Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hukum hudud yang diperjuangkan Pas sebelum ini tidak mengikut tuntutan Islam yang sebenar kerana tidak menghukum pesalah secara adil, menyebabkannya ditolak oleh kebanyakan pihak.
Katanya, hukum hudud yang ditekankan di dalam al-Quran ialah menghukum pesalah secara adil antara orang Islam dan bukan Islam.
"Tetapi secara terbuka Pas buat kenyataan, orang Islam sahaja yang akan kena (hukum hudud), orang bukan Islam tak kena. Mereka takut orang bukan Islam marah dan tak undi mereka.
"Jadi apabila dua orang, Islam dan bukan Islam berpakat melakukan jenayah, yang Islam kena potong tangan, yang bukan Islam hanya kena penjara dua bulan, itu sudah tidak adil,'' katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Negarawan Ulung anjuran Felda di sini hari ini.
Apabila menjatuhkan hukuman katanya, keputusan itu perlu dilakukan dengan adil.
''Yang ditekankan dalam al-Quran berkali-kali ialah jangan kita zalim. Jadi apabila hukum disebabkan kepentingan politik, duniawi, itu bukan Islam. Sebab itu kita tolak hukum mereka, kita pegang hukum Allah," katanya.
Dr. Mahathir mengulas sikap pemimpin Pas yang tidak konsisten tentang pendirian mereka berhubung isu hukum hudud dan kerjasama dengan pakatan pembangkang.
Beliau berkata, Malaysia selama ini cuba bersikap adil dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam menjatuhkan hukuman serta tidak menuduh secara membuta-tuli.
Katanya, kerajaan berpegang teguh pada hukum hudud Islam dan melaksanakannya secara adil supaya sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan jenayah menerima hukuman yang setimpal dan adil.
"Jadi jangan kata kerajaan tidak mahu melaksanakan hukum Islam di negara ini tetapi kita harus melaksanakannya dengan kehendak Islam dan laksanakan dengan adil," katanya.
Mai Pikiaq Pi: Kajian menyeluruh perlu dibuat sebelum melaksanakannya.....
No comments:
Post a Comment