Nuffnang Ads

Thursday 24 May 2012

Melayu Mudah Lupa...

                      

KARPAL PERJUANG PM BUKAN MELAYU


Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan, selagi hidup, beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.


Menurutnya, meskipun ketika ini pakatan pembangkang bersetuju bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon paling layak memegang jawatan nombor satu negara, namun beliau secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang oleh calon bukan Melayu.

"Selagi saya hidup, saya akan berjuang untuk melihat seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas kenyataannya dalam beberapa laporan akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini tentang beliau menamakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai bakal Perdana Menteri, Karpal mengakui tersilap menyebutnya tetapi tetap menegaskan calon bukan Melayu akan menyandang jawatan tersebut suatu hari nanti.

"Saya akui tersasul menyebut dengan menamakan Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri tetapi buat masa ini, kita (pakatan pembangkang) sepakat untuk pilih Anwar jika menang pilihan raya nanti," jelasnya.

Menurut Karpal, tidak termaktub dalam Perlembagaan negara yang menyebut hanya orang Melayu dibenarkan menjadi Perdana Menteri.

"Saya tidak pasti sama ada hasrat untuk melihat bukan Melayu menjadi Perdana Menteri termakbul dalam era saya, namun saya tetap akan memperjuangkan impian ini," tegas beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan turut senada dengan Karpal yang mahu melihat bukan Melayu memegang jawatan Perdana Menteri.

Kata beliau, tidak ada salahnya mana-mana kaum di negara ini menyandang jawatan tersebut.

Debat Bukan Penyelesaian Masalah: Tiada Keperluan Debat Najib–Anwar


Cadangan agar diadakan debat terbuka antara Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak perlu dibuat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap bahawa perdebatan bukanlah jalan penyelesaian dalam merungkai pelbagai masalah sebaliknya pendekatan Perdana Menteri yang lebih gemar turun padang dan menyelami kehendak rakyat diaplikasikan untuk pengurusan dan pentadbiran negara ini.
“Apa yang jelas, tindakan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengadakan debat sebagai jalan menyelesaikan masalah adalah sesuatu yang tidak logik untuk dilakukan dan tentunya sebagai pemimpin berjiwa besar saya fikir tidak ada keperluan untuk Perdana Menteri menerima cadangan tersebut,” katanya.
Semalam, perdebatan telah berlangsung antara Mohd Rafizi Ramli dengan Khairy Jamaludin dan pada akhir kesimpulan, moderator debat itu, Dr. Maszlee Malik mendesak debat diadakan antara Datuk Seri Mohd Najib dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada pandangan saya, Perdana Menteri tidak perlu melayan tuntutan sedemikian apatah pula dengan Ketua Pembangkang yang seringkali melihat kepada sudut negatif semata-mata untuk menjatuhkan kerajaaan yang telah memajukan negara.
“Berdasarkan beberapa siri debat yang telah berlangsung sebelum ini didapati bahawa ia lebih cenderung untuk dimanipulasikan oleh pihak pembangkang selain memainkan emosi tanpa mengguna pakai ilmu yang ada.”
Beliau turut mengingatkan bahawa perdebatan yang dibuat ini adalah ikutan daripada budaya politik di Amerika Syarikat dan Eropah yang berbuat demikian menjelangnya pilihan raya Presiden mereka.
“Kenapa kita mesti terikut-ikut dengan acuan dari Barat sedangkan kita sendiri mempunyai sistem pentadbiran yang lancar dan berpandukan kepada demokrasi terpimpin,” tegasnya.
Dalam masa yang sama beliau turut membidas pakatan pembangkang yang seringkali mencari populariti dengan melakukan provokasi dan cuba ‘membuang masa’ kerajaan termasuklah mengusulkan debat dibuat sedangkan keutamaan adalah rakyat dan negara.
“Sebagai pemimpin yang amanah dan melaksanakan tanggungjawab tentunya Perdana Menteri lebih mengutamakan kehendak rakyat keseluruhannya daripada memenuhi tuntutan segelintir pembangkang yang kerapkali lebih bersifat provokatif.
“Ini bukanlah perkara baru kerana umumnya, penerimaan ikhlas kerajaan akan dijadikan satu permainan sebagaimana perpaduan dan muzakarah yang turut disensasikan sebagai satu isu atas tujuan mengekalkan populariti pemimpinnya yang tenggelam kerana gagal dalam pentadbiran,” katanya lagi.
Tegasnya, pihak pembangkang hanya tahu memanipulasi isu dan melakukan provokasi kepada kerajaan dengan harapan rakyat akan terpengaruh dan memberikan sokongan kepada mereka.
“Pembangkang gagal melakukan kebajikan dan kemajuan kepada masyarakat dan lantaran itulah mereka tiada punca untuk dicanangkan selain daripada mencari kesalahan dan memanipulasikan kepimpinan UMNO/BN.”
Jelas beliau, sewajarnya bukankah lebih elok jika pakatan pembangkang bersikap adil dan bertanggungjawab lantas menumpukan kepada pembangunan di negeri yang mereka kuasai berbanding melakukan perbuatan yang tidak sewajarnya dibuat.

Pembangkang Takut Rahsia Pecah, Kabinet Bayangan Adalah Kabinet Anak Beranak


Semakin lama, isu kabinet bayangan pakatan pembangkang semakin menyepi. Pembangkang sendiri seakan 'melupakan’ isu ini malah berharap rakyat juga terus berdiam diri agar tidak terus mendesak mereka mengemukakan kabinet bayangan.
Sebelum ini, pakatan pembangkang pernah menyuarakan bahawa mereka sudah mempunyai kabinet bayangan yang akan dikemukakan sekiranya mendapat kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) malah Bendahari DAP, Fong Kui Lun pernah mengatakan mengenai barisan Kabinet bayangan pihak pembangkang adalah terdiri daripada Ketua DAP di Parlimen, Lim Kit Siang; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim ialah ‘Perdana Menteri bayangan’.
Namun, apabila didesak untuk mengemukakan anggota yang bakal menduduki jawatan dalam kabinet bayangan ini, mereka terus membisu dan membiarkan isu ini terus sunyi tanpa ada sebarang jawapan.
Menurut Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Negeri Selangor, Tan Sri Dr. Abu Hassan Omar, pakatan pembangkang sebenarnya tidak serius malah sedar bahawa mereka tidak mampu untuk menjadi kerajaan pada PRU13 akan datang kerana itu semua adalah fatamorgana yang belum tentu akan menjadi kenyataan.
“Mereka tidak mampu untuk buat kabinet bayangan ini. Cakap mereka hanya tin kosong seperti yang pernah Perdana Menteri katakan, mereka hanya pandai berjanji tetapi tidak pandai menepati.
“Sebenarnya, kabinet bayangan ini adalah satu kebimbangan buat pakatan mereka kerana mereka tidak ada kata sepakat. Masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri. Kabinet bayangan ini akan mengundang malapetaka buat mereka dan mampu memecahbelahkan antara pakatan pembangkang.
“Sekiranya mereka menamakan kabinet bayangan ini, siapa sebenarnya yang akan mereka lantik? Perdana Menteri Bayangan yang digambarkan adalah Anwar Ibrahim tetapi jawatan lain? Sudah tentu DAP ingin meletakkan orang mereka dan begitu juga dengan Pas dan PKR sendiri,” ujarnya lagi.
Apa yang pasti, ketiga-tiga parti ini akan terus menjadi parti ‘kaum kerabat sendiri’ malah tidak hairan sekiranya kabinet bayangan juga sebegitu.
Ini kerana, Anwar adalah Penasihat Umum PKR, isterinya Wan Azizah Wan Ismail menjawat Presiden manakala anaknya Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR sementara Kit Siang yang pernah menjadi Pengerusi DAP mewariskan kepimpinannya kepada Lim Guan Eng yang menjawat Setiausaha Agung sementara menantunya iaitu isteri kepada Guan Eng, Betty Chew pula adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana di Melaka.
Selain dikuasai keluarga Kit Siang, DAP juga dikuasai keluarga Karpal Singh di mana Karpal adalah Pengerusi DAP, anaknya Gobind Singh Deo merupakan Setiausaha Biro Guaman Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Puchong dan seorang lagi anaknya, Jagdeep Singh Deo adalah Adun Datuk Keramat, Pulau Pinang.

Monday 21 May 2012

Dr. Mahathir sedih lihat nasib Melayu Pulau Pinang


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih dengan nasib orang Melayu di negeri ini yang dilihat semakin ketinggalan daripada arus pembangunan terutama tempat tinggal mereka.

Beliau berkata, kediaman orang Melayu di sini masih daif meskipun terdapat banyak bangunan yang cantik dan moden di sekelilingnya.

Menurutnya, gambaran sedemikian tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu.


"Bila datang ke Pulau Pinang, saya rasa sedih kerana orang Melayu nampak jauh ketinggalan. Mereka masih di tahap lama sedangkan di sekelilingnya banyak bangunan pencakar langit yang indah-indah belaka," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Bicara Minda anjuran Perhubungan Veteran UMNO negeri di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan Veteran UMNO Pulau Pinang, Datuk Ismail Din dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Dr. Mahathir memberitahu, orang Melayu di Pulau Pinang hidup seperti golongan minoriti kerana mereka tidak mampu hidup selesa berbanding kaum lain disebabkan hasil pendapatan yang kecil.

Kata bekas Perdana Menteri itu, beliau khuatir keadaan tersebut akan merebak ke negeri-negeri lain jika orang Melayu tidak berbuat sesuatu.

Sehubungan itu, jelasnya, orang Melayu perlu memainkan peranan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dengan menentukan calon yang tepat untuk diundi.

"Meskipun orang Melayu kini berpecah kepada tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka masih boleh memainkan peranan dengan menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya umum nanti.

"Sebagai contoh, jika calon-calon MCA dan DAP bertanding di satu-satu kawasan, kita (orang Melayu) perlu bijak untuk menentukan siapa yang menang supaya kita boleh mendapat manfaat daripada pilihan kita itu," ujarnya.

C.A.T Guan Eng – “Chit, Arrogance, Twist”


Pendedahan bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung cubaan merasuahnya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng jelas membuktikan bahawa kepimpinan Kerajaan Pulau Pinang hanya pandai membuat slogan tetapi tidak mampu merealisasikannya.
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang, Ir. Shaikh Hussain Mydin berkata, slogan C.A.T (Cekap, Akauntabiliti, Telus) sebenarnya tidak wujud tetapi C.A.T yang diperkenalkan oleh Guan Eng itu adalah Chit (tipu), Arrogance (ego), Twist (putar).
“Slogan C.A.T Guan Eng, adalah untuk mengaburi rakyat yang kononnya mereka lebih baik daripada kerajaan sebelumnya, tetapi realitinya C.A.T itu adalah untuk beliau menipu rakyat Pulau Pinang demi kepentingan politik peribadinya.
“Jika benar seperti apa yang didedahkan Tunku Abdul Aziz, Guan Eng tidak layak menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kerana sanggup melakukan perbuatan terkutuk hanya untuk memastikan terus berkuasa.
“Apa yang sudah dilakukannya sejak jadi Ketua Menteri, tiada apa perubahan yang dibuat, mana ketelusan dan akauntabilitinya, apa yang dibuat adalah berdasarkan keputusannya sendiri, panel yang dilantiknya itu hanyalah sekadar 'rubber stamp’," katanya.
Menurutnya, rungutan rakyat Pulau Pinang yang sering berlaku itu jelas menunjukkan ketidakcekapan pentadbirannya terutama kepada peniaga kecil apabila tiadanya ketelusan dalam membuat sebarang keputusan yang dilihat banyak melakukan pilih kasih untuk kepentingan sesuatu pihak sahaja.
“Slogan Guan Eng itu ibarat seperti ‘meludah ke langit, akhirnya jatuh menimpa ke muka sendiri dan cakap tak serupa bikin, slogan itu hanya sekadar slogan sahaja,” ujarnya.
Shaikh Hussain berkata, jika dahulu Guan Eng menyatakan  Tunku Abdul Aziz adalah seorang pemimpin yang berintegriti dan apa yang berlaku jelas menunjukkan Guan Eng sebagai seorang yang tidak berintegriti sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu untuk terus berkuasa.
“Guan Eng cuba mempergunakan Tunku Abdul Aziz untuk mendapat sokongan orang Melayu, namun perkara itu semuanya sudah terbongkar apabila Tunku Abdul Aziz menyedari bahawa Guan Eng cuba mempergunakannya,” katanya.
Beliau berharap rakyat Pulau Pinang sedar dengan apa yang cuba dilakukan oleh DAP yang memperalatkan orang lain untuk kepentingan politik, kininya tembelang DAP sudah terbongkar, politik mereka adalah politik peribadi untuk kepentingan dinasti kepimpinan tertinggi DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang serta anggota keluarganya.

Majlis Peguam Perlu Angkat Profesionalisme Perundangan Bukan Main Politik Condong


Majlis Peguam sewajarnya bersifat neutral tanpa menumpukan kepada agenda politik mana-mana pihak sebagaimana kecenderungan badan tersebut sejak kebelakangan ini, kata Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Seri Abdul Aziz Rahim.
“Majlis Peguam perlu menumpukan perhatiannya kepada fungsinya sebagai sebuah badan profesional dan tidak wajar bertindak kepada arus perkembangan politik yang berat sebelah kerana mereka sendiri bukanlah pertubuhan politik,” katanya.
Jelas beliau lagi, kecenderungan Majlis Peguam terhadap isu-isu politik semakin bertambah dengan peranannya dalam campur tangan dalam isu Bersih 3.0 sehinggakan mereka mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan perhimpunan Bersih 3.0.
“Ini adalah salah satu bukti jelas bahawa badan tersebut telah diperkudakan oleh badan politik tertentu sehinggakan mereka sanggup ingkar perintah mahkamah sendiri yang melarang perhimpunan Bersih 3.0 diadakan.
“Lebih daripada itu, Majlis peguam kemudiannya mengadakan mesyuarat tergempar dan memutuskan resolusi yang mengutuk kekerasan polis ketika perhimpunan Bersih 3.0 diluluskan sedangkan siasatan belum pun selesai dijalankan dan jawatankuasanya yang dipengerusikan oleh Tun Hanif Omar juga masih belum bersidang,” tegasnya.
Bidas beliau lagi, Majlis Peguam tentunya amat arif berkaitan proses tuntutan keadilan maka tentulah mereka akan menyokong perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah berkaitan larangan untuk berhimpun dan mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 apatah lagi untuk mempertahankan pihak berkuasa.
“Dalam proses untuk mendapatkan keadilan pun mereka tahu bagaimana ia dilakukan, iaitu berdasarkan penyiasatan, memanggil saksi-saksi bagi mendapatkan penjelasan dan bukannya bertindak atas pendapat peribadi atau berdasarkan bukti persendirian tanpa melihat kepada aspek keseluruhan,” katanya.
Dilaporkan, antara individu yang turut di Mahkamah Seksyen di sini membabitkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu ialah Peguam Kanan, G Rajesh Kumar, yang juga Ahli Jawatankuasa Lembaga Tatatertib Majlis Peguam sendiri.

Harussani Bongkar Kisah Politik PAS



Pertama kali dalam sejarah, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Haji Zakaria melondeh serta membongkar cerita lama mengenai kegilaan PAS sehingga menyebabkan masyarakat Islam khusus orang-orang Melayu berada dalam keadaan berpecah-belah.
Wartawan Yusof Haron dari Agendadaily melaporkan pertemuan Harussani dengan wartawan di pejabatnya di Ipoh, Khamis lalu, Mufti Perak itu mendedahkan sejarah penglibatan keluarganya dalam politik serta bagaimana tindakan PAS memulau abang iparnya kerana fahaman politik kepartian.
“Bahkan daripada awal sejarahnya bapa saya semua ahli UMNO. Tapi apabila tertubuh PAS dan PAS kemudian keluar daripada UMNO, semua masuk Pas. Tapi PAS waktu itu lebih bertujuan kepada dakwah.
“Berdakwah kepada orang supaya kita ni menjalankan hukum Islam dalam negara ini dan dalam ceramah berbangkit tentang masalah hukum dan sebagainya dan masalah yang wajib kita lakukan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa “ini cukup baiklah…saya juga pernah mengikuti semasa saya kecil lagi masa itu.. bahkan saya baik dengan Ketua PAS waktu itu, namanya …Helmi (minta wartawan semak nama sebenar).
“Dia baik dengan saya, dia sakit saya pergi ziarah dan kami selalu berbual dan dia cukup bersetuju dengan cara perjuangan untuk kita menegakkan Islam di negara ini.
Namun, sejak akhir-akhir ini, Harussani berkata, PAS lari daripada perjuangannya dan menjadi ‘tekong’ kepada perpecahan.
“Akhir-akhir ini kita melihat perkara itu tidak berlaku lagi bahkan saya melihat PAS sudah menuju seolah –olah menjadi 'tekong’ kepada perpecahan umat Islam dan orang Melayu.
“Banyak contoh boleh diberi umpamanya pada akhir tahun 1970-an berlaku di Kedah. Orang- orang Islam iaitu orang UMNO menyembelih ayam sepikul lebih (terpaksa) dibuang ke dalam sungai kononnya haram (tidak halal) dimakan.
“Jadi saya katakan sedangkan Yahudi nasarah dibenarkan Tuhan halal sembelihannya bagaimana orang Islam yang sembahyang lima kali sehari, jadi imam pula tidak boleh sembelih dan haram.
“Yang kedua yang paling menyayat hati saya ialah abang ipar saya seorang ahli PAS dan dia seorang peniaga kedai runcit di tempatnya di Kedah jugak..yang datang membeli banyak orang PAS dan orang UMNO pun ada.
“Kebetulan satu ketika seorang Ketua UMNO di kampong itu meninggal dunia. Jadi abang ipar saya datang menziarahi dan kerana itu saja dia dipecat daripada parti dan dipecat daripada ahli khairat kematian,” katanya.
Kerana insiden itu, Harussani menjelaskan abang iparnya telah diboikot sehingga terpaksa tutup kedai dan kembali memotong getah semula. 
“Sampai begitu mereka buat dia. Jadi dia datang jumpa saya tapi saya kata sabarlah orang begini tak boleh buat apa.
“Banyak lagi yang saya bangkitkan umpamanya akhir-akhir ini kita lihat ceramah-ceramah yang dibuat oleh pemimpin PAS merupakan kutukan, cacian, laknat sedangkan itu adalah larangan Allah. Jadi itu bukan dakwah lagi.
“Kalau sudah seorang ustaz, berceramah mengutuk, memaki-hamun dan sebagainya maka orang menganggap itu halal mengikut masa itu. Kutukan umpamanya kita lihat saja apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan bahawa (demonstrasi) Bersih 3.0 itu haram kerana telah bertukar corak kepada keganasan sebagainya.
“Dia orang kata apa…mufti-mufti tidak lebih daripada anjing, jadi bolehkah kita mengelar orang anjing? Ini satu perkara yang sangat bertentangan sama sekali dengan hukum syarak. “
“Jadi kalau itu yang dibawa sekarang maka dia bukan lagi membawa kepada Islam. Dia membawa kepada syaitan. Parti syaitanlah kalau memaki-hamum dan sebagainya. Parti syaitanlah kerana syaitan itu nak membawa kepada perpecahan,” ujarnya.
Mufti Perak berkata “bila kita lihat berlaku di Terengganu dan beberapa tempat (sembahyang) dua imam…kita di masjid hanya satu imam, satu kariah itu satu imam. Kita sembahyang . … sepatutnya kenapa kita berpecah dan ini dihalalkan oleh pihak pemimpin PAS.”
“Dan ini saya berasa pelik keadaan-keadaan seperti ini sehingga berpecah . . . dalam sekampung berpecah, kenduri pun berpecah jadi ini buruk sungguh keadaan Islam
”Bukan buruk daripada orang itu saja bahkan kita melihat seolah-olah syariat Islam itu terlalu buruk. Jadi itu yang dinilai orang-orang kafir sekarang.
“Kerana itu Islam tidak pernah mendapat tempat pada orang kafir di Malaysia kerana melihat keadaan orang Melayu yang beragama Islam. Sudahlah hidupnya susah dalam negeri yang kaya, asyik berpolitik di kedai-kedai kopi dan sebagainya langsung tak buat kerja . . . berkelahi sesama sendiri.
Katanya, “Inilah yang menjadikan masyarakat kita makin mundur dan sebagainya.
“Akhir-akhir ini pula banyak fatwa dikeluarkan iaitu menyamakan tunjuk perasaan Bersih 3.0 itu disamakan dengan saf jemaah bersembahyang. Kita sembahyang beribadat bukan tunjuk perasaan kepada Tuhan. Kita mengadap bersyukur kepada Allah swt. Dia (Allah) suruh kita bersatu, bahkan dalam bersembahyang kita diwajibkan berjemaah.”
“Bermakna kita bersatu tapi kita di sini sekarang diwajibkan berpecah. Itu satu perkara yang bertentangan.
“Kemudian ada pula yang menyamakan dengan mengatakan Omar Ibnu Khattab pernah menunjuk perasaan. Sebenarnya Omar tidak menunjuk perasaan tapi dia memulakan dakwah secara terang-terangan.
“Ini kerana Saidina Omar apabila memeluk Islam dia bertanya apakah ini agama yang benar daripada Allah. Rasullulah menjawab "Ya". Kenapa kita duduk bersembunyi? Dia terus bertakbir dan hentam orang jahiliah."
“Begitu juga isteri-isteri Nabi tidak pernah menunjuk perasaan kepada Nabi kerana tidak cukup makan. Cuma itulah bila kita tunjuk perasaan ini satu penghinaan kepada sahabat-sahabat Rasullullah.”
“Ini bukan perbuatan orang-orang ahli Sunnah tapi perbuatan syiah dan terakhir ini kita ada mendengar fatwa kata mengundi parti itu masuk syurga, tak mengundi masuk neraka. Apakah neraka syurga ini boleh ditentukan oleh manusia atau ditentukan oleh Allah SWT?
“Jadi hal-hal sebegini sedang berlaku sehingga menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat, jadi kerana itu sebagai seorang mufti bukan kerana politik saya memberi nasihat dan memberitahu bahawa tunjuk perasaan dengan niat untuk mengguling kerajaan itu satu perkara salah.
“Kerana kerajaan yang sah sekarang diketuai oleh seorang Islam iaitu Yang diPertuan Agong, Raja-raja dan dipimpin sekalipun . . . haram kita memberontak.
“Tapi sekarang ini orang dah pakai demokrasi, bila pakai demokrasi, kita ada jalan untuk menurunkan kerajaan dengan mengundi tapi bukan dengan cara tunjuk perasaan, dengan menimbulkan kekacauan.”
Harussani menjelaskan lagi “Saya tidak mengatakan siapa yang benar siapa yang salah tapi apa yang kita lihat perkara yang dilakukan itu bertentangan dengan hukum syarak. Pertama, dataran itu (Dataran Merdeka) dimiliki oleh DBKL. DBKL tidak membenarkan membuat tunjuk perasaan di situ maka tidak boleh pergi.”
“Kerana Allah menyebut dalam Quran kita tidak boleh masuk ke dalam rumah melainkan kita minta kebenaran. Jadi kita kiaskan itu hak milik bukan di rumah saja, kalau kampung orang tak bagi masuk, tak boleh masuk .
Katanya lagi “Kedua kita tidak boleh merosakkan harta benda tapi kita lihat terang-terang (mereka) merosakkan harta benda, memukul orang sehinggakan kereta polis pun dirosakkan, anggota polis dipukul dan seorang wartawan hampir mati kerana mempertahankan anggota polis itu.
“Ini kita pelajari daripada tunjuk perasaaan pertama (Bersih 1.0) kedua (Bersih 2.0) dan ketiga (Bersih 3.0), jadi ini dah tak betul, jadi kerana itu saya kata ajarannya banyak menyeleweng daripada ajaran Islam yang berasaskan kepada empat asas.
“Iaitu Islam berasal daripada silmun maknanya kedamaian, yang kedua salamun berasal daripada pokok perkataan salam.
“Salam maknanya kesejahteraan, yang ketiga sulamun maknanya kita menuju ke peradaban yang tinggi. Manusia ini meningkat darjahnya, perwatakannya dan yang keempat kita menyerah bulat-bulat kepada Allah..
Dengan nada kesal Harussani berkata “Tapi ini Islam dikaitkan dengan semua itu tadi. Jadi ini yang saya berasa cukup terpanggil dan terkilan untuk membuat kenyataan walaupun saya tidak hadir dalam majlis fatwa yang lalu kerana saya dalam keuzuran tapi saya rasa terpanggil untuk menjawab dalam surat khabar apabila dikatakan ahli Majlis Fatwa Kebangsaan ini tidak lebih daripada anjing. Bolehkah kita mensifatkan ulama sebagai anjing?"
Katanya “Ini satu perkara yang cukup berat dan saya lihat kalau itu tidak dipersetujui oleh Ketua-ketua PAS tapi tidak ada langsung pun teguran daripada mereka. Sepatutnya mereka menegur orang di bawah supaya tidak bersikap demikian.
“Tapi seolah-olah mereka menyokong. Saya rasa terpanggil untuk menyatakan yang hak dan saya bukannya daripada parti manapun.
“Tapi apabila diselewengkan maka saya wajib menegur beliau. Jadi Nik Aziz ini memang patut ditegur kerana terlalu banyak Nik Aziz pernah menggelar mufti-mufti (sebagai) terompah kayu dan macam macam lagi dan ini dia memburukkan nama sahabat nabi dengan mengatakan para sahabat tunjuk perasaan kepada Tuhan.
“Kemudian ibadat disamakan dengan tunjuk perasaan ini semuanya salah jadi kita jangan telan bulat-bulat perkara yang salah. Walaupun dia seorang ulama, mungkin dia terlajak maka itu saya memberi peringatan supaya jangan saya tak ada musuh dengan sesiapa. Selama ini pun doa saya tak pernah tinggal tiap-tiap lima kali sembahyang minta Allah ampuni seluruh umat Islam.
Menjawab satu soalan bahawa PAS sudah terikut-ikut dengan DAP sehingga dilihat sanggup menggadai prinsip,Harussani berkata:
“Peringkat awal dulu kenapa PAS keluar daripada Perikatan? Masa itu kenapa bila ditubuh Perikatan, PAS keluar kerana tidak mahu bersekongkol dengan orang kafir masa itu, keluarlah fatwa bersekongkol dengan orang kafir jadi kafir. Tapi hari ini orang yang terang-terang menentang Islam, yang katakan langkah mayat (dia) kalau nak laksana hukum Islam.
“Yang kedua kita melihat Ambiga (Datuk) sebagai ketua dalam Majlis Peguam dulu telah merangka beberapa undang undang untuk menjatuhkan Islam dengan hendak menubuhkan IFC dan (perkara) ini mufti tentang waktu itu.
Beliau hairan kerana “orang ini pula yang kita sokong, kemudian kita dengar akhir-akhir ini, PAS melantik orang bukan Islam. Apakah kita akan mengharapkan orang bukan Islam untuk membela dan bangun untuk menegakkan Islam?
“Quran banyak sekali meletakkan ayat-ayat supaya kita jangan melantik ketua kita orang bukan Islam.
Nasihatnya kepada puak-puak ini dan umat lslam seluruhnya "Kita (perlu) berhati-hatilah dalam masalah agama ini, kita lihat betul-betul, jangan kita hanya taksub kepada orang atau parti sehingga kita sanggup melakukan perbuatan-perbuatan yang salah dan melanggar hukum Allah. "
Harussani mengakhiri interbiu itu dengan berkata “Inilah peringatan saya sebagai orang tua yang masih diberi Allah kuasa bercakap, kalau tak mahu dengar itu terpulang. Kita hanya menyampaikan," katanya.
Ketika menjawab tuduhan Menteri Besar Kelantan mengenai dirinya campur tangan dalam politik, Harussani selain menafikan tuduhan PAS itu.
“Tuduhan tok guru Nik Aziz bahawa saya campur politik. Ia tidak betul. Saya selama ini tidak mencampuri mana-mana parti poliltik.
“Bahkan saya tidak pernahpun mendaftar diri sebagai ahli dalam mana-mana parti politik,” katanya

KERANA BERSIH 3.0....

                    

Mai Pikiaq Pi: Siapa yang harus bertanggungjawab? Kerana 'nila setitik, rosak susu sebelanga'... Kerajaan patut ambil tindakan tegas terhadap pemimpin-pemimpin perhimpunan Bersih 3.0 ini.. Rakyat patut ambil iktibar atas kesan yang berlaku selepas peristiwa ganas perhimpunan Bersih 3.0 ini...

Friday 18 May 2012

Irene Fernandez Dibidas Kerana Kecam Negara


Ketika ramai rakyat Malaysia menantikan pembantu rumah warga Indonesia tiba ke negara ini, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez sebaliknya menasihatkan agar Jakarta tidak menghantar pekerja mereka bagi mana-mana kategori ke negara ini.
Kenyataan beliau kepada Jakarta Post pada Isnin bahawa Malaysia tidak selamat kepada pekerja asing mengundang kecaman pelbagai pihak.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan membidas Fernandez kerana disifatkan sebagai tidak beretika, tidak tepat serta tidak patriotik.
"Walaupun kita tidak mempunyai undang-undang khusus untuk pekerja asing, namun Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk melindungi semua pekerja, termasuk pekerja asing.

"Jika pekerja asing mempunyai masalah atau dizalimi, mereka boleh membuat laporan dengan Jabatan Tenaga Kerja atau pergi terus ke kedutaan masing-masing atau pihak polis. Ada ruang bagi mereka untuk mendapatkan pembelaan," katanya.
Tambah beliau, sebagai ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Malaysia komited untuk memastikan tiada diskriminasi terhadap pekerja di negara ini, termasuk pekerja asing.
Fernandez menerusi temu bual dengan Jakarta Post yang dipetik sebagai berkata, menyatakan Malaysia tidak mempunyai sebarang rangka kerja undang-undang bagi melindungi pekerja asing.
Malah beliau turut mendakwa bahawa kerajaan mendiskriminasi pekerja bagi kumpulan pembantu rumah kerana mengabaikan golongan berkenaan menerusi dasar gaji minimun yang diumumkan baru-baru ini.
Bagaimanapun Maznah menjelaskan bahawa pembantu rumah tidak termasuk dalam dasar berkenaan kerana mereka bekerja di dalam 'sektor tidak rasmi' dan penginapan, makanan, pakaian dan lain-lain keperluan asas ditanggung oleh majikan.
Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, kenyataan Fernandez adalah tidak tepat.
"Beberapa kes penderaan tidak menggambarkan keseluruhan sikap majikan, beribu-ribu orang yang melayan pembantu rumah mereka dengan baik. Kami mempunyai kes pembantu rumah yang mendapat ijazah atau diploma dengan bantuan majikan mereka," katanya.
Katanya lagi adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa pekerja Indonesia ditipu kerana perjanjian pembantu rumah antara Indonesia dan Malaysia memberi memberi banyak faedah kepada kedua-dua pihak.
"Kami mempunyai dasar yang jelas. Gaji pembantu rumah perlu dibayar kepada bank dan majikan perlu membuka akaun. Pembantu rumah itu memegang pasport dan dia mesti diberi perlindungan insurans dan kesihatan.
"MoU ini adalah lebih baik daripada apa-apa perjanjian dengan negara-negara lain. Malah, ada gaji minima sebanyak RM700," katanya.

PKR Parti Yang Mendukung Kepimpinan Tidak Bermoral – Ezam


Sikap berdiam diri Parti Keadilan Rakyat dalam isu skandal seks Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sudah cukup untuk membuktikan pendirian parti tersebut tidak meletakkan nilai moral sebagai asas kepada prinsip perjuangan parti tersebut.
Menurut  Senator Ezam Mohd Nor, mana-mana parti yang meletakkan nila-nilai moral sebagai asas perjuangan, pastinya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin parti tersebut yang telah terbukti melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
“Kita lihat contoh terbaru yang berlaku pada parti PDIP pimpinan Megawati Sukarno yang kini sedang melakukan siasatan terhadap seorang ahli Parlimen ekoran video lucahnya yang telah tersebar di You Tube.
“PIDP memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap pemimpin tersebut sekiranya hasil siasatan membuktikan bahawa dia benar-benar bersalah.  Inilah caranya bagi sesebuah parti politik yang meletakkan nilai-nilai moral yang tinggi dan mulia sebagai asas kepada perjuangan parti.
“Tetapi perkara ini tidak berlaku di dalam PKR yang  konon-kononnya mempunyai pemimpin-pemimpin berakhlak mulia yang  melebihi dari orang lain. Dan Azmin sebagai pemimpin yang konon-kononnya bersih dan telus, perlu meletakkan jawatan dalam parti bagi membuktikan sikap ‘gentleman’ beliau sehingga siasatan selesai di jalan terhadap kes ini,” tegaskepada UMNO Online di sini hari ini.
Sehingga ke hari ini, parti yang kononnya memperjuangkan nilai-nilai murni seperti penghapusan amalan rasuah dan sebagainya itu, langsung tidak bertindak  mahupun untuk menyiasat kebenaran video yang dikatakan membabitkan Timbalan Presiden parti tersebut, biarpun video skandal seks pemimpin itu sudah tersebar pada umum.
“Menyiasat pun tidak, apatah lagi untuk mengambil tindakan. Ini jugalah yang berlaku terhadap Anwar Ibrahim, di mana sudah terang-terang video perlakuan seksnya itu memperlihatkan 99 peratus mirip beliau, namun tidak ada sebarang tindakan atau pun siasatan yang diambil oleh PKR.
“Ini cukup jelas membuktikan, bahawa PKR bukanlah satu parti yang mementingkan intergriti dan moral kerana setakat ini, tidak ada langsung siasatan apatah lagi tindakan terhadap kedua-dua pemimpin tertinggi mereka yang terlibat dalam isu moral seperti yang kita boleh lihat hari ini dan terus mengekalkan pemimpin yang sudah terpalit dengan isu skandal seks untuk menjadi pemimpin mereka,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat terutamanya ahli PKR agar meninggalkan parti tersebut dan berhijrah ke parti yang lebih mementingkan isu moral dan akhlak berbanding PKR hari ini.
“Saya rasa ahli-ahli PKR tidak perlu tunggu lama. Sudah jelas terbukti bahawa PKR tidak kisah tentang moral seseorang pemimpin, bahkan melindungi dan membela pula pemimpin-pemimpin mereka yang terlibat dalam isu salah laku moral seperti Anwar dan Azmin.
“Bagi ahli-ahli PKR yang mempunyai maruah dan meletakkan moral serta  akhlak yang baik sebagai asas perjuangan mereka, terimalah hakikat bahawa PKR bukan lagi satu parti politik yang sesuai untuk dijadikan wadah perjuangan.
“Melihatkan isu-isu skandal seks yang menyelubungi dua kepimpinan tertinggi parti itu, ia sudah terbukti bahawa PKR sebenarnya adalah sebuah parti yang mendukung kepimpinan pemimpin-pemimpin yang tidak berakhlak dan memiliki asas moral yang teruk berbanding parti-parti lain yang ada di negara ini,” ujar beliau mengakhiri perbualan.