Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menganggap pakatan pembangkang menyajikan satu lagi sandiwara apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilaporkan berkata golongan ekstrimis dan pengkhianat negara adalah mereka yang cuba menimbulkan kekacuan dengan mengapi-apikan isu sentimen agama dan perkauman.
Katanya, dakwaan pengkhianat negara sebenarnya adalah lebih sesuai jika diberikan kepada anggota dalam pakatan mereka sendiri yang lebih cenderung memburuk-burukkan negaranya sendiri.
“Apabila DAP menimbulkan isu sedemikian dalam ucapannya maka ia sebenarnya adalah cubaan untuk mengalihkan tumpuan dan perhatian masyarakat terhadap apa yang telah mereka sendiri lakukan dengan menyalahkan pihak lain,” katanya.
Tegas beliau, ini dapat dilihat apabila kecaman rakyat yang berterusan kepada anggota Parlimen DAP, Teresa Kok masih berlarutan maka kepimpinan atasnya mengeluarkan ucapan seolah-olah mereka tidak memainkan sentimen perkauman, penghinaan dan pengkhianatan kepada negara mereka sendiri.
“Secara jujur saya akui bahawa saya sebagai anak negeri Sabah amat tersinggung dengan kenyataan Teresa dalam videonya yang memburuk-burukkan negeri Sabah dengan dianggap tidak selamat dan insiden Lahad Datu dijadikan bahan sindiran.
“Inilah pengkhianatan yang dibuat kepada negaranya sendiri yang sewajarnya dilihat oleh kepimpinan pembangkang untuk dinilai dan bukannya menidakkan apa yang dibuat dengan menuding jari kepada orang lain,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar melihat, pemimpin pembangkang bersikap hipokrit apabila melahirkan kenyataan menolak golongan ekstrem dalam politik sedangkan yang cenderung bersikap sedemikian adalah mereka sendiri.
“Siapa sebenarnya yang ekstrem, siapa sebenarnya yang bersifat perkauman, siapa yang anjurkan politik ganas selama ini jika tidak kepimpinan dari pakatan pembangkang sendiri.”
Tegas beliau, klip video Teresa Kok yang dimuat naik di laman YouTube sempena Tahun Baru Cina lalu secara jelas menjadi bukti bagaimana kepimpinan pembangkang memperkecilkan bangsa Melayu selain memburuk-burukkan dasar kerajaan yang selama ini menjadi sebahagian pencetus kepada kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Ketika isu ini hangat diperkatakan dengan berpuluh laporan polis dibuat maka kepimpinan tertinggi mereka cuba mengalihkan tumpuan ibaratnya bukan mereka yang mencetuskan perkauman dan politik ganas.”
Bidas beliau, jika UMNO amalkan sikap perkauman dan bersikap tidak adil maka tidak mungkin Malaysia dikenali sebagai negara berbilang kaum dan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera.
“Jika UMNO benar-benar parti yang rasis dan hanya mengutamakan satu-satu kaum sahaja jadi mana mungkin bangsa lain boleh berjaya termasuklah kaum Cina yang boleh menguasai ekonomi selain bangsa lain turut berjaya menjawat bidang profesional dan mendapat tempat dalam pelbagai sektor.
“Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi menolak politik kebencian yang hanya akan memudaratkan sebaliknya menerapkan perpaduan dan sifat bersatu-padu pada semua kaum tanpa ada mana-mana pihak yang didiskriminasikan.”
Dalam hal ini beliau turut menyorot pelbagai demonstrasi jalanan yang berlangsung sejak Pilihan Raya Umum ke-12 misalnya Himpunan Bersih, sambutan ambang kemerdekaan, himpunan menjelang Tahun Baru dan macam-macam lagi adalah digerakkan oleh pakatan pembangkang yang menjadikan rakyat sebagai mangsa untuk bertindak ganas dan mengganggu ketenteraman.
No comments:
Post a Comment