Di sebalik gegak gempita pembangkang kononnya membela kebajikan rakyat selain pelbagai cemuhan terhadap kerajaan, sedar atau tidak pelbagai pelaksanaan serta perancangan dilakukan oleh kerajaan hari ini dalam usaha memastikan kepentingan rakyat terbela.
Terbaru Program MyHome yang akan dilancarkan kerajaan pada 1 April ini yang akan memberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000 kepada mereka yang layak untuk membeli rumah menjelaskan segala-galanya jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang khususnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datin Sabrina Mohd Noor ketika diminta mengulas mengenainya berkata itulah bezanya antara kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) dengan parti pembangkang.
Katanya MyHome memberikan subsidi kepada mereka yang layak dan memerlukan tetapi apa yang berlaku di Pulau Pinang sepertimana isu masalah pembeli rumah kos sederhana rendah di Jalan Permai, Bukit Gambir yang naik sekali ganda menimbulkan persoalan.
“Kerajaan yang diterajui BN sama sekali tidak beretorik sebaliknya melaksanakan amanah yang dipikul dengan penuh tanggungjawab dan sama sekali tidak menjaja dengan kata-kata manis.
“Itulah bezanya kita dengan pembangkang…Walaupun dicemuh dan ditohmah dengan macam-macam, namun kita tidak toleh ke belakang sebaliknya melakukan segala yang terbaik untuk rakyat. Program MyHome adalah contoh terdekat.
“Dengan kata lainnya BN bercakap dan kemudiannya disusuli dengan bentuk tindakan serta jalan penyelesaian. Itulah yang sepatutnya. Tidak perlu melaung-laungkannya, tetapi kita perlu tengok apakah hasilnya,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut beliau seterusnya menambah segala yang ditohmah oleh pembangkang adalah cubaan mereka untuk memburukkan kerajaan dengan niat memanipulasi isu untuk main emosi rakyat membenci kerajaan.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Lim Guan Eng diminta campur tangan bagi menyelesaikan masalah pembeli rumah kos sederhana rendah di Jalan Permai, Bukit Gambir di sini.
Ini kerana dakwa pembeli, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo gagal membantu mereka biarpun beberapa pertemuan dibuat.
Malah kata mereka, tindakan pemaju menaikkan harga rumah tanpa persetujuan pembeli daripada harga asal iaitu RM72,500 tidak logik dan sesuatu perlu dilakukan.
Bagi wakil pembeli, Norlida Masturo, 44, dia berharap kerajaan negeri pimpinan Guan Eng dapat bertindak menangani isu ini dan tidak tunduk kepada tindakan rakus pemaju yang mengenakan pelbagai caj lain tanpa persetujuan mereka sebagai pembeli.
Menurutnya, kos ubah suai pada rumah itu selain tapak letak kereta yang harus dibayar oleh pembeli menjadikan harga rumah mereka melambung hampir sekali ganda sehingga mencecah RM180,000.
No comments:
Post a Comment