Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini membidas sikap DAP yang tidak mahu memperjelaskan pendirian mereka yang sebenar berhubungi isu-isu sensitif seperti Perkara 153, UiTM dan Hudud yang selama ini menjadi sasaran kritikan dan serangan mereka.
Menurut beliau, sekiranya DAP tidak bersetuju dengan peruntukan Perkara 153 dan UiTM sebagai sebuah institusi Melayu, dan menentang usaha Pas menggunapakai undang-undang Islam, maka ini perlu dinyatakan dalam kempen-kempen DAP dengan jelas supaya pengundi tahu apa pendirian, prinsip dan ideologi parti yang bakal mereka berikan undi.
“Pilihan raya atau pilihan raya kecil merupakan platform dan peluang untuk calon-calon untuk menerangkan dasar dan ideologi parti mereka kepada pengundi. Di sinilah tempatnya untuk mereka memperjelaskan kepada pengundi tentang pendirian parti.
“Mereka tidak sepatutnya memberitahu kepada pengundi “tidak mahu memberi komen” apabila ditanya tentang sesuatu perkara, kerana ia bermakna mereka tidak bersifat terbuka dan ada menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan pengundi.
“Adalah tidak jujur bagi parti itu untuk meminta sokongan daripada pengundi tetapi enggan menyatakan pendirian sebenar mengenai isu-isu yang sensitif seperti Perkara 153, UiTM dan Hudud,” ujarnya di sini hari ini.
Tambah Salleh, jelas sekali ini merupakan taktik DAP untuk meraih sokongan pengundi Cina yang kini berada di persimpangan jalan sama ada menyokong DAP atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu.
“Bagaimanapun, strategi kempen yang menyentuh isu sensitif bakal mengundang risiko kerana kemungkinan ia akan merubah senario kepada persaingan Melayu lawan Cina atau bukan Melayu dan perkara ini telah disedari oleh Dap.
“Ini memandangkan sebelum ini, Dyana Sofya telah membuat kenyataan berhubung perlaksanaan Hudud yang Malaysiakini muatkan di Youtube, di mana jelas memperlihatkan Dyana Sofya menentang perlaksanaan hudud di negara ini kerana itu adalah pendirian parti yang diwakilinya.
“Dan hari ini kita dapat lihat Dyana Sofya enggan mengulas mengenai perkara itu mungkin kerana DAP menyedari komennya itu tidak memberikan impak sepertimana yang diharapkan, malah boleh menjejaskan sokongan pengundi Melayu terhadap DAP,” jelasnya.
Salleh seterusnya menegaskan bahawa dalam isu Uitm yang dibangkitkan oleh Dap baru-baru ini, beliau berkongsi pendapat dengan Pro Canselor Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu terus kekal sebagai satu-satunya institusi Melayu.
“Saya bersependapat dengan Tan Sri Dr Rahman yang mengulas gesaan calon DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud agar peluang samarata diberikan kepada semua untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam di negara ini.
“Justeru itu, hujah Tan Sri Dr Rahman yang menyatakan bahawa adalah UiTM itu ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan seterusnya menekankan bahawa hak atau keistimewaan Bumiputera dan perkara ini tidak harus dipersoalkan lagi,”akhiri beliau.
No comments:
Post a Comment