Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sewajarnya menjadi kayu pengukur kepada masyarakat untuk melihat matlamat utama pakatan pembangkang sebagai pemimpin berbanding dengan Barisan Nasional (BN) kata Pengarah Program Mengubah Destinasi Anak Bangsa (MDAB), Prof Madya Mohd Hanafiah Harun.
Katanya, dengan apa yang berlaku hari ini dan pelbagai masalah yang timbul menjadi bukti jelas bagaimana kepincangan dalam kepimpinan pakatan pembangkang menerajui kerajaan Negeri Selangor.
“PRK Kajang menjadi ruang kepada rakyat menilai bagaimana peranan kerajaan negeri Selangor berdepan dengan rakyat dan menyelesaikan masalah mereka sementara kehadiran calon BN di kawasan ini adalah sebagai pembangkang,” katanya.
Ujar beliau, pemimpin pembangkang yang datang ke Kajang mendabik dada dan menuding jari mencari salah BN selaku kerajaan pusat atas pelbagai masalah yang dihadapi rakyat sedangkan dalam masa yang sama mereka lupa bahawa tanggungjawanb untuk masyarakat di akar umbi adalah peranan dari wakil rakyat yang disandang di bahu mereka.
“Mereka umpama bermimpi di siang hari, datang ke Selangor termasuklah Kajang dalam keadaan negeri tersebut pesat membangun hasil dari perancangan BN selaku kerajaan sebelumnya dan kemudian, selepas sepenggal mereka berkuasa maka macam-macam masalah timbul namun masih menyalahkan BN sedangkan mereka yang jadi pemimpin di sini.
“Pemimpin parti PKR, Dap dan Pas yang menerajui Selangor seakan lupa dengan pelbagai tindakan mereka yang telah menjahanamkan pelbagai perancangan dan kelancaran kerja-kerja pemimpin BN sebelumnya sehinggakan apa-apa sahaja masalah yang timbul maka BN akan dipersalahkan,” katanya.
Dalam hal ini beliau menjadikan contoh krisis air yang berlaku sehingga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terpaksa mengumumkan program catuan air secara bergilir di seluruh negeri bermula hari ini sedangkan jangkaan terhadap masalah tersebut telah pun diingatkan sejak 2009 lagi.
“Memang sekarang kemarau tapi sekiranya kerajaan negeri Selangor bersetuju lebih awal untuk melaksanakan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang tertangguh sejak lima tahun lalu maka tentunya krisis tersebut tidak seteruk ini sehinggakan catuan terpaksa dibuat sehingga berselang dua hari.
“Ini adalah antara bukti bagaimana perancangan kepimpinan pakatan pembangkang hanya bersandarkan kepentingan sendiri tanpa memikirkan masa hadapan rakyat keseluruhan.”
Kata beliau yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), PRK DUN Kajang juga adalah antara contoh bagaimana pemikiran pemimpin mereka yang sempit dan tidak mengutamakan rakyat.
“Apa tujuan pilihan raya ini jika sememangnya matlamat mereka untuk berkhidmat kepada rakyat namun dengan apa yang dibuat oleh ADUN sebelum ini, sanggup melepaskan jawatan semata-mata untuk membolehkan Anwar Ibrahim bertanding bagi mendapat kuasa dan pangkat maka tentunya ada yang tidak kena.
“Rakyat patut buka mata, lihat dan nilai sendiri bagaimana sikap buruk pemimpin-pemimpin pembangkang sehinggakan perancangan BN untuk Negeri Selangor yang sebelum ini berlangsung lancar kini telah menjadi caca merba dan haru biru akibat sikap tamak dan gila kuasa mereka.”
Beliau turut membidas tindakan pembangkang yang menganggap pengumuman kerajaan berkaitan peruntukan sejumlah RM10 juta bagi menaik taraf kemudahan dan kelengkapan di Hospital Kajang sebagai projek pilihan raya.
“Hari ini BN adalah pembangkang di sini, namun atas rasa tanggungjawab, BN meneruskan agenda pembelaan tanpa membiarkan masyarakat berdepan dengan kesukaran dan ketidakselesaan walaupun tahu bahawa DUN Kajang adalah tempat kepimpinan pakatan.
“Ini soal kesihatan dan keselesaan yang menjadi keperluan dan mesti diutamakan malangnya wakil rakyat tempatan dan kerajaan Negeri Selangor bukan hanya gagal untuk sediakan satu pun klinik kesihatan dari mereka malah air yang ada pun akhirnya terpaksa di catu. Inikah kerajaan yang perlu terus di sokong?”
Dilaporkan, kerajaan pusat turut membuat cadangan agar bangunan Hospital Kajang itu diganti bangunan baru yang lebih moden dan selesa kerana usia bangunan itu kini lebih 125 tahun.
“Ini bukan soal pilihan raya atau tidak namun apa yang perlu difikirkan adalah siapa yang menghulurkan bantuan sedangkan kerajaan Negeri yang ada gagal menepati keperluan rakyat untuk mendapatkan hak keselesaan dan kesejahteraan sebagaimana bekalan air yang terganggu malah untuk merancang satu pusat kesihatan atau pusat riadah untuk rakyat pun tidak ada sehingga kini.”
Soal beliau lagi, jika semua peruntukan dan bantuan yang diperlukan oleh rakyat disalurkan oleh kerajaan Pusat iaitu BN maka apa perlunya ada parti lain sebagai teraju DUN dan mempunyai kuasa di dalam Kerajaan Negeri Selangor?
No comments:
Post a Comment