Nuffnang Ads

Wednesday, 6 February 2013

Semua Parti Komponen Diminta Sokong Calon BN Pada PRU13


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) menyokong siapa sahaja calon BN yang dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata sokongan untuk memastikan BN memenangi PRU-13 itu adalah mengatasi perbezaan parti masing-masing.
“UMNO akan sokong calon MCA, Gerakan akan sokong calon MIC dan semua dalam komponen akan sokong calon BN kerana kita adalah satu,” katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan dan jamuan tengah hari bersama jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pulau Pinang di sini, Selasa.
Seramai 1,500 orang dari 345 PDM di seluruh Pulau Pinang menghadiri taklimat oleh Timbalan Perdana Menteri sempena lawatan kerja beliau ke negeri ini.
Katanya calon yang dipilih itu adalah yang terbaik dan boleh menang serta telahpun melalui beberapa tapisan sebelum terpilih.
“Kita dalam BN telah pegang apa juga keputusan pucuk pimpinan parti dan kita akan terima siapa sahaja calon. Tanggungjawab anggota parti BN adalah menyokong siapa sahaja yang dipilih Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.
Muhyiddin berkata senarai nama calon telah diserahkan kepada Perdana Menteri oleh Pengerusi Badan Perhubungan negeri masing-masing selepas perbincangan dilakukan di peringkat bahagian.
Beliau berharap mereka yang tidak terpilih menjadi calon agar tidak mengsabotaj parti kerana tindakan itu akan menjejaskan kemenangan BN.
“Sampai masanya diputuskan inilah calonnya walaupun mata sedikit sepet dan tidak hensem (kacak), tetapi kerana dialah calon boleh menang selepas melalui beberapa penilaian dan penapisan oleh pihak tertentu dan kita kena sokong.
“Jangan bila nama kita tidak naik kita panggil PDM untuk buat mesyuarat tergempar dan suruh tutup PDM, janganlah sabotaj parti. Kita terima siapa sahaja calon kerana calon yang dipilih itu adalah yang terbaik antara terbaik… mana ada manusia yang perfect (sempurna), sikit-sikit itu tidak apalah,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata BN bertanding di bawah satu parti dan lambang iaitu dacing, bukannya seperti pakatan pembangkang yang partinya bertanding menggunakan simbol masing-masing.
“BN mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan berdasarkan pengalaman lepas, kita juga sebuah pakatan yang kuat dan bukan terbentuk untuk pakatan sementara seperti pembangkang.
“Mereka (pakatan pembangkang) bertanding menggunakan simbol parti masing-masing, Pas guna logo dia, PKR juga begitu, tetapi BN sahaja yang bertanding guna simbol dacing,” katanya.
Muhyiddin berkata ada pihak bertanya kepadanya mengapa tidak mengumumkan nama calon sekarang ini sedangkan beliau telah mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri berhubung perkara itu.
“Biar Perdana Menteri umumkannya. Insya-Allah calon yang telah disenaraikan itu boleh menang. Apa yang penting kita berusaha dan bekerja keras bersama-sama supaya parlimen terutama kawasan-kawasan kelabu dijernihkan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan lebih kerap turun padang terutama di Pulau Pinang untuk mendedahkan tembelang pembangkang.
Mai Pikiaq Pi: Kalau tak suka pada calon PRU... fikir-fikirlah demi parti.....

No comments:

Post a Comment