Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Wanita telah membuat ketetapan untuk memperjuangkan masalah pembantu rumah yang dilihat semakin membelenggu kehidupan rakyat.
Jelas beliau, isu pembantu rumah masa kini dilihat semakin menghimpit kebanyakan keluarga dan oleh yang demikian penubuhan ‘One Stop Centre’ dirasakan dapat membantu menyelesaikan isu ini.
“Pergerakan Wanita akan mencadangkan kepada kerajaan agar dapat menubuhkan ‘One Stop Centre’ agar segala masalah berkaitan dengan pembantu rumah dapat ditangani dengan cepat dan baik.
“Contohnya, kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang terbabit ditempatkan di satu tempat iaitu di One Stop Centre ini. Jadi, ini memudahkan rakyat untuk berurusan dan tidak tercari-cari kementerian dan agensi manakah yang perlu mereka pergi untuk menyelesaikan masalah pembantu rumah,” ujarnya selepas merasmikan Bengkel Revolusi Pelaksanaan Proses Pengambilan Pembantu Rumah di PWTC hari ini.
Tambah beliau lagi disebabkan terlalu banyak agensi yang terlibat di dalam isu pembantu rumah maka Pergerakan Wanita amat berharap agar One Stop Centre ini dapat diwujudkan secepat mungkin.
“Terpulang kepada kerajaan nak wujudkan di mana tetapi ianya tidak boleh dilengahkan lagi. Masalah pembantu rumah ini sudah terlalu lama dan ianya perlu ditangani dengan segera.
“Inilah tujuan bengkel ini dan bengkel ini akan teruskan untuk masa hadapan dengan penyertaan dari golongan berbeza pula,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment