Nuffnang Ads

Friday 28 February 2014

Lesen Perniagaan Di Selangor Meningkat 46 Hingga 280 Peratus

Kerajaan Selangor digesa menurunkan kadar lessen perniagaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang meningkat secara mendadak antara 46 hingga 280 peratus mulai Januari lepas.
Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pihaknya menerima 35 aduan tentang kenaikan lesen perniagaan MPKj meliputi 12 jenis perniagaan daripada peniaga dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Selangor, khususnya di Kajang.
“Bagi pihak MCA, saya merayu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya kerajaan Selangor membatalkan kadar lesen perniagaan baharu sebaliknya berpandukan kepada kadar 2013 bagi meringan beban rakyat,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan MCA bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang di Taman Berjaya, di sini hari ini.
kenaikan-gaji-ub-mb-selangor-khalid-peratus
Menurut Wee kadar lesen perniagaan bagi premis yang menjual kenderaan terpakai mengalami kenaikan sebanyak 282 peratus iaitu dari RM390 pada tahun lepas kepada RM 1,490 tahun ini.
Selain itu, kadar lesen perniagaan bagi kedai membaiki kenderaan meningkat 167 peratus, kedai jahit (160 peratus), kilang membuat makanan sejuk beku (70 peratus) kilang memproses mi (51 peratus) dan farmasi (46 peratus), katanya.
Beliau berkata kenaikan kadar bayaran lesen ini bukan sahaja membebankan para peniaga malah akan turut meningkatkan kos harga barang.
“Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini mendakwa tidak akan membebankan rakyat namun kenaikan ini jelas menunjukkan mereka cakap tidak serupa bikin,” katanya.
Selain itu, Wee juga kecewa PBT juga tidak memaklumkan kepada para peniaga dan pengusaha mengenai kenaikan lesen perniagaan itu sehinggalah mereka membuat pembaharuan lesen pada awal tahun ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Hulu Langat, Ding Hong Sing yang kecewa dengan kenaikan secara mendadak kadar lessen perniagaan itu berkata, langkah itu hanya membebankan pengusaha IKS khususnya di Selangor.
Ding yang merupakan pengusaha sebuah kilang pemprosesan makanan berkata pembayaran cukai pintu yang tinggi mencecah RM6,000 dan kenaikan kadar lessen perniagaan yang mendadak akan menjejaskan perniagaannya.
“Saya berharap MPKj akan menurunkan kadar lesen perniagaan berpandukan kadar pada tahun lepas agar ia tidak membebankan perniagaan IKS,” katanya.

No comments:

Post a Comment