Nuffnang Ads

Tuesday, 18 February 2014

Rakyat Harus Nilai, Anwar Dikata ‘World Class Leader’ Tapi Gagal Selesai Masalah Parti

Rakyat harus meragui keupayaan Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran keupayaannya dalam menangani masalah dalaman PKR.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamalauddin berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diadakan apabila Anwar gagal selesaikan masalah yang dihadapi parti itu.
“Rakyat boleh lihat masalah dalaman PKR. Pilihan raya ini diadakan apabila Anwar gagal tangani masalah dalaman mereka antara Azmin Ali dengan Tan Sri Khalid hingga terpaksa adakan pilihan raya.
“Rakyat harus ragui kehebatan Anwar. Azmin kata Anwar ‘ world class leader’ tapi tak dapat selesaikan masalah dalaman sampai tahap piliha raya kecil terpaksa dibuat, heret rakyat untuk selesaikan masalah dalaman parti. Apa pemimpin kelas dunia macam itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan mesra di peti undi Sungai Kantan, di sini, hari ini.
Dalam kunjungan tersebut beliau turut meluangkan masa melawat beberapa buah rumah di sekitar peti undi berkenaan.
Berhubung pengumuman Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil tersebut, beliau menjelaskan itu keputusan Zaid.
“Itu keputusan beliau. Nampak seolah-olah beliau sendiri cuba eksploitasi perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat Selangor yang tidak setuju dengan usaha Anwar untuk ambil alih sebagai MB.
“Kita dalam BN tak kisah siapa MB. Soal MB masalah dalaman PKR. Kalau kita buat keputusan bertanding ianya atas kekuatan kita sendiri dan Zaid menambah masalah dalaman mereka,” katanya.
Tambah Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN, maklum balas yang diterima daripada UMNO Hulu Langat cukup baik.
“Maklum balas yang diterima UMNO Hulu Langat menunjukkan mereka sudah bersedia, cuma pengesahan daripada pucuk pimpinan BN dan kita yakin keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya, Pemuda UMNO akan terus mengadakan pelbagai progam turun padang bertemu rakyat dalam misi memastikan kemenangan BN dalam PRK Kajang kelak, katanya.
“Pemuda UMNO hari ini memilih kawasan Sungai Kantan dalam memulakan program ‘walkabout’ (tinjauan mesra) dan bertemu penduduk dari 25 buah rumah di Sungai Kantan serta mengumpul segala permasalahan yang diterima oleh mereka untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Turut hadir Anggota DUN Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon dan 23 Mac sebagai hari pengundian bagi PRK Kajang.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 27 Jan lepas bagi memberi ruang kepada Anwar untuk bertanding.
Ditanya mengenai calon BN untuk PRK Kajang, Khairy berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan mengenainya dan akan menerima sesiapa sahaja calon yang dipilih kelak.

No comments:

Post a Comment