Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa sahaja dan parti gabungan itu kini
berada dalam keadaan lebih kuat dan kukuh, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, BN menjadi bertambah kukuh sejak kepimpinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengilhamkan program transformasi
dan ini sekaligus telah mengubah persepsi rakyat terhadap BN.
"Program transformasi sudah mula menampakkan hasil,
sudah mula digeruni pembangkang. Bantuan yang kita beri telah mula sampai ke
akar umbi.
Langkah-langkah itu adalah bantuan kepada semua
rakyat...orang Melayu sudah balik sokong BN, orang India juga begitu hebat
menyokong...orang Cina juga begitu...orang Asli dan Siam juga semakin
meningkat...tidak terkecuali juga di Pulau Pinang.
"Kalau situasi sudah begitu bertambah baik, pandangan
dan persepsi masyarakat kepada BN juga sudah berubah... yang kita harus pikul
sekarang ini bagaimana nak menterjemahkan perkara itu," katanya semasa
berucap pada majlis perjumpaan dan jamuan tengah hari bersama jentera Pusat
Daerah Mengundi (PDM) Pulau Pinang di sini hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN,
mengingatkan semua pemimpin parti komponen BN untuk bekerja lebih keras dan
tidak berhenti menjalankan tugas mereka kepada rakyat.
"Kita masih perlu bekerja lebih kuat lagi. Kita tahu
kelemahan kita dan kita perlu perbaiki...kita perkukuhkan lagi untuk masa-masa
akan datang. Langkah (program transformasi) sebegitu sahaja tidak memadai,
rakyat mahu melihat pembaharuan yang dibuat kerajaan BN," katanya.
Muhyiddin menegaskan, BN memerlukan komitmen secara total
daripada seluruh pemimpin parti dalam memastikan sokongan yang berterusan
daripada rakyat, sekali gus menterjemahkannya dalam bentuk undi.
"Perjuangan kita bukan untuk menangkan BN, tetapi untuk
membela semua bangsa, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli, mereka
memerlukan bantuan kita. Perjuangan kita perjuangan yang suci dan bukan hanya
enteng sahaja...memerlukan satu komitmen yang total bukan separuh
kesedaran," katanya.
Mai Pikiaq Pi: Akar umbi BN juga perlu bekerja keras dan memberi sokongan padu kepada calon-calon pilihan parti....
No comments:
Post a Comment