Nuffnang Ads

Tuesday, 18 February 2014

Burukkan BN, UMNO, Ibarat Tepuk Air Dalam Dulang

Tindakan Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dengan macam-macam tuduhan termasuklah dalam soal pembangunan dan kemajuan untuk rakyat dilihat sebagai menidakkan kewibawaannya sendiri.
Penganalisis politik tempatan, Dr. Jeniri Amir melihat, apabila Anwar memburuk-burukkan kerajaan dengan pelbagai kata-kata negatif maka secara tidak langsung dia menafikan apa yang telah dilakukannya dalam kepimpinan BN dan UMNO sebelum ini.
anwar-kempen-prk-dun-kajang-mb-selangor-gereja-kristian-salib
“Beliau cenderung menggunakan strategi komunikasi politik untuk hakiskan kewibawaan BN dan hagemoni kerajaan dengan matlamat untuk penuhkan agenda politiknya sendiri sedangkan secara sedar atau tidak tindakannya itu adalah memburuk-burukkan dirinya sendiri,” katanya.
Terang beliau, dengan penglibatan Anwar dalam kabinet Malaysia yang diterajui oleh BN selama hampir dua dekad maka tentunya banyak dasar dan keputusan dalam kerajaan turut membabitkan dirinya sendiri.
“Gelagat Anwar sekarang ini ibarat menepuk air dalam dulang tapi terpercik di muka sendiri kerana kerajaan yang diburukkan hari ini adalah kerajaan sama yang dianggotainya sebagai menteri kabinet sehingga menjawat Timbalan Perdana Menteri Malaysia suatu ketika lalu.
“Kerajaan BN tersebut masih kekal sebagai pentadbir dan menerajui kepimpinan dengan membawa banyak kemajuan dan transformasi kepada keseluruhan rakyat namun Anwar yang telah berubah menjadi ketua pembangkang bersikap sebaliknya dan menentang apa yang pernah dilakukannya.”
Ujar beliau yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tentunya Anwar sendiri menyedari bahawa sememangnya jasa-jasa BN terlalu banyak, bawa pembangunan, bawa kemajuan, bawa rakyat keluar dari kemiskinan, bawa perubahan dan macam-macam lagi namun kerana kuasa dalam politik maka hal-hal tersebut dinafikan.
“Kerana keghairahannya untuk berkuasa maka Anwar sanggup menggunakan apa-apa sahaja cara kerana matlamatnya sekarang menghalalkan apa saja cara termasuklah memburuk-burukkan kerajaan yang sebelum ini beliau sendiri terlibat dalam membuat keputusan.”
“Apa yang dilakukan oleh Anwar hari ini adalah bertentangan dengan nilai dan etika sebagai pemimpin malah dianggap hipokrit kerana memburuk-burukkan pihak yang pernah dianggotainya, memburuk-burukkan dasar yang pernah dia sendiri terlibat dan kemudiannya menganggap semua yang dilakukan oleh BN tidak betul,” katanya.
Antara perkara yang diketengahkan oleh Anwar dalam beberapa siri ceramahnya ialah membabitkan pengguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang mana turut dibidas oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyatakan Anwar turut memainkan peranan penting menjayakan Op Lalang pada 1987 selain ‘projek IC’ di Sabah dan hal-hal lain.
“Rakyat tahu apa yang berlaku kerana BN bukanlah kerajaan yang baru sebaliknya kepimpinannya sentiasa memikirkan keperluan rakyat malah Perdana Menteri hari ini pun berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat berada dalam keadaan selesa,” katanya.
Dalam hal ini beliau turut mengulas berkaitan tindakan Anwar yang mencalonkan dirinya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.
“Semua orang dah tahu permainan politik Anwar dan tentunya para pengundi di Kajang juga akan dapat membezakan yang mana kaca dan yang mana permata, apatah lagi rakyat di situ bukanlah bodoh untuk membezakan penilaian politik sebenar,” tegasnya lagi.
Anwar bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh di atas tiket UMNO pada tahun 1982 sebelum dilantik menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kemudiannya menerajui ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
Pada tahun 1983, Anwar dilantik sebagai Menteri Belia, Kebudayaan dan Sukan, kemudian beralih ke portfolio Kementerian Pertanian dan pada tahun 1987 dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1991 yang diikuti menjawat Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993. 

No comments:

Post a Comment