Kira-kira 4,000 masyarakat Baba dan Nyonya di negeri ini mahu diberikan status Bumiputera, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat memandangkan golongan itu juga wajar mendapat hak istimewa seperti golongan Bumiputera lain.
Jelasnya, kewujudan masyarakat Baba dan Nyonya telah lama berkembang sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan ia merupakan khazanah negara yang perlu dipertahan serta dikekalkan.
"Baba dan Nyonya merupakan masyarakat istimewa yang tidak terdapat di mana-mana negara lain di dunia kecuali Malaysia dan Melaka pula adalah negeri paling ramai mempunyai penduduk Baba dan Nyonya," katanya.
Asal Usul Baba Dan Nyonya
- Segolongan keturunan kaum Cina yang unik kedudukannya di kalangan kaum Cina yang terdapat di Negeri-negeri Selat, Tanah Melayu (kini sebahagian Malaysia), khususnya di negeri Melaka.
- Masyarakat ini dikatakan telah wujud sejak lebih 600 tahun lalu iaitu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka apabila mereka datang untuk berdagang di bumi ini dan kemudiannya berkahwin dengan masyarakat Melayu.
- Sebahagian mereka enggan mengakui bahawa mereka adalah orang Cina tetapi sebaliknya mendakwa bahawa mereka adalah rakyat British dan amat berbangga dengan kedudukan ini.
- Mereka mengeji pendatang-pendatang Cina yang baru dan mempunyai kelab tersendiri yang tidak membenarkan pendatang-pendatang Cina masuk.
- Mereka memanggil diri mereka sebagai “Baba” atau “Peranakan” kerana kebudayaan mereka, yang berasal daripada warisan tradisi Cina, mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu.
- Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka di zaman silam, iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu, adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai “Baba”.
- Kebanyakannya masih mengekalkan agama tradisional Cina dan Buddha, namun telah ramai yang memeluk agama lain seperti Kristian yang amat popular dalam kalangan remaja.
Pakaian
- Terdiri daripada baju kebaya (baju panjang dan batik sarung) dan kerongsang.
- Rekaan kasut manek tradisional sering memperlihatkan motif bunga Eropah dan warnanya dipengaruhi oleh tembikar Peranakan dan sarung batik. Mulai 1930-an, kasut manek menjalani perubahan dengan diberi rekaan moden dan ditambah tumit.
- Suku Peranakan di Indonesia ada baju kebaya tersendiri, terutamanya ‘kebaya encim’, serta mengemmbangkan corak batik tersebdiri yang bermotifkan Cina.
Bahasa
- Masyarakat baba Nyonya di Melaka fasih bertutur bahasa Melayu dan mengikut fakta sejarah golongan ini mempunyai pertalian dengan darah keturunan Melayu di mana mereka fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
- Selain menggunakan Bahasa Melayu dalam pertuturan seharian mereka juga boleh bertutur bahasa Hokkien.
Saya = goa (bahasa Hokkien) Anda = lu (bahasa Hokkien) Dia = dia (bahasa Melayu) Kita = kita (bahasa Melayu)
Budaya
- Kebanyakan orang Baba juga adalah Hokkien dan mereka yang berasal daripada keturunan Hokkien masih menganggap diri mereka sebagai orang Hokkien meskipun kebanyakannya tidak pandai bertutur dalam loghat Hokkien. Ada juga orang Baba yang berasal daripada keturunan Kantonis, Hakka, dan lain-lain.
- Budaya Baba berasal dari Melaka tetapi apabila Pulau Pinang dan Singapura berkembang dan dimajukan, banyak juga di antara mereka yang berpindah ke kedua-dua negeri ini.
- Kaum Baba yang wujud pada hari ini bertutur dalam bahasa Baba iaitu sejenis dialek Melayu yang dapat difahami oleh kebanyakan orang Melayu. Cara masakan mereka kebanyakannya diresapi oleh cara masakan Melayu dan adalah menjadi satu kebiasaan bagi mereka makan dengan menggunakan tangan sebagaimana juga orang-orang Melayu.
- Tocang yang dianggap sebagai lambang pengabdian kepada kerajaan Manchu, serta tradisi mengikat kaki kaum wanita yang dianggap sebagai adat yang tidak bertamadun.
- Rumah Baba juga dibina berdasarkan pelan-pelan tradisional Cina berbanding dengan Melayu.
Agama
- Baba dan Nyonya mengamalkan agama-agama tradisional Cina, menyambut Tahun Baru Cina dan Perayaan Tanglung, sambil mengamalkan adat resam Melayu dan penjajah barat. Pengaruh Portugis, Belanda, British, Melayu dan Indonesia meninggalkan kesan dalam budaya Peranakan.
Masakan
- Kesan dari pengaruh Melayu, lahirnya masakan “Nyonya” yang menggunakan rempah masakan Melayu. Contohnya ayam kapitan, sejenis kari ayam kering; inci kabin, iaitu ayam goreng cara Nyonya; dan pindang bandeng, kuah ikan yang dihidangkan ketika meraikan tahun baru Cina di singapura.
Perkahwinan
- Saudagar Cina di Melaka zaman silam gemar menmperisterikan atau mempergundikkan wanita Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu atau Sumatera.Hasilnya, suku Baba dan Nyonya memperlihatkan campuran budaya Cina dan Melayu yang bersinergi.
- Catatan dari abad ke-19 dan awal abad ke-20 menyatakan bahawa lelaki Baba lazimnya mengahwini wanita dalam masyarakat Peranakan setempat. Ada kalanya, keluarga Peranakan membawa masuk pengantin dari China atau menghantar anak perempuan ke China untuk mencari suami.
- Orang Peranakan biasanya berkahwin dengan pasangan setempat yang sama darjatnya. Lelaki kaya paling menggemari chin choay atau perkahwinan matrilokal iaitu si suami menyertai keluarga isteri.
- Lamaran memerlukan buah tangan pinangan, iaitu bakul berkilau dua tingkat, yang dibawa oleh pengantara yang mewakili pelamar kepada ibu bapa pengantin idaman. Kebanyakan suku Peranakan tidak beragama Islam, sebaliknya memelihara adat penyembahan nenek moyang dari kaum Cina, tetapi ada yang memeluk agama Kristian.
- Majlis perkahwinan Peranakan yang banyak mengetengahkan tradisi Cina merupakan antara perkahwinan tradisi yang paling berwarna-warni di Malaysia dan Singapura. Majlis diserikan dengan lagu berima spontan dondang sayang yang dinyanyi dalam bahasa Melayu dan ditari oleh para hadirin di jamuan.
- Pendondang bergilir-gilir menyambungkan lagu bertema asmara sambil menari berpusing-pusing dengan perlahannya. Dondang sayang memerlukan kemahiran berjenaka dan bertikam balas, siapa yang bijak berdondang maka dialah yang meraih gelak ketawa dan tepukan tangan ramai-ramai. Pelat loghat dan cara berbahasa Baba dan Nyonya serta kepandaian menyerikan lagi persembahan.
- Perkahwinan tradisional baba nyonya merupakan satu majlis yang memenatkan dan akan berlangsung selama 12 hari. Menurut mereka jika orang yang sama berkahwin sekali lagi pun, dia tidak akan berpeluang untuk mempunyai upacara sebegini sekali lagi. Segala urusan mencari jodoh bagi anak perempuan akan diuruskan oleh ibu bapa mereka, mereka tidak boleh membantah keputusan orang tua. Jika seseorang perempuan itu belum berkahwin sebelum usia 20 tahun mereka akan dianggap sebagai anak dara tua, mereka juga akan mengalami kesukaran dalam soal mencari jodoh. Bagi pihak lelaki pula, mereka selalunya akan berkahwin dalam usia 20 tahun.
- Permulaan majlis perkahwinan baba nyonya bermula apabila pihak pengantin perempuan menerima rombongan peminangan daripada pihak pengantin lelaki. Orang tua pasangan pengantin akan menguruskan tarikh melangsungkan perkahwinan, setelah mereka memilih satu hari yang baik (bertuah) dengan menggunakan kalendar cina jemputan akan dikeluarkan. Jemputan akan dikeluarkan kepada mereka yang terlibat, jemputan ini dipanggil “antah sireh”. Masyarakat baba nyonya tidak menggunakkan kad jemputan sebaliknya mereka menghantar wang yang mengandungi kacang , limau, dan daun sirih (sekapur sirih) sebagai ganti. Seorang nyonya tua akan diberi tugas ini iaitu pergi ke rumah-rumah tertentu untuk menghantar jemputan yang unik ini, walaupun setiap keluarga menerima sehelai daun sirih tetapi ia bermaksud untuk menjemput seluruh keluarga ke majlis perkahwinan itu.
Muzium
- Bahan-bahan bersejarah dari kebudayaan Baba dan Nyonya dipamerkan di pusat-pusat kebudayaan seperti Jonker Street (Melaka), Pulau Pinang dan Muzium Peranakan (Singapura).
- Di tempat-tempat sedemikian, anda boleh mencari muzium yang mempamerkan perabot, makanan, dan pakaian tradisi Baba and Nyonya. Juga terdapat kedai-kedai makan “Nyonya” di Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Jakarta, Semarang, Surabaya, dan juga di Barat. Pertunjukan seni Peranakan mingguan juga diadakan di pasar malam Jonker Street.
Pantang Larang
- Masyarakat Baba dan Nyonya masih lagi percaya kepada pawang dan bomoh. Tujuan mereka pergi berjumpa dengan pawang tersebut untuk meminta tolong menghalau atau membuang jin atau hantu tersebut daripada mengganggu anak mereka.
- Ibu yang hamil tidak boleh keluar rumah pada waktu senja. Mereka percaya bahawa darah ibu yang mengandung anak sulung sangat disukai oleh pontianak dan langsuir. Sekiranya terpaksa juga keluar, ibu tersebut dikehendaki membawa barangan yang diperbuat daripada besi, antaranya pisau untuk menakutkan hantu.
- Masyarakat Baba dan Nyonya juga percaya akan perubatan tradisional dalam perubatan penyakit. Contohnya dalam penyakit demam campak atau ‘Chicken Pox’, masyarakat Baba dan Nyonya akan berjumpa dengan bomoh untuk mendapatkan air penawar untuk diminum dan dijadikan air untuk mandi.
No comments:
Post a Comment