Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan setelah mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti undi sebanyak 238 pada pilihan raya kecil kerusi itu hari ini.
Mah, 53, memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya, 27, yang mendapat 19,919 undi.
Keputusan itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini pada kira-kira 9.41 malam.
Sebanyak 66.67 peratus atau 40,236 pengundi daripada 60,349 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Kemenangan Mah itu bukan sahaja menyaksikan kejayaan merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan malah memperkukuh kedudukan beliau sebagai Presiden Gerakan yang dimenanginya pada Oktober tahun lepas, serta kedudukan parti dalam BN.
Dengan kemenangan itu, Mah akan dilantik sebagai Menteri Kabinet berikutan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lepas.
Najib, yang sedang dalam lawatan enam hari ke China, membuat tawaran itu sambil berkata parti Gerakan merupakan parti pengasas BN dan menjadi amalan untuk presiden parti berkenaan menganggotai Kabinet.
Mah, yang mendakwa kempen pilihan raya kali ini paling kotor sejak bertanding dalam pilihan raya umum 1995 di kawasan itu, berjaya menebus kekalahan di kerusi Parlimen yang pernah dimenanginya pada 1999 dan 2004.
Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada 2008 berikutan tsunami politik apabila dikalahkan calon DAP M. Manogaran dengan majoriti undi 1,470 dalam pertandingan satu lawan satu.
Mah juga gagal memenangi semula kerusi itu pada 2013 setelah dikalahkan calon DAP Seah Leong Peng dalam pertandingan tiga penjuru.
Seah memenangi kerusi itu dengan majoriti undi sebanyak 7,313.
Sebelum dipilih sebagai anggota Parlimen Teluk Intan, Mah adalah bekas anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar, yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1995.
Anak kelahiran Teluk Intan dari keluarga yang terkenal di bandar ini, Mah bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan sebanyak lima kali dengan tiga kali menang dan dua kali kalah.
Semasa menjadi wakil rakyat Teluk Intan pada 2004, beliau dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala pada 2006 hingga 2008, Mah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Beliau pernah dilantik Pengerusi Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) dari 2010 hingga September 2013.
Pada 26 Okt 2013, Mah menerajui Gerakan setelah mengalahkan pencabarnya, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow, pada pemilihan parti itu dengan memperoleh 1,086 undi berbanding Teng, 577 undi.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari London School of Economic dan Sarjana Dalam Bidang Pembuatan dari City University London serta Ijazah Perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London, beliau amat dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan rajin bekerja oleh penduduk Teluk Intan.
No comments:
Post a Comment