Nuffnang Ads

Thursday 22 May 2014

Sejak PRU Pertama, UMNO Sudah Iktiraf Wanita – Mas Ermieyati

Pakatan pembangkang khususnya DAP tidak perlu mendabik dada kononnya mengiktiraf golongan wanita muda apabila mengetengahkan calonnya Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan sedangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah lebih awal berbuat demikian, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyati Samsudin.
“DAP tak usahlah nak sembang kononnya membela kaum wanita sebab UMNO yang lebih awal iktiraf golongan terbabit dalam kepimpinan dan masih meneruskan perjuangan membela kaum terbabit,” katanya.
Jelas beliau, kaum wanita sebagai calon dalam pilihan raya tidak pernah ditolak dalam BN malahan calon wanita pertama yang mula-mula bertanding dalam pilihan raya pertama tahun 1955 adalah wakil dari BN yang sebelumnya parti perikatan iaitu Halimahton Abdul Majid.
“Dalam pilihan raya 1959 pula, Ibu Zain dan Fatimah Hashim telah bertanding di kerusi Parlimen dan menang, hinggalah sekarang bilangan calon wanita bertambah malahan saya sendiri diberi peluang sebagai wakil rakyat hasil penglibatan saya dalam politik bersama-sama Pergerakan Puteri UMNO,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Jelas beliau jika pakatan pembangkang dan DAP mengatakan mereka mengetengahkan golongan muda dan profesional maka sebenarnya laluan tersebut telah lebih awal dirintis oleh UMNO sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, seramai sembilan orang dipilih dari kalangan pemimpin pergerakan Puteri UMNO di seluruh negara.
“Perjuangan golongan wanita tidak pernah berhenti dan dalam UMNO Pergerakan Puteri bergerak selari dengan Pergerakan Wanita iaitu untuk mendapatkan kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam kepimpinan.”
Tambahnya, biarpun DAP menampilkan Dyana Sofya dalam PRK, tetapi calon terbabit tidak memberi impak atau tarikan kepada golongan wanita muda yang dkhuatiri akan beralih sokongan dari Puteri UMNO kepada Dap.
“Gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO telah diatur, kita fokus kepada matlamat kita dan kita tidak lihat kemunculan Dyana Sofya akan memberi kesan kerana Puteri UMNO ada kekuatannya sendiri.”
Dalam PRU lalu, calon pergerakan Puteri UMNO yang bertanding dalam kerusi Parlimen selain daripada Mas Ermieyati ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mewakili Papar manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah Asmaiza Ahmad (Chuping), Datin Norsabrina Mohd Nor (Kulim-Bandar Baharu), Salbiah Mohamed (Temenggor), Nolee Ashilin Mohd Radzi (Tualang Sekah), Nurhidayah Mohd Shahaimi (Luit) dan Norshida Ibrahim (Buloh Kasap).
mesyuarat-kaum-ibu-umno-kuala-lumpur-1954-wanita-perjuangan-malaysia

Pas ‘Double Standard’ Ajak Sokong Calon Islam Di Teluk Intan Tapi Tolak Di Bukit Gelugor

Pas tidak seharusnya ‘double standard’ berhubung pemilihan calon antara Islam dan bukan Islam pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan memandangkan perkara tersebut tidak pula dicanang pada kempen pilihan raya kecil di Bukit Gelugor.
“Ianya mula dimainkan oleh pemimpin Pas di Parlimen Teluk Intan untuk mengajak rakyat dan pengundi di sini untuk mengundi Calon DAP, Dyana Sofea memandangkan dia seorang Islam berbanding memilih calon BN, Datuk Mah Siew Keong yang bukannya beragama Islam.
“Kita mengambil contoh apa yang berlaku di Bukit Gelugor sekarang apabila ada ahli Pas sendiri bertanding di Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor, dia seorang Islam yang bernama Mohamed Nabi Bux, namun apabila bertanding di Parlimen Bukit Gelugor, dia tidak mendapat sokongan sahabat-sahabatnya dari Pas sendiri,” kata  Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ustaz Fathul Bari  Mat Jahaya.
Beliau persoal lagi ini kerana sahabat-sahabatnya dari Pas menyokong anak Karpal Singh bernama RamKarpal.
“Mereka sokong anak Karpal Singh berbanding Nabi Nux sedangkan Nabi Nux itu membawa misinya mempertahankan hudud dan nak bawa hudud.
“Mengapa di sana, isu seperti ini tidak dimainkan, mengapa kamu memilih orang bukan Islam, mengapa kamu tidak memilih orang Islam?,” ujarnya ketika menyampaikan Ceramah Perdana di Kampung Selabak, Teluk Intan malam tadi.
Tambah beliau lagi Pas sepatutnya konsisten dalam isu ini.
“Kadang-kadang orang guna nas, guna ayat Al-Quran, guna Hadis untuk memberi kepentingan sahaja.
“Cukup kepentingan dia, sesuai dengan hawa nafsu dia, dia akan guna. Kalau tak sesuai, ‘ini kita simpan’. Macamlah ayat Al-Quran itu tak terpakai di Bukit Gelugor Pulau Pinang, tapi terpakai di Teluk Intan. Hadis itu terpakai di Teluk Intan, tapi tak terpakai di Bukit Gelugor. Tak boleh macam itu.
“Jangan buat agama macam itu. Agama itu bukan macam capati, nak makan makan tak nak makan, sudah. Jadi saya minta tolong pada sahabat dalam Pas, jangan main isu ini,” katanya.

Calon Melayu Nyiru Untuk Tutup Sikap Rasis, Cauvinis, Tentangan Hudud DAP

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata bahawa tindakan DAP meletakkan calon Melayu di dalam Pilihanraya kecil (PRK) Teluk Intan ini adalah semata-mata untuk menutup sikap dan pendirian DAP yang rasis serta mahu menenggelamkan penentangan sikap dan pendirian kepimpinan DAP terhadap isu hudud yang dibawa oleh sekutu mereka, Pas.
Menurut beliau, DAP sedar bahawa isu penentangan mereka terhadap perlaksanaan hudud merupakan satu isu besar yang boleh menjadi punca hilangnya sokongan rakyat khususnya pengundi Melayu di kawasan tersebut kepada DAP.
“Jadi untuk menutup isu tersebut, serta juga mahu  melenyapkan persepsi negatif rakyat berhubung pertelagahan mereka dengan parti Pas berhubung isu perlaksanaan hudud ini, maka DAP bermain muslihat  dengan meletakkan calon Melayu di dalam PRK ini.
“Mereka tahu, sekiranya DAP meletakkan calon bukan Melayu, mereka tidak akan mendapat sokongan daripada pengundi Melayu ekoran penentangan keras kepimpinan DAP terhadap hudud,” ujarnya di sini hari ini.
Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa strategi DAP meletakkan calon Melayu pada PRK Teluk Intan ini adalah semata-mata untuk mengaburi pandangan rakyat terutama di kalangan pengundi Melayu berhubung pendirian dan ideologi rasis dan cauvinis yang menjadi pegangan parti tersebut selama ini.
“Dyana Sofya merupakan umpan DAP untuk membuktikan bahawa kononnya parti tersebut tidak rasis dan terbuka untuk semua kaum. Tetapi apa yang perlu difahami oleh rakyat, khususnya pengundi di parlimen Teluk Intan ialah, ideologi dan prinsip hak kesamarataan serta gagasan Malaysian Malaysia yang menjadi perjuangan DAP juga merupakan prinsip politik dan perjuangan calon DAP tersebut, biarpun beliau berbangsa Melayu.
“Dalam masa yang sama, saya juga  menganggap tindakan DAP meletakkan calon Melayu ini adalah sebagai satu signal ataupun sindiran kepada Pas, bahawa parti tersebut mampu untuk mendapat sokongan di kalangan pengundi Melayu tanpa Pas. Mereka mahu membuktikan kepada Pas, mereka mampu untuk menarik sokongan pengundi Melayu tanpa bantuan dari parti tersebut,” ujarnya.

Wanita UMNO Cadang Wujud ‘One Stop Centre’ Atasi Isu Pembantu Rumah

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Wanita telah membuat ketetapan untuk memperjuangkan masalah pembantu rumah yang dilihat semakin membelenggu kehidupan rakyat.
Jelas beliau, isu pembantu rumah masa kini dilihat semakin menghimpit kebanyakan keluarga dan oleh yang demikian penubuhan ‘One Stop Centre’ dirasakan dapat membantu menyelesaikan isu ini.
“Pergerakan Wanita akan mencadangkan kepada kerajaan agar dapat menubuhkan ‘One Stop Centre’ agar segala masalah berkaitan dengan pembantu rumah dapat ditangani dengan cepat dan baik.
“Contohnya, kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang terbabit ditempatkan di satu tempat iaitu di One Stop Centre ini. Jadi, ini memudahkan rakyat untuk berurusan dan tidak tercari-cari kementerian dan agensi manakah yang perlu mereka pergi untuk menyelesaikan masalah pembantu rumah,” ujarnya selepas merasmikan Bengkel Revolusi Pelaksanaan Proses Pengambilan Pembantu Rumah di PWTC hari ini.
Tambah beliau lagi disebabkan terlalu banyak agensi yang terlibat di dalam isu pembantu rumah maka Pergerakan Wanita amat berharap agar One Stop Centre ini dapat diwujudkan secepat mungkin.
“Terpulang kepada kerajaan nak wujudkan di mana tetapi ianya tidak boleh dilengahkan lagi. Masalah pembantu rumah ini sudah terlalu lama dan ianya perlu ditangani dengan segera.
“Inilah tujuan bengkel ini dan bengkel ini akan teruskan untuk masa hadapan dengan penyertaan dari golongan berbeza pula,” ujarnya. 

Wakil Rakyat BN Desak Rayer Mohon Maaf, Tarik Balik Perkataan ‘Celaka’

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid menyifatkan perkataan yang dikeluarkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima itu sebagai jijik, jahat dan menghina selain boleh menimbulkan perasaan benci dan provokasi kepada Umno khususnya wakil rakyat BN dan rakyat.


“Saya mohon Datuk Speaker supaya Seri Delima memohon maaf dan menarik balik kenyataannya. Kita mempunyai jiwa yang besar untuk menjaga martabat dewan ini. Jangan kita menjadi pencetus kepada kemarahan dan ketidakstabilan.
“Kalau pihak pakatan rakyat, kerajaan negeri, minta untuk menyokong usul ini bagi menjaga kemuliaan dan martabat dewan, kita tak ada masalah. Bagaimanapun, janganlah kita biarkan dewan ini dicemari dengan perkataan yang tidak sepatutnya dan ia perlu ditegur dan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas usul tergempar membincangkan kejadian sekumpulan lelaki menceroboh DUN semalam, yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng pada persidangan DUN, di sini hari ini.
Semalam, sekumpulan 100 lelaki terdiri daripada anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang untuk mencari Rayer yang mengatakan “Umno Celaka” dalam persidangan Dewan pada Selasa.
Rayer mengeluarkan perkataan itu ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969.
Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mendakwa keengganan Rayer memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu adalah punca tercetusnya kejadian itu.
Beliau turut mengkritik kandungan usul tergempar yang dikemukakan Ketua Menteri yang mendakwa Umno Pulau Pinang bertindak memimpin sekumpulan lelaki terbabit yang menghina kemuliaan dewan.
“Kami tidak pernah menyuruh, mengarah mereka malah tidak bersetuju dengan apa yang berlaku semalam. Malah kami ada menghantar SMS meminta kumpulan terbabit bertenang, sabar dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.
Nordin Ahmad (BN-Bayan Lepas) pula berkata setiap wakil rakyat perlu menjaga percakapan dan menghormati antara satu sama lain bagi mengelakkan berlakunya kejadian seumpama itu.
“Perkara ini tidak akan berlaku kalau tidak ada sesiapa yang menyakitkan hati sesiapa. Adakah ini yang kita mahukan, meniup keadaan yang boleh menimbulkan kemarahan,” katanya.

Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur Bantu Ekonomi Malaysia Tingkat Rantaian Nilai, Kata Najib

Langkah Malaysia untuk mengukuhkan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur, yang memberi tumpuan kepada teknologi tinggi dan pekerja berkemahiran tinggi akan membantu ekonomi meningkatkan rantaian nilai dan seterusnya kepada status berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Bukan sahaja Dasar Pandang Timur diteruskan di bawah kepimpinan saya, tetapi juga selaras dengan program transformasi untuk Malaysia. Reputasi Jepun bagi kepimpinan ekonomi sudah terkenal dan juga diperakui, kata beliau.
Pada awal tahun 1980-an, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia memulakan dasar ‘Pandang ke Timur’, beralih ke Jepun dan Korea sebagai inspirasi, membantu untuk melatih generasi akan datang pelajar Malaysia dan pemimpin perniagaan dengan cara Asia Timur.
“Keadaan berbeza ketika itu. Asia sedang meningkat, tetapi pertumbuhan pesat sebenar masih belum berlaku,” kata Najib dalam ucap tama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia, “Kebangkitan Asia: Mesej Untuk 20 Tahun Akan Datang” yang diadakan di sini hari ini.
Persidangan itu dianjurkan oleh kumpulan media antarabangsa, Nikkei Inc, Jepun.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Inc, Tsuneo Kita.
Ini merupakan penampilan kedua Najib sebagai penceramah utama di persidangan Nikkei. Kali pertama pada Persidangan Nikkei ke-17 pada 2011.
“Kemunculan ekonomi ‘Harimau’, dan pembaharuan di China, menunjukkan kepada dunia bahawa ada sesuatu sedang berlaku di Asia. Pada tahun 1980-an lah frasa ‘Abad Asia’ dicipta. Tetapi bagi ramai pemerhati, Asia masih ‘satu cerita untuk esok’,” kata beliau.
Bagaimanapun, Najib dengan segera menjelaskan berkata ‘esok itu telah tiba’.
Dari segi ekonomi dan politik, Asia kini menjadi pusat hal ehwal dunia. Rantau yang paling ramai penduduk ini juga merupakan satu daripada rantau yang paling dinamik.
Perdana Menteri menekankan bahawa pembangunan ekonomi yang cemerlang telah menyebabkan dunia memberi tumpuan terhadap prospek Asia.
“Apabila krisis kewangan baru-baru ini menjejaskan keyakinan dalam pasaran kukuh, lebih banyak syarikat dan negara mula ‘memandang ke Timur’.
Peningkatan kesedaran momentum ekonomi juga telah menimbulkan kepentingan geopolitik, memandangkan kuasa baru muncul dan kuasa mantap bersaing untuk pengaruh di Asia.
“Trend ini tidak menunjukkan tanda untuk reda. Dalam tempoh 20 tahun, Asia telah bersedia untuk menguasai lebih daripada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global, dan 60 peratus daripada kelas pertengahan dunia,” kata beliau.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertumbuhan ini akan disertai oleh kedudukan, pengaruh dan minat global yang semakin bertambah dan Asia perlu bersedia menghadapi cabaran itu.
“Ekonomi Asia akan kekal menjadi tumpuan, dan dinamik dalaman kita dalam pemerhatian. Zaman pengasingan Asia tidak akan berulang. Kita adalah satu daripada pusat baharu graviti di dunia pelbagai polar yang baharu,” kata Najib.
Terdahulu dalam ucapan pembukaan Najib berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe, ekonomi Jepun telah kembali pulih dan kini kelihatan bersedia untuk melalui tempoh pertumbuhan mampan, dengan itu menetapkan satu standard baru bagi pembaharuan.

DAP Usah Main Politik Dolak-Dalih…. Patut Jujur Kepada Pengundi

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini membidas sikap DAP yang tidak mahu memperjelaskan pendirian mereka yang sebenar berhubungi isu-isu sensitif seperti Perkara 153, UiTM dan Hudud yang selama ini menjadi sasaran kritikan dan serangan mereka.
Menurut beliau, sekiranya DAP  tidak bersetuju dengan peruntukan Perkara 153 dan UiTM sebagai sebuah institusi Melayu, dan menentang usaha Pas menggunapakai undang-undang Islam, maka ini perlu dinyatakan dalam kempen-kempen DAP dengan jelas supaya pengundi  tahu apa pendirian, prinsip dan ideologi parti yang bakal mereka berikan undi.
yb-dr-salleh-said-keruak-umno-bn-sabah
“Pilihan raya atau pilihan raya kecil merupakan platform dan peluang untuk calon-calon untuk menerangkan dasar dan ideologi parti mereka kepada pengundi. Di sinilah tempatnya untuk mereka memperjelaskan kepada pengundi tentang pendirian parti.
“Mereka tidak sepatutnya memberitahu kepada pengundi “tidak mahu memberi komen” apabila ditanya tentang sesuatu perkara, kerana ia bermakna mereka tidak bersifat terbuka dan ada menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan pengundi.
“Adalah tidak jujur bagi parti  itu untuk meminta sokongan daripada pengundi tetapi enggan menyatakan pendirian sebenar mengenai isu-isu yang sensitif seperti Perkara 153, UiTM dan Hudud,” ujarnya di sini hari ini.
Tambah Salleh, jelas sekali ini merupakan taktik DAP untuk meraih sokongan pengundi Cina yang kini berada di persimpangan jalan sama ada menyokong DAP atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu.
“Bagaimanapun, strategi kempen yang menyentuh isu sensitif bakal mengundang risiko kerana kemungkinan ia akan merubah senario kepada persaingan Melayu lawan Cina atau bukan Melayu dan perkara ini telah disedari oleh Dap.
“Ini memandangkan sebelum ini, Dyana Sofya telah membuat kenyataan berhubung perlaksanaan Hudud yang Malaysiakini muatkan di Youtube, di mana jelas memperlihatkan  Dyana Sofya menentang perlaksanaan hudud di negara ini kerana itu adalah pendirian parti yang diwakilinya.
“Dan hari ini kita dapat lihat Dyana Sofya enggan mengulas mengenai perkara itu mungkin kerana  DAP menyedari komennya itu tidak  memberikan impak  sepertimana yang diharapkan, malah boleh menjejaskan sokongan pengundi Melayu terhadap DAP,” jelasnya.
Salleh seterusnya menegaskan bahawa dalam isu Uitm yang dibangkitkan oleh Dap baru-baru ini, beliau berkongsi pendapat dengan Pro Canselor Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad,  bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu terus kekal sebagai satu-satunya institusi Melayu.
“Saya bersependapat dengan Tan Sri Dr Rahman yang mengulas gesaan calon DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud agar peluang samarata diberikan kepada semua untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam di negara ini.
“Justeru itu, hujah Tan Sri Dr Rahman yang menyatakan bahawa adalah UiTM itu ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan seterusnya menekankan bahawa hak atau keistimewaan Bumiputera dan perkara ini tidak harus dipersoalkan lagi,”akhiri beliau. 
pas-dyana-melayu-sokong-pemimpin-parti-rasis-cauvinis-cina-india-lim-kit-siang-rsn-rayer-umno-celaka-islam

Antara Hudud Dan Undi, Pas Tidak Patut Main Wayang…

Pas perlu mengecualikan dirinya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan memandangkan calon DAP Dyana Sofya menyatakan ikrarnya untuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen, untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan sebagaimana pendirian DAP.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Alwi Che Mat berkata sekiranya Pas tidak berbuat demikian dan meneruskan sokongannnya pada pilihan raya kecil berkenaan bermakna parti tersebut menggunakan hudud sebagai komoditi undi.
“Pas perlu fikir banyak kali sebab tahaluf siyasi ini syaratnya adalah tidak menyebabkan agenda Islam terjejas. Mesti tidak menyebabkan asas mengenai Islam itu terencat sedangkan Pas meletakkan hudud dalam agenda utamanya.
“Jadi bila Dyana sendiri tidak menyokong sepatutnya Pas dalam pilihan raya ini mesti mengecualikan dirinya sebab Dyana dah buat pendirian yang jelas. Kalau Pas sokong juga pada PRK ini bermakna Pas sengaja menggunakan hudud ini sebagai komoditi undi. Benarlah seperti dakwaan sebelum ini bahawa Pas menggunakan Hudud untuk pancing undi “, katanya di sini.
Justeru tegas beliau lagi hudud kepada Pas bukan soal Islam tetapi hudud kepada Pas nampaknya adalah undi.
“Kalau dia betul-betul berpegang kepada prinsip Islam situasi hari ini mereka kena ‘divorce’.
“Tambahan pula berdasarkan prinsip yang dibuat oleh kerajaan Kelantan bahawa MB, Datuk Ahmad Yaakob bersedia hilang jawatan MB sekiranya hudud tidak dilaksanakan , Pas kena bercerai sekarang,” ujarnya.
Dalam wawancara sebelum ini dilaporkan, Dyana menyatakan ikrarnya untuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen, untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan sebagaimana pendirian Dap
Menjawab soalan apakah Pas tersepit dengan situasi yang berlaku di Teluk Intan, Alwi menjawab perkara berkenaan perlu ditanya kepada parti berkenaan.
“Kalau dia rasa tersepit..tersepitlah…kalau tak rasa tersepit tak tersepitlah…saya tidak tahu dia tersepit atau tidak. Dia kena fikirlah tetapi apa Pas nak buat dengan Dyana sekarang. Apa Pas nak kata dengan Dyana sekarang?” soalnya.
dyana-sofya-calon-melayu-islam-ambil-pendirian-polisi-parti-dap-tolak-sokong-hudud-teluk-intan-perak
gobind-singh-deo-karpal-pas-putar-belit-guna-hudud-agama-islam-kebenaran-demi-sokongan-undi-syurga

Wednesday 21 May 2014

Pengundi Hantu, Penipuan, Ketidakadilan Dalam Pemilihan PKR 2014


Pakatan Rakyat selalu mempertikai kredibiliti SPR dan menuduh BN tipu dlm proses pilihan raya. Tapi sampai sekarang satu bukti pun tiada. Punyalah terdesak nak tuduh BN menipu sampai sanggup buat lakonan proses mengundi kononnya berlaku "blackout" masa PRU.

Bolehkah disimpulkan tuduhan-tuduhan tersebut ialah fitnah???

Ironinya, pemilihan jawatan dalam parti-parti komponen BN semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah tak seperti pemilihan parti-parti pakatan.

Belum termasuk yang bertanding jawatan tertinggi PKR sesama suami isteri dan anak beranak. Tapi yg dituduh amal nepotisme ialah BN. Pelik kan.

Realiti tak seindah mimpi bagi Pakatan Rakyat (PR). 



Pelajar ke UiTM dipilih berdasarkan merit, syarat

Penuntut yang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dipilih berdasarkan merit dan cukup syarat, bukan berdasarkan fahaman politik dan status keluarga masing-masing, kata Naib Canselornya Tan Sri Profesor Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau sekali gus menolak dakwaan calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud bahawa hanya anak orang Umno daripada keluarga berada sahaja dipilih memasuki UiTM berbanding anak keluarga bukan daripada parti itu.

UiTM, jelasnya, mengambil penuntut berdasarkan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ia tidak boleh membuat pilihan mengikut parti.

"Dakwaan (Dyana Sofya) tidak benar, tidak logik, tidak cerdik dan tidak matang," katanya kepada Bernama hari ini ketika dihubungi di London.    

"Ada juga yang datang merayu tidak kira siapa (orang Umno atau bukan Umno), ramai anggota parti bukan Umno datang dengan nama-nama untuk diberi tempat dan ada juga pemimpin parti bukan Umno datang minta tolong calon-calon mereka.

Kita terima (rayuan) dan beri tempat berdasarkan merit dan syarat," katanya.

Dyana Sofya, yang juga bekas penuntut jurusan undang-undang UiTM sebelum ini mendakwa universiti itu hanya mengambil penuntut daripada kalangan keluarga pemimpin Umno yang berada untuk melanjutkan pelajaran, berbanding penuntut miskin yang lebih layak bukan daripada keluarga anggota Umno.

Sahol Hamid menarik perhatian bahawa UiTM mempunyai program khas anak miskin tegar membabitkan 5,000 penuntut daripada keluarga berpendapatan kurang RM3,000 dipilih mengikuti pengajian di universiti itu.

Beliau berkata statistik juga menunjukkan 65 peratus pengambilan penuntut UiTM terdiri daripada anak keluarga kurang berada.

Menurutnya lagi, hampir 70 peratus daripada alumni UiTM yang bilangannya hampir mencecah 600,000 datang dari luar bandar dan daripada keluarga tidak mewah.

Dalam pada itu, Sahol Hamid menegaskan tidak salah untuk mengaitkan UiTM dengan Umno kerana parti itulah yang telah memperkenalkan UiTM dan ia sehingga kini memberi sokongan berterusan dan menjaga kebajikan institusi itu.

"Mana-mana institusi sepatutnya bertuah untuk mendapat sokongan seumpama itu. UiTM berada pada kedudukannya kini kerana Umno dan tiada siapa boleh menafikan hakikat itu," katanya.

Naib Canselor itu menegaskan terdapat banyak institusi di Malaysia dan seluruh dunia yang dikaitkan dengan organisasi dan parti politik.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala pengundian ditetapkan 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. 

Henti jadikan UiTM bahan kempen politik


logo uitm    

Mengulas lanjut, beliau berkata UiTM mempunyai program dipanggil 'JPA/MARA/Petronas Pre-Overseas Programme' yang membantu pelajar yang ditaja JPA termasuk berketurunan India dan Cina menjalani latihan antara setahun dan dua tahun sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara.

Beliau berkata program yang diperkenalkan sejak 1980-an itu turut meliputi program A Level Jerman yang menyaksikan pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti di Jerman.

"Ramai tidak tahu UiTM membantu pelajar bukan Bumiputera mendapat pendedahan melalui latihan selama setahun hingga dua tahun di UiTM sebelum mereka ke luar negara," katanya berhubung program itu yang dibuat di Pusat Pendidikan Antarabangsa (Intec), yang merupakan sebahagian daripada UiTM.

Beliau menjelaskan Intec yang menawarkan pelbagai program, terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan pensyarahnya juga terdiri daripada kalangan pensyarah UiTM.

"Saya yakin UiTM telah melatih lebih ramai anak bukan Bumiputera berbanding Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR). Tanya UTAR dan KTAR berapa ramai anak Melayu lulus dari tempat mereka," tegas Shukri.

PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala hari pengundian ditetapkan 31 Mei.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. 

Persatuan Alumni UiTM Malaysia menegaskan  institusi itu tidak harus dijadikan bahan kempen politik seperti yang dilakukan pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan.

Setiausaha Agung persatuan itu, Shukri Ishak menarik perhatian bahawa setiap individu berhak dalam negara demokrasi memilih arus politik masing-masing.

"Tetapi jangan gunakan UiTM sebagai bahan kempen politik. Jangan babitkan UiTM. Setiap individu berhak membuat kenyataan tetapi biarlah yang benar dan ada bukti.

"Cakap sahaja untuk kempen politik tanpa bukti dan fakta tidak menunjukkan kepintaran atau kecerdasan minda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud dilaporkan mendakwa UiTM mengambil penuntut daripada kalangan keluarga pemimpin Umno yang berada, berbanding penuntut daripada keluarga bukan berada yang tiada kaitan dengan Umno.

Dyana Sofya merupakan bekas penuntut jurusan undang-undang UiTM.

Shukri berkata: "Dia (Dyana Sofya) hanya seorang daripada 600,000 alumni UiTM. Ramai (alumni) juga menjadi pemimpin parti lain daripada Umno." 

Ada Pihak Perguna “Humanrightisme” Untuk Kuasa, Tidak Selari Dasar Negara

Sewajarnya rakyat Malaysia berbangga dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mendedahkan berkaitan fahaman humanrightisme iaitu yang mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan meminta rakyat berhati-hati dengan ancaman fahaman tersebut, katanya Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman.
abdul-aziz-rahman-presiden-MUBARAK-majlis-bekas-ahli-wakil-rakyat-malaysia
Katanya, kecenderungan segelintir pihak yang mahu berkuasa, mendapat pangkat dan kedudukan termasuklah menghalalkan apa-apa sahaja cara dalam politik telah membawa penularanhumanrightisme.
“Sememangnya ada pihak yang mengambil kesempatan atas kebebasan kerajaan namun kebebasan yang ada ini ada batas-batasnya dan bukanlah sehingga boleh melakukan apa-apa sahaja sebagaimana dakwaan mereka termasuklah menggunakan humanrightisme,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menyeru rakyat untuk menolak mana-mana parti politik yang secara sembunyi atau terang-terangan menggunakan agenda luar dalam pengaruh politik mereka atau sebagai taktik menarik perhatian pengundi.
“Humanrightisme cuba diserapkan dalam pemikiran masyarakat dan dibawa dalam arus politik dan sistem sosial dengan agenda untuk menghapuskan sistem pentadbiran tradisi yang selama ini kita pertahankan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi.”
Ujarnya, kecenderungan ini dibuat dengan berbagai-bagai cara sehinggakan wujudnya golongan yang menuntut melalui himpunan jalanan atas nama hak asasi manusia, melalui perbincangan dan juga cuba membawanya ke persidangan Dewan Undangan Negeri.
“Ini dapat dilihat apabila dalam sidang DUN Negeri Selangor yang lalu apabila antara usul yang dibenarkan untuk dibahaskan oleh kerajaan negeri pembangkang adalah mengenai tuntutan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) bagi hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).”
Tegasnya, fahaman humanrightisme bersifat songsang apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi norma agama dan adab susila sedangkan berdasarkan sisitem demokrasi Perlembagaan yang digunapakai sejak sekian lama, Malaysia lebih maju dan cemerlang.
“Setiap isu dan permasalahan yang timbul dalam negara maka kita akan selesaikan berdasarkan pendekatan dan kesesuaian yang ada berdasarkan agama, budaya dan bangsa kita sendiri namun ada pihak yang tidak senang dan menggunakan pelbagai cara sebagaimana humanrightisme ini.” 

Rasuah, Tipu Undi, “Blackout”… Semua Pakej Dalam Pemilihan PKR

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menyifatkan segala caca merba dan huru hara yang berlaku di dalam pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru saja selesai seumpama pepatah mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka yang lebih.
Menurut beliau, pemilihan PKR yang berlangsung baru-baru ini jelas terbukti memperlihatkan pemilihan yang penuh dengan kontroversi dengan pelbagai unsur-unsur penyelewengan seperti rasuah, membeli undi dan juga penipuan undi.
“Saya sebenarnya  kalau boleh tak mau sangat nak komen pasal pemilihan parti orang lain. Tapi saya percaya, melihat perkembangan pemilihan kepimpinan PKR baru-baru ini, secara umumnya rakyat boleh sejauh mana ketelusan dan keadilan yang diamalkan oleh parti tersebut.
“PKR yang kita tahu selama ini adalah sebuah parti yang kononnya memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan  adil melalui NGO mereka iaitu Bersih. Tetapi hari ini,  kita dapat lihat pelbagai kontroversi yang berlaku di dalam pemilihan parti mereka.
“Kalau dulu mereka tuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU yang lepas kononnya melakukan sabotaj dan penyelewengan seperti blackout, ada pengundi hantu dan sebagainya, rupa-rupanya bukan BN yang lakukan, tetapi kepimpinan PKR sendiri yang lakukan di dalam pemilihan parti mereka.
“Maka hari ini kita dapat tengok siapa yang sebenarnya yang mengalami pelbagai masalah dalam pemilihan parti mereka. Hari ini jelas, blackout itu sebenarnya berlaku bukan di dalam pilihanraya umum yang lalu, tetapi hari ini sebenarnya terbukti ianya berlaku di dalam pemilihan parti PKR hari ini.
“Begitu juga dengan isu pengundi hantu yang diuar-uarkan oleh kepimpinan mereka sebenarnya bukannya berlaku dalam pilihanraya umum, tetapi terbukti ianya berlaku di dalam pemilihan parti PKR itu sendiri. Begitu juga dengan senarai pengundi yang salah tidak berlaku di dalam pilihanraya umum, tetapi sekali lagi ianya juga berlaku di dalam pemilihan parti itu sendiri,” jelasnya di sini hari ini.
Kata Khairy, pemililihan kepimpinan di dalam PKR hari ini sudah cukup untuk menjadi hujah dan bukti kepada rakyat di seluruh negara bahawa kepimpinan PKR hanya tahu bercakap tetapi tidak tahu mengamalkan apa yang mereka katakan itu.
“Inilah yang dipanggil kepimpinan yang cakap tak serupa bikin. Cakap berdegar-degar menuduh kerajaan dan BN tidak telus dan bersih dalam pilihanraya umum, tetapi hakikatnya mereka sendiri tidak bersih. Dan saya yakin rakyat dapat menilai bahawa inilah sebenarnya kepincangan besar yang berlaku di dalam PKR.
“Saya harap agar NGO Bersih juga perlu  menegur kepimpinan PKR dalam hal ini,  dan  jangan hanya tegur proses pilihanraya umum saja, jangan hanya tegur SPR saja, tetapi tegur juga political master mereka, iaitu PKR yang hari ini  terbukti tidak dapat mengendalikan pemilihan parti mereka dengan adil dan telus,” tegasnya.

DAP Lebih Utama Isu Kaum Untuk Raih Sokongan Pengundi

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, tindakan DAP meletakkan calon berbangsa Melayu, Sofya Dyana di dalam pilihanraya kecil (PRK) Teluk Intan memperlihatkan parti tersebut lebih mengutamakan isu  kaum dan bangsa untuk menarik sokongan pengundi.
Menurut beliau, kemunculan Dyana Sofya sebagai calon tambatan DAP dalam PRK Teluk Intan ini ternyata menjadi perhatian ramai, lantaran Dyana bukan saja muda tetapi mempunyi paras rupa yang menawan, dan lebih penting lagi bagi DAP ialah calonnya itu adalah berbangsa Melayu.
calon-melayu-islam-dap-gimik-pas-dyana-sofya-bermuka-muka-kempen-tudung-tolak-hudud-pura-pura
“Mengapa hakikat dia berbangsa Melayu begitu penting? Mengapa perlu memberi penekanan kepada perkara itu di dalam ceramah mereka serta menggunakannya sebagai faktor tarikan kepada pengundi ?
“Jika dia berbangsa Cina atau India, adakah dia seorang calon yang kurang baik? Persoalannya sekarang ialah andaikan Dyana Sofya bukan Melayu, adakah DAP memilihnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu ?
“Jelas sekali DAP dan Pakatan Rakyat terlalu memberi penekanan kepada isu bangsa calon yang diketengahkan. Mengapa ia begitu penting untuk menonjolkan Dyana Sofya adalah Melayu dan bukan Cina, India atau apa sahaja?,” jelasnya di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, DAP juga di dalam kempen mereka seringkali   mengutarakan soal bangsa ini untuk memperlihatkan bahawa parti tersebut tidak rasis dan mengungkit semula kisah lama terutama peristiwa Lim Guan Eng yang kononnya dipenjara kerana membela nasib seorang gadis Melayu.
“Kisah itu mereka jadikan bukti bahawa Lim Guan Eng bukanlah seorang yang bersifat perkauman,” sehingga sanggup dipenjarakan kerana membela nasib seorang gadis Melayu yang didakwa ada kaitan dengan kes pertuduhan terhadap Rahim Thambi Chik .
“Tetapi hakikat sebenarnya,  Guan Eng tidaklah didakwa atas kesalahan membela nasib gadis Melayu tersebut tetapi Guan Eng ditahan, didakwa dan disabit kesalahan atas tuduhan hasutan. Beliau tetap juga ditahan, didakwa dan disabit kesalahan hasutan meskipun gadis terbabit Melayu, Cina, India atau bangsa lain. Jadi mengapa perlu DAP terus mengungkit tentang perkara itu?,” soal beliau tegas.
dap_rasis_kurang-ajar_guan_eng_pijak_langkah_melayu_islam
Jelas beliau lagi, Dap di dalam ceramah mereka hanya memberikan  fokus kepada  soal bangsa gadis tersebut dan bukan kesalahan yang dilakukan oleh Lim Guan Eng di dalam kes tersebut.
Tindakan DAP memainkan isu Guan Eng pernah dipenjara kerana  memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu  adalah untuk memberi gambaran Dap bukanlah sebuah parti rasis kerana Guan Eng sanggup dipenjara kerana seorang gadis Melayu, tetapi  hakikat sebenarnya bukanlah seperti itu yang berlaku, kata Salleh.
“DAP terus memberitahu kita bahawa ia adalah parti berbilang bangsa. Parti berbilang bangsa pun masih berasaskan kaum . Kita tidak boleh mengelak daripada dikenali sebagai parti perkauman walaupun parti itu parti berbilang bangsa. Bagaimanapun, jika DAP mendakwa diri sebagai sebuah parti bukan berasaskan kaum , maka ia menjadi perkara yang lain sama sekali.
“Namun begitu, DAP tidak menyatakan ia sebuah parti bukan berasaskan kaum kerana DAP tahu ia tidak boleh lari daripada kenyataan sebenar. Sebab itu, DAP mendakwa sebagai parti berbilang bangsa atau kaum, sekaligus bermakna ia masih sebuah parti berasaskan kaum iaitu lebih daripada satu kaum.
“Jadi tindakan politik DAP yang terus memainkan isu kisah Guan Eng dan calonnya di Teluk Intan yang merupakan seorang berbangsa Melayu memperlihatkan parti tersebut  lebih mengutamakan soal kaum termasuklah membuat pemilihan calon berdasarkan dari sudut pandangan perkauman,” akhiri beliau.
dap-peralat-guna-calon-melayu-alat-politik-gimik-lim-guan-eng-kit-siang-dyana-sofya-teluk-intan-perak

BN Sudah Lama Iktiraf, 70 Calon BN Pada PRU13 Adalah Wanita

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin membidas DAP yang ghairah mencanangkan kononnya mengiktiraf golongan wanita apabila meletakkan Dyana Sofya Mohd. Daud sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan sedangkan Barisan Nasional (BN) telah lama mengangkat wanita sebaris dalam kepimpinan negara.
shahrizat-wanita-umno-bn-sambutan-hari-guru-2014-sekolah-st-george
Jelasnya, soal wanita menjadi calon pilihan raya bukanlah satu isu kerana dalam BN wanita sentiasa diiktiraf sebagaimana 70 calon BN yang bertanding pada PRU ke-13 lalu adalah wanita.
“Sifat keterbukaan DAP yang memilih Dyana Sofya adalah gimik politik mereka dalam meraih sokongan dan undi kaum wanita khususnya yang berbangsa Melayu.”
Dalam PRU lalu, 70 calon wanita BN bertanding dengan 40 daripadanya berjaya memenangi kerusi masing-masing di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu UMNO memperoleh kejayaan besar apabila memenangi 32 daripada 42 kerusi yang ditandingi.
“Calon wanita ini adalah salah satu resepi dari DAP bagi mereka memancing sokongan masyarakat sedangkan dalam soal gender BN tidak pernah mengenepikan persoalan jantina kerana keutamaan adalah kepada mereka yang boleh berkhidmat, sedia bekerja dan mampu melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Antara alasan DAP meletakkan Dyana Sofya sebagai calon PRK Teluk Intan ialah kononnya mengiktiraf golongan wanita muda dan profesional.
“Dalam BN dan UMNO, golongan wanita tidak pernah dipinggirkan malah kebolehan mereka sentiasa diakui, bukan setakat calon PRK, dalam PRU juga mereka turut dipilih, menjadi menteri, diangkat sebagai Senator dan pelbagai lagi jawatan yang bukan saja mengiktiraf kelayakan mereka tetapi secara tak langsung mengakui kebolehan dalam kepimpinan.
“Kalau dalam PRK ini isu gender diketangahkan persolannya mengapa tidak letakkan Dyana Sofya sebagai calon dalam PRU yang lalu dan kenapa pula membawa orang Ipoh untuk bertanding di Teluk Intan?”
Jelasnya, ternyata pembangkang inginkan populariti dalam politik tanpa mengambil kira kebolehan dan kebertanggujawaban mereka untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.
“Inilah taktik politik pembangkang, sedangkan dalam BN keutamaan untuk menjadi pemimpin mestilah mereka yang boleh membantu rakyat, mempunyai keupayaan dengan parti yang diwakilinya juga dapat membawa kemajuan kepada masyarakat keseluruhan.”
Ujarnya lagi, dengan apa yang disajikan kepada rakyat sebagaimana gimik politik di Teluk Intan terbukti bahawa pakatan pembangkang tidak ikhlas untuk menyalurkan bantuan apatah lagi untuk membantu kaum wanita sendiri.
“BN melakukan pemilihan yang lengkap dengan melihat kepada kewibawaan calon untuk bertanding, bukan sahaja mengutamakan calon anak tempatan yang pastinya tahu susah senang masyarakatnya tetapi juga memilih mereka yang benar-benar bersedia berkhidmat.”
Tambahnya, jika persoalan berkaitan gender dijadikan perbandingan maka tentunya BN yang menjadi pilihan kerana dalam PRU sebelum ini sahaja BN mencalonkan 70 calon wanita.
“Kenapa sebelum ini persoalan berkaitan gender tidak menjadi isu utama dalam pembangkang dan apabila Dyana Sofya dipilih barulah nak digembar-gemburkan pula?” 

Tuesday 20 May 2014

Sejarah DAP Buktikan Ramai Pemimpin Melayu Akhirnya Terbuang

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi tidak menolak kemungkinan bahawa calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, calon berbangsa Melayu yang menjadi pertaruhan parti tersebut di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan,  bakal menerima nasib yang sama sepertimana ahli-ahli DAP berbangsa Melayu yang akan terpinggir dan dipinggirkan oleh parti tersebut satu hari nanti.
dap-peralat-guna-calon-melayu-alat-politik-gimik-lim-guan-eng-kit-siang-dyana-sofya-teluk-intan-perak
Jelas beliau, ini berdasarkan sejarah DAP yang tidak pernah ‘merestui’ ahli-ahli berbangsa Melayu di dalam parti tersebut untuk memegang jawatan tertinggi di dalam parti, demi kelansungan survival politik kroni-kroni daripada dua dinasti keluarga dalam parti tersebut untuk terus memegang tampuk kekuasaan parti tersebut.
“Saya yakin, dalam jangka masa yang panjang, Dyana Sofya bakal menerima nasib yang sama sepertimana Tunku Aziz dan juga beberapa ahli DAP berbangsa Melayu di dalam DAP yang akan dipinggirkan suara mereka, di mana akhirnya akan mengambil keputusan untuk keluar dari parti tersebut. Bak kata pepatah, habis madu sepah dibuang.
“Berdasarkan sejarah parti politik tersebut, tidak ada di kalangan kepimpinan Melayu yang terpilih untuk memegang jawatan tertinggi di dalam parti. Jika adapun, mereka tidak mampu untuk  bertahan lama  seperti mana yang berlaku terhadapTunku Aziz dan beberapa pemimpin Melayu yang lainnya.
“Ini adalah kerana agenda dan ideologi DAP yang menentang hak-hak istimewa orang Melayu seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan, serta penolakan mereka terhadap sebarang agenda Islam di negara ini tidak akan berubah, dan ianya sedikit sebanyak pasti akan memberikan tekanan yang akhirnya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan ahli serta kepimpinan Melayu di dalam parti tersebut,” jelasnya kepada di sini hari ini.
guan-eng-dap-rasis-cuba-rasuah-beli-undi-melayu-tunku-aziz-50-ribu-keluar-parti-pakatan
Beliau turut meluahkan rasa hairan dan pelik dengan segelintir sikap kepimpinan dan penyokong di kalangan bangsa Melayu yang terus memberikan sokongan politik kepada parti tersebut, biarpun jelas DAP merupakan sebuah parti yang rasis dan cauvinis, khususnya terhadap hak-hak istimewa bangsa Melayu.
“Saya kira segelintir orang Melayu masih tidak sedar dan tidak serik-serik, serta tidak mahu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap nasib pemimpin Melayu di dalam DAP.
“Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Aziz secara terang-terang memberitahu bahawa parti tersebut sememangnya tidak boleh dipercayai dan hanya lebih mengutamakan kroni dari dua dinasti keluarga itu saja, serta agenda perjuangan yang lebih mengutamakan satu kaum saja. Tetapi  masih ada lagi orang Melayu kita yang tidak sedar-sedar tentang perkara itu dan terus memberikan sokongan terhadap parti tersebut,” tegasnya.

Letak Calon Melayu Hanya Hiasan Luaran DAP – Dr. Mahathir

Tindakan DAP meletakkan calon Melayu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan merupakan tindakan ‘hiasan luaran’ parti itu bagi mengaburi mata orang Melayu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata tidak mustahil ramai orang Melayu akan menyokong calon DAP itu kerana sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu mudah tertipu dengan tindakan seperti itu.
tun-mahathir-mantan-bekas-pm-malaysia-presiden-umno-bn
“Tindakan itu hanya hiasan luaran sahaja tiada harapan apa-apa (diletakkan kepada calon itu), kalau dia (calon itu) menang dia menanglah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berucap pada program Chancellor’s Talk di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan.
PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calonnya menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.
Dr Mahathir turut meluahkan kekecewaan apabila calon yang diletakkan DAP itu datang daripada keluarga yang menyokong perjuangan UMNO sejak sekian lama.
“Kalau datang daripada keluarga pembangkang tak jadi apa pasal sejak kecil diajar benci UMNO…kalau anak orang UMNO depa tak cakap kat anak depa pasal apa UMNO ni ada sejarah UMNO semua, jadi bila dia besar dia bebaslah nak buat apa sahaja,” katanya.
lee-kuan-yew-pap-asal-parti-dap-pakai-songkok-gimik-tarik-undi-melayu-pilihan-raya-malaysia-singapura

Datuk Mah Siew Keong Calon Terbaik Wakili BN – KJ

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong adalah calon terbaik untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Teluk Intan, 31 Mei ini, kata Khairy Jamaluddin.
Ketua Pemuda Umno itu berkata pengalaman luas Mah sebagai bekas penyandang kerusi itu selama dua penggal dan juga bekas timbalan menteri berupaya untuk BN mendapat semula sokongan pengundi di kawasan itu.
muhyiddin-umum-mah-siew-keong-presiden-gerakan-pgrm-calon-bn-teluk-intan-zambry-perak
“Walaupun nasib tidak menyebelahi beliau (Mah) pada pilihan raya umum lepas, saya yakin bahawa dari segi pemahaman mengenai masalah tempatan di Teluk Intan, beliau adalah calon yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, yakin pengundi di kawasan itu mengenali ahli politik berusia 53 tahun itu sekali gus akan memberi sokongan kepada calon BN itu.
Ditanya mengenai DAP yang mencalonkan Dyana Sofya Mohd Daud iaitu setiausaha politik kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang, Khairy berkata: “Sudah jelas ini adalah taktik DAP dan kami tidak bimbang. Kami rasa kami masih ada sokongan kuat khusus di Changkat Jong.”
“Kami mempunyai jentera kuat di sana dan yakin pengundi Melayu di Changkat Jong akan terus memberi keyakinan dan sokongan kepada calon BN,” katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP pada 1 Mei.
Penamaan calon ditetapkan esok manakala pengundian awal pada 27 Mei dan hari pengundian 31 Mei ini.
Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Seah mengatasi calon BN Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti 7,313 undi dalam pertandingan yang turut disertai calon Bebas K. Moralingam.

Program Turun Padang Kerajaan BN Tidak Bermusim – Musa

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menegaskan bahawa program turun padang untuk mendengar keluhan dan menyelesaikan permasalahan rakyat, yang menjadi amalan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, bukan bermusim.
Sebaliknya, beliau berkata program turun padang itu adalah amalan sepanjang masa, tidak kira pada musim pilihan raya atau tidak untuk kerajaan BN menunjukkan penghargaan terhadap rakyat yang menyokong dan memberi mandat kepada BN, terus mentadbir Sabah.
“Kita mesti sedar, kita ini berkuasa atau menjadi wakil rakyat adalah atas sokongan rakyat, atas pilihan rakyat. Oleh itu, kita jangan lupa, jangan sombong, jangan angkuh kepada rakyat. Yang penting, sebagai pemimpin, kita mesti mendekati rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bengkoka dan Kaamatan di Dataran Bengkoka di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Menteri Pertahanan yang juga anggota Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri dan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Bolkiah Ismail.
Musa berkata kerajaan BN merupakan kerajaan yang prihatin dengan akan terus berusaha memenuhi setiap keperluan rakyat meskipun kadang-kala terdapat sesetengah projek yang mungkin memerlukan masa dan kos yang tinggi.
Terdahulu dalam ucapannya, Musa memuji rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, kepercayaan serta keturunan kerana memilih untuk hidup aman dalam kepelbagaian meskipun terdapat cubaan untuk memecahbelahkan keharmonian hidup yang sekian lama dikecapi.
Katanya kemampuan rakyat Sabah untuk hidup aman dalam kepelbagaian dan mendapat pujian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai contoh rakyat 1Malaysia, didasari atas kesediaan rakyat untuk menghormati perbezaan kaum dan agama lain.
Justeru, Musa mengingatkan rakyat supaya tidak mudah dipesongkan pihak tertentu yang ingin memecahbelahkan mereka kerana perbalahan dan pergaduhan tidak akan menguntungkan sesiapa.
“Kalau kita asyik berpecah belah dan bergaduh, sukar untuk kita melaksanakan program pembangunan untuk faedah rakyat. Sebaliknya kalau negeri kita aman, mudah untuk kita membantu rakyat. Di Malaysia ini, kita mesti menghormati sesame kita,” katanya.