Nuffnang Ads

Friday, 15 February 2013

Belum tentu menang sudah berbalah isu jawatan PM


Bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Hafiz Nordin membidas kemelut perebutan jawatan Perdana Menteri antara ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Pembangkang yang dianggap sesuatu yang amat memalukan ahli dan penyokong Pakatan Pembangkang dan sangat jelas memperlihatkan kedangkalan kepimpinan gabungan parti tersebut dalam soal pemilihan pemimpin.
Menurut beliau, polemik tentang jawatan PM ini merupakan satu bukti betapa singkatnya pemikiran kepimpinan Pakatan Pembangkang sekaligus memperlihatkan bahawa perjuangan Pakatan bukanlah untuk rakyat, sebaliknya untuk kepentingan politik dan agenda peribadi  parti tertentu.
“Saya sebagai ahli Pakatan Pembangkang merasa amat malu bila lihat pemimpin Pakatan  tidak habis-habis berbalah siapa mahu jadi PM sehingga jadi isu antara mereka sendiri. Sepatutnya mereka ini tumpu untuk menang pilihanraya dulu, barulah fikir siapa yang layak untuk jawatan itu.
“Ini pilihan raya pun belum tentu menang, sudah kalut berkelahi siapa nak jadi PM. Nampak sangat kepimpinan Pakatan sudah mula tamak dan berebut jawatan, terutamanya DAP. Saya sebagai ahli berasa kecewa dengan sikap kepimpinan yang separuh masak tetapi bercita-cita tinggi untuk mentadbir negara,” tegas beliau di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, jika mahu dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN) yang sudah memerintah lebih 55 tahun, isu siapa yang patut menjadi PM tidak pernah timbul dan ini membuktikan bahawa kepimpinan parti-parti komponen di dalam BN lebih bijak bermuafakat dan menjadikan agenda nasional lebih utama daripada kepentingan politik parti masing-masing.
“Selama 55 tahun BN memerintah, isu seperti ini tak pernah timbul. Tapi Pakatan, belum pun tentu menang pilihanraya akan datang nanti, mereka sudah mula berbalah siapa yang patut jadi PM. Inilah bezanya antara kematangan BN dan kedangkalan Pakatan.
“Bagi pendapat saya, Pakatan memang tak layak jadi pemerintah. Mereka tidak ada calon yang berpengalaman. Katakanlah jawatan PM ada calon, tapi bagaimana pula jawatan-jawatan lain, seperti timbalan dan sebagainya? Siapakah pemimpin yang benar-benar layak dan berpengalaman untuk pegang jawatan itu dalam Pakatan?” soalnya.
Jelasnya lagi, hakikatnya Pakatan Pembangkang sebenarnya amat ketandusan pemimpin yang berpengalaman dan berkaliber untuk mentadbir negara.
“Saya yakin rakyat boleh menilai sendiri siapa antara kepimpinan Pakatan Pembangkang yang layak dan berpengalaman untuk mentadbir. Macam Karpal, biarpun dia seorang ahli politik veteran, tetapi kadang-kadang sikapnya dan pendapatnya seperti budak-budak.
“Datuk Seri Haji Hadi sendiri pun tidak punya pengalaman tadbir negara, cuma ada pengalaman jadi MB saja. Itu pun tak lama, sepenggal saja. Mungkin Anwar sajalah yang dilihat ada pengalaman. Tapi rasa malulah sikit, sebab pengalaman mentadbir yang Anwar ada pun bukannya dikutip dalam Pakatan, sebaliknya semasa dia memegang jawatan dalam UMNO.
“Jadi, saya tidak nampak ada pemimpin dalam Pakatan yang benar-benar layak dan berpengalaman untuk tadbir negara. Sebab itu saya tegaskan, Pakatan Pembangkang hari ini tidak layak lagi untuk memerintah negara,” ujarnya.
Mai Pikiaq Pi: Jatuh bangun sesebuah negara bergantung penuh kepada kepimpinan seorang ketua negara...   

No comments:

Post a Comment