Nuffnang Ads

Tuesday 31 July 2012

Olimpik: Chong Wei layak ke suku akhir



Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
SELEPAS hampir dua bulan tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif akibat kecederaan, pemain nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan cabaran Sukan Olimpik 2012 dengan kemenangan bergaya untuk layak ke suku akhir acara perseorangan lelaki.
 
Chong Wei menumpaskan pemain tinggi lampai dari Finland, Ville Lang 21-8, 14-21, 21-11 dalam perlawanan Kumpulan A di Arena Wembley pada malam tadi (waktu London).
 
Selepas menang mudah set pertama, Chong Wei yang mengalami kecederaan buku lali kanan semasa Piala Thomas pada Mei lepas, hilang fokus sekaligus memberikan kemenangan kepada lawannya pada set kedua.
 
Chong Wei kemudian membuktikan bahawa beliau merupakan antara pemain pilihan untuk menjuarai acara itu apabila menang bergaya pada set penentuan.
 
Kemenangan itu juga melebarkan rekod dua kemenangan berpihak kepada Chong Wei ke atas pemain Finland itu.
 
Pada pertemuan terakhir antara kedua-dua pemain itu di Kejohanan Dunia 2011, Chong Wei mudah menumpaskan Lang 21-10, 21-11.
 
Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu, Chong Wei berkata, dia telah dapat menemui kembali rentak permainannya selepas hampir dua bulan tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif.
 
"Kini saya buktikan bahawa saya mampu bermain di set penentuan dan memenangi perlawanan hari ini (semalam)," katanya.
 
Dalam acara perseorangan wanita, pemain negara Tee Jing Yi mencatatkan kemenangan apabila mengenepikan cabaran pemain Itali, Agnese Allegrini 21-7, 21-14. 
Mai Pikiaq Pi: Harap Chong Wei dapat pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik 2012!

Selangor tiada krisis air?


“Krisis air terawat sememangnya wujud di Negeri Selangor walaupun cuba dinafikan. Buktinya kerajaan negeri menyalurkan air melalui lori tangki air. Itu sudah membuktikan bahawa krisis air terawat ini memang berlaku," ujar Koordinator  Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed.
Tambahnya, amat malang apabila Kerajaan Negeri Selangor langsung tidak mahu bertanggungjawab dalam hal ini sebaliknya cuba untuk terus mempolitikkan isu bekalan air.
Ini ternyata tegas beliau sejak isu ini timbul terdapat lori-lori tangki ini yang menyalurkan air turut memaparkan sepanduk yang bertulis "Bekalan air ini sumbangan Kerajaan Negeri Selangor. Hasil negeri untuk rakyat".
“Sepatutnya kalau buka pili air, dah ada air. Ini sebenarnya tanggungjawab asas daripada kerajaan negeri dalam menentukan air terawat patutnya sampai ke pihak pengguna dengan melalui paip.
“Kalau perkara ini tidak menjadi satu krisis maka tak payahlah mereka hantar bekalan melalui lori tangki. Ini yang mengecewakan kita, mereka mempolitikkan perkara ini. Ini memang satu tindakan yang langsung tidak bertanggungjawab,” ujarnya yang juga Setiausaha UMNO Negeri Selangor.
Jelas beliau, rakyat menghadapi masalah bekalan air tetapi mereka menghantar tangki air dengan banner dan poster kononnya ini sumbangan kerajaan negeri, hasil kerajaan negeri dikembalikan kepada rakyat.
“Kenyataan kerajaan negeri ini sungguh tidak bertanggungjawab, ini kerana kita mempunyai pandangan dan pendapat bahawa kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab utama untuk menentukan bahawa bekalan air terawat dapat disampaikan kepada keseluruhan rakyat Negeri Selangor tanpa menggunakan bekalan lori tangki.
“Masalah tekanan air adalah satu perkara yang jelas terjadi hari ini, ia melibatkan kualiti kehidupan rakyat dan bayangkan kalau kita tidak dapat menggunakan air dalam menguruskan kehidupan seharian, ia pasti akan menyulitkan kehidupan kita,” ujarnya lagi. 
Mai Pikiaq Pi: Kerajaan Negeri Selangor masih lagi menegakkan 'benang yang basah' tanpa memperlihatkan keikhlasan mereka dalam mentadbir Negeri Selangor... Sampai bila isu air akan berkesudahan???

Orang Melayu bertelingkah, Mubaligh Kristian masuk kampung berdakyah


Dalam kita bertelingkah dan enggan bekerjasama demi agama dan bangsa, mubaligh-mubaligh Kristian berkeliaran masuk kawasan penduduk Melayu menyebar dakyah mereka.
Ini yang dapat dirakam oleh Pertubuhan Pembela Islam sekitar taman perumahan berdekatan Kampung Pandan yang boleh dikatakan seluruhnya penduduk beragama Islam.
Mereka dilihat datang dalam kumpulan lebih 20 orang kemudian berpecah kepada beberapa kumpulan kecil berselerak sekitar kawasan perumahan tersebut.
Setelah kami pergi bersemuka, mereka cuba mengelak serta berdalih menyembunyi kerja jahat mereka dan kemudian beredar lari.
Kumpulan lebih 20 orang berbangsa Cina ini dikepalai oleh seorang lelaki Mat Salleh (lihat gambar di atas).
Kesemua mereka berjalan membawa beg yang berisi dengan risalah Kristian dan setiap mereka membawa payung.
Pantau dan pastikan kawasan anda selamat daripada anasir-anasir jahat ini.
Bersihkan kawasan anda daripada pendakyah Kristian ini.
Mai Pikiaq Pi: Pastikan segala aktiviti anak-anak kita serta ahli keluarga kita sepanjang berada di rumah dan luar rumah agar tidak terpengaruh dengan dakyah Kristian ini....

PR marah slogan 'Janji Ditepati'


Pembangkang tidak berpuas hati dengan tema sambutan ulang tahun kemerdekaan kerana beranggapan seperti menyindir kegagalan mereka menunaikan janji-janji yang dibuat pada pilihan raya lalu walaupun mereka berkuasa di negeri terbabit bak kata pepatah 'siapa makan cili dia yang terasa pedas'.
Ketua Puteri UMNO Melaka, Mas Ermieyanti Samsudin menyifatkan pembangkang kini boleh diibaratkan seperti 'cacing kepanasan’ dan menganggap apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan semuanya tidak betul dan akan cuba memperbesar-besarkan sesuatu isu untuk mendapat perhatian.
“Pembangkang ini bukan sahaja sudah kehabisan modal politik, mereka kini macam cacing kepanasan, semua yang dibuat oleh kerajaan semua tidak kena sedangkan ia adalah untuk kebaikkan rakyat.
“Slogan 'Janji Ditepati’ itu adalah untuk memberitahu rakyat bahawa kerajaan akan berusaha untuk menepati segala janji yang dibuat kepada rakyat. Kita buat janji kita tunaikan, tidak seperti mereka yang pandai membuat janji tetapi tidak mampu dilaksanakan sebab itu mereka fobia dengan slogan 'Janji Ditepati’, sebab mereka tak mampu buat seperti apa yang kerajaan lakukan,” katanya di sini.
Beliau yang juga Exco Puteri UMNO Malaysia berkata, slogan itu juga untuk memberitahu kepada rakyat bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak hanya berjanji kosong untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat.
“BN sudah memerintah di negara ini lebih daripada 50 tahun, sudah banyak perubahan yang dilakukan untuk dinikmati oleh semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum, agama serta pegangan politik mereka.
“Berbeza dengan pembangkang, baru sahaja memerintah beberapa negeri yang kononya ingin membuat perubahan tetapi pelbagai masalah dan rungutan pula yang kita dengar daripada rakyat terhadap corak pentadbiran mereka,” katanya.
Menurutnya, pembangkang kini berada dalam keadaan keluh kesah dengan kejayaan Barisan Nasional mengembalikan keyakinan rakyat berbanding dengan pembangkang, sebab itu tema hari kebangsaan juga turut menjadi masalah kepada mereka. 
Mai Pikiaq Pi: Sebab janji PR belum tentu dipenuhi.....

HUDUD BUKAN MANIFESTO PR - KARPAL

                              


Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata hari ini sebarang cubaan Pas sekarang untuk memperkenalkan hudud di negara ini mencerminkan dengan buruk niat ikhlas di sebalik apa yang diputuskan di Muktamar Pas tahun lepas.

Beliau berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Ke-57 parti itu Jun tahun lepas secara umum menyatakan bahawa tidak ada disebut negara Islam dalam al-Quran tetapi negara kebajikan.

"Ini mencerminkan tanpa sedikit keraguan pun bahawa Pas telah melupakan matlamatnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Pas, dengan jelas memilih sebuah negara kebajikan," kata Karpal dalam satu kenyataann di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi mengenai pendirian konsisten Karpal menolak hudud.



Karpal berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 8 Jun tahun lepas melaporkan dalam New Straits Times bahawa keputusan Pas mengubah fokus kepada sebuah negara kebajikan dan mengetepikan istilah negara Islam adalah langkah yang betul.

Karpal berkata, hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga.

"Begitu juga, ia tidak akan termasuk dalam manifesto bersama Pakatan Rakyat, tidak mungkin," katanya.

Beliau berkata: "Tidak ada siapa, tidak ada parti, tidak juga organisasi yang boleh mendakwa mempunyai monopoli terhadap Tuhan.

"Saya perlu tegaskan dengan segala kekuatan yang ada pada saya, bahawa saya percaya terhadap Tuhan," ujar Karpal. 



Mai Pikiaq Pi: Pas jangan kerana bencikan Umno sanggup bekerjasama dengan DAP yang terang-terangan parti kafir yang menentang negara Islam... Apa salahnya Pas bersatu dengan Umno demi penyatuan dan keutuhan ummah...

LAJIM DIBERI SURAT TUNJUK SEBAB


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa Ibu Pejabat UMNO telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Datuk Seri Lajim Ukin berkaitan mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada UMNO berikutan pengumuman perletakan semua jawatan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada 28 Julai lalu.
Katanya, Lajim perlu menjawab surat tunjuk sebab tersebut dalam tempoh 14 hari bagi dipertimbangkan untuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan UMNO.
“UMNO memandang serius apa yang dilakukan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Lajim Bin Ukin khususnya dalam pengisytiharan gerakan ‘Pakatan Perubahan Sabah’ (PPS) selain hubungan akrab dengan pakatan pembangkang yang seolah-olah mempersenda kepimpinan dalam UMNO,” katanya.
Jelas beliau, Perlembagaan UMNO Fasal 20.8 telah menetapkan bahawa semua ahlinya hendaklah cintakan parti serta patuh kepada Perlembagaan dan Tata Etika Ahli selain sentiasa memelihara nama baik dan maruah parti.
“Apa yang berlaku ini adalah isu dalaman yang bersifat peribadi membabitkan Lajim dan orang-orang tertentu dalam kancah politik negeri maka ia tidak sewajarnya dikaitkan dengan parti yang telah banyak berjasa kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” tegas beliau.
Lajim telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta Sabtu lalu di kediamannya di Likas Jaya.
Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli UMNO.
Mai Pikiaq Pi: Tak payah bagi surat tunjuk sebab.. dah sah-sah Lajim sokong Anwar Ibrahim!

Monday 30 July 2012

Rahsia Lajim dan Anwar


Hari ini, DSP Lajim Ukin (Lajim) dijangka akan mencatat satu lagi sejarah politik dalam hidupnya, juga kepada politik Sabah. Saya tidaklah asing kepada Lajim kerana beberapa kali bertemu beliau di Parlimen dan di tempat-tempat lain, malahan pegawai-pegawai kanan beliau saya kenali rapat.
Pada 11 November 2010, semasa penubuhan NGO pendidikan iaitu Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) telah ditubuhkan di Kuala Lumpur. Presidennya Datuk Hassan Malik sementara Datuk Lajim Ukin Timbalan Presiden. Saya pula menjadi Yang Dipertua GAGASAN Kota Kinabalu, sebenarnya saya lebih suka menjadi YDP GAGASAN Tawau atau Kalabakan kerana saya lahir di Tawau. Namun, saya menerimanya juga atas dasar persahabatan, perjuangan dan menghormati permintaan pihak Lajim. Lagipun GAGASAN Tawau belum ditubuhkan.
Berbalik kepada kisah Lajim, sebenarnya pertelagahan beliau bukan kepada UMNO atau Perdana Menteri DS Najib Tun Razak. Masalah utama Lajim ialah perselisihan beliau dengan kepimpinan UMNO Negeri Sabah. Perselisihan itu semua orang tahu, antaranya apabila peranan beliau di Bahagian Beoufort dibayangi sepanjang masa oleh seteru beliau iaitu Datuk Azizah Mohd Dun. Dalam hal ini, Datuk Musa Aman khabarnya berpihak kepada Datuk Azizah, maka membesarlah perselisihan itu kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah.
Ayah kepada Datuk Azizah sangat berjasa kepada Negeri Sabah. Selain pernah menjadi DO di Beoufort jika saya tak silap, ayah Datuk Azizah merupakan salah seorang pemimpin USNO yang meminta UMNO dibawa masuk ke Sabah pada tahun 1976 dan seterusnya pada tahun 1986 dahulu.
Kemudiannya, perselisihan faham itu berlanjutan kepada perseteruan yang semakin membesar. Lajim semakin geram apabila projek-projek pembangunan di kawasan Beoufort katanya ditahan. Begitu juga, katanya projek-projek dari persekutuan juga tertahan. Khabarnya juga Majlis Daerah Beoufort (MDB) ketiadaan Dana tambahan untuk membangunkan Daerah Beoufort. Khabarnya juga, Lajim berusaha mengatasi semua masalah tersebut dengan bertemu Perdana Menteri. Dalam hal ini, Perdana Menteri telah memberikan bantuan yang bukan sedikit, maka apakah sebenarnya yang berlaku? Saya bertanya lagi, dan saya dapati ianya adalah kerana masalah di peringkat negeri. Saya tidak boleh mengulas lebih jauh, kerana saya belum bertemu Datuk Musa Aman untuk mengesahkan perkara ini.
Akhirnya semalam, Lajim meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Beoufort, Pengerusi BN Beoufort tetapi mengekalkan keahlian UMNO dan Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan. Dalam hal ini, biasanya akan ada dua tindakan susulan, iaitu Majlis Tertinggi UMNO akan bermesyuarat dan memecat keahlian Lajim. Kenapa Lajim tidak keluar UMNO sahaja? Jawapannya mudah, Lajim masih sayangkan UMNO! Dan Lajim tahu selepas ini, karier politiknya akan menjunam. Saya tidak yakin Lajim boleh menang di Parlimen Beoufort jika dia bertanding atas tiket Sabah Reform Front (SRF).
Sebenarnya Lajim sudah berbulan-bulan bersedia untuk semua yang telah dilakukannya hari ini. Bendera-bendera SRF dan sebagainya sudah lama disediakan di rumahnya. Lajim sudah tahu apa akan berlaku dalam karier politiknya, sebab itulah Lajim sudah bersedia awal.
Saya menghubungi pula beberapa tokoh politik di peringkat pusat, jawapannya mudah kepada mereka, biarkanlah dia. Maknanya tidak perlu pujuk Lajim, dia bukan budak-budak. Itu pilihannya, terserah. Maknanya kepimpinan Pusat tidak berasa apa-apa malah tidak takut malah tidak perlu melayan kerenah Lajim itu. Di peringkat negeri, jawapan yang hampir sama juga. Maknanya, saya fikir selepas ini politik Lajim di Sabah akan menjunam. Saya tidak terkejut jika Lajim tewas di Parlimen Beoufort dan DUN nanti.
Di Sabah, jika DSP Pairin keluar dari gabungan BN, barulah Lajim akan menang! Tetapi jika Datuk Osu Sukam atau Lajim yang keluar BN dan bertanding atas tiket parti lain, kemungkinan besar mereka menang adalah sukar. Dalam hal ini juga, kenapa Datuk Wilfred Bumburing yang keluar bukan DSP Pairin? Anda kena ingat, semasa pemerintahan DSP Pairin dan PBS, beliau tidak dapat melupakan bagaimana DS Anwar menumbangkan kerajaannya dengan cara tidak demokratik, dengan cara rakus membeli wakil-wakil rakyatnya, dan DSP Pairin tidak boleh melupakan bagaimana Anwar ketika berkuasa tidak memenuhi permintaan kerajaan PBS dalam banyak hal seperti permintaan sebuah Universiti di Sabah di mana Anwar menjawab katanya Sabah tidak memerlukan Universiti.
Pada hari ini (29/7/2012), khabarnya Datuk Wilfred Bumburing akan membuat pengumuman rasmi kira-kira 1.00 petang, manakala Lajim akan membuat pengumuman yang sama pada pukul 8.40 malam di rumahnya di Beoufort. Jemputan kepada DS Anwar kerana mereka sudah mempunyai hubungan semasa kejatuhan Kerajaan PBS Sabah pada tahun 1994 dahulu. Semua orang tahu kisahnya.
Komen seseorang dalam peti mesej saya, biarlah Lajim seorang keluar dengan masalahnya, yang penting rakyat Sabah majoritinya masih bersama BN. Dalam hal ini, saya setuju dengan keyakinan DSP Musa Aman, beliau telah membuktikan dua kali PRU di mana BN Sabah mencatat kemenangan 99%.
Saya yakin, DSP Musa Aman masih boleh mengekalkan Sabah kepada BN.
Maka, mengapa perlu bimbang?
Mai Pikiaq Pi: Biarlah kudis itu dibuang terus dari dibiarkan bernanah di atas badan... BN akan semakin kuat dengan sokongan tidak berbelah bagi pemimpin yang sedia ada...

Slogan 'Janji Ditepati' hanya ditakuti golongan pembohong rakyat


Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata slogan “Janji Ditepati” hanya sangat ditakuti oleh orang yang mungkir janji terutama pembohong rakyat.
Justeru beliau menyifatkan tindakan pihak tertentu mempertikaikan slogan tersebut sebagai isu remeh sahaja.
Tegasnya lagi slogan perayaan adalah hak kerajaan yang memerintah, dan isu itu tidak perlu dibahas.
“Sepatutnya tidak timbul persoalan apa slogan yang patut diletakkan, saya tidak nampak masalah besar membahaskan isu slogan ini, dan isu ini remeh sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) di Kelab Sultan Sulaiman di sini, Ahad malam.
Slogan ‘Janji Ditepati’ juga kata beliau bertepatan dengan kerajaan yang memerintah kini.
“Slogan itu mempunyai nilai sejagat, mengotakan janji merupakan nilai sejagat, jadi apa salahnya? Bagi saya, jika kerajaan berkata, ‘kami akan mengotakan janji kami', saya tidak nampak apa yang salah dengan perkara itu.
“Saya ingin menambah, slogan ‘Janji Ditepati’ sangat ditakuti oleh orang yang mungkir janji, tambah lagi pembohong rakyat, orang yang membohongi rakyat lagilah dia takut, yang sampai hari ni tak dibuat,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Slogan 'Janji Ditepati' bertepatan dengan sambutan kemerdekaan yang ke-55 tahun di mana kerajaan telah melaksanakan janji-janji untuk kesejahteraan rakyat....

HASAN ALI GESA PAS JAWAB KENYATAAN PERSEKUTUAN KRISTIAN



Pas digesa tampil menyatakan pendirian berhubung kenyataan dikeluarkan oleh Persekutuan Kristian Malaysia – merujuk kepada senarai prinsip bernegara yang disenaraikan.
Lapan prinsip disenaraikan dalam kenyataan dikeluarkan pada 18 Julai lalu di mana prinsip terakhir merujuk kepada kebebasan beragama merangkumi kebebasan untuk menganut, mengamal, dan menyebarkan agama di mana ia dibenarkan berkembang tanpa sebarang pembatasan tidak wajar daripada undang-undang, penegahan ataupun larangan.
Ini kerana, prinsip tersebut dilihat sebagai satu tuntutan keterlaluan dan di luar lingkungan perlembagaan yang sudah dipersetujui bersama sebelum merdeka.
Perkembangan itu disifatkan mungkin membuka lebih banyak ruang tuntutan yang tidak munasabah, yang akhirnya akan mencetuskan kekacauan, huru-hara dan ketidakstabilan dalam negara.
Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali pada sidang medianya hari ini beranggapan tuntutan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan semangat perlembagaan tetapi ia akan merungkai asas kehidupan 28 juta rakyat Malaysia yang inginkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang.
“Saya ingin penjelasan selain daripada pihak Persekutuan Kristian Malaysia, adakah Pakatan Rakyat (PR) bersetuju dengan tuntutan yang dibuat? Sekiranya bersetuju, maka saya ingin mengajukan satu lagi pertanyaan adakah PAS juga sebagai salah satu komponen PR bersetuju melaksanakan tuntutan itu?” katanya.
Beliau bagaimanapun menyatakan pendirian tidak mempunyai masalah dengan tujuh lagi prinsip bernegara yang disenaraikan Persekutuan Kristian Malaysia itu.
Mai Pikiaq Pi: Pas sila nyata pendirian yang selama ini mempertahankan hukum hudud dan negara Islam...

SELESAI DULU ISU ROYALTI MINYAK SEBELUM PRU13 - KU LI


Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendiriannya bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan segera isu royalti minyak yang dituntut Kerajaan Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Katanya, isu itu perlu diselesaikan sebelum PRU13 untuk menarik sokongan rakyat Kelantan kepada BN.
Pas mengekalkan kerajaan negeri yang dirampas daripada BN pada 1990. Beberapa kajian terbaru, termasuk yang diumumkan minggu lalu menunjukkan negeri itu akan kekal di tangan Pas pada PRU13.
Dipetik laporan Astro Awani, Tengku Razaleigh mengulas perkembangan selepas laporan beberapa bulan lalu bahawa Umno Kelantan mahu mendapatkan pandangannya untuk persiapan menghadapi PRU13.
Razaleigh, yang pernah mengeluarkan pandangan yang sama tahun lalu, mengakui bahawa beliau ada didatangi oleh beberapa pemimpin Umno Kelantan yang meminta pandangan bagaimana untuk menguatkan semula Umno di Kelantan.
"Saya kata apa yang dilakukan oleh mereka sudah cukup kecuali hendak digerakkan di peringkat 'grass root' supaya mereka tak tunggu pemimpin datang baru nak bergerak. Tengok parti-parti lawan bergerak sepanjang masa.

"Jadinya, saya cadang kalau boleh diatasi atau diselesaikan dua perkara yang dihadapi oleh rakyat Kelantan, saya rasa masalah boleh selesai...

"Satunya mengenai tuntutan rakyat Kelantan terhadap royalti minyak yang sememangnya sudah pun ditentukan oleh Akta Kemajuan Petroleum yang dibuat pada tahun 1974 atas kehendak Tun Razak yang juga Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu," kata beliau lagi.
Ahli Parlimen Gua Musang ini menambah, satu lagi isu yang perlu ditangani ialah infrastruktur bagi kemudahan rakyat terutamanya jalan raya.

Tengku Razaleigh pada masa yang sama menepis kritikan kononnya beliau menyokong Kerajaan Pas yang menuntut royalti petroleum.

"Saya cakap bukannya kerana saya memihak kepada pembangkang, tidak. Saya cuma hendak jelaskan apa yang terkandung dalam Akta Kemajuan Petroleum yang saya tolong gubalkan atas arahan arwah Tun Razak.

"Kalau itu boleh diterima oleh Umno pada ketika itu, masa Tun Razak jadi Presiden, saya jadi Naib Presiden, mengapa Umno sekarang ini tidak boleh pakai, tidak munasabah," katanya yang pernah menjadi Menteri Kewangan.
Pada Ogos 2010, Kerajaan Pas Kelantan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang didakwa dikeluarkan dari perairan negeri itu.
Dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan tuntutan yang dibuat, sebaliknya terserah kepada mahkamah menentukannya.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin menyifatkan penganjur Konvoi Royalti, yang menjelajah negeri ini, sepatutnya menunggu mahkamah membuat keputusan mengenai kes tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan terhadap Petronas.
"Jika mereka mengambil langkah sebelum mahkamah membuat keputusan, ia dibimbangi tidak selari dengan keperluan undang-undang," katanya.
Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) menganjurkan Konvoi Royalti, yang diketuai Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ke Gua Musang selama dua hari bermula kelmarin.
Awang Adek, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wan Ehsan Kelantan berkata, pemberian wang itu dilaksanakan mengikut keperluan undang-undang dan dilakukan dengan telus membabitkan semua golongan seperti pelajar, mangsa kebakaran rumah dan bencana alam, tanpa mengira fahaman politik.
Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kira-kira RM24 juta setahun bagi tujuan berkenaan, kata beliau.
Kerajaan Pas Kelantan menuntut Kerajaan Pusat membayar royalti minyak RM1 bilion bagi pengeluaran petroelum dan gas di perairan negeri itu antara 2004 hingga 2009.
Kerajaan Pusat menolak tuntutan itu.
Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas semasa perjanjian royalti petroleum itu ditandatangani dengan Kerajaan Negeri Kelantan lebih tiga dekad lalu.
Mai Pikiaq Pi: Kerajaan perlu menyelesaikan isu royalti ini jika ingin merampas Kelantan kembali...

BUMBURING UMUM KELUAR BN

Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Seri Wilfred Bumburing hari ini mengumumkan keluar parti itu, yang merupakan satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah.

Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis yang dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dalit, dekat sini, hari ini.

Bumburing berkata, beliau bersama beberapa pemimpin akar umbi Upko yang lain telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada ibu pejabat parti berkenaan minggu lepas.

"Setelah mengambil kira semua faktor, saya dengan ini mengumumkan keluar BN," katanya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Angkatan Perubahan Sabah atau Sabah Reform Front.

Pada 23 Julai lepas, Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran.

Semalam, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta dan mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).



Mai Pikiaq Pi: Ini adalah salah satu agenda jahat Anwar Ibrahim!!!

Isu Lajim: Umno serah pada Pusat

Umno Sabah akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan kedudukan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai anggota Umno selepas beliau mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti dan kerajaan di sini, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, parti itu menyedari bahawa Lajim tidak lagi bersama-sama dalam perjuangan Umno dan BN.

"Jadi, kita serahkan kedudukan beliau kepada pucuk pimpinan Umno dan BN," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Menara Usia 1Borneo, dekat sini hari ini.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri diminta mengulas tindakan Lajim meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun, ketika mengumumkan perkara itu, Lajim dipetik sebagai berkata bahawa beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno.

Musa menekankan bahawa apa juga masalah dalam BN dan Umno, ia boleh dibincang dan diselesaikan secara bersama dalam semangat BN.

“Saya sering mengingatkan kepada semua kepimpinan bahawa dalam perjuangan kita ini, perjuangan parti adalah penting dan keihklasan kita kepada parti dan pemimpin itu penting dan bukan peribadi kita," katanya.

Katanya, Umno akan terus bekerjasama dengan parti komponen BN yang lain untuk bersiap siaga memastikan persediaan rapi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Memang lumrah dalam mana-mana gabungan parti politik atau dalam parti memang ada perbezaan pendapat mengenai sesuatu perkara.

"Tetapi jika benar-benar ikhlas dan sanggup bertolak-ansur, apa juga masalah boleh kita atasi. Suka saya tekankan bahawa ini bukanlah perjuangan individu tertentu, apa yang penting adalah kesetiaan kita kepada perjuangan parti," katanya.

Musa berkata, bermacam-macam tuduhan telah dibuat menerusi media.

Namun sebagai pemimpin Umno dan BN Sabah, katanya, "saya sentiasa memberikan sokongan kepada beliau (Lajim) sama seperti yang saya berikan kepada semua wakil rakyat Umno dan BN".

Beliau berkata, ini termasuk memberikan sokongan dan bantuan kepada banyak program dan aktiviti beliau.

"Mungkin beliau mempunyai agenda tersendiri...apapun sebagai sahabat saya ucapkan Selamat Maju Jaya kepada beliau," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Bumburing meninggalkan BN, Musa berkata: “Perkara ini bukan baru, perkara ini sudah lama kita ketahui tapi baru hari ini beliau buat keputusan...terpulang kepada parti mereka”.

“Semua orang bebas membuat keputusan, yang penting saya katakan, kita mesti ikhlas dalam perjuangan kita. Ini yang penting. Umno dan BN sentiasa bekerjasama, kita akan terus pastikan program dan projek yang kita laksanakan dapat diteruskan untuk rakyat," katanya.

Musa berkata, sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas berikutan tindakan Lajim dan Bumburing, dan menegaskan bahawa tidak ada krisis dalam BN Sabah. 



Mai Pikiaq Pi: Umno dan BN akan terus berjaya jika tiada pemimpin yang hanya berjuang atas kepentingan sendiri...

UMNO PERSOAL PAS TETAP BERLEMBUT DENGAN DAP

Umno Kelantan mempersoalkan tindakan Pas yang masih lagi berlembut dengan Pakatan Rakyat (PR) terutama DAP yang jelas menentang Islam termasuk pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, Pas tidak wajar meneruskan kerjasama dengan DAP memandangkan sikap DAP yang dilihat tidak mesra Islam.

“Memang DAP konsisten dari dulu lebih ‘istiqamah’ dari Pas yang mana dari dulu lagi kita lihat DAP lantang menentang pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

“Saya hairan kenapa Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang kata DAP sudah boleh menerima hudud sedangkan tidak pun. Di sini mengapa Pas masih lagi hendak bersekongkol dengan DAP dan masih berada dalam PR,” katanya semalam.

Awang Adek berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengatakan DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini biarpun mengakui Islam agama rasmi negara mengikut perlembagaan.

Dalam kenyataan itu, Karpal Singh berkata, kenyataan itu adalah pendirian DAP bukan pandangan peribadinya.

Awang Adek berkata, umat Islam negara ini sudah boleh nampak keadaan tegang itu sekaligus akan menggugat sokongan rakyat terhadap Pas.

Beliau menegaskan sekiranya terdapat segelintir pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dilihat seakan-akan bersetuju dengan Pas berhubung hukum hudud, itu hanya sandiwara DAP.



Mai Pikiaq Pi: Harap Pas sedar sebelum terlambat.....

Pas patut terima hakikat DAP tetap tolak hudud dan negara Islam


Pemimpin dan anggota parti Pas perlu menerima hakikat sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu DAP tidak pernah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, DAP juga tidak akan sesekali membenarkan Pas melaksanakan undang-undang hudud jika pakatan berjaya mengambil alih pentadbiran negara.
Pemimpin DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang sepanjang berhujah di Parlimen menegaskan Malaysia negara sekular kerana rakyatnya pelbagai kaum, walaupun ketika itu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu sidang Parlimen, Malaysia negara Islam, kata Ahmad.
Beliau ditemui selepas menyampaikan wang ‘durian runtuh’ fasa kedua kepada 935 isteri peneroka Felda Lakum dan Bukit Damar, di sini.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, isu hudud dan negara Islam akan terus menjadi punca pertelagahan dalam pakatan pembangkang.
“Pemimpin Pas perlu mempertahankan usaha mereka untuk melaksanakan hukum hudud supaya mereka tidak hilang sokongan penyokong tegar, begitu juga sebaliknya bagi DAP yang menolak hukum hudud itu,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Dah terang lagikan bersuluh... Kenapa pemimpin Pas masih lagi mengharapkan DAP?

Thursday 26 July 2012

PM: Bonus raya setengah bulan



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata, bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.
"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.

Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata, pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.
Mai Pikiaq Pi: Kita tunggu pula Kerajaan PR di empat buah negeri... Berapa nilai bonus raya mereka?

Ahli Parlimen BN bukan barang dagangan murahan untuk dijual beli – Ahmad Maslan


Pendedahan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bahawa adanya usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membeli ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) jika gagal membentuk kerajaan pada PRU akan datang ini, merupakan satu kesinambungan usaha kotor beliau yang sebenarnya sudah menjadi  ‘rahsia umum’ di mana rakyat negara ini turut mengetahui tentang perkara tersebut.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan, Anwar akan terus cuba memujuk dan membuat tawaran harga terhadap ahli Parlimen BN lantaran beliau masih berpegang dengan sangkaannya, bahawa ahli-ahli Parlimen UMNO merupakan barang dagangan yang begitu mudah untuk dijual beli.
“Akibat sangkaan tersebut, justeru itu lahirlah pembohongan yang paling besar dan paling dahsyat dalam sejarah politik tanah air, iaitu pembohongan 16 September. Itulah satu-satunya pembohongan yang amat besar oleh seorang pemimpin politik yang akan dikenang oleh rakyat di negara ini.
“Cuma hari ini saya nak beritahu pada Anwar, ahli-ahli Parlimen BN tidak mudah dijual beli. Ahli-Ahli Parlimen BN setia dengan janji untuk berkhidmat pada rakyat. Mereka berjuang dan bergerak untuk kepentingan rakyat dan negara. Bukan semudah itu mahu membeli maruah dan prinsip ahli-ahli Parlimen BN,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, Anwar sepatutnya berpegang teguh dengan prinsip dan intergriti yang selama ini dilaung-laungkannya dan janganlah bersikap di depan lain di belakang lain.
Jelasnya, amalan budaya rasuah politik seperti ini amat bahaya kerana ia boleh menjadi penyebab pelbagai masalah di dalam pentadbiran negara.
Selain itu, beliau turut membidas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkenaan isu tema hari kemerdekaan tahun ini, 'Janji Ditepati'.
Menurutnya, Setiausaha Agung PAS itu patut berfikiran lebih terbuka dan di luar kotak, dengan tidak melihat slogan itu daripada sudut politik semata-mata.
“Inilah jadinya apabila segala perkara dinilai dan dilihat daripada sudut politik. Bukan kita sebut pun nama mana-mana parti politik dalam tema tersebut. Slogan itu merupakan salah satu nilai moral yang baik dan universal serta diterima oleh semua manusia.
“Menepati janji, merupakan slogan yang mengingatkan rakyat tentang nilai yang amat mulia dan merupakan satu perbuatan terpuji.
“Ini juga adalah sebagai satu ransangan dan motivasi kepada rakyat baik di peringkat mana sekalipun. Sebagai ayah, sebagai ibu,sebagai anak, sebagai majikan, sebagai pekerja dan sebagai manusia, menepati janji adalah sikap yang mulia dan patut dijadikan amalan semua,” ujar beliau.
Justeru itu, beliau meminta para pemimpin pembangkang agar tidak melihat segala usaha kerajaan hanya berdasarkan bacaan politik semata-mata. Kata beliau, jika pemimpin pakatan pembangkang melihat setiap langkah dan usaha kerajaan hari ini daripada sudut politik semata-mata, ini cukup jelas membuktikan bahawa cara berfikir pemimpin pembangkang tidak matang dan terbuka, serta hanya mampu berfikir daripada sudut satu aspek sahaja.
Mai Pikiaq Pi: Mana tidaknya, pakatan pembangkang makin terasa terancam dengan slogan 'Janji Ditepati' Hari Kemerdekaan nanti....

PEMBANGKANG POLITIKKAN 'JANJI DITEPATI'


Tindakan pemimpin pakatan pembangkang yang mensensasikan ‘Janji Ditepati’  iaitu slogan Hari Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September ini adalah antara taktik mereka bagi mengaburi kepincangan dalam pentadbiran pakatan pembangkang.
Setiausaha Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim membidas taktik dangkal pakatan pembangkang yang lebih terserlah menuding jari mencari kesalahan kerajaan tadbiran Barisan Nasional (BN).
“Pembangkang ini bukan saja ketandusan idea untuk memburukkan kerajaan yang ditadbir dengan baik dan berlandaskan perancangan yang lancar tetapi mereka juga terdesak dan tersepit untuk mencari isu bagi dijadikan bahan propaganda terbaru.
“Selama ini pelbagai isu telah cuba diheret oleh pakatan pembangkang untuk menggambarkan keburukan kerajaan termasuklah memainkan isu FELDA, isu PTPTN, dan macam-macam lagi tetapi malangnya ia tidak menggambarkan realiti sebenar kerana kerajaan sentiasa menguatamakan rakyat,” katanya.
Jelas beliau lagi, ‘Janji Ditepati’ yang diangkat sebagai slogan bagi hari bersejarah negara tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia menepati hala tuju dan pendekatan kerajaan.
“Janji Ditepati ini adalah gambaran kerajaan yang sentiasa memahami aspirasi dan cita-cita rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab iaitu memastikan semua masyarakat mendapat kehidupan terbaik di negara ini,” katanya.
Ujarnya, pakatan pembangkang bukan saja mengkritik apa yang dilaksanakan oleh kerajaan tetapi lebih teruk lagi apabila mereka juga turut mencemuh dan mempersenda pelaksanaan pelbagai program yang dilakukan.

“Apa saja yang dilakukan oleh kerajaan akan diangkat sebagai bahan propaganda dan diburukkan oleh pakatan pembangkang dengan pelbagai manipulasi sedangkan dalam masa yang sama mereka juga turut mendapat imbuhan dan kesenangan hasil daripada pelaksanaan pelbagai program dan transformasi kerajaan.
“Inilah pembangkang yang tidak pernah bersikap matang dalam berpolitik sehinggakan mereka membawa perkara yang tidak sepatutnya dijadikan isu sebagai satu bahan propaganda sedangkan dalam masa yang sama bukankah lebih baik sekiranya mereka menyumbang idea yang bernas untuk kesejahteraan dan keamanan masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Namun demikian, beliau juga tidak menolak kemungkinan pakatan pembangkang mensensasikan slogan tersebut adalah kerana mahu berselindung daripada kesilapan dan kegagalan mereka dalam pentadbiran.
“Selepas kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu sehinggalah mereka mendapat mandat mentadbir empat buah negeri banyak janji-janji pakatan pembangkang yang masih belum tertunai dan ia tidak pernah disebutkan sebaliknya mereka lebih senang mencari salah Kerajaan BN.
“Makin banyak pembangkang memburukkan BN tetapi makin terbukti hanya BN yang mampu menjaga kebajikan rakyat malah setiap hari ada saja berita-berita gembira yang dibawa oleh pemimpin tertinggi sebagai hadiah untuk rakyat sebagaimana BR1M, KR1M, KAR1SMA, TR1MA dan macam-macam lagi,” katanya lagi.
Tegasnya, BN adalah kerajaan yang proaktif dan sentiasa memikirkan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya tanpa mengambil kira pandangan dan idealogi politik mana-mana individu.
Mai Pikiaq Pi: Itulah tandanya begitu cetek pemikiran pemimpin pembangkang yang tidak sudah-sudah mengkritik kerajaan...