Nuffnang Ads

Tuesday 18 February 2014

Kerajaan Tidak Pernah Pinggir Masyarakat Luar Bandar – Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah meminggir masyarakat di luar bandar kerana dasar diamalkan kerajaan selama ini mahu penduduk di bandar mahupun luar bandar menerima pembangunan secara adil.
Beliau berkata masyarakat luar bandar yang tinggal jauh dari pusat pentadbiran tidak pernah terlepas pandang daripada pembangunan yang telah dibawa kerajaan.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) menghargai sokongan kuat oleh rakyat di luar bandar kepada kerajaan. Oleh kerana itu, sebagai contoh saya apabila melawat ke negeri ini akan turut melawat ke kawasan-kawasan luar bandar untuk memahami permasalah mereka,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Lundu, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Anggota Parlimen Santubong dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu.
Menerusi pembangunan yang dibawa kerajaan, Muhyiddin meminta masyarakat luar bandar memanfaatkan sebaik mungkin sumber semulajadi di kawasan mereka untuk mengembangkan potensi pembangunan di kawasan tersebut.
“Sumber seperti tumbuh-tumbuhan, tanaman, hasil laut berpotensi besar membantu pembangunan kawasan luar bandar.
“Ditambah pula dengan bantuan kerajaan kepada petani, nelayan serta pekebun kecil mampu meningkat pendapatan masyarakat luar bandar untuk tempoh 20 ke 30 tahun akan datang seterusnya meningkat taraf kehidupan,” kata Timbalan Perdana Menteri.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan bersetuju menamakan dewan sekolah berkenaan sempena nama bunga Pakma atau Rafflesia iaitu ‘Dewan Pakma’ sebagai simbolik Taman Negara Gunung Gading di sini yang menjadi tumpuan kerana kewujudan bunga terbesar di dunia itu di taman berkenaan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Bumiputera Lundu di sini.
Terdahulu, Adenan dalam ucapannya memohon Muhyiddin pertimbangkan agar dewan tersebut dinamakan sebagai ‘Dewan Pakma’.
Adenan berkata daerah Lundu yang dibuka pada 22 Jun 1877 sangat bertuah kerana dikunjungi oleh Muhyiddin, kunjungan kedua oleh Timbalan Perdana Menteri.
Menurutnya Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein menjadi pemimpin negara yang pertama pernah berkunjung ke Lundu yang bersempadan dengan Kalimantan Barat (KALBAR), Indonesia, untuk merasmikan Jalan Biawak.
“30-40 tahun dahulu Lundu berbeza, nak datang ke sini kena tunggu feri, kadang-kadang hati rasa marah sebab terpaksa tunggu lama, tetapi kerajaan BN telah bina jambatan untuk mudahkan perjalanan. Selain itu 98 peratus kawasan di Lundu, serta 99 penempatan sudah dapat dihubungi dengan jalan raya,” katanya.
Adenan berkata selain itu, Lundu yang mempunyai 35,000 penduduk juga terkenal dengan pelbagai produk ekopelancongan seperti gunung-ganang, pantai serta pulau-pulau yang menarik.
“Selain itu, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Biawak akan menarik lebih ramai pelawat ekonomi ke Lundu,” kata Adenan yang bakal menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu selepas Taib mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 28 Feb ini.

No comments:

Post a Comment