum al-Balwa’.
Prof-Dr-Abdul-Shukor-Husin-Pengerusi-Hal-Ehwal-Islam-Muzakarah-Majlis-Fatwa-Kebangsaan-Negara-Malaysia
“Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mengandungi DNA babi atau porsin.
DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.
Abdul Shukor berkata umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah.
“Islam bukanlah agama yang terlalu ketat (rigid) dan menyusahkan umatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan atau perbuatan yang di luar pengetahuan dan kawalan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan hukum yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti pencemaran DNA babi dalam produk makanan seumpama ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak berautoriti perlu mengambil tindakan sewajarnya sebagai peringatan terhadap pihak terbabit jika didapati perkara itu dilakukan secara sengaja dan lalai terhadap tanggungjawabnya terhadap pengguna.
Beliau turut menasihati umat Islam agar bertenang dan tidak bersikap terlalu emosional dalam memperkatakan isu itu dan mengelak daripada melakukan perkara yang dilarang Islam.
“Sewajarnya kita memberi kepercayaan kepada pihak autoriti yang telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dalam pengesahan halal haram sesuatu produk kerana pelbagai proses telah ditetapkan bagi memenuhi standard halal yang selaras dengan hukum syarak dan telahpun diiktiraf di peringkat dunia,” katanya.
Abdul Shukor berkata hasil kajian mendapati pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi, dan jika sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategori sebagai halal.
Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini melantik pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan kajian saintifik selama setahun berhubung isu pencemaran DNA babi dalam pelbagai produk makanan siap diproses dan disahkan halal supaya hukum yang tepat dapat diputuskan, katanya.
Beliau berkata hasil kajian juga mendapati DNA babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan sama ada ia disengajakan atau tidak, dan kontaminasi DNA babi yang berlaku boleh diukur dan diketahui jika berlaku melalui sentuhan secara fizikal.
Kontaminasi juga mungkin berlaku melalui edaran udara apabila daging babi dan bahan lain disimpan di tempat yang sama dan kedua-duanya dalam keadaan tidak bertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku, katanya.
“Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang bertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal,” katanya.
Abdul Shukor juga berkata keputusan muzakarah itu tidak bermakna sesuatu produk yang didakwa dicemari DNA bahan haram boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Adalah lebih baik tindakan menggantung sementara diambil dan siasatan terperinci dilaksanakan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan dan untuk mengetahui bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku, sama ada disengajakan atau sebaliknya,” katanya.

Najib Bersyukur Atas Kemenangan BN Di Teluk Intan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini melahirkan rasa syukur atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, hari ini.
Najib, selaku Pengerusi BN, berkata berita tersebut merupakan sesuatu yang manis pada malam terakhir program lawatan enam hari beliau ke China.
“Saya amat bersyukur sekali kepada Allah s.w.t…saya rasa gembira yang amat sangat apabila mendapat tahu BN menang. Walaupun majoritinya nipis tetapi dalam sistem demokrasi, satu undi pun dikira menang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatannya ke China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.
Berita kemenangan BN itu diterima Najib semasa menghadiri majlis Makan Malam Persahabatan Malaysia-China di sebuah hotel di sini.
Sebaik sahaja menerima khabar itu, beliau terus menelefon Mah untuk mengucapkan tahniah.
Najib juga mengucapkan tahniah kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassan yang mengetuai kempen PRK itu serta seluruh jentera BN yang telah berkerja keras untuk merampas semula kerusi itu daripada DAP.
Dalam pertandingan satu lawan satu, Mah, yang juga Presiden Gerakan, mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.
Najib berkata kemenangan itu juga bermakna kerana BN tewas dengan majoriti lebih 7,000 pada pilihan raya umum 2013 dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di Teluk Intan yang memilih parti kerajaan BN kali ini.
“Ini bererti faktor peralihan sokongan yang besar sekali pada BN. Kita akan kaji punca-punca positif yang menyebabkan faktor peralihan sokongan kepada BN…terlalu awal untuk buat kesimpulan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada Mah akan diberi jawatan dalam Kabinet seperti yang diumumkan beliau di sini dua hari lepas, Najib berkata ia akan ditunaikan kerana BN memegang pada slogan ‘Janji Ditepati’.
Apabila seorang wartawan menyatakan akan ada tambahan dua presiden parti komponen lagi dalam Kabinet nanti sambil merujuk kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Najib secara berseloroh berkata: “Mereka tidak boleh melupakan presiden MCA.”
“Tidak boleh lupa Presiden MCA…beliau turut menyumbang atas kemenangan ini. Sekiranya BN bersatu padu dan melakukan kerja-kerja secara bersatu di peringkat akar umbi, anda boleh melihat kesan dan hasil yang lebih kukuh bagi calon BN,” katanya.
najib-syukur-mah-siew-keong-menang-bn-prk-teluk-intan-perak

Kemenangan BN Di Teluk Intan Petanda Penting Keyakinan Dan Sokongan Rakyat Semakin Kukuh

Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan merupakan satu petanda penting bahawa keyakinan dan sokongan rakyat terhadap BN semakin kukuh.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau juga percaya pengundi Teluk Intan telah membuat keputusan yang matang dengan menilai prestasi baik dan pengalaman calon BN Datuk Mah Siew Keong yang pernah berkhidmat sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar dan Anggota Parlimen Teluk Intan sebelum ini.
mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah
“Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana pengundi di Teluk Intan telah memilih calon BN, Mah untuk menjadi wakil rakyat mereka kembali.
Kita bersyukur kerana kemenangan ini juga membuktikan BN terus mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum di negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pengundi Teluk Intan kerana membuat pilihan yang bijak dan tepat serta menolak politik jahat, tipu helah dan kebencian.
Mah, 53, yang juga Presiden Gerakan memperoleh sebanyak 20,157 undi mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi dengan undi majoriti sebanyak 238 pada pilihan raya kecil kerusi itu hari ini.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, di Teluk Intan pada kira-kira pukul 9.41 malam ini.
Peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini ialah 67.4 peratus.
Muhyiddin yang mengucapkan tahniah kepada Mah dan seluruh jentera BN berkata walaupun majoriti kecil dan memerlukan lebih banyak kerja dan usaha berterusan, beliau percaya ia adalah detik kebangkitan parti Gerakan.
“Saya juga percaya Mah akan bekerja kuat dan mengambil berat terhadap kebajikan penduduk Teluk Intan. Selain daripada berpengalaman, berdedikasi dan komited, beliau juga merupakan seorang penduduk Teluk Intan yang menjalinkan hubungan erat dengan masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata BN akan menunaikan semua janji yang telah dibuat dan Mah akan membawa arus pembangunan, kemajuan dan kemakmuran kepada negeri Perak dan Teluk Intan.
bn-muhyiddin-syukur-alhamdulillah-menang-teluk-intan-terima-kasih-pengundi-jentera

Kerajaan Setuju Bina Pagar Keselamatan Di Sungai Golok – Ahmad Zahid

Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk membina pagar keselamatan di sepanjang Sungai Golok di Kelantan sebagai satu daripada kaedah membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pagar sepanjang 126 kilometer itu perlu dibina segera walaupun ketika ini kos dan tarikh pembinaannya masih dalam perbincangan.
zahid-hamidi-kdn-menteri-dalam-negeri-rela-seragam-uniform
Beliau berkata perbincangan telah dibuat antara KDN, Unit Pencegah Penyeludupan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi tujuan itu dengan spesifikasi pembinaannya akan ditentukan JPS.
“Apa pun ia tertakluk kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kewangan untuk menentukan bila pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga di sini, hari ini.
Setakat ini kos belum ditentukan lagi dan beliau berharap kerjasama pintar antara swasta dan kerajaan dapat merealisasikan pembinaannya secepat mungkin.
Ahmad Zaid berkata terdapat beberapa syarikat swasta telah memberi cadangan untuk membantu membina pagar berkenaan yang akan dilengkapi sistem radar bagi menangani masalah pembolosan terutama kawasan yang dikenali sebagai laluan tikus.
Katanya selain itu kementeriannya juga akan menyelesaikan masalah koordinasi antara agensi penguatkuasaan dan Angkatan Tentera Malaysia yang kini mengambil alih tanggungjawab utama penjagaan sempadan itu.
“Kita akan selesaikan masalah koordinasi kerana agensi itu juga mempunyai peranan dan bidang kuasa tertentu dalam memastikan sempadan kita terkawal tanpa pembolosan,” katanya.
Pada perkembangan lain, Ahmad Zaid berkata siasatan terhadap kes seorang anggota tentera yang melepaskan tembakan di Lahad Datu pada 28 Mei lepas telah dijalankan dan individu terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, seorang anggota tentera dipercayai melepaskan beberapa das tembakan untuk meleraikan kekecohan yang berlaku di hadapan sebuah kedai dan tembakan itu mengakibatkan Lans Koperal Muhamad Fiffixezapey Mat Hussin, 28, cedera di dada dan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.
Dua orang awam turut cedera iaitu warga Indonesia berumur 31 dan 38 tahun yang bekerja sebagai penjaga kelab malam.

Mah Siew Keong Rampas Semula Kerusi Parlimen Teluk Intan


mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan setelah mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti undi sebanyak 238 pada pilihan raya kecil kerusi itu hari ini.
Mah, 53, memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya, 27, yang mendapat 19,919 undi.
Keputusan itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini pada kira-kira 9.41 malam.
Sebanyak 66.67 peratus atau 40,236 pengundi daripada 60,349 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Kemenangan Mah itu bukan sahaja menyaksikan kejayaan merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan malah memperkukuh kedudukan beliau sebagai Presiden Gerakan yang dimenanginya pada Oktober tahun lepas, serta kedudukan parti dalam BN.
Dengan kemenangan itu, Mah akan dilantik sebagai Menteri Kabinet berikutan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lepas.
Najib, yang sedang dalam lawatan enam hari ke China, membuat tawaran itu sambil berkata parti Gerakan merupakan parti pengasas BN dan menjadi amalan untuk presiden parti berkenaan menganggotai Kabinet.
Mah, yang mendakwa kempen pilihan raya kali ini paling kotor sejak bertanding dalam pilihan raya umum 1995 di kawasan itu, berjaya menebus kekalahan di kerusi Parlimen yang pernah dimenanginya pada 1999 dan 2004.
Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada 2008 berikutan tsunami politik apabila dikalahkan calon DAP M. Manogaran dengan majoriti undi 1,470 dalam pertandingan satu lawan satu.
Mah juga gagal memenangi semula kerusi itu pada 2013 setelah dikalahkan calon DAP Seah Leong Peng dalam pertandingan tiga penjuru.
Seah memenangi kerusi itu dengan majoriti undi sebanyak 7,313.
Sebelum dipilih sebagai anggota Parlimen Teluk Intan, Mah adalah bekas anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar, yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1995.
Anak kelahiran Teluk Intan dari keluarga yang terkenal di bandar ini, Mah bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan sebanyak lima kali dengan tiga kali menang dan dua kali kalah.
Semasa menjadi wakil rakyat Teluk Intan pada 2004, beliau dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala pada 2006 hingga 2008, Mah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Beliau pernah dilantik Pengerusi Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) dari 2010 hingga September 2013.
Pada 26 Okt 2013, Mah menerajui Gerakan setelah mengalahkan pencabarnya, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow, pada pemilihan parti itu dengan memperoleh 1,086 undi berbanding Teng, 577 undi.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari London School of Economic dan Sarjana Dalam Bidang Pembuatan dari City University London serta Ijazah Perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London, beliau amat dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan rajin bekerja oleh penduduk Teluk Intan.

Malaysia-China Perbaharui Ikatan Persahabatan

Malaysia dan China hari ini memperbaharui ikatan persahabatan yang terjalin sejak empat dekad yang lalu.
Dalam satu majlis ringkas tetapi bermakna di Dewan Agung Rakyat terletak berhadapan Dataran Tiananmen di sini, pemimpin kedua-dua negara yang turut disertai para diplomat, komuniti perniagaan dan belia yang mewakili generasi akan datang, berkumpul bagi memperingati peristiwa bersejarah yang berlaku 40 tahun lalu, di tempat yang sama.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China Li Keqiang menyempurnakan majlis yang berlangsung di Dewan Barat Dewan Agung Rakyat itu.
Ia merupakan dewan yang sama, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa Najib memulakan hubungan muhibah untuk menyemai bibit-bibit pemahaman dan kepercayaan bersama.
Di sini juga, pada tanggal 31 Mei 1974, Tun Abdul Razak Hussein menandatangani perjanjian bersama-sama Perdana Menteri Zhou Enlai, secara rasminya menjalinkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Pada majlis hari ini, Najib dan Li menandatangani pernyataan bersama untuk terus memperluas dan mengukuhkan kerjasama dalam semua bidang yang membawa manfaat bersama – ekonomi, pelancongan, perkhidmatan kewangan, politik, budaya dan ketenteraan.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk melakukan pertukaran lebih ramai pelajar, bekerjasama rapat dalam bantuan bencana dan memelihara kestabilan dan keselamatan di rantau ini.
Najib turut menyampaikan satu set setem peringatan kepada Li yang dikeluarkan Bank Negara.
Sebagai balasan, Li menyampaikan, satu set setem peringatan yang dikeluarkan China Post kepada pemimpin Malaysia itu.
Persahabatan yang bermula semasa Dinasti Song berkembang di bawah Dinasti Ming, kerana hubungan yang dibina di atas dasar perdagangan telah diperkukuhkan dengan pertalian darah — memandangkan keluarga dari China menjadikan Selat Melaka, tempat tinggal mereka.
Malaysia negara pertama dari Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.
Sepanjang empat dekad lalu, hubungan persahabatan dan perniagaan kedua-dua negara telah membangunkan dengan pesat.
China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dan Malaysia sebaliknya merupakan rakan perdagangan terbesar China, di Asean.
Kedua-dua negara telah membentuk Perkongsian Strategik Komprehensif untuk kemakmuran dan pertumbuhan dan pada tahun lepas dengan menandatangani Program Lima Tahun Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan bagi tempoh 2013 hingga 2017.
presiden-china-li-keqiang-mesra-pm-malaysia-najib-razak
mou-perbaharui-malaysia-pm-najib-anifah-china-presiden-li-keqiang-ding-wei-2014-2019-hubungan-40-tahun

Thursday 22 May 2014

Sejak PRU Pertama, UMNO Sudah Iktiraf Wanita – Mas Ermieyati

Pakatan pembangkang khususnya DAP tidak perlu mendabik dada kononnya mengiktiraf golongan wanita muda apabila mengetengahkan calonnya Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan sedangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah lebih awal berbuat demikian, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyati Samsudin.
“DAP tak usahlah nak sembang kononnya membela kaum wanita sebab UMNO yang lebih awal iktiraf golongan terbabit dalam kepimpinan dan masih meneruskan perjuangan membela kaum terbabit,” katanya.
Jelas beliau, kaum wanita sebagai calon dalam pilihan raya tidak pernah ditolak dalam BN malahan calon wanita pertama yang mula-mula bertanding dalam pilihan raya pertama tahun 1955 adalah wakil dari BN yang sebelumnya parti perikatan iaitu Halimahton Abdul Majid.
“Dalam pilihan raya 1959 pula, Ibu Zain dan Fatimah Hashim telah bertanding di kerusi Parlimen dan menang, hinggalah sekarang bilangan calon wanita bertambah malahan saya sendiri diberi peluang sebagai wakil rakyat hasil penglibatan saya dalam politik bersama-sama Pergerakan Puteri UMNO,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Jelas beliau jika pakatan pembangkang dan DAP mengatakan mereka mengetengahkan golongan muda dan profesional maka sebenarnya laluan tersebut telah lebih awal dirintis oleh UMNO sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, seramai sembilan orang dipilih dari kalangan pemimpin pergerakan Puteri UMNO di seluruh negara.
“Perjuangan golongan wanita tidak pernah berhenti dan dalam UMNO Pergerakan Puteri bergerak selari dengan Pergerakan Wanita iaitu untuk mendapatkan kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam kepimpinan.”
Tambahnya, biarpun DAP menampilkan Dyana Sofya dalam PRK, tetapi calon terbabit tidak memberi impak atau tarikan kepada golongan wanita muda yang dkhuatiri akan beralih sokongan dari Puteri UMNO kepada Dap.
“Gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO telah diatur, kita fokus kepada matlamat kita dan kita tidak lihat kemunculan Dyana Sofya akan memberi kesan kerana Puteri UMNO ada kekuatannya sendiri.”
Dalam PRU lalu, calon pergerakan Puteri UMNO yang bertanding dalam kerusi Parlimen selain daripada Mas Ermieyati ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mewakili Papar manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah Asmaiza Ahmad (Chuping), Datin Norsabrina Mohd Nor (Kulim-Bandar Baharu), Salbiah Mohamed (Temenggor), Nolee Ashilin Mohd Radzi (Tualang Sekah), Nurhidayah Mohd Shahaimi (Luit) dan Norshida Ibrahim (Buloh Kasap).
mesyuarat-kaum-ibu-umno-kuala-lumpur-1954-wanita-perjuangan-malaysia