Sewajarnya rakyat Malaysia berbangga dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mendedahkan berkaitan fahaman humanrightisme iaitu yang mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan meminta rakyat berhati-hati dengan ancaman fahaman tersebut, katanya Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman.
Katanya, kecenderungan segelintir pihak yang mahu berkuasa, mendapat pangkat dan kedudukan termasuklah menghalalkan apa-apa sahaja cara dalam politik telah membawa penularanhumanrightisme.
“Sememangnya ada pihak yang mengambil kesempatan atas kebebasan kerajaan namun kebebasan yang ada ini ada batas-batasnya dan bukanlah sehingga boleh melakukan apa-apa sahaja sebagaimana dakwaan mereka termasuklah menggunakan humanrightisme,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menyeru rakyat untuk menolak mana-mana parti politik yang secara sembunyi atau terang-terangan menggunakan agenda luar dalam pengaruh politik mereka atau sebagai taktik menarik perhatian pengundi.
“Humanrightisme cuba diserapkan dalam pemikiran masyarakat dan dibawa dalam arus politik dan sistem sosial dengan agenda untuk menghapuskan sistem pentadbiran tradisi yang selama ini kita pertahankan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi.”
Ujarnya, kecenderungan ini dibuat dengan berbagai-bagai cara sehinggakan wujudnya golongan yang menuntut melalui himpunan jalanan atas nama hak asasi manusia, melalui perbincangan dan juga cuba membawanya ke persidangan Dewan Undangan Negeri.
“Ini dapat dilihat apabila dalam sidang DUN Negeri Selangor yang lalu apabila antara usul yang dibenarkan untuk dibahaskan oleh kerajaan negeri pembangkang adalah mengenai tuntutan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) bagi hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).”
Tegasnya, fahaman humanrightisme bersifat songsang apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi norma agama dan adab susila sedangkan berdasarkan sisitem demokrasi Perlembagaan yang digunapakai sejak sekian lama, Malaysia lebih maju dan cemerlang.
“Setiap isu dan permasalahan yang timbul dalam negara maka kita akan selesaikan berdasarkan pendekatan dan kesesuaian yang ada berdasarkan agama, budaya dan bangsa kita sendiri namun ada pihak yang tidak senang dan menggunakan pelbagai cara sebagaimana humanrightisme ini.”
No comments:
Post a Comment