Nuffnang Ads

Monday, 2 June 2014

Hukum Produk Cadbury Tercemar DNA Babi ‘Halal Dimakan’ – Fatwa Majlis Kebangsaan

Hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi adalah seperti hukum asalnya iaitu ‘halal dimakan’, demikian menurut Fatwa Majlis Kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata ia termasuk dalam kategori keadaan ‘Umum al-Balwa’, iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.
“Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai ‘Umum al-Balwa’.
Prof-Dr-Abdul-Shukor-Husin-Pengerusi-Hal-Ehwal-Islam-Muzakarah-Majlis-Fatwa-Kebangsaan-Negara-Malaysia
“Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mengandungi DNA babi atau porsin.
DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.
Abdul Shukor berkata umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah.
“Islam bukanlah agama yang terlalu ketat (rigid) dan menyusahkan umatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan atau perbuatan yang di luar pengetahuan dan kawalan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan hukum yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti pencemaran DNA babi dalam produk makanan seumpama ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak berautoriti perlu mengambil tindakan sewajarnya sebagai peringatan terhadap pihak terbabit jika didapati perkara itu dilakukan secara sengaja dan lalai terhadap tanggungjawabnya terhadap pengguna.
Beliau turut menasihati umat Islam agar bertenang dan tidak bersikap terlalu emosional dalam memperkatakan isu itu dan mengelak daripada melakukan perkara yang dilarang Islam.
“Sewajarnya kita memberi kepercayaan kepada pihak autoriti yang telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dalam pengesahan halal haram sesuatu produk kerana pelbagai proses telah ditetapkan bagi memenuhi standard halal yang selaras dengan hukum syarak dan telahpun diiktiraf di peringkat dunia,” katanya.
Abdul Shukor berkata hasil kajian mendapati pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi, dan jika sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategori sebagai halal.
Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini melantik pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan kajian saintifik selama setahun berhubung isu pencemaran DNA babi dalam pelbagai produk makanan siap diproses dan disahkan halal supaya hukum yang tepat dapat diputuskan, katanya.
Beliau berkata hasil kajian juga mendapati DNA babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan sama ada ia disengajakan atau tidak, dan kontaminasi DNA babi yang berlaku boleh diukur dan diketahui jika berlaku melalui sentuhan secara fizikal.
Kontaminasi juga mungkin berlaku melalui edaran udara apabila daging babi dan bahan lain disimpan di tempat yang sama dan kedua-duanya dalam keadaan tidak bertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku, katanya.
“Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang bertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal,” katanya.
Abdul Shukor juga berkata keputusan muzakarah itu tidak bermakna sesuatu produk yang didakwa dicemari DNA bahan haram boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Adalah lebih baik tindakan menggantung sementara diambil dan siasatan terperinci dilaksanakan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan dan untuk mengetahui bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku, sama ada disengajakan atau sebaliknya,” katanya.

Najib Bersyukur Atas Kemenangan BN Di Teluk Intan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini melahirkan rasa syukur atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, hari ini.
Najib, selaku Pengerusi BN, berkata berita tersebut merupakan sesuatu yang manis pada malam terakhir program lawatan enam hari beliau ke China.
“Saya amat bersyukur sekali kepada Allah s.w.t…saya rasa gembira yang amat sangat apabila mendapat tahu BN menang. Walaupun majoritinya nipis tetapi dalam sistem demokrasi, satu undi pun dikira menang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatannya ke China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.
Berita kemenangan BN itu diterima Najib semasa menghadiri majlis Makan Malam Persahabatan Malaysia-China di sebuah hotel di sini.
Sebaik sahaja menerima khabar itu, beliau terus menelefon Mah untuk mengucapkan tahniah.
Najib juga mengucapkan tahniah kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassan yang mengetuai kempen PRK itu serta seluruh jentera BN yang telah berkerja keras untuk merampas semula kerusi itu daripada DAP.
Dalam pertandingan satu lawan satu, Mah, yang juga Presiden Gerakan, mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.
Najib berkata kemenangan itu juga bermakna kerana BN tewas dengan majoriti lebih 7,000 pada pilihan raya umum 2013 dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di Teluk Intan yang memilih parti kerajaan BN kali ini.
“Ini bererti faktor peralihan sokongan yang besar sekali pada BN. Kita akan kaji punca-punca positif yang menyebabkan faktor peralihan sokongan kepada BN…terlalu awal untuk buat kesimpulan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada Mah akan diberi jawatan dalam Kabinet seperti yang diumumkan beliau di sini dua hari lepas, Najib berkata ia akan ditunaikan kerana BN memegang pada slogan ‘Janji Ditepati’.
Apabila seorang wartawan menyatakan akan ada tambahan dua presiden parti komponen lagi dalam Kabinet nanti sambil merujuk kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Najib secara berseloroh berkata: “Mereka tidak boleh melupakan presiden MCA.”
“Tidak boleh lupa Presiden MCA…beliau turut menyumbang atas kemenangan ini. Sekiranya BN bersatu padu dan melakukan kerja-kerja secara bersatu di peringkat akar umbi, anda boleh melihat kesan dan hasil yang lebih kukuh bagi calon BN,” katanya.
najib-syukur-mah-siew-keong-menang-bn-prk-teluk-intan-perak

Kemenangan BN Di Teluk Intan Petanda Penting Keyakinan Dan Sokongan Rakyat Semakin Kukuh

Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan merupakan satu petanda penting bahawa keyakinan dan sokongan rakyat terhadap BN semakin kukuh.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau juga percaya pengundi Teluk Intan telah membuat keputusan yang matang dengan menilai prestasi baik dan pengalaman calon BN Datuk Mah Siew Keong yang pernah berkhidmat sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar dan Anggota Parlimen Teluk Intan sebelum ini.
mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah
“Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana pengundi di Teluk Intan telah memilih calon BN, Mah untuk menjadi wakil rakyat mereka kembali.
Kita bersyukur kerana kemenangan ini juga membuktikan BN terus mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum di negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pengundi Teluk Intan kerana membuat pilihan yang bijak dan tepat serta menolak politik jahat, tipu helah dan kebencian.
Mah, 53, yang juga Presiden Gerakan memperoleh sebanyak 20,157 undi mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi dengan undi majoriti sebanyak 238 pada pilihan raya kecil kerusi itu hari ini.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, di Teluk Intan pada kira-kira pukul 9.41 malam ini.
Peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini ialah 67.4 peratus.
Muhyiddin yang mengucapkan tahniah kepada Mah dan seluruh jentera BN berkata walaupun majoriti kecil dan memerlukan lebih banyak kerja dan usaha berterusan, beliau percaya ia adalah detik kebangkitan parti Gerakan.
“Saya juga percaya Mah akan bekerja kuat dan mengambil berat terhadap kebajikan penduduk Teluk Intan. Selain daripada berpengalaman, berdedikasi dan komited, beliau juga merupakan seorang penduduk Teluk Intan yang menjalinkan hubungan erat dengan masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata BN akan menunaikan semua janji yang telah dibuat dan Mah akan membawa arus pembangunan, kemajuan dan kemakmuran kepada negeri Perak dan Teluk Intan.
bn-muhyiddin-syukur-alhamdulillah-menang-teluk-intan-terima-kasih-pengundi-jentera

Kerajaan Setuju Bina Pagar Keselamatan Di Sungai Golok – Ahmad Zahid

Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk membina pagar keselamatan di sepanjang Sungai Golok di Kelantan sebagai satu daripada kaedah membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pagar sepanjang 126 kilometer itu perlu dibina segera walaupun ketika ini kos dan tarikh pembinaannya masih dalam perbincangan.
zahid-hamidi-kdn-menteri-dalam-negeri-rela-seragam-uniform
Beliau berkata perbincangan telah dibuat antara KDN, Unit Pencegah Penyeludupan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi tujuan itu dengan spesifikasi pembinaannya akan ditentukan JPS.
“Apa pun ia tertakluk kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kewangan untuk menentukan bila pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga di sini, hari ini.
Setakat ini kos belum ditentukan lagi dan beliau berharap kerjasama pintar antara swasta dan kerajaan dapat merealisasikan pembinaannya secepat mungkin.
Ahmad Zaid berkata terdapat beberapa syarikat swasta telah memberi cadangan untuk membantu membina pagar berkenaan yang akan dilengkapi sistem radar bagi menangani masalah pembolosan terutama kawasan yang dikenali sebagai laluan tikus.
Katanya selain itu kementeriannya juga akan menyelesaikan masalah koordinasi antara agensi penguatkuasaan dan Angkatan Tentera Malaysia yang kini mengambil alih tanggungjawab utama penjagaan sempadan itu.
“Kita akan selesaikan masalah koordinasi kerana agensi itu juga mempunyai peranan dan bidang kuasa tertentu dalam memastikan sempadan kita terkawal tanpa pembolosan,” katanya.
Pada perkembangan lain, Ahmad Zaid berkata siasatan terhadap kes seorang anggota tentera yang melepaskan tembakan di Lahad Datu pada 28 Mei lepas telah dijalankan dan individu terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, seorang anggota tentera dipercayai melepaskan beberapa das tembakan untuk meleraikan kekecohan yang berlaku di hadapan sebuah kedai dan tembakan itu mengakibatkan Lans Koperal Muhamad Fiffixezapey Mat Hussin, 28, cedera di dada dan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.
Dua orang awam turut cedera iaitu warga Indonesia berumur 31 dan 38 tahun yang bekerja sebagai penjaga kelab malam.

Mah Siew Keong Rampas Semula Kerusi Parlimen Teluk Intan


mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan setelah mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti undi sebanyak 238 pada pilihan raya kecil kerusi itu hari ini.
Mah, 53, memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya, 27, yang mendapat 19,919 undi.
Keputusan itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini pada kira-kira 9.41 malam.
Sebanyak 66.67 peratus atau 40,236 pengundi daripada 60,349 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Kemenangan Mah itu bukan sahaja menyaksikan kejayaan merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan malah memperkukuh kedudukan beliau sebagai Presiden Gerakan yang dimenanginya pada Oktober tahun lepas, serta kedudukan parti dalam BN.
Dengan kemenangan itu, Mah akan dilantik sebagai Menteri Kabinet berikutan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lepas.
Najib, yang sedang dalam lawatan enam hari ke China, membuat tawaran itu sambil berkata parti Gerakan merupakan parti pengasas BN dan menjadi amalan untuk presiden parti berkenaan menganggotai Kabinet.
Mah, yang mendakwa kempen pilihan raya kali ini paling kotor sejak bertanding dalam pilihan raya umum 1995 di kawasan itu, berjaya menebus kekalahan di kerusi Parlimen yang pernah dimenanginya pada 1999 dan 2004.
Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada 2008 berikutan tsunami politik apabila dikalahkan calon DAP M. Manogaran dengan majoriti undi 1,470 dalam pertandingan satu lawan satu.
Mah juga gagal memenangi semula kerusi itu pada 2013 setelah dikalahkan calon DAP Seah Leong Peng dalam pertandingan tiga penjuru.
Seah memenangi kerusi itu dengan majoriti undi sebanyak 7,313.
Sebelum dipilih sebagai anggota Parlimen Teluk Intan, Mah adalah bekas anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar, yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1995.
Anak kelahiran Teluk Intan dari keluarga yang terkenal di bandar ini, Mah bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan sebanyak lima kali dengan tiga kali menang dan dua kali kalah.
Semasa menjadi wakil rakyat Teluk Intan pada 2004, beliau dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala pada 2006 hingga 2008, Mah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Beliau pernah dilantik Pengerusi Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) dari 2010 hingga September 2013.
Pada 26 Okt 2013, Mah menerajui Gerakan setelah mengalahkan pencabarnya, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow, pada pemilihan parti itu dengan memperoleh 1,086 undi berbanding Teng, 577 undi.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari London School of Economic dan Sarjana Dalam Bidang Pembuatan dari City University London serta Ijazah Perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London, beliau amat dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan rajin bekerja oleh penduduk Teluk Intan.

Malaysia-China Perbaharui Ikatan Persahabatan

Malaysia dan China hari ini memperbaharui ikatan persahabatan yang terjalin sejak empat dekad yang lalu.
Dalam satu majlis ringkas tetapi bermakna di Dewan Agung Rakyat terletak berhadapan Dataran Tiananmen di sini, pemimpin kedua-dua negara yang turut disertai para diplomat, komuniti perniagaan dan belia yang mewakili generasi akan datang, berkumpul bagi memperingati peristiwa bersejarah yang berlaku 40 tahun lalu, di tempat yang sama.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China Li Keqiang menyempurnakan majlis yang berlangsung di Dewan Barat Dewan Agung Rakyat itu.
Ia merupakan dewan yang sama, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa Najib memulakan hubungan muhibah untuk menyemai bibit-bibit pemahaman dan kepercayaan bersama.
Di sini juga, pada tanggal 31 Mei 1974, Tun Abdul Razak Hussein menandatangani perjanjian bersama-sama Perdana Menteri Zhou Enlai, secara rasminya menjalinkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Pada majlis hari ini, Najib dan Li menandatangani pernyataan bersama untuk terus memperluas dan mengukuhkan kerjasama dalam semua bidang yang membawa manfaat bersama – ekonomi, pelancongan, perkhidmatan kewangan, politik, budaya dan ketenteraan.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk melakukan pertukaran lebih ramai pelajar, bekerjasama rapat dalam bantuan bencana dan memelihara kestabilan dan keselamatan di rantau ini.
Najib turut menyampaikan satu set setem peringatan kepada Li yang dikeluarkan Bank Negara.
Sebagai balasan, Li menyampaikan, satu set setem peringatan yang dikeluarkan China Post kepada pemimpin Malaysia itu.
Persahabatan yang bermula semasa Dinasti Song berkembang di bawah Dinasti Ming, kerana hubungan yang dibina di atas dasar perdagangan telah diperkukuhkan dengan pertalian darah — memandangkan keluarga dari China menjadikan Selat Melaka, tempat tinggal mereka.
Malaysia negara pertama dari Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.
Sepanjang empat dekad lalu, hubungan persahabatan dan perniagaan kedua-dua negara telah membangunkan dengan pesat.
China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dan Malaysia sebaliknya merupakan rakan perdagangan terbesar China, di Asean.
Kedua-dua negara telah membentuk Perkongsian Strategik Komprehensif untuk kemakmuran dan pertumbuhan dan pada tahun lepas dengan menandatangani Program Lima Tahun Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan bagi tempoh 2013 hingga 2017.
presiden-china-li-keqiang-mesra-pm-malaysia-najib-razak
mou-perbaharui-malaysia-pm-najib-anifah-china-presiden-li-keqiang-ding-wei-2014-2019-hubungan-40-tahun

Thursday, 22 May 2014

Sejak PRU Pertama, UMNO Sudah Iktiraf Wanita – Mas Ermieyati

Pakatan pembangkang khususnya DAP tidak perlu mendabik dada kononnya mengiktiraf golongan wanita muda apabila mengetengahkan calonnya Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan sedangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah lebih awal berbuat demikian, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyati Samsudin.
“DAP tak usahlah nak sembang kononnya membela kaum wanita sebab UMNO yang lebih awal iktiraf golongan terbabit dalam kepimpinan dan masih meneruskan perjuangan membela kaum terbabit,” katanya.
Jelas beliau, kaum wanita sebagai calon dalam pilihan raya tidak pernah ditolak dalam BN malahan calon wanita pertama yang mula-mula bertanding dalam pilihan raya pertama tahun 1955 adalah wakil dari BN yang sebelumnya parti perikatan iaitu Halimahton Abdul Majid.
“Dalam pilihan raya 1959 pula, Ibu Zain dan Fatimah Hashim telah bertanding di kerusi Parlimen dan menang, hinggalah sekarang bilangan calon wanita bertambah malahan saya sendiri diberi peluang sebagai wakil rakyat hasil penglibatan saya dalam politik bersama-sama Pergerakan Puteri UMNO,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Jelas beliau jika pakatan pembangkang dan DAP mengatakan mereka mengetengahkan golongan muda dan profesional maka sebenarnya laluan tersebut telah lebih awal dirintis oleh UMNO sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, seramai sembilan orang dipilih dari kalangan pemimpin pergerakan Puteri UMNO di seluruh negara.
“Perjuangan golongan wanita tidak pernah berhenti dan dalam UMNO Pergerakan Puteri bergerak selari dengan Pergerakan Wanita iaitu untuk mendapatkan kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam kepimpinan.”
Tambahnya, biarpun DAP menampilkan Dyana Sofya dalam PRK, tetapi calon terbabit tidak memberi impak atau tarikan kepada golongan wanita muda yang dkhuatiri akan beralih sokongan dari Puteri UMNO kepada Dap.
“Gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO telah diatur, kita fokus kepada matlamat kita dan kita tidak lihat kemunculan Dyana Sofya akan memberi kesan kerana Puteri UMNO ada kekuatannya sendiri.”
Dalam PRU lalu, calon pergerakan Puteri UMNO yang bertanding dalam kerusi Parlimen selain daripada Mas Ermieyati ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mewakili Papar manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah Asmaiza Ahmad (Chuping), Datin Norsabrina Mohd Nor (Kulim-Bandar Baharu), Salbiah Mohamed (Temenggor), Nolee Ashilin Mohd Radzi (Tualang Sekah), Nurhidayah Mohd Shahaimi (Luit) dan Norshida Ibrahim (Buloh Kasap).
mesyuarat-kaum-ibu-umno-kuala-lumpur-1954-wanita-perjuangan-malaysia

Pas ‘Double Standard’ Ajak Sokong Calon Islam Di Teluk Intan Tapi Tolak Di Bukit Gelugor

Pas tidak seharusnya ‘double standard’ berhubung pemilihan calon antara Islam dan bukan Islam pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan memandangkan perkara tersebut tidak pula dicanang pada kempen pilihan raya kecil di Bukit Gelugor.
“Ianya mula dimainkan oleh pemimpin Pas di Parlimen Teluk Intan untuk mengajak rakyat dan pengundi di sini untuk mengundi Calon DAP, Dyana Sofea memandangkan dia seorang Islam berbanding memilih calon BN, Datuk Mah Siew Keong yang bukannya beragama Islam.
“Kita mengambil contoh apa yang berlaku di Bukit Gelugor sekarang apabila ada ahli Pas sendiri bertanding di Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor, dia seorang Islam yang bernama Mohamed Nabi Bux, namun apabila bertanding di Parlimen Bukit Gelugor, dia tidak mendapat sokongan sahabat-sahabatnya dari Pas sendiri,” kata  Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ustaz Fathul Bari  Mat Jahaya.
Beliau persoal lagi ini kerana sahabat-sahabatnya dari Pas menyokong anak Karpal Singh bernama RamKarpal.
“Mereka sokong anak Karpal Singh berbanding Nabi Nux sedangkan Nabi Nux itu membawa misinya mempertahankan hudud dan nak bawa hudud.
“Mengapa di sana, isu seperti ini tidak dimainkan, mengapa kamu memilih orang bukan Islam, mengapa kamu tidak memilih orang Islam?,” ujarnya ketika menyampaikan Ceramah Perdana di Kampung Selabak, Teluk Intan malam tadi.
Tambah beliau lagi Pas sepatutnya konsisten dalam isu ini.
“Kadang-kadang orang guna nas, guna ayat Al-Quran, guna Hadis untuk memberi kepentingan sahaja.
“Cukup kepentingan dia, sesuai dengan hawa nafsu dia, dia akan guna. Kalau tak sesuai, ‘ini kita simpan’. Macamlah ayat Al-Quran itu tak terpakai di Bukit Gelugor Pulau Pinang, tapi terpakai di Teluk Intan. Hadis itu terpakai di Teluk Intan, tapi tak terpakai di Bukit Gelugor. Tak boleh macam itu.
“Jangan buat agama macam itu. Agama itu bukan macam capati, nak makan makan tak nak makan, sudah. Jadi saya minta tolong pada sahabat dalam Pas, jangan main isu ini,” katanya.

Calon Melayu Nyiru Untuk Tutup Sikap Rasis, Cauvinis, Tentangan Hudud DAP

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata bahawa tindakan DAP meletakkan calon Melayu di dalam Pilihanraya kecil (PRK) Teluk Intan ini adalah semata-mata untuk menutup sikap dan pendirian DAP yang rasis serta mahu menenggelamkan penentangan sikap dan pendirian kepimpinan DAP terhadap isu hudud yang dibawa oleh sekutu mereka, Pas.
Menurut beliau, DAP sedar bahawa isu penentangan mereka terhadap perlaksanaan hudud merupakan satu isu besar yang boleh menjadi punca hilangnya sokongan rakyat khususnya pengundi Melayu di kawasan tersebut kepada DAP.
“Jadi untuk menutup isu tersebut, serta juga mahu  melenyapkan persepsi negatif rakyat berhubung pertelagahan mereka dengan parti Pas berhubung isu perlaksanaan hudud ini, maka DAP bermain muslihat  dengan meletakkan calon Melayu di dalam PRK ini.
“Mereka tahu, sekiranya DAP meletakkan calon bukan Melayu, mereka tidak akan mendapat sokongan daripada pengundi Melayu ekoran penentangan keras kepimpinan DAP terhadap hudud,” ujarnya di sini hari ini.
Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa strategi DAP meletakkan calon Melayu pada PRK Teluk Intan ini adalah semata-mata untuk mengaburi pandangan rakyat terutama di kalangan pengundi Melayu berhubung pendirian dan ideologi rasis dan cauvinis yang menjadi pegangan parti tersebut selama ini.
“Dyana Sofya merupakan umpan DAP untuk membuktikan bahawa kononnya parti tersebut tidak rasis dan terbuka untuk semua kaum. Tetapi apa yang perlu difahami oleh rakyat, khususnya pengundi di parlimen Teluk Intan ialah, ideologi dan prinsip hak kesamarataan serta gagasan Malaysian Malaysia yang menjadi perjuangan DAP juga merupakan prinsip politik dan perjuangan calon DAP tersebut, biarpun beliau berbangsa Melayu.
“Dalam masa yang sama, saya juga  menganggap tindakan DAP meletakkan calon Melayu ini adalah sebagai satu signal ataupun sindiran kepada Pas, bahawa parti tersebut mampu untuk mendapat sokongan di kalangan pengundi Melayu tanpa Pas. Mereka mahu membuktikan kepada Pas, mereka mampu untuk menarik sokongan pengundi Melayu tanpa bantuan dari parti tersebut,” ujarnya.

Wanita UMNO Cadang Wujud ‘One Stop Centre’ Atasi Isu Pembantu Rumah

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Wanita telah membuat ketetapan untuk memperjuangkan masalah pembantu rumah yang dilihat semakin membelenggu kehidupan rakyat.
Jelas beliau, isu pembantu rumah masa kini dilihat semakin menghimpit kebanyakan keluarga dan oleh yang demikian penubuhan ‘One Stop Centre’ dirasakan dapat membantu menyelesaikan isu ini.
“Pergerakan Wanita akan mencadangkan kepada kerajaan agar dapat menubuhkan ‘One Stop Centre’ agar segala masalah berkaitan dengan pembantu rumah dapat ditangani dengan cepat dan baik.
“Contohnya, kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang terbabit ditempatkan di satu tempat iaitu di One Stop Centre ini. Jadi, ini memudahkan rakyat untuk berurusan dan tidak tercari-cari kementerian dan agensi manakah yang perlu mereka pergi untuk menyelesaikan masalah pembantu rumah,” ujarnya selepas merasmikan Bengkel Revolusi Pelaksanaan Proses Pengambilan Pembantu Rumah di PWTC hari ini.
Tambah beliau lagi disebabkan terlalu banyak agensi yang terlibat di dalam isu pembantu rumah maka Pergerakan Wanita amat berharap agar One Stop Centre ini dapat diwujudkan secepat mungkin.
“Terpulang kepada kerajaan nak wujudkan di mana tetapi ianya tidak boleh dilengahkan lagi. Masalah pembantu rumah ini sudah terlalu lama dan ianya perlu ditangani dengan segera.
“Inilah tujuan bengkel ini dan bengkel ini akan teruskan untuk masa hadapan dengan penyertaan dari golongan berbeza pula,” ujarnya. 

Wakil Rakyat BN Desak Rayer Mohon Maaf, Tarik Balik Perkataan ‘Celaka’

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid menyifatkan perkataan yang dikeluarkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima itu sebagai jijik, jahat dan menghina selain boleh menimbulkan perasaan benci dan provokasi kepada Umno khususnya wakil rakyat BN dan rakyat.


“Saya mohon Datuk Speaker supaya Seri Delima memohon maaf dan menarik balik kenyataannya. Kita mempunyai jiwa yang besar untuk menjaga martabat dewan ini. Jangan kita menjadi pencetus kepada kemarahan dan ketidakstabilan.
“Kalau pihak pakatan rakyat, kerajaan negeri, minta untuk menyokong usul ini bagi menjaga kemuliaan dan martabat dewan, kita tak ada masalah. Bagaimanapun, janganlah kita biarkan dewan ini dicemari dengan perkataan yang tidak sepatutnya dan ia perlu ditegur dan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas usul tergempar membincangkan kejadian sekumpulan lelaki menceroboh DUN semalam, yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng pada persidangan DUN, di sini hari ini.
Semalam, sekumpulan 100 lelaki terdiri daripada anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang untuk mencari Rayer yang mengatakan “Umno Celaka” dalam persidangan Dewan pada Selasa.
Rayer mengeluarkan perkataan itu ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969.
Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mendakwa keengganan Rayer memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu adalah punca tercetusnya kejadian itu.
Beliau turut mengkritik kandungan usul tergempar yang dikemukakan Ketua Menteri yang mendakwa Umno Pulau Pinang bertindak memimpin sekumpulan lelaki terbabit yang menghina kemuliaan dewan.
“Kami tidak pernah menyuruh, mengarah mereka malah tidak bersetuju dengan apa yang berlaku semalam. Malah kami ada menghantar SMS meminta kumpulan terbabit bertenang, sabar dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.
Nordin Ahmad (BN-Bayan Lepas) pula berkata setiap wakil rakyat perlu menjaga percakapan dan menghormati antara satu sama lain bagi mengelakkan berlakunya kejadian seumpama itu.
“Perkara ini tidak akan berlaku kalau tidak ada sesiapa yang menyakitkan hati sesiapa. Adakah ini yang kita mahukan, meniup keadaan yang boleh menimbulkan kemarahan,” katanya.

Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur Bantu Ekonomi Malaysia Tingkat Rantaian Nilai, Kata Najib

Langkah Malaysia untuk mengukuhkan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur, yang memberi tumpuan kepada teknologi tinggi dan pekerja berkemahiran tinggi akan membantu ekonomi meningkatkan rantaian nilai dan seterusnya kepada status berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Bukan sahaja Dasar Pandang Timur diteruskan di bawah kepimpinan saya, tetapi juga selaras dengan program transformasi untuk Malaysia. Reputasi Jepun bagi kepimpinan ekonomi sudah terkenal dan juga diperakui, kata beliau.
Pada awal tahun 1980-an, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia memulakan dasar ‘Pandang ke Timur’, beralih ke Jepun dan Korea sebagai inspirasi, membantu untuk melatih generasi akan datang pelajar Malaysia dan pemimpin perniagaan dengan cara Asia Timur.
“Keadaan berbeza ketika itu. Asia sedang meningkat, tetapi pertumbuhan pesat sebenar masih belum berlaku,” kata Najib dalam ucap tama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia, “Kebangkitan Asia: Mesej Untuk 20 Tahun Akan Datang” yang diadakan di sini hari ini.
Persidangan itu dianjurkan oleh kumpulan media antarabangsa, Nikkei Inc, Jepun.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Inc, Tsuneo Kita.
Ini merupakan penampilan kedua Najib sebagai penceramah utama di persidangan Nikkei. Kali pertama pada Persidangan Nikkei ke-17 pada 2011.
“Kemunculan ekonomi ‘Harimau’, dan pembaharuan di China, menunjukkan kepada dunia bahawa ada sesuatu sedang berlaku di Asia. Pada tahun 1980-an lah frasa ‘Abad Asia’ dicipta. Tetapi bagi ramai pemerhati, Asia masih ‘satu cerita untuk esok’,” kata beliau.
Bagaimanapun, Najib dengan segera menjelaskan berkata ‘esok itu telah tiba’.
Dari segi ekonomi dan politik, Asia kini menjadi pusat hal ehwal dunia. Rantau yang paling ramai penduduk ini juga merupakan satu daripada rantau yang paling dinamik.
Perdana Menteri menekankan bahawa pembangunan ekonomi yang cemerlang telah menyebabkan dunia memberi tumpuan terhadap prospek Asia.
“Apabila krisis kewangan baru-baru ini menjejaskan keyakinan dalam pasaran kukuh, lebih banyak syarikat dan negara mula ‘memandang ke Timur’.
Peningkatan kesedaran momentum ekonomi juga telah menimbulkan kepentingan geopolitik, memandangkan kuasa baru muncul dan kuasa mantap bersaing untuk pengaruh di Asia.
“Trend ini tidak menunjukkan tanda untuk reda. Dalam tempoh 20 tahun, Asia telah bersedia untuk menguasai lebih daripada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global, dan 60 peratus daripada kelas pertengahan dunia,” kata beliau.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertumbuhan ini akan disertai oleh kedudukan, pengaruh dan minat global yang semakin bertambah dan Asia perlu bersedia menghadapi cabaran itu.
“Ekonomi Asia akan kekal menjadi tumpuan, dan dinamik dalaman kita dalam pemerhatian. Zaman pengasingan Asia tidak akan berulang. Kita adalah satu daripada pusat baharu graviti di dunia pelbagai polar yang baharu,” kata Najib.
Terdahulu dalam ucapan pembukaan Najib berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe, ekonomi Jepun telah kembali pulih dan kini kelihatan bersedia untuk melalui tempoh pertumbuhan mampan, dengan itu menetapkan satu standard baru bagi pembaharuan.

DAP Usah Main Politik Dolak-Dalih…. Patut Jujur Kepada Pengundi

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini membidas sikap DAP yang tidak mahu memperjelaskan pendirian mereka yang sebenar berhubungi isu-isu sensitif seperti Perkara 153, UiTM dan Hudud yang selama ini menjadi sasaran kritikan dan serangan mereka.
Menurut beliau, sekiranya DAP  tidak bersetuju dengan peruntukan Perkara 153 dan UiTM sebagai sebuah institusi Melayu, dan menentang usaha Pas menggunapakai undang-undang Islam, maka ini perlu dinyatakan dalam kempen-kempen DAP dengan jelas supaya pengundi  tahu apa pendirian, prinsip dan ideologi parti yang bakal mereka berikan undi.
yb-dr-salleh-said-keruak-umno-bn-sabah
“Pilihan raya atau pilihan raya kecil merupakan platform dan peluang untuk calon-calon untuk menerangkan dasar dan ideologi parti mereka kepada pengundi. Di sinilah tempatnya untuk mereka memperjelaskan kepada pengundi tentang pendirian parti.
“Mereka tidak sepatutnya memberitahu kepada pengundi “tidak mahu memberi komen” apabila ditanya tentang sesuatu perkara, kerana ia bermakna mereka tidak bersifat terbuka dan ada menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan pengundi.
“Adalah tidak jujur bagi parti  itu untuk meminta sokongan daripada pengundi tetapi enggan menyatakan pendirian sebenar mengenai isu-isu yang sensitif seperti Perkara 153, UiTM dan Hudud,” ujarnya di sini hari ini.
Tambah Salleh, jelas sekali ini merupakan taktik DAP untuk meraih sokongan pengundi Cina yang kini berada di persimpangan jalan sama ada menyokong DAP atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu.
“Bagaimanapun, strategi kempen yang menyentuh isu sensitif bakal mengundang risiko kerana kemungkinan ia akan merubah senario kepada persaingan Melayu lawan Cina atau bukan Melayu dan perkara ini telah disedari oleh Dap.
“Ini memandangkan sebelum ini, Dyana Sofya telah membuat kenyataan berhubung perlaksanaan Hudud yang Malaysiakini muatkan di Youtube, di mana jelas memperlihatkan  Dyana Sofya menentang perlaksanaan hudud di negara ini kerana itu adalah pendirian parti yang diwakilinya.
“Dan hari ini kita dapat lihat Dyana Sofya enggan mengulas mengenai perkara itu mungkin kerana  DAP menyedari komennya itu tidak  memberikan impak  sepertimana yang diharapkan, malah boleh menjejaskan sokongan pengundi Melayu terhadap DAP,” jelasnya.
Salleh seterusnya menegaskan bahawa dalam isu Uitm yang dibangkitkan oleh Dap baru-baru ini, beliau berkongsi pendapat dengan Pro Canselor Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad,  bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu terus kekal sebagai satu-satunya institusi Melayu.
“Saya bersependapat dengan Tan Sri Dr Rahman yang mengulas gesaan calon DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud agar peluang samarata diberikan kepada semua untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam di negara ini.
“Justeru itu, hujah Tan Sri Dr Rahman yang menyatakan bahawa adalah UiTM itu ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan seterusnya menekankan bahawa hak atau keistimewaan Bumiputera dan perkara ini tidak harus dipersoalkan lagi,”akhiri beliau. 
pas-dyana-melayu-sokong-pemimpin-parti-rasis-cauvinis-cina-india-lim-kit-siang-rsn-rayer-umno-celaka-islam

Antara Hudud Dan Undi, Pas Tidak Patut Main Wayang…

Pas perlu mengecualikan dirinya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan memandangkan calon DAP Dyana Sofya menyatakan ikrarnya untuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen, untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan sebagaimana pendirian DAP.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Alwi Che Mat berkata sekiranya Pas tidak berbuat demikian dan meneruskan sokongannnya pada pilihan raya kecil berkenaan bermakna parti tersebut menggunakan hudud sebagai komoditi undi.
“Pas perlu fikir banyak kali sebab tahaluf siyasi ini syaratnya adalah tidak menyebabkan agenda Islam terjejas. Mesti tidak menyebabkan asas mengenai Islam itu terencat sedangkan Pas meletakkan hudud dalam agenda utamanya.
“Jadi bila Dyana sendiri tidak menyokong sepatutnya Pas dalam pilihan raya ini mesti mengecualikan dirinya sebab Dyana dah buat pendirian yang jelas. Kalau Pas sokong juga pada PRK ini bermakna Pas sengaja menggunakan hudud ini sebagai komoditi undi. Benarlah seperti dakwaan sebelum ini bahawa Pas menggunakan Hudud untuk pancing undi “, katanya di sini.
Justeru tegas beliau lagi hudud kepada Pas bukan soal Islam tetapi hudud kepada Pas nampaknya adalah undi.
“Kalau dia betul-betul berpegang kepada prinsip Islam situasi hari ini mereka kena ‘divorce’.
“Tambahan pula berdasarkan prinsip yang dibuat oleh kerajaan Kelantan bahawa MB, Datuk Ahmad Yaakob bersedia hilang jawatan MB sekiranya hudud tidak dilaksanakan , Pas kena bercerai sekarang,” ujarnya.
Dalam wawancara sebelum ini dilaporkan, Dyana menyatakan ikrarnya untuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen, untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan sebagaimana pendirian Dap
Menjawab soalan apakah Pas tersepit dengan situasi yang berlaku di Teluk Intan, Alwi menjawab perkara berkenaan perlu ditanya kepada parti berkenaan.
“Kalau dia rasa tersepit..tersepitlah…kalau tak rasa tersepit tak tersepitlah…saya tidak tahu dia tersepit atau tidak. Dia kena fikirlah tetapi apa Pas nak buat dengan Dyana sekarang. Apa Pas nak kata dengan Dyana sekarang?” soalnya.
dyana-sofya-calon-melayu-islam-ambil-pendirian-polisi-parti-dap-tolak-sokong-hudud-teluk-intan-perak
gobind-singh-deo-karpal-pas-putar-belit-guna-hudud-agama-islam-kebenaran-demi-sokongan-undi-syurga

Wednesday, 21 May 2014

Pengundi Hantu, Penipuan, Ketidakadilan Dalam Pemilihan PKR 2014


Pakatan Rakyat selalu mempertikai kredibiliti SPR dan menuduh BN tipu dlm proses pilihan raya. Tapi sampai sekarang satu bukti pun tiada. Punyalah terdesak nak tuduh BN menipu sampai sanggup buat lakonan proses mengundi kononnya berlaku "blackout" masa PRU.

Bolehkah disimpulkan tuduhan-tuduhan tersebut ialah fitnah???

Ironinya, pemilihan jawatan dalam parti-parti komponen BN semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah tak seperti pemilihan parti-parti pakatan.

Belum termasuk yang bertanding jawatan tertinggi PKR sesama suami isteri dan anak beranak. Tapi yg dituduh amal nepotisme ialah BN. Pelik kan.

Realiti tak seindah mimpi bagi Pakatan Rakyat (PR). 



Pelajar ke UiTM dipilih berdasarkan merit, syarat

Penuntut yang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dipilih berdasarkan merit dan cukup syarat, bukan berdasarkan fahaman politik dan status keluarga masing-masing, kata Naib Canselornya Tan Sri Profesor Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau sekali gus menolak dakwaan calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud bahawa hanya anak orang Umno daripada keluarga berada sahaja dipilih memasuki UiTM berbanding anak keluarga bukan daripada parti itu.

UiTM, jelasnya, mengambil penuntut berdasarkan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ia tidak boleh membuat pilihan mengikut parti.

"Dakwaan (Dyana Sofya) tidak benar, tidak logik, tidak cerdik dan tidak matang," katanya kepada Bernama hari ini ketika dihubungi di London.    

"Ada juga yang datang merayu tidak kira siapa (orang Umno atau bukan Umno), ramai anggota parti bukan Umno datang dengan nama-nama untuk diberi tempat dan ada juga pemimpin parti bukan Umno datang minta tolong calon-calon mereka.

Kita terima (rayuan) dan beri tempat berdasarkan merit dan syarat," katanya.

Dyana Sofya, yang juga bekas penuntut jurusan undang-undang UiTM sebelum ini mendakwa universiti itu hanya mengambil penuntut daripada kalangan keluarga pemimpin Umno yang berada untuk melanjutkan pelajaran, berbanding penuntut miskin yang lebih layak bukan daripada keluarga anggota Umno.

Sahol Hamid menarik perhatian bahawa UiTM mempunyai program khas anak miskin tegar membabitkan 5,000 penuntut daripada keluarga berpendapatan kurang RM3,000 dipilih mengikuti pengajian di universiti itu.

Beliau berkata statistik juga menunjukkan 65 peratus pengambilan penuntut UiTM terdiri daripada anak keluarga kurang berada.

Menurutnya lagi, hampir 70 peratus daripada alumni UiTM yang bilangannya hampir mencecah 600,000 datang dari luar bandar dan daripada keluarga tidak mewah.

Dalam pada itu, Sahol Hamid menegaskan tidak salah untuk mengaitkan UiTM dengan Umno kerana parti itulah yang telah memperkenalkan UiTM dan ia sehingga kini memberi sokongan berterusan dan menjaga kebajikan institusi itu.

"Mana-mana institusi sepatutnya bertuah untuk mendapat sokongan seumpama itu. UiTM berada pada kedudukannya kini kerana Umno dan tiada siapa boleh menafikan hakikat itu," katanya.

Naib Canselor itu menegaskan terdapat banyak institusi di Malaysia dan seluruh dunia yang dikaitkan dengan organisasi dan parti politik.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala pengundian ditetapkan 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. 

Henti jadikan UiTM bahan kempen politik


logo uitm    

Mengulas lanjut, beliau berkata UiTM mempunyai program dipanggil 'JPA/MARA/Petronas Pre-Overseas Programme' yang membantu pelajar yang ditaja JPA termasuk berketurunan India dan Cina menjalani latihan antara setahun dan dua tahun sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara.

Beliau berkata program yang diperkenalkan sejak 1980-an itu turut meliputi program A Level Jerman yang menyaksikan pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti di Jerman.

"Ramai tidak tahu UiTM membantu pelajar bukan Bumiputera mendapat pendedahan melalui latihan selama setahun hingga dua tahun di UiTM sebelum mereka ke luar negara," katanya berhubung program itu yang dibuat di Pusat Pendidikan Antarabangsa (Intec), yang merupakan sebahagian daripada UiTM.

Beliau menjelaskan Intec yang menawarkan pelbagai program, terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan pensyarahnya juga terdiri daripada kalangan pensyarah UiTM.

"Saya yakin UiTM telah melatih lebih ramai anak bukan Bumiputera berbanding Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR). Tanya UTAR dan KTAR berapa ramai anak Melayu lulus dari tempat mereka," tegas Shukri.

PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala hari pengundian ditetapkan 31 Mei.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. 

Persatuan Alumni UiTM Malaysia menegaskan  institusi itu tidak harus dijadikan bahan kempen politik seperti yang dilakukan pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan.

Setiausaha Agung persatuan itu, Shukri Ishak menarik perhatian bahawa setiap individu berhak dalam negara demokrasi memilih arus politik masing-masing.

"Tetapi jangan gunakan UiTM sebagai bahan kempen politik. Jangan babitkan UiTM. Setiap individu berhak membuat kenyataan tetapi biarlah yang benar dan ada bukti.

"Cakap sahaja untuk kempen politik tanpa bukti dan fakta tidak menunjukkan kepintaran atau kecerdasan minda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud dilaporkan mendakwa UiTM mengambil penuntut daripada kalangan keluarga pemimpin Umno yang berada, berbanding penuntut daripada keluarga bukan berada yang tiada kaitan dengan Umno.

Dyana Sofya merupakan bekas penuntut jurusan undang-undang UiTM.

Shukri berkata: "Dia (Dyana Sofya) hanya seorang daripada 600,000 alumni UiTM. Ramai (alumni) juga menjadi pemimpin parti lain daripada Umno." 

Ada Pihak Perguna “Humanrightisme” Untuk Kuasa, Tidak Selari Dasar Negara

Sewajarnya rakyat Malaysia berbangga dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mendedahkan berkaitan fahaman humanrightisme iaitu yang mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan meminta rakyat berhati-hati dengan ancaman fahaman tersebut, katanya Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman.
abdul-aziz-rahman-presiden-MUBARAK-majlis-bekas-ahli-wakil-rakyat-malaysia
Katanya, kecenderungan segelintir pihak yang mahu berkuasa, mendapat pangkat dan kedudukan termasuklah menghalalkan apa-apa sahaja cara dalam politik telah membawa penularanhumanrightisme.
“Sememangnya ada pihak yang mengambil kesempatan atas kebebasan kerajaan namun kebebasan yang ada ini ada batas-batasnya dan bukanlah sehingga boleh melakukan apa-apa sahaja sebagaimana dakwaan mereka termasuklah menggunakan humanrightisme,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menyeru rakyat untuk menolak mana-mana parti politik yang secara sembunyi atau terang-terangan menggunakan agenda luar dalam pengaruh politik mereka atau sebagai taktik menarik perhatian pengundi.
“Humanrightisme cuba diserapkan dalam pemikiran masyarakat dan dibawa dalam arus politik dan sistem sosial dengan agenda untuk menghapuskan sistem pentadbiran tradisi yang selama ini kita pertahankan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi.”
Ujarnya, kecenderungan ini dibuat dengan berbagai-bagai cara sehinggakan wujudnya golongan yang menuntut melalui himpunan jalanan atas nama hak asasi manusia, melalui perbincangan dan juga cuba membawanya ke persidangan Dewan Undangan Negeri.
“Ini dapat dilihat apabila dalam sidang DUN Negeri Selangor yang lalu apabila antara usul yang dibenarkan untuk dibahaskan oleh kerajaan negeri pembangkang adalah mengenai tuntutan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) bagi hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).”
Tegasnya, fahaman humanrightisme bersifat songsang apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi norma agama dan adab susila sedangkan berdasarkan sisitem demokrasi Perlembagaan yang digunapakai sejak sekian lama, Malaysia lebih maju dan cemerlang.
“Setiap isu dan permasalahan yang timbul dalam negara maka kita akan selesaikan berdasarkan pendekatan dan kesesuaian yang ada berdasarkan agama, budaya dan bangsa kita sendiri namun ada pihak yang tidak senang dan menggunakan pelbagai cara sebagaimana humanrightisme ini.”