Sebanyak 1,000 syarikat industri pertahanan tempatan dan antarabangsa dari 45 negara akan menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan (DSA) 2014 ke-14 di sini, April ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata 27,000 pelawat perdagangan dari 50 negara dijangka menyertai pameran itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini dari 14 hingga 17 April.
“Sebanyak 27 Kumpulan Pavilion Negara termasuk Malaysia dijangka menyertai pameran ini dan Pavilion luar negara yang terbesar adalah Turki dengan penyertaan anggaran 50 syarikat,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Pameran kali ini melibatkan statik peralatan dan teknologi pertahanan, sistem persenjataan dan penyelesaiaan keselamatan generik terkini untuk memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pasukan keselamatan negara-negara Asia Pasifik.
“Ia merupakan platform untuk meningkatkan hubungan dua hala dan menggalakkan komitmen yang lebih tinggi ke arah pertahanan global,” katanya.
Pameran yang dibuka dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang itu hanya untuk pelawat perdagangan, anggota tentera, pasukan keselamatan, pasukan kadet beruniform, penganalisis serta pemerhati pertahanan dari dalam dan luar negara.
Antara acara yang akan diadakan semasa pameran itu adalah Persidangan Meja Bulat Panglima Tentera Darat, Keselamatan Siber, Forum Putrajaya, Asean Hall dan ‘Battlefield Healthcare’.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zain dalam sidang media sama, berkata kerajaan mempertimbangkan untuk memperluaskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ke Sarawak bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan itu terjamin.
“Kami tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku di masa depan seperti pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, tahun lepas dan kami menimbangkan faktor keselamatan ini dengan teliti untuk memastikan sejarah tidak berulang,” katanya.
No comments:
Post a Comment